Sunday, October 19, 2008

BAGI FLOOR!

BAGI FLOOR! Rata-rata sekarang ini, baik di kedai kopi mahupun di coffee house di hotel-hotel di ibunegeri dan ibukota, pemimpin dan ahli Umno bercakap mengenai ungkapan ini - "bagi floor".

Ungkapan ini ditujukan kepada Muhyiddin Yassin. Mereka bercakap mengenai satu gerakan oleh kumpulan tertentu untuk memastikan Muhyiddin tidak mendapat laluan mudah untuk mendapat pencalonan Timbalan Presiden. Akar umbi diminta mencalonkan Najib Razak bagi jawatan Presiden tetapi untuk jawatan Timbalan Presiden, "bagi floor" (serahkan kepada perwakilan bahagian).

Dengan kata lain, mereka mahukan pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden. "Bagi floor" bermaksud membenarkan perwakilan bahagian mencalonkan calon lain (Mohd Ali Rustam) untuk jawatan tersebut dan bukannya Muhyiddin.

Desas-desus mengatakan kumpulan ini hanya mahu Ali Rustam mendapat cukup pencalonan untuk memastikan Muhyiddin dicabar Mac nanti. Mereka mahu memastikan Muhyiddin tidak menang percuma jawatan Timbalan Presiden.

Kalau dilihat kenyataan Abdullah Ahmad Badawi (walaupun dengan nada marah) di Kota Kinabalu semalam, jelas Pak Lah mahukan Ali Rustam di calonkan jawatan Timbalan Presiden.

Berikut ialah kenyataan Pak Lah semalam: “Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik...Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?.

“Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding... tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang UMNO menentukannya.”
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Apabila Pak Lah membuat kenyataan sedemikian, hiruk-pikuk lah di kedai kopi dan coffee house hotel bahawa Pak Lah menyokong Ali Rustam.

Secara kebetulan atau tidak, Ali Rustam hari ini menerima 9 pencalonan (tiga dari Melaka) menjadikan 12 pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden. Mat Taib mendapat 8 pencalonan berbanding Muhyiddin 44 pencalonan. http://www.malaysiakini.com/news/91566

Agak pelik juga bagi Pak Lah menyokong Ali Rustam ketika website pro-Pak Lah "Malaysian Insider" semalam memperkecilkan Ali Rustam dengan menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak tahu berbahasa Inggeris.

Malaysian Insider turut memperkecilkan Allahyarham Ghafar Baba yang dikatakan lemah berbahasa Inggeris ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pak Lah mengambil risiko dengan menyatakan sokongan beliau kepada Ali Rustam. Sekiranya Ali Rustam tidak mendapat cukup pencalonan (39 pencalonan) untuk bertanding, maka pemerhati akan menyifatkannya sebagai bukti bahawa memang benar Pak Lah ditolak oleh akar umbi.

Ianya juga berita tidak gembira buat Ali Rustam. Dalam suasana sekarang, musuh-musuh beliau akan secepat kilat meletakkan Ali Rustam sebagai orang Pak Lah dan bukan orang Najib Razak.

Maka sekiranya akar umbi menyokong Najib, maka Ali Rustam akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pencalonan.

Ada juga berpendapat tindakan menyokong Ali Rustam ini adalah tindakan melepas geram oleh Pak lah dan orang sekeliling beliau.

No comments: