Showing posts with label rustam. Show all posts
Showing posts with label rustam. Show all posts

Sunday, October 19, 2008

BAGI FLOOR!

BAGI FLOOR! Rata-rata sekarang ini, baik di kedai kopi mahupun di coffee house di hotel-hotel di ibunegeri dan ibukota, pemimpin dan ahli Umno bercakap mengenai ungkapan ini - "bagi floor".

Ungkapan ini ditujukan kepada Muhyiddin Yassin. Mereka bercakap mengenai satu gerakan oleh kumpulan tertentu untuk memastikan Muhyiddin tidak mendapat laluan mudah untuk mendapat pencalonan Timbalan Presiden. Akar umbi diminta mencalonkan Najib Razak bagi jawatan Presiden tetapi untuk jawatan Timbalan Presiden, "bagi floor" (serahkan kepada perwakilan bahagian).

Dengan kata lain, mereka mahukan pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden. "Bagi floor" bermaksud membenarkan perwakilan bahagian mencalonkan calon lain (Mohd Ali Rustam) untuk jawatan tersebut dan bukannya Muhyiddin.

Desas-desus mengatakan kumpulan ini hanya mahu Ali Rustam mendapat cukup pencalonan untuk memastikan Muhyiddin dicabar Mac nanti. Mereka mahu memastikan Muhyiddin tidak menang percuma jawatan Timbalan Presiden.

Kalau dilihat kenyataan Abdullah Ahmad Badawi (walaupun dengan nada marah) di Kota Kinabalu semalam, jelas Pak Lah mahukan Ali Rustam di calonkan jawatan Timbalan Presiden.

Berikut ialah kenyataan Pak Lah semalam: “Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik...Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?.

“Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding... tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang UMNO menentukannya.”
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Apabila Pak Lah membuat kenyataan sedemikian, hiruk-pikuk lah di kedai kopi dan coffee house hotel bahawa Pak Lah menyokong Ali Rustam.

Secara kebetulan atau tidak, Ali Rustam hari ini menerima 9 pencalonan (tiga dari Melaka) menjadikan 12 pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden. Mat Taib mendapat 8 pencalonan berbanding Muhyiddin 44 pencalonan. http://www.malaysiakini.com/news/91566

Agak pelik juga bagi Pak Lah menyokong Ali Rustam ketika website pro-Pak Lah "Malaysian Insider" semalam memperkecilkan Ali Rustam dengan menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak tahu berbahasa Inggeris.

Malaysian Insider turut memperkecilkan Allahyarham Ghafar Baba yang dikatakan lemah berbahasa Inggeris ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pak Lah mengambil risiko dengan menyatakan sokongan beliau kepada Ali Rustam. Sekiranya Ali Rustam tidak mendapat cukup pencalonan (39 pencalonan) untuk bertanding, maka pemerhati akan menyifatkannya sebagai bukti bahawa memang benar Pak Lah ditolak oleh akar umbi.

Ianya juga berita tidak gembira buat Ali Rustam. Dalam suasana sekarang, musuh-musuh beliau akan secepat kilat meletakkan Ali Rustam sebagai orang Pak Lah dan bukan orang Najib Razak.

Maka sekiranya akar umbi menyokong Najib, maka Ali Rustam akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pencalonan.

Ada juga berpendapat tindakan menyokong Ali Rustam ini adalah tindakan melepas geram oleh Pak lah dan orang sekeliling beliau.

Saturday, October 4, 2008

LAYAKKAH ZAHID, ALI RUSTAM, MAT TAIB & MUHYIDDIN JADI TPM KITA?

ZAHID HAMIDI, MUHAMMAD MUHAMMAD TAIB, MOHD ALI RUSTAM DAN MUHYIDDIN YASSIN: Salah seorang dari mereka bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno Mac 2009.

Ada rezeki, mereka juga bakal Perdana Menteri Malaysia. Ketika dunia diharungi berbagai masalah ekonomi dan politik, timbul lah persoalan siapa di kalangan mereka ini yang layak menjadi Timbalan Perdana Menteri? Atau adakah mereka ini benar-benar layak dan mempunyai kualiti untuk memimpin negara?

Keputusan di tangan lebih kurang 3,000 perwakilan Umno yang akan mengundi di perhimpunan agung Mac nanti. Sebagai pemerhati, kita hanya boleh memerhati dan berdoa agar keputusan yang terbaik dibuat oleh perwakilan Umno nanti dan bahagian-bahagian yang akan bermesyuarat mulai 9 Oktober hingga 9 November.

Buat sementara waktu, kita teliti latarbelakang pendidikan calon-calon Timbalan Presiden Umno.
Zahid Hamidi dilahirkan pada 4 Januari 1953 di Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Balai dan menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh dan Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Selepas itu beliau menyampung pengajiannya ke Universiti Malaya dalam bidang Sastera pada tahun 1975.
MOHD ALI RUSTAM: 1956 - 1960: Sekolah Rendah Kebangsaan, Bukit Katil, Melaka; 1961: Sekolah Rendah Kebangsaan, Semabok, Melaka; Malacca High School, Melaka; Menduduki peperiksaan High School Certificate (HSC) sebagai pelajar persendirian; 1984-1986: B.A. (Hons) in Social Science (Economic Development), Universiti Sains Malaysia (USM)

MUHAMMAD MUHAMMAD TAIB: 1953-1959: Sekolah Rendah Inggeris Kuala Kubu Bahru;
1959-1964 Sekolah Menengah Inggeris Sabak Bernam; 1974 menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan sebagai calon persendirian; 1964-1966 Day Teachers' College (DTC), Kuala Lumpur; 1976-1979 B.A (1st Class Hons.) dalam Sejarah dan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (Sarjana Muda Sastera (Kepujian Kelas Pertama)

MUHYIDDIN YASSIN: dilahirkan pada 15 Mei 1947 di Muar. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani dan Sekolah Kebangsaan Ismail di Muar. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pengajian Melayu (1971).

PROFESION: Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (1970) dan kemudiannya Penolong Pegawai Daerah Muar (1974). Pengalaman sebagai penjawat awam digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk berkecimpung dalam dunia korporat. Antara tahun 1974 hingga tahun 1978, Muhyiddin memegang beberapa jawatan penting di SGS Ates Sdn. Bhd. sebagai Pengurus Perjawatan, Pengarah Urusan Sri Saujana.