Sunday, October 26, 2008

ALI RUSTAM AKAN CABAR MUHYIDDIN!

KERANA MULUT BADAN BINASA? Hari ini pencalonan Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka, meningkat kepada 23 pencalonan. Ali Rustam memerlukan 16 sahaja lagi pencalonan dari 92 bahagian Umno yang masih lagi belum bermesyuarat.

16 bukanlah satu angka yang besar. Tidak mustahil, dalam masa seminggu lagi, Ali akan muncul pencabar utama Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden Umno.

Kini jelas hampir satu pertiga bahagian yang telah bermesyuarat tidak mahukan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden.

Apa puncanya? Pertama, orang-orang Pak Lah ingin membalas dendam untuk memastikan Muhyiddin tidak mendapat laluan mudah untuk menjawat jawatan nombor dua tertinggi parti kerana mereka berpendapat Muhyiddin lah orang yang bertanggungjawab mengakhiri era Pak Lah.

Kedua, akar umbi muak dengan kenyataan terakhir Muhyiddin yang mendesak Pak Lah meletakkan jawatan Disember ini, tiga bulan lebih awal dari yang dipersetujui. Di kalangan penyokong Pak Lah, tindak-tanduk Muhyiddin ini sudah melampaui batas. Kata mereka orang Melayu mempunyai adap susila mereka dan kenyataan Muhyiddin dilihat sebagai kurang ajar dan tidak berterima kasih.

Maka orang-orang Pak Lah ingin "mengajar" Muhyiddin dan berkerja keras memastikan Ali Rustam dicalonkan walaupun mereka sedar Ketua Menteri Melaka itu tidak mempunyai kualiti sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Maka sebab itu lah bahagian-bahagian pro Pak Lah seperti Johor Baharu hari ini mencalonkan Ali Rustam untuk jawatan Timbalan Presiden.

Muhyiddin pastinya mahukan jalan mudah untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden. Sekiranya ada pertandingan, peluang Muhyiddin tinggal 50-50. Boleh menang tetapi boleh juga kalah.

Kempen selama lima bulan tidak akan membantu Muhyiddin yang sebelum ini calon "favourite" untuk jawatan Timbalan Presiden.

Macam-macam boleh berlaku dalam masa lima bulan ini. Tempoh kempen yang lama ini akan sedikit demi sedikit menghakiskan populariti Muhyiddin dan penyokong-penyokong Muhyiddin bimbang akan tempoh yang lama ini.

Ada juga desas-desus mengatakan penyokong Najib Razak tidak selesa Muhyiddin menjadi Timbalan kepada Najib.

Mereka mahukan seorang Timbalan yang tidak "bermaya" seperti Ali Rustam agar Najib akan kekal lama sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun setengah pihak yang rapat dengan kem Najib menafikan dakwaan ini dan keputusan bahagian Hishammuddin Hussein mencalonkan Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden dijadikan bukti bahawa Najib selesa jika Muhyiddin menjadi timbalannya.

Dua minggu akan datang, penyokong-penyokong Pak Lah akan bertungkus lumus memastikan Ali Rustam mencapai 39 pencalonan yang diperlukan.

Selepas itu, bermulalah kempen kotor untuk menjatuhkan Muhyiddin. Malah berdasarkan sejarah Umno, kempen selepas ini akan berkisar peribadi calon-calon.

Allahyarham Tun Ghafar Baba pernah menjadi mangsa kepada kempen kotor ini. Beliau diperlekehkan oleh penyokong-penyokong Anwar Ibrahim ketika itu kononnya beliau pemimpin kurang berilmu dan tidak tahu membaca kertas Kabinet.

Hal-hal peribadi Tun Ghafar digembar-gemburkan secara senyap diperingkat akar umbi dan apabila Tun Ghafar menyedari perbuatan buruk penyokong Anwar Ibrahim ini, nasi sudah menjadi bubur.

Sudah terlambat buat Tun Ghafar untuk mempertahankan diri beliau. Kesudahannya, jawatan Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri menjadi hak Anwar Ibrahim.

Selepas berakhirnya mesyuarat bahagian pada November 9 nanti bemulalah kempen-kempen untuk "menelanjangkan" lawan masing-masing. Kita tunggu saat-saat menarik ini.

Kedudukan terkini pencalonan: http://www.malaysiakini.com/news/91946

1 comment:

Anonymous said...

Salam,

"Allahyarham Tun Ghafar Baba pernah menjadi mangsa kepada kempen kotor ini. Beliau diperlekehkan oleh penyokong-penyokong Anwar Ibrahim ketika itu kononnya beliau pemimpin kurang berilmu dan tidak tahu membaca kertas Kabinet."

Lumrah alam... ketika itu, Muhyiddin adalah ahli Team Wawasan yang sama sama berkempen untuk menjatuhkan Tun Ghaffar. Kali ini, giliran dia pula dijatuhkan.

TK.

ikhlas,

meluat tengok muhyiddin (MTM)..

bukannya bagus pun. kadi menteri kat kemeenterian, semuanya tahap average aje performance dia.