JULAI lalu, Anwar Ibrahim dan Shabeery Cheek berentap di dalam satu debat yang disiarkan secara terus menerus melalui kaca TV kepada masyarakat.
Apa hasilnya? Hasilnya Anwar bertambah popular dan Shabeery pun popular lah sedikit.
Budaya debat ini merupakan amalan di negara-negara demokrasi seperti Amerika Syarikat. Beberapa minggu yang lalu, rakyat Amerika menyaksikan tiga debat antara bakal calon presiden, Barack Obama dan John McCain dan juga debat antara calon Naib Presiden Joe Biden dan Sarah Palin.
Budaya ini semakin popular di Malaysia sekarang. Minggu lepas dicadangkan debat antara calon-calon Ketua Pemuda Umno juga di kaca TV.
Di Amerika, Obama dan McCain berdebat mengenai halatuju Amerika sekiranya mereka diberi peluang menjadi Presiden. Apa yang mereka boleh berikan kepada rakyat. Cukai pendapatannya macam mana, skim kesihatan nya macam mana. Sebelum debat, rekod dan latarbelakang mereka menjadi tatapan umum dan sekiranya sebarang dakwaan di dapati terbukti benar, lazimnya calon akan memohon maaf kepada rakyat Amerika dan mengundur diri.
Sarah Palin dihujani pelbagai kritikan mengenai latarbelakang beliau. Malahan latarbelakang keluarga beliau - anak perempuannya mengandung di luar nikah - menjadi topik debat di kalangan media Amerika Syarikat.
Di Malaysia? Lain ceritanya. Ikut siapa yang dapat faedah. Julai 2006, Umno membenarkan perhimpunan agongnya disiar secara langsung oleh Astro. Kesannya, Umno dilabelkan parti perkauman kerana ucapan-ucapan perbahasan pemimpinnya berbaur perkauman.
Pemimpin parti komponen pun turut mengkritik Umno padahal dalam setiap perhimpunan agong Umno, presiden dan pemimpin parti komponen turut dijemput hadir mengikuti perjalanan perhimpunan.
Perbahasan di perhimpunan agong Umno sama sahaja setiap tahun. Kalau 2006 berbaur perkauman, tahun-tahun sebelumnya serupa sahaja. Ia nya cuma retorik untuk menarik perhatian perwakilan.
Tetapi kesannya, Umno dilihat parti perkauman, satu label yang amat sukar dibersihkan dan mengancam untuk mengubah asas perjuangan Umno.
Semasa pemilihan kepimpinan MCA, ada calon juga mahukan debat tetapi tidak kesampaian. Walaupun debat tersebut tidak menjadi kenyataan, isi kandungannya sudah kita ketahui. Ianya akan menjurus kepada hapuskan Dasar Ekonomi Baru, Umno kaki buli, Timbalan Pengerusi BN mesti dari MCA dan sebagainya.
Bila pengundian dibuat, yang dipilih ialah orang yang mempunyai rekod terlibat dengan skandal seks. Kalau di Amerika, sudah pasti calon tersebut bukan sahaja kalah dalam pertandingan, malahan tidak dibenarkan langsung berkecimpung dalam politik.
Tetapi ini politik Malaysia. Lihatlah latarbelakang calon-calon yang bertanding jawatan di dalam Umno. Ada yang menghina kakitangan kerajaan dengan menyampaikan penyapu kepada pegawai daerah, ada yang ditangkap dengan wang tunai berjuta ringgit di dalam simpanan, ada yang mengahwini anak raja tanpa kebenaran ayahanda Sultan, ada yang dituduh menerima RM5 juta untuk membebaskan tahanan undang-undang, ada yang pernah dituduh mempunyai ratusan juta ringgit ketika isu kroni dibangkitkan dalam tahun 1998, ada yang pernah digantung kerana politik wang, ada yang dituduh mengadakan hubungan seks dengan gadis belasan tahun, ada yang dituduh mengambil wang dari rakyat termiskin, ada yang dituduh menggunakan kedudukan sebagai menteri untuk mengumpulkan kekayaan, ada pemimpin yang dituduh meraba punggung wanita, ada pemimpin yang dilihat bergambar bersama wanita dan sedang bersantai, tetapi siapa peduli?
Hari ini, orang-orang Umno sibuk samada perlu debat atau tidak. Khairy Jamaluddin mahukan debat, Mukhriz Mahathir pada mulanya menolak. Debat menjadi perbualan pokok di dalam Umno.
Tetapi perkara pokok di remeh-temehkan oleh ahli-ahli Umno. Mereka yang terlibat dengan salahguna kuasa, rasuah dan salah laku seks masih lagi berkuasa dan dipilih menjadi Menteri memimpin rakyat.
Adalah lebih baik sekiranya Khairy, Mukhriz dan Khir Toyo membantu Umno membersihkan Umno. Pastikan calon yang buruk perangainya disingkirkan dari bertanding dari sibuk siapa nak berdebat dan siapa yang tidak mahu berdebat.
Buktikanlah bahawa demokrasi kita sudah hampir ke tahap rakyat Amerika yang majoritinya beragama Kristian. Sepatutnya kita yang beragama Islam lebih mulia perangainya dari orang-orang Nasrani.
Janganlah demokrasi kita hanya setakat nak berdebat. Kalau nak ikut Amerika, ikutlah betul-betul. Kalau di Amerika, latarbelakang calon dipastikan bersih, biar di Malaysia pun sama. Jangan setakat nak berdebat sahaja.
Tetapi bila berlaku pemilihan, yang dirakam melakukan seks pun masih dipilih menjadi pemimpin seperti mana berlaku semasa pemilihan MCA baru-baru ini.
Thursday, October 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Dari buat debat, baik buat ceramah..ramai boleh datang tgk live..jangan lupa si guan eng dan tsu koon dulu pun masuk tv berdebat..hahaha..pening kepala penonton bila itik berdebat..
Debat2 tapi mane impak dari perdebatan?? yg ader kat TV3 pun impak maksima. Huh...
Post a Comment