Sunday, July 20, 2008

MERCEDES E200 UNTUK EXCO TERENGGANU

‘‘Setelah dibuat kajian, kerajaan negeri mendapati untuk tujuan jangka panjang, penggunaan kereta baru ini adalah lebih baik menggantikan Perdana V6 Executive yang digunakan sejak lebih empat tahun lepas.” - Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong.

Kelu lidah untuk berkata-kata pabila terbaca komen Mokhtar Nong mengenai alasan kenapa Kerajaan Negeri Terengganu menggantikan Perdana V6 dengan Mercedes E200 Kompressor untuk semua ahli Exco Negeri Terengganu.
Ketika rakyat merintih kos hidup meningkat, Kerajaan pimpinan Ahmad Said mengambil keputusan membelanjakan RM3.43 juta untuk membeli 14 buah Mercedes E200 Kompresor termasuk sebuah untuk Mokhtar kerana "‘Setelah dibuat kajian, kerajaan negeri mendapati untuk tujuan jangka panjang, penggunaan kereta baru ini adalah lebih baik menggantikan Perdana V6 Executive yang digunakan sejak lebih empat tahun lepas."
Tambah Mokhtar lagi: "pembelian itu ialah atas tujuan keselamatan dan penjimatan jangka panjang terutama dari segi penyelenggaraan.
"
Ingatkah kita bagaimana Nik Aziz Nik Mat mengambil alih kerajaan Kelantan dari BN pada tahun 1990? Kesemua ahli Exco Kelantan menggunakan kereta peninggalan Kerajaan BN. Malah Menteri-menteri Persekutuan hari ini kesemuanya menggunakan Perdana V6.
Adakah ini bermakna Kerajaan Persekutuan tidak menghiraukan keselamatan Menteri-Menteri Kabinet? Jelas sekali Ahmad Said dan kuncu-kuncunya menganggap Perdana V6 kurang selamat dan penyelenggaraannya lebih mahal dari Mercedes E200 Kompressor yang bernilai RM245,000 sebuah tanpa cukai.
Yang pasti, Ahmad dan ahli-ahli Exco tidak menghiraukan keresahan rakyat di kampung dan kota dengan kenaikan kos saraan pada ketika ini. Alasan keselamatan dan kos penyelenggaraan adalah alasan yang amat lemah untuk menghalalkan pembelian tersebut.
Apapun, semalam beberapa Ahli Exco termasuk Mokhtar (ex-officio) pasti selesa dengan kereta baru mereka dan tidak lagi perlu risau keselamatan mereka seperti sebelum ini ketika menggunakan Perdana V6.

No comments: