Saturday, July 12, 2008

PERALIHAN KUASA: LAKONAN POLITIK?

PERALIHAN KUASA: ADAKAH IA HANYA LAKONAN DI ATAS PENTAS POLITIK?
Adakah suasana dalam Umno kini tenang selepas pengumuman Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada Najib Razak pertengahan Jun 2010?

Ianya sukar dipastikan. Bagaimanapun sudah ada suara-suara sumbang di peringkat akar umbi bahawa peralihan kuasa adalah strategi Abdullah untuk mengelakkan dari ditewaskan dalam pemilihan kali ini.

Malah ada yang melihatnya sebagai hanya satu “janji” kerana seperti mana kata Harold Wilson, bekas Perdana Menteri Britain, “seminggu dalam politik adalah satu tempoh yang cukup panjang”.

Apatah lagi dua tahun. Berbagai perkara boleh berlaku. Perjalanan dua tahun buat Najib mungkin dipenuhi ranjau.

Maka atas sebab itulah penyokong-penyokong Najib kini mendesak peralihan kuasa bermula dari sekarang. Mereka mendesak agar Abdullah mula menyerahkan kuasanya sedikit demi sedikit kepada Timbalannya itu.

Malah ada yang telah merintis jalan buat Najib mengambil alih kuasa. Mereka mahukan Abdullah benar-benar ikhlas mahu menyerahkan kuasa kepada Najib.

Suara-suara telah kedengaran bahawa sekiranya Abdullah benar-benar ikhlas, beliau hendaklah membenarkan Timbalannya itu mula mentadbir kerajaan tahun hadapan. Mereka mahukan Abdullah mengambil cuti panjang dan memberi ruang kepada Najib untuk mula mengambil alih pentadbiran.

Ada yang mahukan Najib diberi laluan untuk memastikan orang-orangnya berada di kedudukan yang strategik seperti di dalam media arus perdana dan yang lebih penting lagi Majlis Tertinggi Umno ketika Abdullah bersiap sedia meninggalkan pentas perdana .

Amat jelas kenyataan-kenyataan ini adalah tanda kebimbangan penyokong Najib sekiranya janji tersebut tidak ditepati.

Najib sedar bahawa persetujuan beliau kepada peralihan kuasa ini tidak diterima seratus peratus di peringkat akar umbi. Ada golongan di bawah mahukan Najib sebagai presiden parti Disember ini.

Tindakan Najib mungkin telah mengecewakan beberapa bahagian Umno yang kini sedang membuat perhitungan sama ada mahu terus menyampaikan mesej ketidakpuasan hati mereka kepada pucuk pimpinan.

Adalah tidak mengejutkan kalau ada bahagian yang tidak mahu membuat sebarang pencalonan untuk jawatan presiden sebagai tanda protes atau mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai presiden.

Keikhlasan bukan isu dalam peralihan kuasa ini. Ia adalah satu kesilapan sekiranya keikhlasan dijadikan asas peralihan kuasa ini.

Abdullah dan Najib adalah dua aktor di atas pentas politik. Keikhlasan tidak pernah wujud dalam kamus politik sepertimana perumpamaan “tidak ada kawan yang kekal, dan tidak ada musuh yang kekal dalam politik.”

Sekiranya selepas dua tahun Najib gagal menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, kita harus memberi tabik hormat kepada Abdullah kerana beliau seorang ahli politik yang bijak setaraf dengan Dr Mahathir Mohamad yang kekal sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Dan Najib dan kuncu-kuncunya tidak harus menyalahkan Abdullah kerana ini adalah pentas politik yang selama ini telah “menghalalkan cara”.

Berikut ialah analisa agensi berita asing mengenai isu peralihan kuasa:

Singapore Straits Times: Janji Abdullah Ahmad Badawi untuk bersara pada 2010 umumnya diterima pemimpin-pemimpin Umno tetapi ada antara mereka mahukan Abdullah menunjukkan keikhlasannya dengan menyerahkan kuasa sedikit demi sedikit kepada pengantinya Najib Razak.

Disebaliknya penerimaan secara umum peralihan kuasa di dalam Umno, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Muhyiddin Yassin menyatakan kurang selesa dengan tempoh yang panjang ditetapkan untuk peralihan tersebut.

Reuters: Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya “membeli sedikit masa” untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga peralihan kuasa pada pertengahan 2010 tetapi laluan untuk timbalannya Najib Razak masih sukar.Masalah dalaman dalam Umno, ancaman berterusan pembangkang untuk merampas kuasa dan skandal Najib sendiri mungkin membantut pelan peralihan dan menimbulkan suasana tidak menentu dalam Umno.

Associated Press: Abdullah Ahmad Badawi telah berjanji untuk bersara pertengahan 2010 tetapi ramai golongan yang menentang masih mahukan “pembersihan” secepat mungkin dalam pucuk pimpinanan Umno.

1 comment:

insan kerdil said...

Sdr,

Langkah Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusannya menyerah kuasa kepada Mohd Najib Abdul Razak hanya sekadar meredakan keghairahan ahli-ahli UMNO untuk mengetepikannya pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Malah, beliau juga terdesak apabila dikatakan menggunakan majlis taklimat Presiden pada Khamis lepas untuk mengarahkan semua 191 ketua bahagian mencalonkannya untuk mengekalkan jawatan Presiden UMNO.

Apa yang beliau tidak sedar ialah ramai Ketua bahagian yang tidak menghadiri taklimat itu kerana mahu menyampai mesej kepada Abdullah bahawa parti tidak lama mahukan kepimpinannya (bukan seperti pemimpin kanan parti yang terlalu mengampu Abdullah seperti Muhammad Muhd Taib yang menyifatkan Abdullah `jujur' kerana mengumumkan penyerahan kuasa itu). Apa sangat yang jujur tentang perkara itu? Dr Mahathir Mohamad pun melakukan perkara yang sama...

Ramai juga yang sedar bahawa tempoh dua tahun ini mungkin digunakan oleh konco-konco Abdullah untuk menjatuhkan Mohd Najib dengan apa cara sekali pun untuk mengelaknya daripada dberi kuasa secara terhormat.

Ramai juga yang percaya Abdullah tidak mungkin mudah menyerahkan kuasanya dengan begitu mudah. Mohd Najib sendiri ada berkata demikian - " bukan mudah bagi Pak Lah untuk membuat keputusan menyerahkan kuasa kepada saya (lebih kurang begitulah katanya) - pada sidang media yang sama.

Pengumuman itu, bagi saya, tidak mungkin membawa perubahan positif sebaliknya terus menghancurkan UMNO dek kerana keengganan Abdullah melepaskan jawatannya secepat mungkin seperti yang dikehendaki ramai. Bagi Abdullah jawatan = kuasa = wang. Mana mungkin beliau melepaskannya dengan begitu mudah dan rela.
Beliau tidak peduli dengan apa yang ahli mahu, kerana apa yang penting anak, menantu dan kroninya terus mengumpul harta selagi beliau berada di puncak takhta.

Kita yang di bawah hanya mampu melihat dan mengkritik kerana tiada siapa termasuk Mohd Najib yang BERANI memaksa Abdullah turun daripada takhta. Hatta, Abdullah terus dilayari mimpi-mimpinya ...

-insan kerdil-