"Dasar kita selama ini semua kementerian kerajaan pusat dan kerajaan negeri dikehendaki menggunakan kereta nasional."
Itulah reaksi Timbalan Perdana Menteri tatkala disoal wartawan mengenai keputusan Menteri Besar Terengganu Ahmad Said (gambar) membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor berharga RM3.43 juta untuk beliau dan ahli exco dengan alasan Perdana V6 yang rata-rata digunakan oleh Menteri Kabinet seringkali "kotak gear rosak tidak sampai dua tahun" dan “kereta Mercedes walaupun mahal tetapi ia jimat dari segi penyelenggaraan tempoh jangka panjang”.
Lebih menakjubkan lagi bila tanpa sebarang rasa bersalah Ahmad berkata: "Ia tidak melibatkan royalti minyak. Bagaimana nak guna wang royalti minyak, kita masih belum menerimanya daripada kerajaan pusat."
Kadangkala, sukar untuk kita memahami bila seorang anak kampung, yang bapanya seorang petani dan penyadat kelapa, yang karier awalnya hanya sebagai penolong pegawai daerah, berubah citarasa pabila sudah berkuasa.
Mercedes menjadi kegemarannya, mahligai indah kini menjadi penginapannya.
Ahmad Said bukanlah keseorangan dalam menyimpan citarasa “bangsawan” selepas berkuasa.
Seorang bekas guru menukar gaya hidupnya selepas dilantik menjadi Menteri Besar – helikopter menjadi tunggangannya dan istana indah dibinanya hanya selepas empat tahun disinggahsana.
Rakan sejawatnya pula sanggup mengubah wajahnya agar lebih licin dahinya gara-gara ingin kelihatan lebih muda . Itulah lumrah orang politik, agaknya.
Ahmad Said pasti tidak tidur lena selepas kenyataan Najib hari ini. Yang pasti keputusan Kabinet Rabu ini tidak akan menyebelahi Ahmad. Malah reputasinya akan lebih tercemar dengan keputusan Jemaah Menteri nanti.
Apapun keputusan Rabu ini, imej BN dan Umno telah tercalar dek keangkuhan dan kebangsawanan Ahmad dan ahli-ahli Exconya.
Inilah akibat pabila kita lupa asal usul kita dan kita lupa bahawa yang meletakkan kita disingahsana adalah rakyat jelata.
Rujukan: Kabinet Bincang Kewajaran Pembelian Mercedes Oleh Kerajaan Terengganu - http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=347454
No comments:
Post a Comment