Showing posts with label mercedes. Show all posts
Showing posts with label mercedes. Show all posts

Friday, July 25, 2008

PROTON: KOS SELENGGARA PERDANA EXCO TERENGGANU HANYA RM542 SETAHUN!


“Purata kos selenggaraan bagi setiap unit Proton Perdana milik kerajaan negeri Terengganu yang dihantar ke Proton ialah RM542 setahun, berdasarkan rekod bagi 35 kereta yang diservis di pusat servis Proton yang berdaftar.

“Umumnya, biasanya perbatuan perjalanan sebuah kenderaan bagi penggunaan biasa ialah antara 20,000km hingga 30,000km setahun. Berdasarkan ini, kos purata selenggaraan bagi tempoh itu dianggarkan RM2,300 dan kos ini akan meningkat dengan penggunaan lebih kerap." katanya dalam kenyataan hari Jumaat."

Ini adalah kenyataan Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (gambar) petang ini.

Tidak perlulah Jelapang mengulas lanjut kenyataan Pak Tuan kita ini.

Laporan Bernama: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=348566

PERBELANJAAN BAIK PULIH PERDANA V6 EXCO TERENGGANU
(2004-2008) Sumber: Utusan Malaysia

Tan Chin Yaw - RM175,229.79
Ahmad Said - RM92,995.18
Mohamed Awang Tera - RM 52,965.68
Ahmad Razif Abdul Rahman - RM65,509.93
Abdul Rahin Mohd Said - RM76,296.54
Rozi Mamat - RM74,114.27
Ashaari Idris - RM42,355.36
Khazan Che Mat - RM 37,656.76
YDP Negeri - RM 64,530.62
Penasihat Undang-Undang - RM 36,331.78
Pegawai Kewangan Negeri - RM 36,234.59
SUK Terengganu (Datuk Mutahar) – RM47,864.86
Wan Mohd Wan Hassan - RM 27,886.16
Idris Jusoh - RM235,123.08
Wan Hisham Wan Salleh - RM 15,069.32
Mohd Jidin Shafee - RM 95,178.15
JUMLAH - RM1,175,342.07


PM ARAH EXCO TERENGGANU PAKAI PERDANA

Sementara itu, Perdana Menteri menjelaskan 14 Mercedes E200 Kompressor yang dibeli Kerajaan Terengganu akan digunakan sebagai kenderaan tetamu Kerajaan.

Laporan Bernama: Kabinet memutuskan Kerajaan Negeri Terengganu perlu menggunakan kereta Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi anggota Exconya manakala kereta Mercedes Benz yang sudah dibeli hanya untuk tetamu kerajaan negeri itu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jumaat.

"Semalam, saya dan Najib dalam perjumpaan dengan Menteri Besar Terengganu telah membincangkan perkara ini dan telahpun menyatakan bahawa adalah satu perkara yang penting yang sudahpun menjadi keputusan Jemaah Menteri iaitu pihak kerajaan Terengganu jangan menggunakan kereta Mercedes untuk Exco-Exco mereka" - PM.

Laporan penuh: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=348574

ISU MERCEDES SELESAI?

“Selesai ikut pandangan kami bertiga (Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak), jadi tidak perlu ulas lagi. Tengoklah perkembangan terbaru...buatlah tafsiran sendiri.” - Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu.

Mungkin pada tanggapan Ahmad isu tersebut sudah selesai. Percayalah, ia bukan semudah itu. Rata-rata rakyat dihimpit kesusahan dan keyakinan rakyat cukup nipis buat masa ini.

Ahmad perlu belajar dari kesilapan pemimpin-pemimpin Umno terdahulu. Kepercayaan rakyat adalah pokok kejayaan sesuatu parti.

Isu Mercedes mungkin dianggap picisan oleh Ahmad. Tetapi tanyalah rakyat. Jejaklah kaki ke bumi nyata dan analisalah kesan isu ini kepada Ahmad, ahli-ahli Exco Terengganu dan Umno Terengganu.

Imej kerajaan Negeri dan kepimpinan Umno pasti tercemar dek isu ini. Kesilapan hari ini akan membawa padah keesokan hari nya. Pada ketika itu, menyesal kemudian tidak berguna lagi.

Isu Mercedes selesai: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_19.htm

Thursday, July 24, 2008

KENAPA KERETA IDRIS JUSOH TINGGI KOSNYA?


RM131,596.66

Itulah jumlah yang digunakan untuk menyelenggarakan kereta Proton Perdana V6 yang di gunakan bekas Menteri Besar Terengganu Idris Jusoh (gambar) untuk tahun ini sahaja. Perlu diingat kita masih di bulan Julai 2008.

Harga pasaran bagi sebuah Perdana V6 ialah RM101,485.05. Yang pasti kos penyelenggaran kereta yang digunakan Idris melebihi kos pembelian sebuah kereta Perdana yang baru.

Hari ini BPR memulakan siasatan kes penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive Kerajaan Terengganu dengan mengambil dokumen-dokumen berkaitan untuk penelitian.

Enam pegawai BPR telah ke Wisma Darul Iman untuk mengambil dokumen berkenaan. BPR turut mengambil keterangan daripada empat pemandu exco hari ini berhubung perkara berkenaan, kata Utusan Malaysia.

Kita harap ada penjelasan kenapa penyelenggaraan kereta yang pernah digunakan bekas Menteri Besar itu begitu tinggi.

BPR SIASAT KES REPAIR PERDANA RM175,000


AKHIRNYA kes penyelenggaraan kereta Perdana V6 yang mencecah RM175,000 kini menjadi kes BPR. Menurut Utusan Malaysia hari ini:

Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini memulakan siasatan untuk mengesan kemungkinan berlaku penyelewengan dalam kos senggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu yang mencecah RM175,229.97 sebuah sepanjang empat tahun lalu. Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menyiasat kes itu kerana jumlah bayaran menyenggara kenderaan tersebut terlalu besar. Kita sudah hantar pegawai untuk siasat kes ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Laporan Utusan: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Sementara itu, menurut Utusan Kabinet tidak membenarkan kerajaan negeri Terengganu menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi baru Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan kerajaan negeri itu

"Menurut sumber, apabila isu pembelian 14 buah kereta Mercedes itu ditimbulkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Kabinet mahu kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengutamakan kereta nasional Proton Perdana V6 Executive sedia ada.
Kabinet menolak keputusan kerajaan negeri untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive dengan Mercedes E200 Kompressor. Kalau dibenarkan, Jemaah Menteri khuatir langkah kerajaan negeri Terengganu itu akan diikuti negeri-negeri lain. Wakil rakyat tidak boleh menonjol-nonjolkan kemewahan,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.


Laporan penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Wednesday, July 23, 2008

BPR PATUT SIASAT KERAJAAN TERENGGANU!

ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 23/07/2008
Kos senggara mahal Kerajaan Terengganu bayar RM175,229.97 servis sebuah Perdana V6
Oleh NOR AZIAH JAAFAR

KUALA TERENGGANU 22 Julai – Kos menyenggara Proton Perdana V6 Executive yang dibayar oleh kerajaan Terengganu pernah mencecah RM175,229.97 dan RM132,357.76 sebuah untuk tempoh empat tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Menteri Besar di sini hari ini, ia merupakan kos tertinggi yang terpaksa dibayar oleh kerajaan negeri untuk servis sebuah kereta model itu sejak tahun 2004 hingga sekarang.

Harga sebuah kereta Perdana V6 Executive dianggarkan dalam lingkungan RM130,000.
“Kerajaan Terengganu tidak mampu lagi membiayai kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive.

TERIMA kasih kepada pelawat ke blog Jelapang atas komen saudara. Menarik jika dilihat angka perbelanjaan untuk menyelenggara sebuah kereta Proton Perdana.

RM175,229.97 dan RM132,357.76 satu jumlah yang besar untuk penyelenggaraan sebuah kereta Perdana V6.

Munasabahkah jumlah tersebut? Seperti yang dinyatakan oleh seorang pelawat ke blog ini, kenapa kereta yang berusia empat tahun yang masih di bawah jaminan Proton tidak dihantar ke bengkel Proton untuk menukar gear boxnya secara percuma?

Mengikut kenyataan Proton hari ini, dalam rekodnya tidak sekali pun dalam tempoh empat tahun itu, kereta tersebut dihantar servis ke bengkelnya.

Jalan terbaik untuk persoalan ini hanyalah Biro Pencegah Rasuah. Kita harap BPR siasat bagaimana kos repair sebuah Perdana V6 boleh mencecah RM175,000.

ISU MERCEDES: EXCO TERENGGANU NAK BINCANG APA LAGI?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kartun&pg=sk_01.htm
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

MB TERENGGANU TEGAK BENANG BASAH!


Amat malang sekiranya seseorang pemimpin terutamanya Menteri Besar masih enggan memahami sentimen rakyat bila keputusannya dipertikaikan.

Semalam, pejabat Menteri Besar Terengganu terus menegakkan “benang yang basah” dalam isu pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang berjumlah RM3.43juta untuk kegunaan Menteri Besar Ahmad Said (gambar) dan ahli-ahli Exconya.

"Daripada segi ciri-ciri keselamatan, kerajaan negeri berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor. Ini adalah penting kerana pegawai-pegawai yang menggunakan kereta ini merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan dan keselamatan mereka adalah keutamaan."

“Kerajaan negeri tidak mampu membiayai lagi kos selenggaraan kenderaan berkenaan kerana sejak mula digunakan empat tahun lepas, ia telah melibatkan perbelanjaan yang tinggi bagi tujuan tersebut.

"Misalnya, kos penyelenggaraan dua kereta tersebut mencecah RM175,229.97 yang tertinggi dan RM132,357.76 dari 2004 sehingga hari ini."

Itulah antara kandungan kenyataan yang dikeluarkan pejabat Ahmad semalam. Kita mengharapkan Ahmad memaklumkan alasan yang sama kepada Perdana Menteri dan Timbalannya dan kita menanti reaksi Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak selepas mesyuarat kabinet esok.

Berbagai reaksi rakyat telah dipaparkan mengenai isu ini. Dalam keadaan ekonomi meleset ini, seharusnya Ahmad sebagai pemimpin yang dilantik rakyat dan ahli-ahli Exconya lebih memahami harapan rakyat.

Malangnya, Menteri Besar memilih untuk mempertahankan satu keputusan yang nyata tidak masuk akal dalam suasana ekonomi sekarang.

Jelapang siarkan sepucuk surat pembaca yang disiarkan Utusan Malaysia semalam untuk tatapan Menteri Besar Terengganu dan ahli-ahli Exconya sekiranya mereka belum membacanya.

Mengapa Mercedes?
SAYA merujuk kepada pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta untuk kegunaan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu.

Saya berpendapat keputusan kerajaan Negeri Terengganu dalam hal itu adalah keputusan yang tidak prihatin, kurang kebijaksanaan dan telah membelakangkan kepimpinan Perdana Menteri. Perdana Menteri di mana sahaja beliau pergi dan dalam majlis apa pun tidak putus-putus menasihatkan rakyat supaya berjimat cermat, bijak, berhemat berbelanja dan menyeru rakyat supaya bersabar serta membantu kerajaan dalam keadaan susah sekarang.

Kerajaan Malaysia juga menghadapi cabaran yang begitu besar dan berat untuk mentadbir ekonomi negara akibat daripada kenaikan harga minyak global dan kesan-kesan sampingan lain akibat daripada kenaikan harga bahan bakar tersebut.

Tiba-tiba kita dikejutkan dengan keputusan yang boleh dipertikaikan rasionalnya. Alasan-alasan yang diberikan oleh Menteri Besar seperti yang disiarkan oleh akhbar pada 21 Julai adalah alasan-alasan yang merendahkan pemikiran rasional rakyat dan menjatuhkan imej Malaysia sebagai negara pengeluar kereta Proton.

Atas alasan apa dan sebab apa sekalipun, keputusan kerajaan negeri Terengganu itu dilihat tidak tepat, tidak kena masa dan tidak memahami kepayahan dan keperitan hidup rakyat terbanyak pada masa sekarang.

Persoalannya, di manakah slogan contoh melalui teladan dan susah sama susah, senang sama senang yang dilaungkan selama ini?

BAHADOR OMAR, Alor Star.


mStar: http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_4ad5c98e-c0a85062-14c4ac90-73cbf655

Utusan Malaysia: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

Monday, July 21, 2008

MB TERENGGANU KEPANASAN!

“Saya guna kereta nasional dan Perdana Menteri pun gunakan kereta nasional." – Najib Razak.

"Dasar kita selama ini semua kementerian kerajaan pusat dan kerajaan negeri dikehendaki menggunakan kereta nasional."

Itulah reaksi Timbalan Perdana Menteri tatkala disoal wartawan mengenai keputusan Menteri Besar Terengganu Ahmad Said (gambar) membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor berharga RM3.43 juta untuk beliau dan ahli exco dengan alasan Perdana V6 yang rata-rata digunakan oleh Menteri Kabinet seringkali "kotak gear rosak tidak sampai dua tahun" dan “kereta Mercedes walaupun mahal tetapi ia jimat dari segi penyelenggaraan tempoh jangka panjang”.

Lebih menakjubkan lagi bila tanpa sebarang rasa bersalah Ahmad berkata: "Ia tidak melibatkan royalti minyak. Bagaimana nak guna wang royalti minyak, kita masih belum menerimanya daripada kerajaan pusat."

Kadangkala, sukar untuk kita memahami bila seorang anak kampung, yang bapanya seorang petani dan penyadat kelapa, yang karier awalnya hanya sebagai penolong pegawai daerah, berubah citarasa pabila sudah berkuasa.

Mercedes menjadi kegemarannya, mahligai indah kini menjadi penginapannya.

Ahmad Said bukanlah keseorangan dalam menyimpan citarasa “bangsawan” selepas berkuasa.

Seorang bekas guru menukar gaya hidupnya selepas dilantik menjadi Menteri Besar – helikopter menjadi tunggangannya dan istana indah dibinanya hanya selepas empat tahun disinggahsana.

Rakan sejawatnya pula sanggup mengubah wajahnya agar lebih licin dahinya gara-gara ingin kelihatan lebih muda . Itulah lumrah orang politik, agaknya.

Ahmad Said pasti tidak tidur lena selepas kenyataan Najib hari ini. Yang pasti keputusan Kabinet Rabu ini tidak akan menyebelahi Ahmad. Malah reputasinya akan lebih tercemar dengan keputusan Jemaah Menteri nanti.

Apapun keputusan Rabu ini, imej BN dan Umno telah tercalar dek keangkuhan dan kebangsawanan Ahmad dan ahli-ahli Exconya.

Inilah akibat pabila kita lupa asal usul kita dan kita lupa bahawa yang meletakkan kita disingahsana adalah rakyat jelata.
Rujukan: Kabinet Bincang Kewajaran Pembelian Mercedes Oleh Kerajaan Terengganu - http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=347454

Sunday, July 20, 2008

MERCEDES E200 UNTUK EXCO TERENGGANU

‘‘Setelah dibuat kajian, kerajaan negeri mendapati untuk tujuan jangka panjang, penggunaan kereta baru ini adalah lebih baik menggantikan Perdana V6 Executive yang digunakan sejak lebih empat tahun lepas.” - Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong.

Kelu lidah untuk berkata-kata pabila terbaca komen Mokhtar Nong mengenai alasan kenapa Kerajaan Negeri Terengganu menggantikan Perdana V6 dengan Mercedes E200 Kompressor untuk semua ahli Exco Negeri Terengganu.
Ketika rakyat merintih kos hidup meningkat, Kerajaan pimpinan Ahmad Said mengambil keputusan membelanjakan RM3.43 juta untuk membeli 14 buah Mercedes E200 Kompresor termasuk sebuah untuk Mokhtar kerana "‘Setelah dibuat kajian, kerajaan negeri mendapati untuk tujuan jangka panjang, penggunaan kereta baru ini adalah lebih baik menggantikan Perdana V6 Executive yang digunakan sejak lebih empat tahun lepas."
Tambah Mokhtar lagi: "pembelian itu ialah atas tujuan keselamatan dan penjimatan jangka panjang terutama dari segi penyelenggaraan.
"
Ingatkah kita bagaimana Nik Aziz Nik Mat mengambil alih kerajaan Kelantan dari BN pada tahun 1990? Kesemua ahli Exco Kelantan menggunakan kereta peninggalan Kerajaan BN. Malah Menteri-menteri Persekutuan hari ini kesemuanya menggunakan Perdana V6.
Adakah ini bermakna Kerajaan Persekutuan tidak menghiraukan keselamatan Menteri-Menteri Kabinet? Jelas sekali Ahmad Said dan kuncu-kuncunya menganggap Perdana V6 kurang selamat dan penyelenggaraannya lebih mahal dari Mercedes E200 Kompressor yang bernilai RM245,000 sebuah tanpa cukai.
Yang pasti, Ahmad dan ahli-ahli Exco tidak menghiraukan keresahan rakyat di kampung dan kota dengan kenaikan kos saraan pada ketika ini. Alasan keselamatan dan kos penyelenggaraan adalah alasan yang amat lemah untuk menghalalkan pembelian tersebut.
Apapun, semalam beberapa Ahli Exco termasuk Mokhtar (ex-officio) pasti selesa dengan kereta baru mereka dan tidak lagi perlu risau keselamatan mereka seperti sebelum ini ketika menggunakan Perdana V6.