Showing posts with label perdana. Show all posts
Showing posts with label perdana. Show all posts

Wednesday, July 23, 2008

BPR PATUT SIASAT KERAJAAN TERENGGANU!

ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 23/07/2008
Kos senggara mahal Kerajaan Terengganu bayar RM175,229.97 servis sebuah Perdana V6
Oleh NOR AZIAH JAAFAR

KUALA TERENGGANU 22 Julai – Kos menyenggara Proton Perdana V6 Executive yang dibayar oleh kerajaan Terengganu pernah mencecah RM175,229.97 dan RM132,357.76 sebuah untuk tempoh empat tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Menteri Besar di sini hari ini, ia merupakan kos tertinggi yang terpaksa dibayar oleh kerajaan negeri untuk servis sebuah kereta model itu sejak tahun 2004 hingga sekarang.

Harga sebuah kereta Perdana V6 Executive dianggarkan dalam lingkungan RM130,000.
“Kerajaan Terengganu tidak mampu lagi membiayai kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive.

TERIMA kasih kepada pelawat ke blog Jelapang atas komen saudara. Menarik jika dilihat angka perbelanjaan untuk menyelenggara sebuah kereta Proton Perdana.

RM175,229.97 dan RM132,357.76 satu jumlah yang besar untuk penyelenggaraan sebuah kereta Perdana V6.

Munasabahkah jumlah tersebut? Seperti yang dinyatakan oleh seorang pelawat ke blog ini, kenapa kereta yang berusia empat tahun yang masih di bawah jaminan Proton tidak dihantar ke bengkel Proton untuk menukar gear boxnya secara percuma?

Mengikut kenyataan Proton hari ini, dalam rekodnya tidak sekali pun dalam tempoh empat tahun itu, kereta tersebut dihantar servis ke bengkelnya.

Jalan terbaik untuk persoalan ini hanyalah Biro Pencegah Rasuah. Kita harap BPR siasat bagaimana kos repair sebuah Perdana V6 boleh mencecah RM175,000.

Sunday, July 20, 2008

MENTERI BESAR TERENGGANU: GEAR PERDANA ROSAK TAK SAMPAI DUA TAHUN

"Bukannya kita nak kata kereta keluaran nasional tidak baik, tetapi hakikatnya kereta itu tidak sampai dua tahun terpaksa diselenggara kerana beberapa komponen kereta seperti kotak gear rosak. Contohnya kereta yang dinaiki Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar, Toh Chin Yaw sudah dua kali diselenggara yang melibatkan kos sehingga RM50,000. Tetapi kalau kereta Mercedes walaupun mahal tetapi ia jimat dari segi penyelenggaraan tempoh jangka panjang." - Menteri Besar Terengganu Ahmad Said.

APA KATA PROTON? Kenyataan ini dibuat oleh seorang Menteri Besar. Intipati kenyataan Ahmad:

1) Kotak gear Proton Perdana rosak tidak sampai dua tahun. 2) Kos membaikinya sehingga RM50,000.

Kesimpulannya, itulah sebab musabab mengapa Ahmad dan Ahli-ahli Exconya mengambil keputusan membeli Mercedes E200 Kompressor dengan harga RM245,000 sebuah menggantikan Perdana V6 yang berharga RM101,485.05 yang digunakan kebanyakan Menteri Kabinet selain Proton Chancellor. Oleh itu kita nak dengar apa kata pengurusan Proton.

Itulah kuasa yang ada pada seorang Menteri Besar. Meluluskan apa saja yang padanya adalah yang terbaik dengan alasan "kotak gear rosak tidak sampai dua tahun". Ahmad juga menyatakan Kerajaan Negeri tidak menggunakan wang royalti minyak untuk membelinya.

"Ia tidak melibatkan royalti minyak. Bagaimana nak guna wang royalti minyak, kita masih belum menerimanya daripada kerajaan pusat."

Dengan kata lain, RM3.43 juta yang digunakan membeli 14 Mercedes E200 tersebut menggunakan wang Kerajaan Negeri.

http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_405af44f-c0a85062-14c4ac90-4ae39358

MERCEDES E200 UNTUK EXCO TERENGGANU

‘‘Setelah dibuat kajian, kerajaan negeri mendapati untuk tujuan jangka panjang, penggunaan kereta baru ini adalah lebih baik menggantikan Perdana V6 Executive yang digunakan sejak lebih empat tahun lepas.” - Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong.

Kelu lidah untuk berkata-kata pabila terbaca komen Mokhtar Nong mengenai alasan kenapa Kerajaan Negeri Terengganu menggantikan Perdana V6 dengan Mercedes E200 Kompressor untuk semua ahli Exco Negeri Terengganu.
Ketika rakyat merintih kos hidup meningkat, Kerajaan pimpinan Ahmad Said mengambil keputusan membelanjakan RM3.43 juta untuk membeli 14 buah Mercedes E200 Kompresor termasuk sebuah untuk Mokhtar kerana "‘Setelah dibuat kajian, kerajaan negeri mendapati untuk tujuan jangka panjang, penggunaan kereta baru ini adalah lebih baik menggantikan Perdana V6 Executive yang digunakan sejak lebih empat tahun lepas."
Tambah Mokhtar lagi: "pembelian itu ialah atas tujuan keselamatan dan penjimatan jangka panjang terutama dari segi penyelenggaraan.
"
Ingatkah kita bagaimana Nik Aziz Nik Mat mengambil alih kerajaan Kelantan dari BN pada tahun 1990? Kesemua ahli Exco Kelantan menggunakan kereta peninggalan Kerajaan BN. Malah Menteri-menteri Persekutuan hari ini kesemuanya menggunakan Perdana V6.
Adakah ini bermakna Kerajaan Persekutuan tidak menghiraukan keselamatan Menteri-Menteri Kabinet? Jelas sekali Ahmad Said dan kuncu-kuncunya menganggap Perdana V6 kurang selamat dan penyelenggaraannya lebih mahal dari Mercedes E200 Kompressor yang bernilai RM245,000 sebuah tanpa cukai.
Yang pasti, Ahmad dan ahli-ahli Exco tidak menghiraukan keresahan rakyat di kampung dan kota dengan kenaikan kos saraan pada ketika ini. Alasan keselamatan dan kos penyelenggaraan adalah alasan yang amat lemah untuk menghalalkan pembelian tersebut.
Apapun, semalam beberapa Ahli Exco termasuk Mokhtar (ex-officio) pasti selesa dengan kereta baru mereka dan tidak lagi perlu risau keselamatan mereka seperti sebelum ini ketika menggunakan Perdana V6.

Sunday, July 6, 2008

TUMPAS DEK PERANGKAP ANWAR?

MEMUALKAN: Itu lah lebih kurang tajuk muka depan akhbar The Star hari ini.

Akhbar tersebut menyiarkan komen blogger Ahiruddin Atan (Rocky’s Bru), Marina Mahathir, presiden Transparency International Ramon Navaratnam, presiden MTUC Syed Sahir Syed Mohamud dan lain-lain yang melahirkan rasa resah dengan suasana politik negara.

Lebih meresahkan mereka ialah isu kesusahan rakyat bukan lagi menjadi topik utama tatapan akhbar .

“Saya bosan. Banyak perkara yang lebih penting dalam hidup yang perlu diambil kira seperti bagaimana seseorang mencari sesuap nasi untuk keluarganya.” Itulah antara catatan Marina dalam blognya “rantingsbymm”.

Ahiruddin menulis:“ Saya akan berhenti mem”blog” isu Anwar dan Altantuya kerana banyak isu lain yang perlu dibicarakan.”
Malah ketua pengarang The Star, Wong Chun Wai, menggunakan ayat ‘Fed up with political drama” (bosan dengan drama politik) sebagai tajuk kepada ruangan beliau “On the Beat” hari ini.

Kenapa tiba-tiba akhbar The Star merubah pendiriannya dalam isu Anwar Ibrahim? Kenapa tiba-tiba isu Anwar membosankan?

Rabu lalu The Star memuatkan tujuh mukasurat, bukan satu, untuk isu Anwar semata-mata. Hari ini ketua pengarangnya “bosan dengan drama politik”.

Untuk berlaku adil kepada Wong, alasan beliau kelihatan munasabah. Wong menulis (terjemahan):

“Isu sebenar telah dipinggirkan, malah tidak lagi dihiraukan, oleh mereka yang rakus merampas kuasa dan mereka yang bertungkus lumus untuk kekal berkuasa. Pelabur tidak lagi melihat Malaysia sebuah negara yang stabil politiknya.

“Persepsi dunia ialah Kerajaan kita akan tumbang bila-bila masa sehingga tarikh keramat Sept 16, tarikh di mana Anwar berjanji beliau akan ditabalkan sebagai Perdana Menteri. Suasana politik yang ketidaktentuan ini tidak membantu menarik pelabur ke Malaysia.

“Kekuatan kita di Asia terletak pada kestabilan ekonomi dan politik tetapi ianya kini tercabar dan keyakinan pelabur kini terhakis.

“Sektor perniagaan kini merana. Hentikanlah drama politik ini. Tuduhan-tuduhan ini mungkin menarik untuk pembaca dan melariskan jualan akhbar tetapi rata-rata rakyat Malaysia bosan dengan ahli politik kita. Pilihanraya umum telah berlalu. Ahli-ahli politik perlu memberi perhatian kepada pengurusan negara dan negeri masing-masing.

“Pakatan Rakyat perlu membuktikan mereka mampu menerajui kelima negeri yang ditaklukinya dari BN and berentap semula dengan BN dalam pusingan yang akan datang.

“Kerajaan Persekutuan perlu membina semula keyakinan rakyat and buktikan ia mampu mengemudikan mereka keluar dari kegawatan ini kesan dari kenaikan harga minyak. Sektor perniagaan telah menguncup dan jumlah pekerjaan seluruh dunia merosot.

“Syarikat-syarikat penerbangan di ambang bankrup, pasaran saham merudum dan perkara terakhir yang kita perlukan ialah perbalahan politik yang akan mengheret kita ke lembah yang lebih membimbangkan.

“Sidang akhbar diadakan setiap hari bukan untuk bercakap mengenai usaha membanteras inflasi, menyelamatkan pekerjaan dan menyediakan makanan di atas meja tetapi hanya untuk bercakap mengenai “liwat dan liwat”.

“Pak Lah perlu menunjukkan kepimpinan yang tegas. Tidak hanya cukup dengan menunjukkan sikap seorang yang baik.

“Beliau adalah seorang Perdana Menteri dan dia perlu menyedari apa yang sekarang menyusahkan rakyat, tunjukkan beliau seorang “boss” dan gunakan segala sumber di bawah bidang kuasanya untuk memperkenalkan pembaharuan dalam bidang kehakiman, perkhidmatan awam, polis dan sektor-sektor lain.

“Apa yang dilakukan sekarang tidak mencukupi. Gunakan rotan, jika perlu, untuk menghentikan kebobrokan ini.”

Jelas sekali akhbar The Star hari ini mempunyai pendirian yang berlainan dari hari-hari sebelum ini. Pokoknya kenapa?

Antara teori yang dibincangkan di warung-warung kopi ialah bagaimana Kerajaan, akhbar dan ahli-ahli politik kerajaan telah termasuk perangkap Anwar.

Imej kepimpinan tercemar, pasaran saham merudum dan seperti yang dinyatakan Wong, keyakinan pelabur hilang dan keyakinan rakyat yang terhimpit dengan suasana ekonomi sekarang ini semakin menipis.

Kekecewaan jelas di kalangan tuan-tuan punya syarikat besar yang tersenarai di BSKL yang saban hari kerugian berjuta-juta ringgit akibat pasaran saham merudum dan puncanya bukan kerana kelemahan pengurusan syarikatnya, tetapi disebabkan oleh ketidakstabilan politik negara.

Kritikan Ronnie Liu seperi yang dilaporkan Malaysiakini jelas bagaimana pembangkang mengambil kesempatan dari kegawatan politik dan ekonomi sekarang ini.

Liu dipetik Malaysiakini sebagai berkata: ""Saya tidak menganggap Kerajaan BN bodoh tetapi saya ingin menyatakan mereka tidak pandai mengurus ekonomi dan negara."

Jika andaian ini tepat, maka tidak salahlah tangapan sesetengah pihak bahawa isu Anwar adalah rekaan beliau semata-mata untuk terus mengikis keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Anwar yang akan meraih simpati dan faedah dari kegawatan politik sekarang.

Samada Anwar berjaya atau gagal, masa akan menentukan. Tetapi ke manakah arah tuju negara kita? Wong jelas bimbang dengan imej kepimpinan negara sehingga beliau berani menegur Perdana Menteri dan mendesak beliau menggunakan “rotan” untuk menghentikan kebobrokan ini.

Apa yang jelas rakyat yang terhimpit perlukan pembelaan segera sebelum apa yang dibina selama ini musnah buat selama-lamanya.

Rujukan:
http://www.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/7/6/focus/21752272&sec=focus
http://rantingsbymm.blogspot.com/2008/07/i-think-ill-just-go-on-strike.html
http://rockybru.blogspot.com/2008/07/malaysian-bloggers-on-strike.html
http://www.malaysiakini.com/news/85655