MEMUALKAN: Itu lah lebih kurang tajuk muka depan akhbar The Star hari ini.
Akhbar tersebut menyiarkan komen blogger Ahiruddin Atan (Rocky’s Bru), Marina Mahathir, presiden Transparency International Ramon Navaratnam, presiden MTUC Syed Sahir Syed Mohamud dan lain-lain yang melahirkan rasa resah dengan suasana politik negara.
Lebih meresahkan mereka ialah isu kesusahan rakyat bukan lagi menjadi topik utama tatapan akhbar .
“Saya bosan. Banyak perkara yang lebih penting dalam hidup yang perlu diambil kira seperti bagaimana seseorang mencari sesuap nasi untuk keluarganya.” Itulah antara catatan Marina dalam blognya “rantingsbymm”.
Ahiruddin menulis:“ Saya akan berhenti mem”blog” isu Anwar dan Altantuya kerana banyak isu lain yang perlu dibicarakan.”
Malah ketua pengarang The Star, Wong Chun Wai, menggunakan ayat ‘Fed up with political drama” (bosan dengan drama politik) sebagai tajuk kepada ruangan beliau “On the Beat” hari ini.
Kenapa tiba-tiba akhbar The Star merubah pendiriannya dalam isu Anwar Ibrahim? Kenapa tiba-tiba isu Anwar membosankan?
Rabu lalu The Star memuatkan tujuh mukasurat, bukan satu, untuk isu Anwar semata-mata. Hari ini ketua pengarangnya “bosan dengan drama politik”.
Untuk berlaku adil kepada Wong, alasan beliau kelihatan munasabah. Wong menulis (terjemahan):
“Isu sebenar telah dipinggirkan, malah tidak lagi dihiraukan, oleh mereka yang rakus merampas kuasa dan mereka yang bertungkus lumus untuk kekal berkuasa. Pelabur tidak lagi melihat Malaysia sebuah negara yang stabil politiknya.
“Persepsi dunia ialah Kerajaan kita akan tumbang bila-bila masa sehingga tarikh keramat Sept 16, tarikh di mana Anwar berjanji beliau akan ditabalkan sebagai Perdana Menteri. Suasana politik yang ketidaktentuan ini tidak membantu menarik pelabur ke Malaysia.
“Kekuatan kita di Asia terletak pada kestabilan ekonomi dan politik tetapi ianya kini tercabar dan keyakinan pelabur kini terhakis.
“Sektor perniagaan kini merana. Hentikanlah drama politik ini. Tuduhan-tuduhan ini mungkin menarik untuk pembaca dan melariskan jualan akhbar tetapi rata-rata rakyat Malaysia bosan dengan ahli politik kita. Pilihanraya umum telah berlalu. Ahli-ahli politik perlu memberi perhatian kepada pengurusan negara dan negeri masing-masing.
“Pakatan Rakyat perlu membuktikan mereka mampu menerajui kelima negeri yang ditaklukinya dari BN and berentap semula dengan BN dalam pusingan yang akan datang.
“Kerajaan Persekutuan perlu membina semula keyakinan rakyat and buktikan ia mampu mengemudikan mereka keluar dari kegawatan ini kesan dari kenaikan harga minyak. Sektor perniagaan telah menguncup dan jumlah pekerjaan seluruh dunia merosot.
“Syarikat-syarikat penerbangan di ambang bankrup, pasaran saham merudum dan perkara terakhir yang kita perlukan ialah perbalahan politik yang akan mengheret kita ke lembah yang lebih membimbangkan.
“Sidang akhbar diadakan setiap hari bukan untuk bercakap mengenai usaha membanteras inflasi, menyelamatkan pekerjaan dan menyediakan makanan di atas meja tetapi hanya untuk bercakap mengenai “liwat dan liwat”.
“Pak Lah perlu menunjukkan kepimpinan yang tegas. Tidak hanya cukup dengan menunjukkan sikap seorang yang baik.
“Beliau adalah seorang Perdana Menteri dan dia perlu menyedari apa yang sekarang menyusahkan rakyat, tunjukkan beliau seorang “boss” dan gunakan segala sumber di bawah bidang kuasanya untuk memperkenalkan pembaharuan dalam bidang kehakiman, perkhidmatan awam, polis dan sektor-sektor lain.
“Apa yang dilakukan sekarang tidak mencukupi. Gunakan rotan, jika perlu, untuk menghentikan kebobrokan ini.”
Jelas sekali akhbar The Star hari ini mempunyai pendirian yang berlainan dari hari-hari sebelum ini. Pokoknya kenapa?
Antara teori yang dibincangkan di warung-warung kopi ialah bagaimana Kerajaan, akhbar dan ahli-ahli politik kerajaan telah termasuk perangkap Anwar.
Imej kepimpinan tercemar, pasaran saham merudum dan seperti yang dinyatakan Wong, keyakinan pelabur hilang dan keyakinan rakyat yang terhimpit dengan suasana ekonomi sekarang ini semakin menipis.
Kekecewaan jelas di kalangan tuan-tuan punya syarikat besar yang tersenarai di BSKL yang saban hari kerugian berjuta-juta ringgit akibat pasaran saham merudum dan puncanya bukan kerana kelemahan pengurusan syarikatnya, tetapi disebabkan oleh ketidakstabilan politik negara.
Kritikan Ronnie Liu seperi yang dilaporkan Malaysiakini jelas bagaimana pembangkang mengambil kesempatan dari kegawatan politik dan ekonomi sekarang ini.
Liu dipetik Malaysiakini sebagai berkata: ""Saya tidak menganggap Kerajaan BN bodoh tetapi saya ingin menyatakan mereka tidak pandai mengurus ekonomi dan negara."
Jika andaian ini tepat, maka tidak salahlah tangapan sesetengah pihak bahawa isu Anwar adalah rekaan beliau semata-mata untuk terus mengikis keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Anwar yang akan meraih simpati dan faedah dari kegawatan politik sekarang.
Samada Anwar berjaya atau gagal, masa akan menentukan. Tetapi ke manakah arah tuju negara kita? Wong jelas bimbang dengan imej kepimpinan negara sehingga beliau berani menegur Perdana Menteri dan mendesak beliau menggunakan “rotan” untuk menghentikan kebobrokan ini.
Apa yang jelas rakyat yang terhimpit perlukan pembelaan segera sebelum apa yang dibina selama ini musnah buat selama-lamanya.
Rujukan:
http://www.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/7/6/focus/21752272&sec=focushttp://rantingsbymm.blogspot.com/2008/07/i-think-ill-just-go-on-strike.htmlhttp://rockybru.blogspot.com/2008/07/malaysian-bloggers-on-strike.htmlhttp://www.malaysiakini.com/news/85655