Tuesday, September 16, 2008

PAS TENTUKAN SIAPA BENTUK KERAJAAN, BUKAN ANWAR!

KETIKA heboh Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan semalam yang akhirnya tidak kesampaian, ramai tidak menyedari bahawa "king maker" sebenar yang akan menentukan samada Pakatan Rakyat dapat merampas kuasa dari Barisan Nasional ialah Partai Islam Se-Malaysia atau PAS.

Mungkin ramai juga tidak menyedari bahawa ketika parti-parti politik seperti Umno, Gerakan, MCA, DAP dan Keadilan sedang atau telah mengubah ideologi politik masing-masing kepada politik universal, hanya PAS yang kekal dengan perjuangan asalnya iaitu -Islam.

Maka tidak hairanlah sekiranya Abdul Hadi Awang (gambar), Presiden Pas, semalam membuat satu kenyataan yang agak tegas bahawa tiada kompromi dalam perjuangan parti itu.

''Janganlah hendak jadi Mat Jenin. Jika kerajaan baru tidak berteraskan Islam, Pas tidak akan berkompromi. 'Tidak kiralah sama ada Anwar atau UMNO yang akan menjadi Perdana Menteri. Ini adalah pendirian saya sebagai Presiden Pas." - Utusan Malaysia (16/9/08)

Itulah kata-kata Hadi pabila membicarakan ura-ura Anwar akan menubuhkan kerajaan baru semalam. Kenyataan Hadi jelas. Pas tidak akan berkompromi jika kerajaan baru tidak didirikan atas teras Islam.

Suka atau tidak, sekiranya Pakatan Rakyat mahu menubuhkan kerajaan, perjuangan Pas perlu menjadi keutamaan.

Pas konsisten dalam asas perjuangannya. Sejak zaman Burhanuddin Helmi hingga ke hari ini, hanya Islam menjadi asas perjuangan parti Pas.

Mampukah Pakatan Rakyat yang juga dianggotai parti kaum Cina, DAP, menerima konsep kerajaan Islam Pas?

Rasanya mustahil. Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Pas tidak penting, yang penting ialah Islam.

Pas, bagi Nik Aziz, boleh dibubarkan sekiranya parti lain mampu membina negara berlandaskan Islam yang diperjuangkan Pas.

Mengambil kira suasana politik hari ini, Pas kini parti penentu samada Umno terus berkuasa atau Pakatan Rakyat yang akan mengambil alih kuasa.

Sejarah hubungan Pas-Umno penuh polemik. Hubungan kedua-dua parti renggang kerana sebelum ini Umno agak angkuh kerana pada pandangannya ia tidak memerlukan Pas dan Pas dijadikan musuh politik nombor satu Barisan Nasional.

Kini suasana telah berubah. Tuturkata and lenggok parti komponen Barisan seperti Gerakan dan MCA kini memberi keinsafan kepada Umno bahawa harapannya untuk terus berkuasa mungkin terletak di tangan Pas.

Tidak menghairankan sekiranya Umno sanggup menghulur tangan dan memohon maaf secara terbuka kepada Pas atas tingkah laku dan dosanya sejak zaman Burhanuddin Helmi sekiranya masa depan orang Melayu dan Islam terancam.

Sekiranya itu berlaku, konsep Islam Pas mungkin menjadi asas baru perjuangan Umno dan lanskap politik negara pastinya memasuki era baru.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_06.htm

No comments: