Friday, September 19, 2008

MUHAMMAD TAIB TUKAR CITARASA?

8 JULAI 2008: KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan Umno Selangor yang bermesyuarat di ShahAlam, malam kelmarin sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno pada pemilihan parti itu, Disember ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, dalam kenyataan yang dikeluarkan di bangunan Parlimen, semalam berkata,Umno Selangor juga sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Timbalan Presiden Umno.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno Selangor yang dihadiri ketua bahagian Umno dari negeri ini.

Itulah laporan sebuah akhbar pada 9 Julai 2008. Ketika itu Muhammad baru sahaja dilantik Menteri dan Pengerusi Perhubungan Selangor menggantikan Khir Toyo oleh Abdullah Ahmad Badawi dan beliau merasakan KETIKA ITU perlu membalas jasa Perdana Menteri.

Maka walaupun kebanyakan ketua-ketua bahagian Selangor pada ketika itu terang-terangan menentang cadangan Muhammad untuk mencalonkan Abdullah, beliau membuat kenyataan akhbar kononnya kesemua bahagian sebulat suara mencalonkan Abdullah sebagai Presiden dan Najib Razak Timbalan Presiden .

Kapt (B) Zahar Hashim, ketua bahagian Petaling Jaya Selatan, pada malam itu menentang hasrat Muhammad untuk mengumumkan bahagian kesemua bahagian di Selangor mencalonkan Abdullah kerana ia adalah hak bahagian dan ahli-ahli Umno untuk menentukan siapa calon pilihan presiden mereka.

Pagi tadi, difahamkan Perhubungan Umno Selangor bersidang lagi. Kali ini untuk membincangkan apa yang berlaku semasa mesyuarat Majlis Tertingi Umno kelmarin.

Kali ini tidak ada lagi desakan dari Muhammad terhadap bahagian-bahagian untuk mencalonkan Abdullah sebagai presiden. Sebaliknya Muhammad meminta ketua-ketua bahagian memberi pendapat mengenai kepimpinan Abdullah.

Difahamkan 90 peratus yang menghadiri mesyuarat perhubungan Selangor pagi tadi mendesak Abdullah meletakkan jawatan.

Kenapa Muhammad berubah angin? Kenapa Muhammad pagi tadi tidak meyakinkan ketua-ketua bahagian ini supaya menyokong Pak Lah? Muhammad jelas orang Abdullah. Dilantik Menteri oleh Pak Lah. Di lantik Pengerusi Perhubungan oleh Pak Lah. Kenapa tiba-tiba Muhammad berlembut dengan bahagian-bahagian di Selangor?

Sebenarnya inilah resmi orang politik. Percayalah, beberapa hari lagi Pak Lah akan keseorangan seperti mana yang dirasai Dr Mahathir Mohamad selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Muhammad adalah antara mereka-mereka yang dahulunya orang Pak Lah tetapi kini membuat kenyataan-kenyataan dan tingkah laku yang nampaknya seolah-olah akan meminggirkan orang yang mereka sanjung selama ini.

Ada ahli politik Umno yang dahulunya menyokong Pak Lah, kini bertukar angin menyokong Najib. Dan kita yakin ada di kalangan Menteri yang kononnya penyokong kuat Pak Lah dan menentang Najib kini sedang memerah otak mencari jalan bagaimana hendak menyakinkan Najib bahawa mereka juga sebenarnya sayangkan Najib.

Itulah lumrah Umno. Ketika berkuasa, pemimpin disanjung. Bila tidak lagi berkuasa, mereka dicemuh.

Sama-samalah kita tunggu wayang kulit Umno ini. Kita perhatikan apakah tindakan Muhammad selanjutnya, begitu juga tingkah laku Ismail Sabri yang mengeji Dr Mahathir semasa bertemu pemimpin belia Kedah di Sungai Petani tidak lama dahulu, Shabery Cheek, Khaled Nordin dan Nazri Aziz yang satu ketika dulu melempar keji-kejian terhadap Dr Mahathir.

Sama-sama lah kita tunggu.

No comments: