Saturday, September 27, 2008

ZAHID HAMIDI AKAN CABAR MUHYIDDIN UNTUK JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN!

Apapun keputusan Abdullah Ahmad Badawi sebelum 9 Oktober nanti, tempoh beliau sebagai Perdana Menteri akan berakhir. Penyokong-penyokong Pak Lah masih menaruh harapan agar Perdana Menteri bertanding mengekalkan jawatan walaupun dengan hanya berbekal 58 pencalonan.

Masalahnya penyokong-penyokong Pak Lah ini terdiri dari mereka-mereka yang cetek ilmu politik. Politik orang Umno tidak sama dengan politik White House.

Dalam Umno, pemimpin lemah dipinggirkan. Tanyalah Tengku Razaleigh Hamzah. Pada 2004, Ku Li mengumumkan bertanding jawatan Presiden. Ketika itu pengaruh Ku Li hanya sebesar tapak tangan. Hanya segelintir ketua-ketua bahagian Umno sanggup menyatakan sokongan kepada Ku Li.

Akhirnya, Ku Lu hanya mendapat satu sahaja pencalonan untuk jawatan Presiden. Itu pun datangnya dari bahagian beliau sendiri - Gua Musang. 190 bahagian lain mencalonkan Abdullah.

Percayalah, Abdullah akan menghadapi nasib dan hukuman yang sama dari akar umbi Umno. Kesetiaan bukan budaya Umno. Apakah budaya Umno? Wang dan kuasa.

Abdullah bakal menjadi mantan Perdana Menteri sementara Najib Razak, bakal Perdana Menteri. Kuasa dan wang akan ada pada Najib. Bagi ketua-ketua bahagian, sokongan mereka kepada Najib mungkin boleh mendatangkan hasil. Harapan mereka, sokongan ini akan dibayar kembali dalam bentuk projek.

Kesimpulannya, harapan Abdullah, sekiranya membuat keputusan untuk bertanding sekalipun, untuk kekal berkuasa tipis. Silap hari, tidak cukup pencalonan untuk mempertahankan jawatan.

Tetapi adakah Abdullah dan penyokong-penyokongnya akan berdiam diri? Pastinya tidak. Penyokong-penyokong Abdullah berpendapat Muhyiddin Yassin adalah punca Abdullah akan dicabut nyawa politiknya.

Kini tiba masanya untuk membalas dendam. Muhyiddin bercita-cita untuk menjadi Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri. Jalan buat beliau akan dipenuhi duri yang akan ditabur oleh penyokong-penyokong Pak Lah.

Siapa yang akan mencabar Muhyiddin? Desas-desus mengatakan beliau ialah Zahid Hamidi (gambar), bekas setiausaha politik Najib, bekas penyokong kuat Anwar Ibrahim, bekas Ketua Pemuda Umno semasa Anwar mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini berjawatan Menteri.

Zahid merupakan orang pertama memberikan tepukan kepada Abdullah semasa mesyuarat Majlis Tertinggi sejurus selepas pilihanraya walaupun BN tumbang di 5 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Zahid bakal memberi tentangan hebat kepada Muhyiddin dan kepada penyokong-penyokong Pak Lah, inilah masanya untuk memenuhi dendam mereka kepada Muhyiddin.

Zahid bukan calang-calang orangnya. Beliau mengetuai bala tentera Anwar pada 1998 dan hampir-hampir menjatuhkan Dr Mahathir sekiranya Anwar tidak dipenjarakan.

Zahid lah orangnya yang membangkitkan isu kronisme dan nepotisme ketika itu. Dalam laporan akhbar pada Jun, 1999, Zahid mengaku disuruh oleh Anwar untuk membangkitkan isu tersebut pada Perhimpunan Agung Umno 1998 dan memohon maaf secara terbuka kepada Dr Mahathir.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu juga mengakui Anwar memberinya peluang perniagaan termasuk dalam pemilikan beberapa saham yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Katanya pada ketika itu: "Saya mengakui Anwar telah meminta saya untuk membangkitkan isu nepotisme dan kronisme serta ketidaktelusan amalan dalam pengagihan saham dan kontrak kerajaan ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan."

Kesan dari isu yang dibangkit oleh Zahid yang ketika itu memegang jawatan Ketua Pemuda Umno menyebabkan Dr Mahathir terpaksa mengeluarkan senarai pemimpin Umno yang mempunyai kepentingan perniagaan.

Di dalam senarai tersebut, ramai kroni Anwar didapati hidup mewah. Dr Mahathir turut mendedahkan seorang kroni Anwar memiliki wang tunai berjumlah RM230juta ketika itu.

Semasa satu sidang akhbar, Dr Mahathir berkata: "Kroni Anwar yang memiliki wang RM230 juta itu adalah bekas pemimpin Umno yang terbabit dalam percubaan menggulingkannya sebagai Perdana Menteri ketika Perhimpunan Agung Umno, tahun lalu."

Lawan Muhyiddin adalah seorang yang cukup hebat. Menjelang Mac tahun depan, belum tentu Muhyiddin akan menyandang jawatan Timbalan Presiden. Silap haribulan Zahid menjawat jawatan tersebut. Itupun kalau betul desas-desus mengatakan penyokong-penyokong Pak Lah mahukan Zahid sebagai calon mereka untuk jawatan tersebut.

No comments: