Tuesday, September 9, 2008

ORANG MELAYU TIADA MASALAH DENGAN UMNO, IBRAHIM!

"Sekarang BN mempunyai 140 kerusi di Parlimen, Ahli Parlimen Islam seramai 89 orang dan bukan Islam 51 orang. Pakatan Rakyat (PR) pula mempunyai 82 kerusi dengan 43 Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam 39 orang.

"Katakanlah 30 Ahli Parlimen BN melompat dan kesemua bukan Islam, maka kerusi Ahli Parlimen Islam PR masih sama tetapi jumlah bukan Islam akan meningkat kepada 69 orang.

"Jika inilah yang dikatakan kerajaan PR yang dikehendaki, maka dia akan memusnahkan Islam dan Melayu, apa pun ia hanya impian kosong pakatan pembangkang ini."
- Ibrahim Ali dalam komen beliau mengenai cadangan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan menjelang 16 September.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

Ini dilema orang Melayu. Nak sokong Pakatan atau kekal seperti sediakala.

Sekiranya menyokong Pakatan, maka orang Melayu dituduh memusnahkan Islam dan Melayu. Ramai orang Melayu berkongsi kebimbangan Ibrahim.

Bagaimanapun, Ibrahim perlu memberi jawapan kepada persoalan pokok kenapa rakyat dan orang Melayu jauh hati dengan Umno sekarang?

Ibrahim pernah menjadi ahli Umno. Pernah juga menjadi bekas Timbalan Menteri. Sudah pasti beliau arif dengan kelakuan pemimpin Umno.

Keputusan pilihanraya yang lepas adalah protes rakyat terhadap kesombongan dan ketidakjujuran pemimpin. Orang Melayu tidak ada masalah dengan Umno sekiranya pemimpinnya bersih dan jujur dalam memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu.

Kemarahan orang Melayu membuak-buak pabila pemimpin meraih kemewahan dan kesenangan atas nama ketuanan Melayu sementara rakyat diminta mengikat perut.

Orang Melayu boleh memaafkan Umno tetapi mahukah Umno berubah? Sehingga hari ini tiada tanda-tanda kearah itu.

Ibrahim perlu ingat bahawa kredibiliti Umno pada ketika ini berada di tahap paling rendah. Kenyataan Islam dan Melayu akan musnah sekiranya Pakatan memerintah tidak mudah "dijual" kepada orang Melayu hari ini.

Hanya kesungguhan pemimpin Umno membersihkan diri dapat menyakinkan rakyat bahawa Umno akan berubah.

Zaman sudah berubah. Rakyat sudah berubah. Orang politik seperti Ibrahim juga perlu berubah. Politik sogokan kain pelikat, jalan tar dan rumah murah sudah berakhir. Apa yang rakyat dahagakan ialah pemimpin yang bersih, ikhlas, tidak rasuah dan berpegang kepada asas agama.

Jika ini menjadi perjuangan Umno sekarang, rakyat tidak ada masalah dengan Umno.

No comments: