Friday, September 19, 2008

PAK LAH PERLU ELAK DIAIBKAN

Khamis lalu, Abdullah Ahmad Badawi hampir menitis air mata apabila diasak oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno yang mahukan beliau meletakkan jawatan sebelum bahagian-bahagian Umno bermesyuarat 9 Oktober ini.

Hanya dengan campurtangan Najib Razak, ahli-ahli MT menghentikan kritikan terhadap Presiden mereka.

Ada yang berpendapat Abdullah amat sedih bila diasak bukan sahaja oleh pengkritik beliau malah anak didiknya turut serta dalam mendesak beliau meletakkan jawatan.

Salah seorang dari ahli MT ini amat dihormati oleh Abdullah yang dididik beliau sebagai bakal Timbalan Presiden Umno. Menurut Malaysiakini asakan ini diketuai Muhyiddin Yassin yang dikritik hebat oleh penyokong Abdullah baru-baru ini kerana membuat kenyataan mengenai peralihan kuasa di Singapura.

Ahli-ahli MT mengingatkan Abdullah bahawa bukan tradisi dan sejarah Umno mengaibkan pemimpin. Mereka sayangkan Abdullah dan mereka tidak mahu beliau diaibkan dan terpaksa menuruni takhta Presiden dalam suasana memilukan dan memalukan. Ahli-ahli MT terus terang memberitahu Abdullah bahawa beliau besar kemungkinan tidak mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan Presiden.

Ahli-ahli MT sedar mereka tidak lagi dapat mengawal sentimen akar umbi yang mahukan perubahan di dalam pucuk pimpinan Umno selepas pencapaian buruk parti di dalam Piliharaya Umum Mac 8 yang lalu dan lebih membimbangkan lagi apabila sejumlah besar ahli Umno di Permatang Pauh memberi undi kepada Pakatan Rakyat semasa pilihanraya kecil yang dimenangi Anwar Ibrahim.

Adakah asakan ahli-ahli MT ini akan mempercepatkan peralihan kuasa di dalam Umno? Ramai berpendapat Abdullah akan mengumumkan selepas Hari Raya ini bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan dan menyerahkannya kepada Najib pada perhimpunan agung Umno Disember ini.

Itulah sebabnya, kata pemerhati, Najib menangguhkan lawatan beliau ke Arab Saudi dan Bahrain kerana Abdullah mahu mengadakan perbincangan seterusnya mengenai peralihan kuasa ini.

Tetapi ramai juga yang berpendapat Abdullah tidak akan berganjak dari keputusan beliau untuk mempertahankan jawatan sehingga 2010. Kata mereka, ini bukanlah kali pertama Abdullah didesak meletakkan jawatan.

Setiap kali berhadapan dengan tekanan Abdullah dikatakan muram dan apabila bertemu dengan ahli keluarga, beliau kembali bersemangat untuk terus bertarung mempertahankan jawatan beliau.

Kenapa Abdullah masih enggan menerima hakikat beliau ditolak di peringkat akar umbi? Puncanya ialah orang-orang di sekelilingnya tidak jujur dalam menyatakan kebenaran kepada Abdullah.

Umno bukan calang-calang parti. Jenteranya hebat. Tidak mungkin organisasi seperti Kemas, Penerangan dan sebagainya tidak mempunyai maklumat yang tepat untuk disampaikan kepada Abdullah.

Malangnya orang-orang Pak Lah tidak mahu menerima hakikat bahawa sentimen akar umbi sudah berubah.

Seperti kata Annuar Zaini, penulis teks ucapan pertama Pak Lah sebagai Presiden Umno, "Managing Success", yang dikatakan ditulis selepas melawat ke beberapa benua, Pak Lah sebagai kapten kapal perlukan maklumat yang tepat untuk mengemudi di lautan gelora.

Seperti yang dilaporkan akhbar The Star hari ini, Annuar berkata: "Keputusan kini di tangan Pak Lah dan adalah baik Pak Lah tahu akan situasi di bawah."

Kita berharap Annuar, ahli-ahli keluarga Pak Lah dan penyokong beliau dapat menilai dan membantu Pak Lah membuat keputusan yang terbaik untuk Presiden parti kerana perkara yang terakhir yang mahu dilakukan oleh ahli-ahli Umno ialah mengaibkan Presiden mereka yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Umno.

Sejarah akan berubah sekiranya ia terpaksa dilakukan demi masa depan parti dan orang-orang Melayu.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/9/20/nation/2081163&sec=nation

No comments: