Sunday, July 27, 2008

BERAKHIRNYA SATU GENERASI!

Abdul Rahman Ibrahim, Hadzir Ismail, Abdul Razak Hashim, Mahadzir Khir, Abdul Hamid Othman, Badruldin Amiruldin, Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Mereka adalah nama-nama besar di dalam Umno Kedah. Oktober ini berakhirlah karier mereka sebagai ahli politik.

Mereka akan menjejaki perjalanan bekas-bekas pemimpin lain seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin, Sanusi Junid, Osman Aroff, Wan Azmi Ariffin dan Afifuddin Omar.

Itulah nasib ahli politik. Resam ahli politik kalau boleh ingin menongkat langit tetapi apa yang direncanakan tidak semesti menjadi realiti.

Pilihan di tangan mereka. Bertanding untuk kekal jawatan atau dinyahkan dalam keadaan memilukan.

Itulah suasana politik Umno Kedah hari ini. Sudah tiada tempat untuk nama-nama besar ini. Oktober nanti adalah jalan mati untuk kesemua mereka.

*Abdul Hamid Othman, bekas ketua bahagian Sik, sudah lama menjauhkan diri dari Sik.

* Wan Azmi Wan Ariffin, juga memimpin Sik. Kini menulis blog (http://wanazmisik.blogspot.com/) selain menguruskan Serendah Sekebun Bunga. Wan Azmi satu ketika dulu dikenali penyokong kuat Allahyarham Ghafar Baba. Ketika seluruh Umno memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim, Wan Azmi cuba mengharungi ombak besar dengan memaksa bahagian Sik mengadakan pengundian untuk memilih siapa yang hendak dicalonkan ke jawatan Timbalan Presiden. Malangnya ahli Umno Sik memilih Anwar. Tetapi kesetiaan Wan Azmi kepada Ghafar tidak pernah goyah.

* Abdul Rahman Ibrahim, bekas ketua bahagian Pokok Sena, merupakan penyokong kuat Anwar dan Osman Aroff. Beliau merupakan antara perancang penting selepas pilihanraya 1995 untuk mempertahankan Osman daripada disingkir sebagai Menteri Besar dengan mengetuai kumpulan 22 untuk meminta Dr Mahathir mengekalkan Osman di Kedah. Malangnya Osman sendiri menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Besar.

* Hadzir Ismail, ketua bahagian Padang Serai. 16 tahun memimpin Padang Serai. Malangnya kawasan Parlimen menjadi kerusi MCA. Keputusan Hadzir meninggalkan pentas politik disebabkan tekanan untuk menyingkirkannya.

* Badruldin Amiruldin dan Abdul Razak Hashim. Kedua-duanya orang kuat bahagian Yan tetapi masa mereka telah berlalu.

* Mahadzir Khir. Tanyalah orang Sungai Petani. Jelapang tidak sampai hati untuk mengulas jasanya kepada orang Sungai Petani.

* Kadir Sheikh Fadzir. Ahli politik yang benar-benar berpolitik. Pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Kedah. Berpolemik dengan Osman Aroff. Berkempen menentang Ghafar. Bahagiannya, Kulim, satu-satunya bahagian yang mempunyai cawagan paling kecil – lebih kurang 60 cawangan. Tujuannya mudah untuk di “kawal”. Di saat-saat akhir hayat politiknya, beliau masih berpolitik. Oktober nanti bertukar tanganlah Bahagian Kulim dari “abang kepada adik” – “dari Kadir kepada Aziz”, adik beliau.

Oktober nanti Umno Kedah akan dipimpin oleh muka baru dan orang muda. Malangnya separuh daripada mereka sudah terpalit dek lumpur.

P/S: Jelapang masih menanti keputusan Abu Bakar Taib di Langkawi samada menerima tentangan dari Timbalannya Nawawi Ahmad dan Syed Razak Barakbah di Kuala Kedah samada mahu menghadapi tentangan dari Timbalannya Hashim Jasin, bekas ketua Bahagian Abu Bakar Rautin atau pegawai khas Timbalan Perdana Menteri Latt Shariman Abdullah.

No comments: