Friday, April 30, 2010

PAK LAH MENGAKU TELAGA MINYAK TERGADAI KEPADA BRUNEI


"Hak kedaulatan bagi sumber di kawasan ini kini menjadi milik Brunei. Bagaimanapun, untuk kawasan ini, perjanjian itu meliputi persetujuan komersial yang membolehkan Malaysia menyertai dan membangunkan bersama sumber minyak dan gas di kawasan itu untuk tempoh 40 tahun." - Pak Lah

Hari ini sahlah dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa dua telaga minyak kini tergadai kepada Brunei.

Ini disahkan oleh Abdullah Ahmad Badawi. Untuk berita penuh kenyataan Pak Lah mengenai perkara ini, klik link berikut: http://bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=494795

PAK LAH GADAI TELAGA MINYAK BERNILAI RM320 BILION KEPADA BRUNEI

Kita kenal siapa Pak Lah ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Cara kepimpinan beliau dan sikap Pak Lah menyebabkan beliau ditolak oleh ahli-ahli Umno sendiri.

Pendedahan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam cukup mengejutkan.

Menurut Tun, ketika Pak Lah berunding dengan Sultan Brunei untuk mendapatkan semula Limbang, Pak Lah telah menyerahkan dua telaga minyak yang bernilai RM320 bilion secara percuma kepada Brunei.
http://chedet.co.cc/chedetblog/2010/04/malaysias-generosity.html#more

Lebih malang lagi Limbang kekal milik Brunei sementara dua telaga minyak kita tergadai.

Mungkin ketika rundingan dengan Sultan Brunei, Pak Lah tertidur dan tidak menyedari beliau telah menyerahkan dua telaga minyak kepunyaan negara kepada Brunei.

Tun mendesak Wisma Putra memberi penjelasan. Seharusnya pihak kerajaan yang memberi penjelasan. Kita menanti penjelasan kerajaan samada benar dakwaan Tun di dalam blog beliau.

Atau Pak Lah sendiri tampil memberi penjelasan. Ketika kerajaan merayu kepada rakyat untuk tidak bergantung kepada subsidi, kerajaan sendiri menggadai khazanah negara kepada negara luar.

Sunday, April 25, 2010

Sunday, April 18, 2010

ZAID: MINUM ARAK CERITA LAMA?

Hulu Selangor merupakan pilihanraya kecil ke 10 sejak pilihanraya umum ke 12 Mac 2008. Tidak lama lagi, Sibu akan menjadi medan perjuangan antara BN dan DAP untuk pilihanraya kecil ke 11.

Nampaknya suasana di pilihanraya kecil ini tiada bezanya dengan pilihanraya kecil yang lain. Bagaimanapun pilihanraya kecil ini mempunyai persamaan dengan pilihanraya kecil Permatang Pasir di mana budi pekerti calon menjadi bahan kempen.

Di Permatang Pasir, latar belakang Rohaizat Othman, calon BN, menarik perhatian pengundi apabila beliau didakwa menyeleweng wang Koperasi Pekebun Getah.
http://harismibrahim.wordpress.com/2009/08/17/calon-bn-di-permatang-pasir-penyeleweng-wang-amanah/

Perkahwinan kedua Rohaizat juga menjadi bahan kempen Pakatan Rakyat.
http://pinkturtle2.wordpress.com/2009/08/23/24395/

Di Hulu Selangor, giliran BN pula mempertikaikan latar belakang calon lawan dan calon Pakatan Rakyat Zaid Ibrahim terpaksa menangkis serangan mengenai latarbelakang beliau.

Zaid dituduh kaki botol, kaki minum tegar.

Hari ini Zaid tampil mempertahankan dirinya dan berikut ialah kenyataan (pengakuan) Zaid:

"Itu (minum arak) cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah S.W.T. Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia dan mampu jadi wakil rakyat. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah."
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=491483

Begitulah hakikatnya menjadi calon pilihanraya. Setiap perlakuan menjadi tatapan rakyat begitu juga dengan tutur katanya.

Sunday, April 11, 2010

UMNO AKAN TENTUKAN KALAH MENANG MIC DI HULU SELANGOR

Ada di kalangan ahli-ahli Umno mahukan Muhammad Muhammad Taib dicalonkan di Hulu Selangor.

Bagaimanapun, keputusan telah dibuat. MIC akan meletakkan calonnya. Keputusan BN ini dibuat atas semangat setiakawan BN selama ini.

Kalau nak dikira berdasarkan majoriti kaum, mungkin MIC tidak berpeluang langsung untuk bertanding di mana-mana kawasan pilihanraya kecuali ianya bukan lagi rakan BN.

Sentimen ahli-ahli Umno boleh difahami. Mereka mahu merampas semula Hulu Selangor dan mereka yakin dengan meletakkan calon Melayu, peluang menang adalah lebih cerah.

Sebenarnya yang menjadi perkiraan Najib Razak dalam mengekalkan MIC di Hulu Selangor ialah untuk menggelakkan polemik di dalam BN semasa pilihanraya umum akan datang. Semangat BN akan hilang sekiranya Umno meletakkan calon. Semangat setiakawan BN akan diperlekehkan oleh parti-parti pembangkang sekiranya calon BN di Hulu Selangor kali ini adalah dari Umno.

Ini lebih besar masalahnya daripada masalah ahli-ahli Umno di Hulu Selangor.

Memang ada benarnya kata-kata Kadir Jasin bahawa BN akan menghadapi masalah di Hulu Selangor gara-gara semangat BN ini. Baca tulisan Kadir di sini:
http://kadirjasin.blogspot.com/2010/04/hulu-selangor-seat-allocation-quota.html

Kalau mengikut fakta sejarah, pembangkang kuat di Hulu Selangor apabila calon yang diletaknya Melayu dan BN diwakili bukan Melayu.

Utusan Malaysia semalam memaparkan satu analisa menarik mengenai trend pengundi di Hulu Selangor.

Kata Utusan: "Untuk rekod sejak pilihan raya umum 1959, kerusi Parlimen Hulu Selangor ditandingi masing-masing sebanyak enam kali oleh MCA dan MIC manakala UMNO masih belum berpeluang bertanding di situ kecuali ketika pilihan raya majlis perbandaran pada tahun 1955.

Desakan untuk memberi peluang kepada UMNO bertanding kali ini juga semakin ketara apabila statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan daripada jumlah keseluruhan 64,500 pengundi di kawasan Parlimen berkenaan seramai 34,020 adalah pengundi Melayu, 16,964 pengundi Cina dan India (12,453 pengundi).

Cabaran untuk BN akan menjadi semakin getir jika pembangkang meletakkan calon Melayu. Ia kerana berdasarkan keputusan pilihan raya umum 1990, 1999, 2004 dan 2008, ia menunjukkan angka perolehan undi yang 'menggerunkan' memihak kepada pembangkang.

Contohnya, pada tahun 1990 walaupun tewas melalui calon mereka Nazar Yakin, pembangkang meraih undi sebanyak 11,857 undi, ia diikuti pada tahun 1999 apabila jumlah undi pembangkang meningkat kepada 13,548 undi melalui calon, Dr. Halili Rahmat (Adil), kemudiannya 2004 melalui Ismail Kamus (Pas) dengan 13,324 undi.

Pilihan raya umum lalu boleh dianggap kemuncak perolehan undi kepada pembangkang apabila Dr. Zainal Abidin memperolehi sebanyak 23,177 undi sekali gus menamatkan penguasaan BN dalam 11 pilihan raya sebelumnya.

Secara hitungan kasar jika keputusan mulai 1990 diambil kira, pembangkang mempunyai tidak kurang 10,000 pengundi tegar yang memihak kepada mereka, jika calon Melayu dipilih bertanding. Ini jelas apabila pada tahun 1995, pembangkang meletakkan calon bukan Melayu, mereka hanya berupaya meraih 1,231 undi sahaja."
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0410&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

Kesimpulannya, menang kalah BN di Hulu Selangor bergantung kepada penerimaan pengundi Melayu terutamanya Umno terhadap calon MIC.

Friday, April 9, 2010

CINTA BUNG MOKHTAR PADA ZIZIE & UMNO

Di sana-sini, ramai yang bergosip mengenai kehadiran Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar bersama isteri baru beliau Zizie Izzete di Anugerah Bintang Popular Berita Harian di Genting Highlands baru-baru ini.
http://budakkampungonline.blogspot.com/

Di Eropah, bukan semua artis yang boleh memijak Red Carpet atau Permaidani Merah. Di Malaysia jarang kita mendengar Ahli Parlimen atau pemimpin negara diberi peluang mendapat layanan Permaidani Merah.

Bung Mokhtar mungkin menjadi Ahli Parlimen Umno yang pertama diberi penghormatan berjalan berpegangan tangan di atas Red Carpet bersama isteri baru beliau.

Kehadiran Bung di majlis tersebut menjadi buah mulut orang-orang Umno di coffee-coffee house. Ada di antara mereka kurang senang dengan tindak tanduk Bung kerana mungkin ianya menggambarkan cara hidup pemimpin Umno.

Gambar Bung di kelab malam bersama Zizie juga menjadi tajuk perbualan mereka. Kita faham kenapa ada di kalangan Umno kurang senang akan gambar-gambar seumpama ini. Umno bimbang akan pandangan negatif rakyat terhadap pemimpinnya.

Mungkin bagi Bung, kejayaan beliau memikat Zizie juga merupakan kejayaan Umno.

Husin Lempoyang: http://the-antics-of-husin-lempoyang.blogspot.com/2010/04/lompat-bung-lompat.html

MUDAHNYA NEGARA KITA DICEROBOH

"Sehubungan itu, Musa berkata siasatan berhubung dakwaan itu telah dijalankan dan pihaknya tidak lagi membenarkan syarikat tersebut memasuki PDRM bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran." - Laporan Bernama semalam berkaitan dengan dakwaan Anwar Ibrahim bahawa bahawa perisik Israel itu mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui sebuah syarikat pengkomputeran yang merupakan subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi maklumat PDRM yang didaftarkan di Singapura.
Ini kali kedua isu keselamatan negara menjadi bahan perbualan rakyat.
Tidak lama sebelum ini Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi pernah mendedahkan ada negara mencuri rahsia negara melalui kedutaan mereka.
Yang menjadi persoalan sekarang ialah kenapa begitu rapuhnya sistem kita sehingga begitu mudah dicerobohi musuh?

Friday, April 2, 2010

BN KALAH JIKA PALANIVEL CALONNYA

Siapa yang harus dipilih mewakili BN di Hulu Selangor?

MIC atau UMNO?

Rais Yatim berpandangan Hulu Selangor akan menjadi milik BN jika Umno yang meletakkan calon.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/4/1/nation/20100401203606&sec=nation

Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman meramalkan BN akan kalah sekiranya terus berpegang kepada kepercayaan bahawa kawasan tersebut adalah milik "tradisi" rakan komponennya MIC. http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7266726.asp

Presiden MIC Samy Vellu berkeras mahukan MIC bertanding dan timbalan Presidennya G.Palanivel dicalonkan semula di Hulu Selangor. http://www.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/4/2/nation/5979116&sec=nation

Bagaimanapun semalam Samy Vellu mula berlembut hati dan Muhyiddin Yassin memberi gambaran bahawa besar kemungkinan MIC akan terus bertanding di Hulu Selangor.

Ahli-ahli Umno di Hulu Selangor mahukan orang Umno sebagai calon. Lobi melobi untuk menjadi calon sudah bermula. Ada yang sudah menaikkan kain rentang mencadangkan si polan itu dan si polan ini harus menjadi pilihan.

Ada kain rentang mahukan Muhammad Muhammad Taib. Ada yang mahukan Zainal Abidin Sakom. Ini sudah menjadi lumrah di dalam Umno. Semasa pilihanraya kecil Bagan Pinang, direntang kain mendesak Isa Samad menjadi calon. Isa dicalonkan dan menang.

Oleh itu siapa harus dicalonkan di Hulu Selangor? MIC atau Umno?

Pilihanraya kecil Hulu Selangor akan dilihat oleh penganalisis sebagai penilaian atau kayu ukur rakyat terhadap Najib selepas setahun menjadi Perdana Menteri.

Kalah di Hulu Selangor akan diwarwar sebagai penolakan rakyat kepada kepimpinan Najib. Apa yang telah dilakukan Najib hanya sia-sia.

Sekiranya kalah, segala usaha mempromosikan Gagasan 1 Malaysia, Pelan Transformasi, Model Ekonomi Baru, Zulkifli Nordin dan Zaharain Hashim tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat.

Umno sedar perkara ini. Pembangkang juga sedar akan besarnya implikasi pilihanraya kecil ini.

Sebenarnya, samada calon itu Umno atau MIC, belum tentu BN akan menang pilihanraya kecil ini.

Sekiranya MIC diketepikan, kesannya cukup besar kepada BN pada pilihanraya umum ke 13. BN akan menghadapi krisis besar kerana akan kehilangan keyakinan dari MIC terhadap semangat BN. Parti-parti komponen BN akan melihat Hulu Selangor sebagai titik bermulanya kehancuran semangat setiakawan dalam BN.

Ini bermakna Najib tiada pilihan kecuali meletakkan calon dari MIC di Hulu Selangor tetapi Palanivel bukanlah calonnya. Palanivel akan ditolak pengundi.
http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/58384-bn-stronger-in-hulu-selangor-without-palanivel

Ramai pengundi berpandangan Palanivel gagal melaksanakan tugas beliau sebagai Ahli Parlimen dan itulah sebabnya beliau ditolak pada PRU 12 pada 2008.

Keputusan pilihanraya di DUN di Hulu Selangor pada 2008 sudah cukup untuk membuktikan Palanivel ditolak pengundi.

Ketiga-tiga kerusi negeri dimenangi BN - dua Umno dan satu MCA. Yang menjadi persoalan ialah kenapa 5,981 pengundi yang mengundi BN untuk kerusi negeri MENGUNDI PEMBANGKANG untuk kerusi Parlimen? http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_a2b9f2f1-7f000010-1d956ad0-72332e4a

Jawapannya mudah. Mereka tidak mahukan Palanivel.

Kesimpulannya, jika Palanivel menjadi pilihan BN di Hulu Selangor, maka PKR akan kekal pilihan pengundi 25 April nanti.