Friday, April 2, 2010

BN KALAH JIKA PALANIVEL CALONNYA

Siapa yang harus dipilih mewakili BN di Hulu Selangor?

MIC atau UMNO?

Rais Yatim berpandangan Hulu Selangor akan menjadi milik BN jika Umno yang meletakkan calon.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/4/1/nation/20100401203606&sec=nation

Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman meramalkan BN akan kalah sekiranya terus berpegang kepada kepercayaan bahawa kawasan tersebut adalah milik "tradisi" rakan komponennya MIC. http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7266726.asp

Presiden MIC Samy Vellu berkeras mahukan MIC bertanding dan timbalan Presidennya G.Palanivel dicalonkan semula di Hulu Selangor. http://www.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/4/2/nation/5979116&sec=nation

Bagaimanapun semalam Samy Vellu mula berlembut hati dan Muhyiddin Yassin memberi gambaran bahawa besar kemungkinan MIC akan terus bertanding di Hulu Selangor.

Ahli-ahli Umno di Hulu Selangor mahukan orang Umno sebagai calon. Lobi melobi untuk menjadi calon sudah bermula. Ada yang sudah menaikkan kain rentang mencadangkan si polan itu dan si polan ini harus menjadi pilihan.

Ada kain rentang mahukan Muhammad Muhammad Taib. Ada yang mahukan Zainal Abidin Sakom. Ini sudah menjadi lumrah di dalam Umno. Semasa pilihanraya kecil Bagan Pinang, direntang kain mendesak Isa Samad menjadi calon. Isa dicalonkan dan menang.

Oleh itu siapa harus dicalonkan di Hulu Selangor? MIC atau Umno?

Pilihanraya kecil Hulu Selangor akan dilihat oleh penganalisis sebagai penilaian atau kayu ukur rakyat terhadap Najib selepas setahun menjadi Perdana Menteri.

Kalah di Hulu Selangor akan diwarwar sebagai penolakan rakyat kepada kepimpinan Najib. Apa yang telah dilakukan Najib hanya sia-sia.

Sekiranya kalah, segala usaha mempromosikan Gagasan 1 Malaysia, Pelan Transformasi, Model Ekonomi Baru, Zulkifli Nordin dan Zaharain Hashim tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat.

Umno sedar perkara ini. Pembangkang juga sedar akan besarnya implikasi pilihanraya kecil ini.

Sebenarnya, samada calon itu Umno atau MIC, belum tentu BN akan menang pilihanraya kecil ini.

Sekiranya MIC diketepikan, kesannya cukup besar kepada BN pada pilihanraya umum ke 13. BN akan menghadapi krisis besar kerana akan kehilangan keyakinan dari MIC terhadap semangat BN. Parti-parti komponen BN akan melihat Hulu Selangor sebagai titik bermulanya kehancuran semangat setiakawan dalam BN.

Ini bermakna Najib tiada pilihan kecuali meletakkan calon dari MIC di Hulu Selangor tetapi Palanivel bukanlah calonnya. Palanivel akan ditolak pengundi.
http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/58384-bn-stronger-in-hulu-selangor-without-palanivel

Ramai pengundi berpandangan Palanivel gagal melaksanakan tugas beliau sebagai Ahli Parlimen dan itulah sebabnya beliau ditolak pada PRU 12 pada 2008.

Keputusan pilihanraya di DUN di Hulu Selangor pada 2008 sudah cukup untuk membuktikan Palanivel ditolak pengundi.

Ketiga-tiga kerusi negeri dimenangi BN - dua Umno dan satu MCA. Yang menjadi persoalan ialah kenapa 5,981 pengundi yang mengundi BN untuk kerusi negeri MENGUNDI PEMBANGKANG untuk kerusi Parlimen? http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_a2b9f2f1-7f000010-1d956ad0-72332e4a

Jawapannya mudah. Mereka tidak mahukan Palanivel.

Kesimpulannya, jika Palanivel menjadi pilihan BN di Hulu Selangor, maka PKR akan kekal pilihan pengundi 25 April nanti.

No comments: