Saturday, October 30, 2010

NASIHAT DR MAHATHIR

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) hari ini menasihatkan kerajaan supaya mengikut pandangan masyarakat umum mengenai pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat di Kuala Lumpur. - UTUSAN MALAYSIA (30 Oktober 2010)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Perlu atau tidak nasihat Tun Dr Mahathir diambil kira?

Di dalam facebook, dikatakan lebih 200,000 orang sudah menyatakan mereka tidak setuju dengan pembinaan Menara Warisan Merdeka ini.
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/anti-warisan-merdeka-facebook-campaign-hits-100000-mark

Pada pandangan kita, pembinaan Menara Warisan Merdeka ini menjadi isu politik kerana kegagalan kerajaan dalam merasionalkan akan keperluan menara ini. Setakat ini, isu ini cuba dipatahkan dengan hanya alasan ianya tidak melibatkan wang kerajaan.

Nasihat Dr Mahathir hari ini sudah pasti akan menimbulkan pelbagai tafsiran.

Perlu diingatkan, bahawa apabila Najib Razak mengambil alih pentadbiran negara, beliau memperkenalkan slogan "Rakyat DiDahulukan", satu slogan yang cukup baik.

Alangkah baiknya sekiranya slogan ini terus dihayati.

Monday, October 25, 2010

FELCRA DAN BOWLING JUARA RAKYAT

Semasa menonton siaran langsung ucapan Presiden Umno Najib Razak di akhir perhimpunan Agung Umno Sabtu lepas, tertanya-tanya kita dua persoalan.

Pertama: Siapa yang menganjurkan perlawanan bowling dan menamakannya Program Juara Rakyat serta menuntut perbelanjaan bermain bowling tersebut dari peruntukan Program Juara Rakyat?

Kedua: Siapa yang memberi saham Felcra kepada ahli keluarga beliau yang juga seorang peguam?

Hanya ingin tahu...

Friday, October 22, 2010

DINO a/k RAIS YATIM

Itulah antara kandungan laporan akhbar Inggeris, Malay Mail, petang semalam.
Kandungannya: Anak Rais Yatim, DINO, dinamakan di dalam satu kes mahkamah yang dikemukakan oleh dua ahli perniagaan. Dakwaan dibuat kononnya anak Rais Yatim, DINO, dicadangkan oleh ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi untuk memberi DINO pegangan equiti sebanyak 5 peratus di dalam syarikat yang bernama Magic Telekom untuk tujuan mendapatkan kelulusan untuk spektrum dan lesen-lesen tertentu.
Ia hanya dakwaan. Penyiaran afidavit ini oleh akhbar Malay Mail ini sudah pasti menjelaskan kenapa blogger Rockybru dan Bigdog menulis mengenai pemberian spektrum oleh Rais.
Sekarang, giliran Rais menjawab tuduhan dan dakwaan yang terkandung di dalam afidavit ini.
Rockybru, Bigdog dan beberapa blog lain semalam turut memberi ulasan mengenai tindakan mahkamah ini. Pandangan mereka boleh dibaca di blog berikut:

Monday, October 18, 2010

KEWAJARAN TIADA BONUS UNTUK KAKITANGAN KERAJAAN


Utusan Malaysia hari ini menyiarkan sepucuk surat pembaca untuk merasionalisasikan kewajaran pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 oleh kerajaan kepada kakitangan awam. Berikut ialah surat tersebut:












Sunday, October 17, 2010

MCA MAHU KEDAH DIBUKA KEPADA PENGUNDI CINA?

Bukan semua perkara yang dilakukan pembangkang tidak berfaedah.

MCA Kedah begitu marah apabila dikhabarkan kerajaan Pas di Kedah sekali lagi meminda dasar berkaitan perumahan.

Apabila Pas mula-mula mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Kedah, dasar perumahan dipinda apabila nisbah pemilikan rumah antara Melayu dan bukan Melayu dinaikkan ke nisbah 50:50 dari nisbah sebelum ini iaitu 30 peratus Melayu, 70 peratus bukan Melayu.

Pengerusi MCA Kedah Chong Itt Chew semalam marah lagi apabila diberitahu dasar pemilikan rumah dipinda lagi.

Kali ini lebih drastik. Setiap taman perumahan baru, pemiliknya mestilah 70 peratus Melayu dan 30 peratus bukan Melayu.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/10/17/nation/7243382&sec=nation

Bukan itu sahaja. Setiap lot rumah milik bumiputera mestilah diwartakan sebagai tanah rezab Melayu.

Walaupun Kedah diperintah pembangkang, inilah satu-satu dasar yang perlu kita sokong.

Kita faham kenapa Chong Itt Chew tidak puashati. Kalau boleh, beliau mahukan lebih ramai pengundi Cina berhijrah ke Kedah terutamanya di Alor Setar (DUN Kota Darulaman) di mana beliau pernah bertanding.

Kedah seharusnya mengamalkan dasar sepertimana kerajaan Kelantan di mana Kerajaan Negeri, samada Kerajaan Barisan Nasional ataupun Pas, memastikan nisbah rakyat Kelantan kekal 95 peratus Melayu dan 5 peratus bukan Melayu.

Saturday, October 16, 2010

RAIS YATIM ANGKUH!

Bagi Rais Yatim, blogger tidak penting.

Itulah sebabnya beliau sanggup membakar jambatan dengan para blogger dengan membuat laporan polis terhadap blogger Rockybru, BigDog dan Taikors and Taikuns.

Bagi Rais, orang yang bertanggungjawab kepada jentera Penerangan dan Komunikasi Kerajaan, blogger tidak ada guna sesen pun.

Blogger harus dipenjarakan. Mungkin pada Rais, blogger sering menghidangkan cerita (cereka) separuh benar tanpa bukti, sepertimana tuduhan yang beliau lemparkan terhadap Rockybru, BigDog dan Taikors and Taikuns.

Ada ketikanya, memang benar ada blogger yang menyiarkan cerita separuh benar (half truth). Tetapi apalah yang ada pada seorang blogger.

Sesetengah blogger, kerja pun tiada. Ada blogger yang papa kedana. Duduk di bawah pokok, sambil menghirup secawan teh tarik, menjamah sekeping roti canai dan berbekal sebuah laptop, mereka menulis. Ada cerita benar, ada cereka.

Walaupun mereka bercerita separuh benar, mereka ada budi bahasa dan berjiwa murni. Mereka tidak merompak hak negara, mereka tiada kuasa untuk membahagi-bahagikan khazanah negara. .

Seorang blogger mencadangkan agar satu usaha untuk mendamaikan Rais dengan Rockybru diadakan.

Siapa perlukan siapa? Rais perlukan blogger atau blogger perlukan Rais?

Terus-terang kita katakan, pada blogger, Rais tak penting. Pada kita Rais patut sudah lama ditendang keluar dari Kabinet oleh Najib Razak.

Rais seorang Menteri yang tidak ada budi bahasa, bongkak dan lupa daratan. Lihatlah video-video beliau di mana beliau bertutur penuh dengan keangkuhan.

Rais lupa bahawa beliau menjadi Menteri kerana rakyat memilih beliau. Orang-orang kampung di Jelebu yang hidupnya tidak sesempurna Rais yang memilih beliau. Rais manusia yang tiada budi bahasa. Orang berbudi, kita berbahasa.

11 pilihanraya kecil telah berlalu. Apa jasa Rais kepada Barisan Nasional dan Umno semasa pilihanraya-pilihanraya kecil ini? Jawapan, sekelumit pun tidak ada.

Sampailah masanya, para blogger membiarkan Rais dan Kementerian beliau pula membuat kerja di Batu Sapi dan Galas. Tidak perlu para blogger membantu BN dan Umno di kedua-kedua pilihanraya kecil ini.

Kementerian Rais mempunyai Jabatan Penerangan, mempunyai Jabatan Penyiaran, mempunyai Radio dan Televisyen Malaysia dan mempunyai pakar-pakar IT dalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Perdana Menteri seharusnya mengarahkan Rais turun padang, mengharung lumpur, membantu BN dan Umno menyakinkan rakyat untuk mengundi Kerajaan.

Tidak mungkin Rais tidak dapat melakukannya. Beliau ada Jabatan Penerangan. Apa peranan Jabatan Penerangan sekarang?

Di bawah Rais, Jabatan Penerangan hanya tidur. Tidur dengan penuh nyenyak. Apa peranan Jabatan Penerangan semasa 11 pilihanraya kecil selama ini?

Kalau dalam tahun 70an dan 80an, kerja Jabatan Penerangan ialah memasuki setiap pelusuk kampung dan menghiburkan penonton dengan tayangan wayang percuma dan menyediakan speaker dan mikrofon untuk pemimpin berucap. Hari ini hanya Rais sahaja yang tahu apa Jabatan Penerangan buat setiap hari.

Setiap negeri ada Pengarah Penerangan. Di Kuala Lumpur pula, ada Ketua Pengarah Penerangan. Begitu hebatnya Jabatan Penerangan. Malangnya Jabatan Penerangan hanya tinggal nama sahaja.

Begitu juga dengan RTM. Kekadang tertanya-tanya kita berapa ramai yang menonton berita di RTM. Rais sudah pasti menonton Berita di RTM kerana hanya RTM yang sanggup menyiarkan wajah beliau yang penuh dengan kesombongan itu.

RTM hari ini, di bawah kepimpinan Rais, hidup segan, mati tidak mahu.

Sudah tiba masanya untuk Najib meletakkan tanggungjawab memenangkan Galas dan Batu Sapi di bahu Rais.

Inilah masanya Najib menilai samada beliau perlu mengekalkan seseorang pemimpin yang sudah menghampiri usia 70 tahun di dalam Kabinet beliau.

Galas dan Batu Sapi kayu pengukurnya. Kita mahu melihat muka Rais, siang-malam, 24 jam sehari, bertungkus lumus mulai sekarang mengerakkan jentera Penerangan dan Komunikasi di Galas dan Batu Sapi untuk memastikan kemenangan BN.

Kepada Rais, jangan harapkan blogger melakukan kerja untuk kamu.

Tuesday, October 12, 2010

RAIS: AHLI KELUARGA SAYA TIDAK TERLIBAT!

"No members of my family are even remotely associated with those slanted and ill-intended allegations, and will forthwith assert my rights under the law and report the matter to the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) so that an investigation could be under way. It is sad and unfortunate to find the blog also adversely speculated and alleged wrongdoing of the ministry's secretary-general and other public servants. " - RAIS YATIM

Terjemahan: "Tiada ahli keluarga saya yang terlibat dengan dakwaan yang berniat jahat itu dan saya akan menggunakan hak saya dibawah undang-undang dan melaporkan perkara ini kepada SPRM agar satu siasatan dapat dilakukan. Ianya menyedihkan apabila mendapati blog tersebut turut membuat spekulasi dan tuduhan salahlaku terhadap Ketua Setiausaha Kementerian dan juga penjawat awam lain."
http://www.mmail.com.my/content/51823-its-character-assassination-says-rais

Dakwaan dan tuduhan ini dibuat berikutan keputusan Kementerian di bawah Rais dalam memberi Spektum 2.6Ghz kepada 9 syarikat baru-baru ini.

Tindakan Rais yang mahukan SPRM menyiasat dakwaan ini patut dipuji. Ketelusan seumpama inilah yang diperlukan untuk mengelakkan spekulasi terus timbul. Masyarakat sekarang mahukan keterbukaan.

Bagaimanapun Rais turut membuat laporan polis terhadap blog-blog yang menyiarkan dakwaan ini. Laporan polis oleh Rais: http://www.mmail.com.my/content/52046-rais-yatim-lodges-report-over-allegations-against-son

Kontroversi mengenai pemberian Spektrum ini juga telah dibangkitkan oleh editor kanan sebuah akhbar Inggeris.

Baca tulisan editor ini di sini: 1) http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?sec=business&file=/2010/10/8/business/7185707

Editor ini juga pernah menulis bagaimana Kerajaan India memperolehi RM43.8 bilion dari penjualan Spektrum 3Ghz.

Spektrum ini, menurut editor tersebut, sama nilainya dengan minyak.

Klik di sini untuk membaca tulisan editor tersebut Mei lalu: http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/5/21/business/6309209&sec=business

Sunday, October 10, 2010

ANAK MENTERI BANTU DAPAT LESEN WIMAX DARI RAIS YATIM?

Soalan buat Rais Yatim?

Siapa anak Menteri yang terlibat dengan salah satu dari 9 syarikat yang diberi lesen Wimax oleh Kementerian yang dipimpin oleh Rais Yatim?

Ini dakwaan yang dibuat oleh beberapa blog dan disiarkan oleh blogger Rockybru.

Turut terlibat, katanya, ialah anak seorang Ketua Pengarah dan anak seorang Ketua Setiausaha.

Rais juga perlu perjelaskan siapa mereka.

Baca blog and artikel berikut mengenai isu Wimax ini:

1) http://rockybru.com.my/2010/10/who-gets-santa-rais-rm1-billion-handout.html

2) http://bigdogdotcom.wordpress.com/2010/10/08/transparency-is-the-way-to-go/

3) http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/10/8/business/7185707&sec=business

Saturday, October 2, 2010

SAMY VELLU & MELAYU ARISTOKRAT

AKHIRNYA, Samy Vellu akan bersara sebagai Presiden MIC Januari tahun hadapan.

Semoga Samy Vellu bercakap benar kali ini. Kebanyakan orang politik lidah bercabang. Kesetiaan, kepada kebanyakan mereka, hanya modal bersandiwara untuk berkuasa dan mengekalkan kepentingan diri.

Sudah pasti Samy Vellu termasuk di dalam golongan ini. Dahulu apabila Samy diura-urakan akan berhenti, khabar angin bertiup kencang beliau akan dilantik Duta Khas bertaraf Menteri ke India dan Pakistan.

Duta bertaraf Menteri bermaksud kehidupan beliau akan kembali selesa sepertimana semasa beliau menjawat jawatan Menteri Kerjaraya dan portfolio yang lain.

Ia bermaksud Samy Vellu akan mendapat keistimewaan yang sama sepertimana Jamaluddin Jarjis yang kini Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang juga bertaraf Menteri. Terbang ke sana-sini menaiki penerbangan kelas pertama, disambut bagaikan Menteri oleh kakitangan kedutaan serta menikmati elaun-elaun yang memberi cukup keselesaan kepada beliau dan keluarga.

Ini masalah negara kita. Orang yang sama mendapat keistimewaan walaupun pencen sudah beribu ringgit, tetapi orang biasa terus dengan kehidupan sediakala.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem politik kita. Lihatlah senarai-senarai Pengerusi Syarikat-Syarikat milik kerajaan. Sebahagian daripada mereka Ahli Parlimen yang bergaji dan mereka juga Pengerusi Syarikat.

Musa Hitam, kini berumur 76 tahun, yang bersara sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1986, iaitu 24 tahun yang lalu, adalah Pengerusi Sime Darby Berhad. Dapat pencen Timbalan Perdana Menteri, dapat gaji beribu ringgit sebagai Pengerusi Sime Darby dan terbang ke sana sini naik kapalterbang kelas pertama dan ada kuasa untuk menyewa jet peribadi menggunakan wang syarikat.

Shahrir Samad, ahli Parlimen dan sekarang Pengerusi MPOB. Anak Mohamed Rahmat, Nurjazlan, Ahli Parlimen dan Pengerusi Uda. Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak, adalah Pengerusi Felcra. Bekas Menteri Perusahaan Utama Yusof Noor (1990-1995), ada pencen Menteri dan dah bertahun-tahun jadi Pengerusi Felda. Tidak tersenarai ramainya mereka-mereka ini.

Ahli-ahli Umno yang lain dirayu, dipinta teruskan perjuangan Melayu. Bangkitlah Melayu. Melayu akan hilang kuasa. Yang hidup senang lenang Ahli Parlimen, bekas Menteri dan Ketua-Ketua Umno berjawatan. Tiada noktah kepada kesenangan.

Tidak payahlah sensitif kepada kenyataan Jelapang ini. Ianya realiti. Lebih teruk lagi bila adanya Melayu yang memegang jawatan tinggi dalam syarikat-syarikat milik kerajaan mengubah cara hidup mereka menjadi Melayu aristokrat.

Kita tidak lupa suatu ketika dahulu bagaimana seorang Pengerusi syarikat milik kerajaan terbang ke London kelas pertama dua kali seminggu secara percuma dan mengangkut botol-botol arak yang kandungannya tinggal separuh kerana hendak minum percuma.

Pengerusi-Pengerusi ini diberi gelaran Tun, Tan Sri, Dato' Seri, Dato' dan JP. Orang Melayu yang berkehidupan sederhana dipaksa menunjukkan rasa hormat kepada mereka kerana mereka Tun, Tan Sri, Dato' Seri, Dato dan JP. Jawatan tidak cukup. Mereka perlu diberi gelaran untuk membeza kelas mereka di dalam masyarakat. Cukup menyedihkan dan memualkan.

Mereka-mereka ini menjadi Pengerusi kerana mereka Melayu, kerana Melayu dan kerana Melayu berkuasa. Tetapi malangnya nama Melayu hanya tunggangan untuk menikmati kesenangan.

Melayu yang rendah diri hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itu realiti negara kita hari ini.

Harapan kita Najib Razak mengubah sistem politik ini. Kalau tidak sanggup mengubah, tidak perlulah kita cakap tentang Melayu hilang kuasa.

Perlu ingat, Melayu akan hilang kuasa bukan kerana Bukan Melayu. Orang Melayu sendiri yang buang kuasa pemimpin Melayu yang lupa asal-usulnya.

Balik kepada persaraan Samy Vellu. Lihatlah kenyataan Najib. Beliau sendiri amat berharap Samy Vellu bercakap benar kali ini.

Terima Kasih atas apa yang anda lakukan, kata Najib kepada Samy Vellu semalam.
Amat jelas ianya kenyataan politik yang mahu memadam terus niat Samy Vellu untuk membuat pusingan U jika Samy Vellu mempunyai niat sedemikian.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/10/2/nation/7144436&sec=nation