Wednesday, November 30, 2011

SHAHRIZAT MULA MENYINSING LENGAN, MENGANGKAT KAIN

"Senyum punya senyum, saya tak larat nak senyum lagi... Itu belum angkat kain lagi. Wahai Zuraida, ketua (Wanita) PKR yang biadap, cik puan ingat kami takut dengan kamu. Oh, suruh saya letak jawatan, siapa kamu?" - Shahrizat Jalil.
http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/isu-projek-lembu-nfc-shahrizat-lontar-bom-pada-ketua-wanita-pkr.html

Kita kagum dengan kecekalan Ketua Wanita Umno dalam mengharungi krisis paling getir dalam karier politik beliau.

Selang beberapa jam selepas Shahrizat "melontar bom" (istilah yang digunakan oleh portal berita Agenda Daily), PKR melontar cabaran kepada Shahrizat dengan membuat pendedahan baru bahawa NFC menggunakan RM5 juta untuk membeli sebuah kereta Mercedes, tanah di Putrajaya dan perbelanjaan bercuti di Bandung, Phuket dan beberapa tempat lain.
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/nfc-spent-rm5m-on-mercedes-putrajaya-land-and-holidays-pkr-claims/

Nampaknya tiada kesudahan isu Shahrizat dan Feedlot ini.

Kita perlu kagum dengan semangat setiakawan di dalam Umno walaupun isu lembu dan kondo Feedlot ini sukar untuk kita pertahankan.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tampil untuk mempertahankan Shahrizat kerana kata beliau Shahrizat adalah "kakak sulung kita dan sentiasa ke hadapan mempertahankan Umno".

Khairy mengambil risiko mempertahankan Shahrizat walaupun ditohmah dengan teruk kerana pendirian ini sehinggakan ada yang menuduh Khairy mendapat habuan dari projek ini.
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/umno-youth-told-to-defend-shahrizat-in-nfc-scandal/

Kita berharap Shahrizat tidak lupa akan jasa Khairy ini.

Dalam Umno, lupa jasa perkara biasa. Shahrizat pasti ingat bahawa dahulu selepas Pak Lah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, ramai Menteri dan pemimpin Umno yang mencemuh Khairy.

Kita berharap di masa hadapan, apabila Ketua Pemuda Umno pula diserang pembangkang, Shahrizat akan bangun mempertahankan Khairy seperti mana Khairy mempertahankan beliau dalam isu lembu ini.

Tetapi berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas, iannya tidak begitu.

Dulu, apabila Pak Lah berkuasa, ramai Menteri-Menteri menyanjung dan memuji Khairy Jamaluddin. Apabila Pak Lah pergi, Menteri-Menteri yang sama mengeji Khairy. Shahrizat tahu siapa mereka ini.

Kita semua dah masak dengan kehidupan dalam parti. Bagaimanapun, kita ingin mengingatkan Shahrizat, berpolitik biarlah berpolitik secara bermaruah.

Kita tak akan ke mana kalau kita berseorangan mengangkat kain menyingsing lengan menyerang pembangkang.

Seperkara lagi, lebih baik Shahrizat dan ahli keluarga beliau menangkis setiap serangan pembangkang ini demi kebaikan Umno dan BN.

Menangkis bukan bermaksud menyerang pembangkang. Menangkis bermaksud menangkis tuduhan pembangkang sehingga ianya menyakinkan pengundi bahawa apa yang dilakukan oleh suami dan anak-anak beliau bukanlah satu penyelewengan.

Tidak adil sekiranya kerana isu ini, Umno dan BN merana kerananya.

CORAT-CORET:SUAMI SAYA BUKAN MUSA HASSAN



“Suami saya bukan VVIP seperti yang hangat diperkatakan dalam Internet. Suami saya orang biasa dan VVIP dimaksudkan itu tiada kena mengena langsung dengan perkahwinan saya.


“Saya juga tak minta hantaran mahal-mahal tetapi suami yang mahu bagi. Sama ada orang di luar sana mahu percaya atau tidak, terpulang. Andai kata suami tak hadiahkan kereta mahal pun, saya tak kisah kerana saya sendiri ada banyak kereta. Saya cukup bersyukur apabila dia sudi menyunting saya sebagai isteri. “Bila saya tak kahwin, orang kata saya tak laku tetapi bila saya berkahwin, mereka kecoh pula. Apa dosa saya dengan mereka.


“Suami saya sudah berusia dan dia ada cara sendiri mendidik saya. Suami mahu saya berubah perlahan-lahan kerana katanya untuk membentuk orang lain ke arah lebih baik bukan dengan paksaan. “Jadi usah pertikaikan cara saya berpakaian dan siapa saya kerana apa yang penting suami memahami." - Syella Kamaruddin.

Monday, November 28, 2011

SHAHRIZAT: SAYA BERJUANG UNTUK AGAMA

"Saya tidak akan jawab. Kalau nak bertanya mengenai NFC, tanyalah kepada orang NFC. Saya hanya akan tumpukan pada Pergerakan Wanita UMNO.

"Keimanan kita, keikhlasan kami tidak akan berganjak dan kita tak akan mudah melatah walau apa pun pembangkang nak buat sebabnya kita ikhlas dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara." - Shahrizat Abdul Jalil.

Kita kena mengingatkan Shahrizat. Ini bukan isu pembangkang.

Isu ini dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara dan pinjaman yang diberikan kepada suami dan anak-anak beliau bukannya duit Umno.

Ianya duit rakyat dan atas sebab itulah Kerajaan kini tertekan dengan isu ini.

Jawapan yang diberikan Shahrizat menghina ramai pihak kerana beliau seolah-olah menganggap rakyat dungu.

Lebih menyedihkan dalam keadaan terdesak, Shahrizat tergamak menyebut bahawa beliau ikhlas dalam perjuangan agama, bangsa dan negara.

Ramai yang lebih ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Tetapi mereka tidak lah bernasib baik seperti Shahrizat, suami beliau dan anak-anak yang telah dianugerahkan RM250 juta pinjaman mudah semata-mata untuk membela lembu dari negara luar, membeli Kondominium, mengerjakan umrah dan menyediakan daging lembu untuk restoran sendiri.

Sunday, November 27, 2011

NAJIB SAYANG SHAHRIZAT

Apabila seorang bapa bertanyakan kepada anak dara suntinya samada beliau bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki yang meminangnya, lazimnya, si anak dara akan tersipu dan mendiamkan diri.

Kelazimannya, ia tanda bersetuju. Bersetuju dengan pinangan dan bersetuju untuk diperisterikan.

Kesimpulannya, tanda diam, di dalam adat resam Melayu, maksudnya tanda bersetuju.

Najib Razak tidak bersetuju dengan isu Altantuya Shaaribu dan beliau menafikannya. Malah beliau sanggup bersumpah bahawa beliau tidak mengenali wanita Mongolia tersebut.

Apabila isteri beliau, Rosmah Mansor, dituduh membeli cincin bernilai RM24 juta, beliau tidak setuju dan beliau membuat kenyataan menafikan pembelian tersebut.

Tetapi apabila isu MAS-Air Asia dibangkitkan, Najib mendiamkan diri. Apabila isu Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamed Hassan menghantar RM10 juta ke London melalui pengurup wang untuk pembelian sebuah rumah, Najib berdiam diri.

Apabila isu pembelian saham E&O oleh suami Zarinah Anwar, Najib berdiam diri.

Kini Najib turut mengambil sikap mendiamkan diri apabila isu Feedlot dan pembelian Condo oleh NFC dan suami Shahrizat Jalil menggunakan duit pinjaman kerajaan.

Apakah ini tanda setuju oleh Najib terhadap semua penyelewangan ini.

Syed Ali Al-Habshi, Ketua Bahagian Umno Cheras berkata: "Apa yang saya nak katakan ialah Shahrizat perlu bertanggungjawab. Kalau Shahrizat sayangkan parti, beliau kena membuat keputusan yang betul."
http://thestar.com.my/columnists/story.asp?file=/2011/11/26/columnists/joceline/9972125&sec=joceline

Apa maksud Syed Ali? Maksudnya, Shahrizat bersalah dalam isu ini dan keputusan terbaik ialah meletakkan jawatan sekiranya beliau sayangkan Umno.

Hari ini Shahrizat menyalahkan pembangkang kerana isu ini.

Beliau silap. Rata-rata orang bercakap mengenai beliau dan lembu. Orang Pas, PKR dan orang Umno, MCA, MIC juga bercakap mengenai beliau. Malah mereka yang tak berminat mengundi pun bercakap mengenainya.

Tetapi orang juga bercakap kenapa Perdana Menteri berdiam diri?

Mungkinkah Najib, seperti juga seorang dara yang dipinang, bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Shahrizat dan ahli keluarga beliau?

Saturday, November 26, 2011

NAJIB PERLU SINGKIR SHAHRIZAT JALIL

Agak lama Jelapang tidak menulis kerana menyahut lambaian Kaabah.

Selama berada di Tanah Suci, berkesempatan juga memerhatikan tingkah laku jemaah haji Malaysia.

Rupa-rupanya jemaah kita, walaupun berada 7,000km dari tanahair, tidak ketinggalan mengikuti perkembangan politik negara walaupun khusyuk menunaikan ibadah haji.

Cerita Shahrizat Jalil, Lembu, Condo, 1Menerung dan Feedlot merupakan topik paling popular di Mekah dan Madinah. Begitulah canggihnya jemaah Malaysia terutamanya mereka yang berbekal Blackberry dan Ipad.

Kata jemaah haji yang juga penyokong Umno, jalan penyelesaian kepada isu ini mudah saja - Shahrizat perlu meletakkan jawatan demi parti.

Kata penyokong pembangkang, Shahrizat adalah simbol salahguna kuasa dan rasuah pemimpin Umno yang mentadbir negara selama ini. Kalau pemimpin pembangkang yang melakukan penyelewengan ini, dah beribu kali pejabat dan rumah mereka diserbu SPRM dan polis.

Kedua-dua pandangan ini ada kebenarannya.

Isu lembu ini cukup memalukan Umno terutamanya Wanita Umno. Sehingga hari ini, tiada seorang pun pemimpin Wanita bangun mempertahankan bos mereka.

Dan Shahrizat pula kini menyembunyikan diri dari khalayak ramai. Mungkin Selasa ini, beliau akan tampil di PWTC buat pertama kali selepas hampir 3 minggu isu ini menarik perhatian rakyat.

Inilah pertama kali Shahrizat takut publisiti. Selama ini, siang malam beliau mengejar publisiti. Tak cukup tampil di kaca TV, beliau tampil menerusi poster-poster Wanita di seluruh negeri.

Sehingga hari ini, Najib Razak mengambil sikap mendiamkan diri seolah-olah isu ini tidak penting atau mungkin, seperti yang disindir oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib terlalu sibuk sehinggakan beliau tidak sempat untuk mendapatkan masa meniliti isu ini.

Alangkah baiknya sekiranya Najib memberikan sedikit perhatian kepada isu Lembu Feedlot dan Condo 1Menerung ini.

Barisan Nasional tidak akan menang pilihanraya dengan hanya poster Najib diletakkan serata negara atau dengan hanya mengumumkan ETP baru atau dengan hanya bermodalkan gambar beliau bersama Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat.

Rakyat mahu melihat skil Najib mentadbir negara. Bukan setakat skil berucap di majlis-majlis perasmian.

Rakyat mahu melihat bagaimana Najib menyelesaikan isu ini. Rakyat mahu melihat akan ketegasan Najib dalam mentransformasikan negara.

Ini termasuk membersihkan Umno dan Kabinet dari salahguna kuasa.

Nama Najib akan menjulang naik sekiranya beliau tegas dengan Shahrizat Jalil. Rata-rata ahli Umno mahukan Shahrizat disingkirkan sebagai ketua wanita Umno.

Bagaimanapun, kita tidak yakin Najib berani melakukannya. Kalau Shahrizat disingkir, bagaimana dengan Menteri-Menteri lain yang juga diselaputi kudis?

Dan Najib juga terkenal dengan politik selamat.

Rabu nanti, Shahrizat akan berhadapan dengan perwakilan Wanita.

Ucapan beliau kali ini sudah pasti ucapan paling menarik dalam karier Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno.

Kalau Shahrizat sayangkan parti, beliau akan meninggalkan pentas Rabu ini sebagai bekas Ketua Wanita Umno.

Sekiranya berlaku sebaliknya, maka diri Shahrizat lebih penting dari parti.

Kita tunggu ucapan Perdana Shahrizat Jalil Rabu nanti.

Wednesday, November 2, 2011

KAKI SUPPLY PEREMPUAN KINI BERGELAR SENATOR

Memalukan dan memilukan.

Hari ini merupakan satu hari yang cukup memilukan dan memalukan untuk Barisan Nasional.

Semalam kita dikejutkan dengan pengumuman perlantikan Presiden Parti Bersatu India Malaysia, KS Nalakaruppan, bekas rakan tenis dan orang yang bertanggungjawab menyediakan perempuan untuk Anwar Ibrahim, sebagai Senator untuk tempoh tiga tahun.

Kadang-kadang sukar untuk kita membaca pemikiran Najib Razak.

Berbulan-bulan kita menghentam Anwar Ibrahim dalam isu moral. Tiba-tiba hari ini, rakan tenis Anwar menjadi pilihan Najib untuk dilantik Senator seolah-olah negara ketandusan pemimpin India untuk dilantik Senator.

Rasanya T.Murugiah dan Daljit Singh yang tidak dilantik semula sebagai Senator lebih tinggi moralnya dari Nalakaruppan.

Kita bingung dengan cara Najib membuat keputusan. Ataupun mungkin keputusan melantik Nalakaruppan dibuat ketika Najib dalam kebingungan.