Thursday, July 10, 2008

AHLI UMNO TAK LELAP TIDUR DEK PERALIHAN KUASA

PERALIHAN KUASA: Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada Najib Razak pada Jun 2010. Beliau dan Najib juga akan mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan UMNO Disember ini.

"Saya tak akan memimpin UMNO dan BN dalam pilihan raya akan datang,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan mengadakan pertemuan dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di PWTC. Itulah laporan Utusan Malaysia mengenai pengumumam Abdullah petang semalam.

Khabarnya ada pemimpin dan ahli Umno tidak tidur malam ini dan ada yang tidak lelap tidur memikirkan perkembangan terbaru ini. Sebenarnya pengumuman ini bukanlah di luar dugaan.

Tahun 2010 mula diwarwarkan bila Abdullah bertemu dengan Umno Johor selepas pilihanraya Mac lepas. Malah dalam mesyuarat tersebut ada ketua bahagian di Johor mahukan Abdullah meletakkan jawatan Disember ini.

Perkara yang sama dibangkitkan dalam “retreat” Umno di Glenmarie sebulan yang lalu. Kini Abdullah sudah menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan dua tahun dari sekarang. Apakah ini diterima oleh ahli-ahli di akar umbi? Sama-sama kita tunggu reaksi semasa mesyuarat cawangan dan bahagian nanti.

Sementara itu kita lihat apa kata reaksi beberapa pemimpin Umno terhadap pengumuman itu:

“Bukan perkara yang mudah untuk melepaskan jawatan tetapi ia dibuat demi menghormati pandangan umum, saya rasa amat terharu dan bertuah apabila Yang Amat Berhormat (Abdullah) memberi kepercayaan kepada saya,” Najib Razak.

“Najib akan dijanji peralihan kuasa akan dibuat pada 2010. Sebelum sampai tarikh keramat ini tuduhan akan dilempar terhadapnya supaya dia ternampak tidak lagi layak untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. Seorang yang dianggap lebih setia kepada Dato Seri Abdullah akan menggantinya. Pengganti tidak akan ambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2010 kerana kurang pengalaman. Dato Seri Abdullah akan bermurah hati untuk mengisi jawatan itu hingga Pilihanraya Umum ke-13.” – Dr Mahathir Mohamad.

"Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing." – Muhyiddin Yassin.

“Keputusan itu tidak akan mengubah pendirian saya untuk bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti Disember ini.” – Tengku Razaleigh Hamzah.

"Cara ini (peralihan kuasa) sebenarnya menyelamatkan Umno kerana dengan langkah ini, Umno mendapat satu perubahan secara total. Ini adalah langkah terbaik untuk memulihkan parti." Muhammad Muhammad Taib.

“Tidak ada apa yang perlu disedihkan atau kecewa. Ini adalah sebahagian daripada keputusan parti, ia adalah sesuatu yang akan mengukuhkan parti." Khairy Jamaluddin.

No comments: