Wednesday, July 9, 2008

100 HARI PENUH LONGLAI

HAMPA: Barangkali itulah yang tersirat di hati Ramlan Ahmad dari Kuala Lumpur dalam sepucuk warkah yang disiarkan di dalam ruangan surat pembaca akhbar The Star Isnin lalu.

Barangkali juga, inilah isihati setiap rakyat Malaysia ketika ini. Jelapang akan cuba menterjemahkan sebaik mungkin surat Ramlan untuk renungan bersama. (Maaf pada Ramlan sekiranya terjemahan ini kurang ketepatannya)

MEREKA TELAH MENGECEWAKAN KITA

Tanpa segan silu, tanpa berselindung, rakyat kita menitiskan airmata, merayu, memohon pertolongan dari wakil-wakil kerajaan yang telah mereka pilih agar membantu mereka meringankan bebanan kesan kenaikan kos sara hidup hari ini.

Tetapi malangnya, saban hari kita dihujani laporan media yang penuh dengan retorik – dengan rancangan-rancangan yang kononnya “prihatin rakyat” yang keberkesanannya boleh dipersoalkan.


Wakil-wakil rakyat tanpa segan silu membuka pekong di dada, mendedahkan kekurangan kewarasan mereka dengan Barisan Nasional dan Parti Keadilan Rakyat saling menunding jari, tuduh menuduh kononnya pengurusan mereka sumbang dan songsang.

Sebenarnya 100 hari pertama kerajaan BN dan PKR sungguh memalukan. Wakil-wakil rakyat kedua-dua pihak tidak memperdulikan kehimpitan hidup rakyat.

Hari demi hari, rakyat dirundung malang, tiada tempat untuk mengadu. BN dan PKR gagal menyelesaikan isu-isu yang mengusarkan rakyat..

Apa yang diharapkan rakyat hari ini ialah wang yang lebih untuk menyara hidup. Oleh itu, saya merasakan cadangan saya yang berikut akan dapat membantu mengurangkan kesempitan yang kita lalu hari ini:

· Mengurangkan caruman KWSP dari 11% ke 9%. Apa gunanya berjimat untuk hari esok kalau kita tidak mampu mengharungi kehidupan hari ini? Satu program insuran kebangsaan perlu diperkenalkan bagi membantu rakyat menampung kenaikan kos perubatan dan program ini juga berfungsi sebagai skim simpanan tambahan.
· Mengurangkan kadar cukai pendapatan sebanyak tiga hingga empat peratus dalam suasana kesempitan ini dan kekurangan pendapatan kerajaan ini diatasi dengan mengenakan “cukai durian runtuh” keatas syarikat-syarikat yang membuat keuntungan melampau seperti syarikat-syarikat dalam sektor minyak, gas dan kelapa sawit.
· Menurunkan cukai jualan dan eksais bagi kereta bawah 2000cc agar rakyat dapat membeli kereta baru yang efisyen dan jimat minyak.
· Menangguhkan semua projek-projek yang mengunakan dana kerajaan dan menyalurkan wang peruntukan tersebut untuk mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awan dan infrastuktur.


Seorang rakan dari Singapura menyatakan kenaikan harga minyak di Pulau Singa itu dapat dikurangkan kesan buruknya dengan adanya sistem pengangkutan yang efisyen.

Saya mendesak ahli-ahli politik dari BN dan Parti Keadilan Rakyat agar menumpukan perhatian kepada rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka baru-baru ini.

Saya juga mendesak golongan muda yang masih belum mendaftarkan sebagai pengundi agar mendaftar dengan segera.

Kuasa menentukan siapa yang dapat merubah hidup kita adalah di tangan kita. Begitu juga dengan kuasa menyingkirkan mereka yang tidak bermoral dan disaluti rasuah.

Kepada ahli-ahli politik yang telah dipilih rakyat, bangunlah dan bantulah rakyat yang telah meletakkan harapan dan masadepan mereka atau berdepan disingkirkan dalam pilihanraya akan datang.

Mesej rakyat adalah jelas: “Enough is enough”. (Cukuplah setakat ini)

RAMLAN AHMAD,Kuala Lumpur.

Surat asal:
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/7/8/focus/21758826&sec=focus

No comments: