Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar (mengenai produk Yahudi):
“...kita di MeCD akan cuba memperkenalkan beberapa produk gantian kepada pengguna supaya mereka ada pilihan jika mereka menolak barang-barang yang diimport daripada luar, khasnya yang dikeluarkan oleh Yahudi...”
“Saya mengambil contoh, misal kata, ubat gigi Mukmin,...ia adalah alternatif kepada Colgate yang kita tahu dari luar. Radix Fried Chicken dan juga Marrybrown, ini adalah alternatif kepada Kentucky Fried Chicken dan juga McDonald’s. Radix Cola adalah alternatif kepada Coca-Cola, Mydin sebagai contoh ialah alternatif kepada Tesco, yang kita tahu Yahudi punya. Forest’secret sebagai contoh, ialah barang kosmetik yang juga boleh jadi alternatif kepada bahan-bahan kosmetik seperti Body Shop yang dibawa daripada luar dan begitu juga halal gel adalah alternatif kepada gelatin halal yang mungkin diimport daripada luar yang belum tentu halalnya.”
Dato' Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat) (mengenai Sime Darby):
“Kalaulah Sime Darby ini ada kepentingan dalam dunia perubatan, arahkan mereka untuk wujudkan hospital khusus untuk penyakit-penyakit kanser misalnya, hospital khusus untuk penyakit-penyakit kencing manis misalnya ataupun banyak lagi hospital yang perlu ada.”
(Mengenai keputusan flip-flop kerajaan)
“Gambaran yang kita dapat hari ini ialah bahawa di peringkat tertinggi negara, di peringkat tertinggi Kerajaan Malaysia hari ini nampaknya tidak ada ketentuan dalam menentukan dasar-dasar yang penting untuk masa depan negara dan tidak ada ketentuan tentang keputusan-keputusan yang dibuat oleh pimpinan negara… Kita nampak Perdana Menteri ada dasarnya, kita nampak Timbalan Perdana Menteri ada dasarnya. Kalau Perdana Menteri mempengerusikan Kabinet, sekian-sekian dasar dan projek diluluskan. Apabila Timbalan Perdana Menteri mempengerusikan Kabinet, kemudian dasar-dasar lain pula diputuskan yang bercanggah di antara mereka. Jadi saya menyeru kepada kerajaan supaya mengawasi hal-hal ini dan jangan memporak-perandakan negara kita yang sedang menghadapi cabaran-cabaran yang cukup besar tadi.”
Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) (mengenai persaraan Pak Lah):
“Syabas dan tahniah kepada YAB PM sebab telah melakukan kewajiban dia untuk memastikan negara kita sentiasa aman, makmur, damai. Kita percaya walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, rintangan, dugaan namun YAB masih terus dapat menangani isu-isu yang berlaku dari semasa ke semasa. Bagi saya kita akan kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa besar yang ingin melihat bahawa negaranya sentiasa dalam keadaan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, pepatah ada mengatakan “pemimpin datang dan pergi”.
(mengenai Elizabeth Wong)
"Saya sebetulnya simpati dengan apa yang berlaku dengan seorang Exco Elizabeth Wong ADUN di Selangor. Bukan dia yang mahu macam itu. Akan tetapi ada orang mengambil kesempatan di atas kelemahan dia. Semua kita ini manusia. Sebab itu saya tidak berminat menyentuh soal isu-isu seumpama ini. Sebab pada saya selagi kita manusia, selagi itu kita lemah, selagi itu kita ada
kelemahan."
Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak):
"Saya dapati dapatnya kontradiksi daripada apa yang dikatakan oleh YB Marang (Abdul Hadi Awang) dengan apa yang dipraktikkan oleh pimpinan PAS. Saya ingin bertanya kalau atas dasar tidak assabiyah atas dasar tidak fanatik bolehkah YB mengutuk dan tidak merestui apa yang dilakukan oleh pengikut-pengikut PAS di Istana Kuala Kangsar tempoh hari. Yang memaki hamun tidak tentu fasal dan menggunakan slogan “Allahuakbar, Lailahaillallah”, kemudian mengeluarkan perkataan-perkataan kesat, seperti “binatang, babi, kurang ajar” dan sebagainya. Saya menyaksikan. Ini bukan tuduhan, ini bukan fitnah. I was there."
Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur): (mengenai persaraan Pak Lah)
"Ketua kepada majoriti rakyat Malaysia, tempoh YAB daripada Kepala Batas (Abdullah Ahmad Badawi) sebagai PM Malaysia Kelima ini akan diingati sebagai satu tempoh di mana peluang terlepas (missed opportunity) dan bukannya sebarang pencapaian yang sebenar."
(mengenai suasana politik dan ekonomi negara)
"Sebenarnya sejak saya dipilih sebagai Ahli Parlimen 4 tahun yang lepas, saya tidak pernah merasa begitu mual dan jijik, disgust dan distaste terhadap tahap hina politik negara kita yang telah menjunam ke tahap rendah terbaru yang digambarkan oleh perampasan kuasa secara haram, melanggar Perlembagaan Persekutuan dan tidak bermoral di Perak serta pelanggaran kebebasan peribadi serta pencabulan kehormatan Elizabeth Wong seorang anggota Exco wanita di Selangor."
"Dalam tahun 60-an, wujud apa yang dikenali sebagai the great trend robbery di United Kingdom. Kini, kita adalah the great political robbery. Kita sendiri di Malaysia yang bukan sahaja membangkitkan rasa jijik dan mual di kalangan rakyat Perak tetapi di kalangan rakyat Malaysia yang berfikiran waras di seluruh negara terhadap penafian hak sah rakyat serta perampasan satu kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat sendiri menerusi proses demokratik sebenar."
"Rakyat Malaysia, pelancong dan pelabur semua tidak merasa selamat di negara ini sama ada di kawasan awam mahupun di rumah sendiri. Kini, dengan wujudnya the great political robbery yang dirangka oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, rakyat Malaysia juga turut hilang keselamatan hak politik mereka."
"YB Menteri-menteri Barisan Nasional merupakan “katak bawah tempurung” yang enggan mengakui hakikat yang sebenar. Menteri-menteri BN hanya suka dan pandai menepuk dada dan memuji diri sendiri “bagaikan siput memuji buntut.” Kenyataan-kenyataan yang “mengangkat bakul” sahaja merupakan sikap kurang bertanggungjawab terhadap pengurusan ekonomi di Malaysia."
Rujukan: http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR-18022009.pdf
Sunday, March 1, 2009
SKETSA PARLIMEN 3 (FEB 18/09): YAHUDI, SIME DARBY, ELIZABETH WONG & PERSARAAN PAK LAH
Labels:
parlimen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salam,
Good info kepada orang macam kami yg selalu terlepas input persidangan.
Post a Comment