Disiarkan sepucuk surat yang disiarkan oleh Utusan Malaysia buat tatapan golongan kelas atasan Bukit Antarabangsa yang tidak bersyukur.
Penduduk perlu mohon maaf secara terbuka
SAYA amat tertarik dengan laporan Utusan Malaysia pada 26 Disember 2008 yang melaporkan Tabung Bencana Alam Bukit Antarabangsa tidak mendapat sambutan dari masyarakat dan hanya mengutip RM160,000 walaupun pelbagai kempen telah diadakan.
Di sini saya ingin menarik perhatian Pengerusinya, Datuk Ismail Kijo atau sesiapa sahaja yang mewakili penduduk Bukit Antarabangsa supaya merenung kembali sorotan kejadian tersebut.
Sepanjang proses menyelamat, para petugas yang terdiri dari polis, tentera, pasukan perubatan, Rela dan pelbagai agensi telah bertungkus lumus siang dan malam untuk membantu para penduduk menyelamatkan diri dan harta benda mereka.
Namun pada masa yang sama juga, pelbagai rungutan dan cemuhan daripada para penduduk Bukit Antarabangsa dilaporkan. Antaranya ialah pasukan penyelamat mencuri harta benda, privasi mereka terganggu dan pelbagai rungutan remeh- temeh yang kurang enak didengar.
Tidak salah untuk membuat laporan tetapi cara para penduduk mencari publisiti murahan dengan membesar-besarkan isu tersebut di media massa telah menyinggung hati sebahagian besar anggota penyelamat.
Anggota penyelamat juga manusia biasa, mempunyai hati dan perasaan. Mereka meninggalkan keluarga dan bekerja lebih masa untuk membantu para penduduk. Mereka mungkin berkecil hati, tetapi tugas tetap dilaksanakan dengan tabah dan cekal. Syabas diucapkan!
Isu-isu ini dibesar-besarkan seolah-olah anggota penyelamat langsung tidak profesional dalam menjalankan tugas. Saya percaya sebahagian besar masyarakat yang membaca atau mendengar laporan seperti ini mungkin akan pudar rasa simpati mereka terhadap para penduduk yang terlibat.
Laporan-laporan yang dibuat hanya menggambarkan para penduduk Bukit Antarabangsa sebagai golongan yang tidak bersyukur.
Sebagai seorang pegawai tentera, saya amat terkilan dengan publisiti murahan seperti ini. Operasi menyelamat bukan sesuatu yang baru di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya. ATM telah terlibat dengan pelbagai operasi menyelamat seperti banjir, tsunami, tanah runtuh dan sebagainya dan mereka telah melaksanakan amanah yang diberi dengan cemerlang dan penuh dedikasi.
Berhubung Tabung Bencana Alam Bukit Antarabangsa yang tidak mendapat sambutan, saya berpendapat ada baiknya jika wakil penduduk atau sesiapa sahaja yang mewakili mereka membuat permohonan maaf secara terbuka khususnya kepada semua anggota penyelamat yang terlibat.
Ini bukan soal kaya atau miskin, ini soal hati dan perasaan. Mungkin dengan cara ini, tabung bencana tersebut akan lebih mendapat perhatian daripada masyarakat.
AMERKepong
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm
Tuesday, December 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment