Ramai tertanya siapa sebenarnya penulis yang menggunakan nama pena "Awang Selamat". Zainuddin Maidin (Zam) dalam penulisan terakhirnya sebelum mengundurkan diri pada 1992 membuat pengakuan bahawa beliaulah Awang Selamat.
Bermula dari tarikh itu, penulis sebenar Awang Selamat bukan rahsia lagi. Johan Jaafar yang mengambil alih dari Zam menukarkan nama ruangan pojok tersebut kepada Awang Sulung.
Khalid Mohd, bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, yang bersara Oktober lepas, menghidupkan semula Awang Selamat pada 1998 pabila Johan disingkirkan selepas Anwar Ibrahim gagal dalam usahanya menyingkirkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Maka ramai berpendapat Khalid Mohd adalah penulis sebenar Awang Selamat di zaman beliau.
Semalam, mungkin ramai akan meramalkan Aziz Ishak, Ketua Pengarang Utusan Malaysia yang baru, sebagai penulis baru Awang Selamat yang dihidupkan semula.
Seperti kata Awang Selamat semalam, "Kali terakhir ruangan ini disiarkan ialah pada 27 Februari 2005. Sejak itu kerap timbul pertanyaan mengapa ia terhenti. Pelbagai telahan dan andaian dibuat. Ada yang mendakwa kononnya penulis terdahulu ruangan ini merajuk, protes kecil dan mahu mengelak kontroversi."
Sebenarnya, itulah sebab sebenarnya mengapa ruangan Awang Selamat dihentikan oleh Khalid. Awang Selamat pada masa itu mahu tidur lena. Awang Selamat pada masa itu "kepanasan" dek kritikan-kritikan keras beliau terhadap kerajaan. Maka untuk "menyejukkan" perasaan marah pemimpin ketika itu, Awang Selamat direhatkan. Mungkin itulah juga sebabnya Khalid dapat bertahan sebagai Ketua Pengarang Utusan Malaysia selama 10 tahun. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
Adakah Aziz dapat mengekalkan dan mempertahankan Awang Selamat semasa era beliau di Utusan Malaysia? Awang Selamat terkenal dengan kritikan-kritikan pedas tetapi konstruktif terhadap kerajaan.
Sebenarnya, Awang Selamat merupakan mata dan telinga kerajaan dan suara orang Melayu dan tidak segan-silu menegur kerajaan dalam apa jua isu. Apabila Awang Selamat dihentikan semasa pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, tiada akhbar berani menegur kerajaan. Itulah kelemahan Pak Lah dan orang-orang di sekeliling beliau. Mereka takut kepada kritikan.
Tiada lagi ketua-ketua pengarang sehebat Allahyarham Tan Sri A.Samad Ismail, A.Kadir Jasin (http://kadirjasin.blogspot.com/), Yusof Ishak, Said Zahari dan Melan Abdullah.
Ketua-ketua pengarang hari ini, yang nama mereka tidak layak disebutkan di sini, hanya menjadi pak turut kepada pemimpin. Lebih menyedihkan bila ketua-ketua pengarang ini menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi dan perniagaan masing-masing terutamanya Pengarang di kumpulan New Straits Times Press. Salah seorang bekas Pengarang Kumpulan yang masih memegang jawatan di NSTP kini Pengerusi sebuah syarikat penerbangan (bukan MAS).
Kita berharap Aziz Ishak mengekalkan kredibiliti seperti mana Ketua-Ketua Pengarang Utusan Malaysia yang lain. Zaman Khalid berakhir kerana ada di kalangan pemimpin tertinggi Umno tidak senang dengan kritikan yang dibuat oleh Utusan Malaysia terhadap Umno, kerajaan dan kepimpinan.
Awang Selamat dibenci oleh orang tertentu. Tetapi Aziz Ishak mesti ingat. Lebih ramai yang menyayangi Awang Selamat dari yang membencinya.
Apa pun, tugas Aziz bukan mudah. Aziz masih muda dan beliau perlu membuktikan bahawa muda tidak bermakna mentah. Aziz akan berhadapan dengan pelbagai dugaan (http://paknujum.blogspot.com) termasuk dari ahli keluarga Utusan sendiri.
Harapan kita, Awang Selamat akan berkekalan. Tetapi selama mana? Telinga Najib Razak mungkin tidak senipis telinga Pak Lah. Awang Selamat mungkin dapat bertahan. Jika tidak, kita tahu kenapa!
1 comment:
Tuan, pembetulan terhadap persepsi Aziz Ishak seorang yang dilantik ke jawatan sebagai orang muda. Aziz Ishak sama mudanya menjadi KP sebagaimana mudanya Khalid Mohd menjadi KP. Cuma yang bezanya Aziz Ishak ditabalkan dengan rambut penuh di kepala. Mungkin sebab itulah persepsi sedemikian menjadi rentetan dalam blog tuan.
Post a Comment