Monday, August 18, 2008

PERMATANG PAUH: LALUAN BERONAK UNTUK UMNO?

MAMPUKAH jentera Barisan Nasional dan Umno menawan Permatang Pauh?
SUKAR sekiranya kehadiran penyokong kedua-dua belah pihak dianggap sebagai petanda. Bagi penganalisa politik, kehadiran penyokong Sabtu lalu menggambarkan bahawa Anwar Ibrahim tidak menghadapi masalah untuk kembali sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Persoalannya kini apakah undi majoriti Keadilan akan bertambah atau merosot kali ini? Jika merosot, ianya kemenangan moral buat Umno. Jika meningkat, ia petanda krisis keyakinan rakyat kepada Umno.

Kemungkinan besar jumlah keluar mengundi akan berkurangan kerana hari pengundian diadakan pada hari bekerja. Pengundi luar mungkin mengambil keputusan tidak mengundi kali ini kerana kenaikan harga petrol menyebabkan kos untuk pulang mengundi kini lebih tinggi berbanding semasa pilihanraya umum Mac lepas.
Kehadiran penyokong pembangkang yang dikatakan empat kali ganda penyokong BN di hari penamaan calon pasti meresahkan Umno.

Lebih meresahkan ialah wajah-wajah golongan muda di kalangan penyokong pembangkang mengibarkan wang kertas sebagai protes terhadap gejala rasuah di dalam kerajaan. Suasana ganas penyokong pembangkang juga petanda tidak baik buat Umno. Setiap kali penyokong pembangkang bertindak ganas, BN dan Umno tewas.
Ketika pilihanraya kecil di Lunas, Kedah, pada Disember, 2000, 12 buah bas yang membawa penyokong-penyokong BN dihalang oleh penyokong-penyokong pembangkang. BN tewas.

Ketika pilihanraya kecil Anak Bukit, Kedah, pada Jun 2002, enam penyokong BN membuat laporan polis selepas mendakwa ditahan penyokong pembangkang, BN juga tewas.

Semalam akhbar-akhbar arus perdana menyiarkan gambar-gambar jurukamera diserang penyokong pembangkang. Adakah ianya juga petanda Umno akan tewas?

Kesimpulannya, Anwar bukan lawan yang mudah. Hanya keajaiban yang dapat memberikan kemenangan kepada Umno sekiranya sentimen orang Permatang Pauh, suasana politik dan ekonomi negara dan sejarah Permatang Pauh diambil kira.
KEPUTUSAN PILIHANRAYA YANG LALU
1982: Anwar Ibrahim – majoriti: 14,352
1986: Anwar Ibrahim – majoriti: 10,479
1990: Anwar Ibrahim – majoriti: 16,150
1995: Anwar Ibrahim – majoriti: 23,515
1999: Wan Azizah ­­ -- majoriti: 9,077
2004: Wan Azizah ­­ -- majoriti: 590
2008: Wan Azizah ­ ­-- majoriti: 13,398

No comments: