Showing posts with label mukhriz mahathir. Show all posts
Showing posts with label mukhriz mahathir. Show all posts

Sunday, April 1, 2018

PEMIMPIN UMNO MENANTI UNTUK DIHISAB OLEH RAKYAT SEMASA PRU14


DUA perkara akan berlaku sekiranya Najib Razak ditegur oleh pemimpin sendiri. Samada ....

1. DiSINGKIRkan dari Umno dan diPECAT dari jawatan sepertimana yang berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir.

2. DiCERCA sepertimana yang dilakukan terhadap Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim.

Itulah cara pentadbiran hari ini.

Pernahkah pucuk pimpinan hari ini mengaku kesilapan sendiri?

Sehingga hari ini, tidak sekali pun mengaku akan kesilapan. Menuduh orang lain sudah menjadi perkara biasa.

NAFI, hampir setiap hari nafi itu dan ini.

Ini semua akan diHISAB semasa PRU 14 bulan hadapan.


Saturday, December 17, 2016

BOBOI PAK LAH, BRIGIDIER JENERAL KHAIRY JAMALUDDIN MASIH MEMBISU DAKWAAN MUKHRIZ



MACAM-macam komen diberikan mengenai sikap membisu BRIGADIER JENERAL Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda Umno berikutan dakwaan Mukhriz Mahathir antara lain mendakwa Khairy pernah memberitahu beliau Najib Razak mungkin membayar seorang Arab antara RM10juta dan RM20 juta untuk mengaku menderma RM2.6 bilion.

Antara komen-komen:

Apa benda dalam hidup beliau yang Khairy tak buat. Berani terjun pakai payung terjun. Tembak guna M16.

Berani "tackle" anak Perdana Menteri.

Ada juga orang bertanya dalam komen: "Bila boboi Pak Lah nak jawab dakwaan Mukhriz?"

Kita tunggulah sikit hari lagi.

Baru masuk hari ke 6 Khairy menyembunyikan diri. Mungkin mengharapkan orang lupa.

Kalau berani terjun dari langit, tak mungkin BRIGADIER JENERAL KHAIRY JAMALUDDIN tak berani jawab dakwaan Mukhriz.

Sabar menanti.

Wednesday, December 14, 2016

ALASAN NAJIB TAK MASUK AKAL, KATA KHAIRY JAMALUDDIN, CUBA MEMPERBODOHKAN ORANG. DAKWA MUKHRIZ. BILA KHAIRY NAK JELASKAN

Image result for khairy jamaluddin

SUDAH masuk 4 hari Khairy Jamaluddin mendiamkan diri.

Kita masih menanti jawapan beliau kepada dakwaan Mukhriz Mahathir mengenai beliau.

Jika Ketua Pemuda Umno Malaysia ini lupa apa yang didakwa Mukhriz, kita tolong ingatkan.

Berikut kenyataan yang dibuat Mukhriz:

“Pada tahun lepas, salah seorang kenalan kita menjemput saya (Mukhriz) untuk berjumpa dengan KJ secara SULIT di rumahnya, kira-kira jam 11.30 malam. Saya pergi sendiri ke rumah dia, berjumpa tiga orang sahaja dan ada saksi.
“Perjumpaan itu kononnya untuk menyatukan kami berdua kerana kami dilihat pemimpin-pemimpin muda dalam Umno yang walaupun nampak sebelum ini bertentangan, tapi dalam hal menyelamatkan Umno ketika itu dia ingat kami berdua mungkin boleh lakukan suatu menggerakkan ahli-ahli di peringkat akar umbi khususnya orang muda untuk MENOLAK KEPIMPINAN NAJIB.
"pengakuan daripada KJ itu dibuat dengan alasan TIDAK MEMPERCAYAI LANGSUNG ALASAN YANG DIBERIKAN PERDANA MENTERI mengenai isu 1MDB dan DERMA RM2.6 bilion.
“Dia kata kepada saya, alasan-alasan yang diberikan LANGSUNG TAK MASUK AKAL dan macam memperbodohkan rakyat. Kemudian mengenai RM2.6 bilion, dia kata pak Arab ini bukan semuanya kaya termasuklah putera-putera raja pun. Jadi pilihlah yang mana tak kaya, bagi RM10 atau RM20 juta, suruh dia mengaku kononnya dia bagi RM2.6 bilion kepada Najib, selesailah.
“Itu kata-kata KJ kepada saya dan dia yakin perkara itu berlaku. Bukan setakat itu sahaja, dinyatakan bahawa dia sudah bersedia untuk letak jawatan kerana sudah tak tahan membela seorang pemimpin yang dia tahu salah guna kuasa. Kami memang sependapat mengenai masalah yang dibawa ke dalam Umno oleh presiden sendiri.
"Maklumat yang saya terima akhirnya KJ memang sudah menyerahkan surat peletakan jawatan Menteri Belia dan Sukan kepada Najib dan mungkin melibatkan juga jawatan Ketua Pemuda Umno.
“Tetapi saya difahamkan Najib suruh (Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi pujuk KJ dengan apa-apa tawaran yang saya tak pasti, sehingga akhirnya KJ tarik balik surat peletakan jawatan itu.
“Ini membuktikan bahawa apa yang dia sebut dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini kononnya dia sokong tak berbelah bahagi memang ayat Umno. Kononnya orang sangka dia itu jahat, tengok Mukhriz pun dah tinggal Umno. Hanya dia yang kekal, maka dia lah orang yang baik-baik kononnya." 
 http://www.sinarharian.com.my/politik/kj-hantar-surat-letak-jawatan-1.597064

Bila agaknya Khairy nak jawab tuduhan ini?

Khairy adalah Ketua Pemuda. 

Ketua Pemuda Umno sebelum ini berani-berani belaka. Jangan pula Khairy jadi Ketua Pemuda TAKUT untuk tampil bersuara.

Tak perlu menyuruh budak hingusan dari Kedah yang bergelar Dato' pada cawan kopi Starbucks untuk menjawab bagi pihak beliau.

Kita mahu dengar dari MULUT Khairy sendiri. Betul atau tidak Khairy TIDAK PERCAYA kepada alasan Najib mengenai DERMA RM2.6 bilion?

Betul atau tidak Khairy berkata alasan Najib seperti memperBODOHkan rakyat?

Betul atau tidak Khairy berkata pilih ARAB mana-mana dan bagi RM10 JUTA atau RM20 JUTA untuk mengaku sebagai penderma kepada Najib?

Betul atau tidak beliau meletakkan jawatan?

Kes ini tak selesai selagi Khairy tidak tampil ke depan menjelaskan dakwaan Mukhriz ini.

Kita hendak tengok NILAI DIRI Khairy. Samada beliau bercakap benar atau mahu turut berDUSTA.

Kita sabar menanti.

TAMPIL LAH KJ!

Wednesday, March 2, 2016

DIPANGGIL ANJING, DI LABEL KURANG AJAR, ADAKAH MUHYIDDIN KELUAR UMNO ESOK?

Image result for muhyiddin+mukhriz+shafie Apdal

Dilabel

1. KURANG AJAR dan ANJING (yang mengigit tuannya) oleh Nazri Aziz, 

2. DiPECAT sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Najib Razak,

3. DiGANTUNG sebagai Timbalan Presiden Umno oleh Najib, 

4. Pergantungan sebagai Timbalan Presiden Umno disifatkan sebagai "hari TERBAIK UNTUK UMNO" oleh Rahman Dahlan.

Apakah Muhyiddin Yassin akan KELUAR Umno esok? Atau beliau dapat menerima label "ANJING" dan "KURANG AJAR" yang dilemparkan oleh rakan parti beliau.

Kita tunggu KEPUTUSAN Muhyiddin esok. Keputusan esok akan menentukan di mana Muhyiddin meletakkan MARUAH dan MERTABAT beliau.


SIDANG AKHBAR MUHYIDDIN (dilaporkan akan turut dihadiri oleh Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir)

Esok, Khamis, 3 Mac 2016

Jam: 11 pagi

Tempat: Epicure 1, Jalan Medan Setia 1, Plaza Damansara, Kuala Lumpur. 

Saturday, February 27, 2016

MUHYIDDIN: NAJIB DIKTATOR, MALUKAN RAKYAT

Image result for muhyiddin yassin+najib
"Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi Najib. Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib. Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib. Yang menjadi punca segala masalah UMNO hari ini bukan saya, tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya." - MUHYIDDIN YASSIN


KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk menggantung saya daripada jawatan Timbalan Presiden. Keputusan ini telah saya jangka. Ia bukan satu perkara yang mengejutkan.

Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung.

Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan Timbalan Presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu Presiden. Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu Presiden?

Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan UMNO, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu Presiden dalam mentadbir dan mengurus parti.

Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada Presiden serta menegur Presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan UMNO. Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur Presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.

Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan UMNO ke landasan yang betul supaya UMNO terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu Presiden.

Adakah membantu Presiden itu bermaksud menyokong Presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu. Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam UMNO menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam UMNO bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada UMNO.

Hari ini tercatat dalam lipatan sejarah UMNO, seorang Timbalan Presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur Presiden. Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai Timbalan Presiden.

Ketika pindaan perlembagaan UMNO dibuat untuk membolehkan ahli-ahli di akar umbi memilih pemimpin utama parti, UMNO dicanang sebagai sebuah parti yang paling demokratik di negara ini. Tidak ada mana-mana parti di Malaysia yang membuka ruang seluas-luasnya kepada lebih 140,000 perwakilan dari seluruh negara memilih pemimpin-pemimpin utama parti.

Namun, keputusan MT hari ini langsung tidak memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokratik. Suara majoriti ahli, malah majoriti rakyat, diketepikan dengan sewenang-wenangnya oleh MT semata-mata untuk mempertahankan seorang individu yang terpalit dalam skandal rasuah dan penyelewengan yang amat memalukan.

MT gagal menangani krisis kepimpinan parti yang berpunca daripada penglibatan Najib dalam skandal IMDB dan derma RM2.6 bilion yang tidak dijelaskan dengan sepenuhnya oleh beliau. MT tidak berani bertanya Najib jika benar RM2.6 bilion itu wang parti, kemana perginya wang itu selepas akaun ditutup pada 2013. MT juga tidak bersedia bertanya Najib mengenai tuduhan wang SRC International berjumlah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun Najib. Skandal yang menyelubungi Najib telah memberi imej yang amat teruk kepada parti, kerajaan dan memalukan rakyat.

Mengenai wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadi Najib dari SRC International, saya diberitahu mengenainya oleh mantan Peguam Negara sendiri beserta dengan buktinya sekali yang sah merupakan suatu perbuatan jenayah! Saya beristighfar!

Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi Najib. Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib. Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib. Yang menjadi punca segala masalah UMNO hari ini bukan saya, tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya.
MT lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap diri saya daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan saya yang mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan UMNO dan negara.

Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya. Walau bagaimanapun, saya tidak akan merayu.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada peringkat awalnya, beberapa pemimpin utama UMNO datang menemui saya mengadu hal mengenai pelbagai skandal yang menyelubungi Najib dan isterinya. Mereka meminta saya melalukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Mereka bimbang UMNO akan ditolak oleh rakyat jika Najib terus memimpin parti.

Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh memperbetulkan keadaan secara bersendirian. Saya cadangkan supaya mereka bersama-sama secara kolektif menasihati Najib. Mudah-mudahan dia bersedia untuk memperbaiki kesilapannya demi menyelamatkan UMNO dan negara. Malangnya, mereka tidak berani menasihati Najib.

Akhirnya, apabila keadaan bertambah teruk saya mengambil tanggungjawab untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata bersamanya, dalam mesyuarat kabinet, mesyuarat MT dan kemudiannya dalam platform parti secara terbuka. Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya datang menemui saya mula menjauhkan diri daripada saya. Hari ini, orang-orang inilah yang paling lantang mengecam saya.

Saya tidak berduka dengan apa yang terjadi kepada diri saya. Namun saya berasa jengkel. Apa sudah jadi dengan sistem nilai di dalam UMNO? Telah terhapuskah nilai-nilai kejujuran, keikhlasan dan keberanian untuk menyatakan yang hak dan menentang yang batil? Telah leburkah semangat perjuangan dalam diri pemimpin UMNO? Atau, apakah yang bermaharajalela hanyalah nafsu kuasa yang penuh muslihat dan tipu daya?

Barangkali sistem nilai dalam UMNO telah punah. Mereka yang berkepentingan tidak lagi dapat membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Yang diutamakan bukanlah matlamat asal perjuangan parti, tetapi kepentingan diri. Akibat daripada ini UMNO akan rosak dan ditolak oleh rakyat.

Hari demi hari, kredibiliti dan imej negara juga semakin terjejas. Keadaan ekonomi semakin tidak menentu, rakyat dihimpit masalah kos sara hidup yang semakin meningkat manakala ruang demokrasi dan kebebasan semakin tertutup. Mereka yang lantang mengkritik Najib ditahan di bawah undang-undang keselamatan, portal berita atas talian disekat dan suara-suara yang menentang ditekan dengan pelbagai ugutan.

Najib juga sedang mengukuhkan kuasanya. Peguam Negara memberikan alasan paling tidak munasabah untuk menolak pendakwaan ke atas Najib walaupun mempunyai bukti yang kukuh. Hanya kerana dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara tidak berani mendakwa Najib. Institusi seperti SPRM dan Bank Negara tidak dapat berfungsi dengan sempurna kerana ditekan oleh mereka yang berkuasa. Akta Majlis Keselamatan Negara pula digubal untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan yang impaknya sama seperti pengisytiharan darurat.

Dalam menghadapi kemarahan rakyat terhadap kepimpinannya, Najib menggunakan segalakuasa yang ada padanya untuk menekan suara yang menentang dan mendiamkan pengkritik. Kita sebenarnya sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan seorang diktator baharu.

Saya akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran dan menuntut reformasi institusi (institutional reform) yang lebih menyeluruh. Kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong dalam pelantikan dan pelucutan jawatan Peguam Negara mesti dihadkan. Oleh kerana Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasanya di bawah Perlembagaan bertindak atas nasihat Perdana Menteri, maka sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri boleh terlepas daripada pendakwaan jenayah dengan hanya menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya melucutkan jawatan Peguam Negara.

Jika Peguam Negara bukan seorang yang berani, maka Perdana Menteri akan menjadi seorang yang amat berkuasa dan kebal di sisi undang-undang. Dia boleh dengan sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja jenayah dan terlepas daripada sebarang hukuman. Ini bukanlah sesuatu yang adil malah amat bertentangan dengan prinsip bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang.

Selain itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan Polis Di-Raja Malaysia mesti dipastikan bebas untuk menjalankan fungsi masing-masing tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun. Peranan mereka di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara mesti diperkukuhkan. Kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan ketua-ketua agensi ini mesti dihadkan untuk membolehkan mereka bertindak secara bebas dan telus.

Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita. Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan. Ia bukan sekadar mendesak Perdana Menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat. Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti.

Saya menghargai semua pihak yang menyatakan sokongan untuk terus berjuang bersama saya. Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah lebih awal menyatakan sokongan kepada saya. Kepada kedua-dua mereka saya ucapkan terima kasih. Kepada pemimpin akar umbi UMNO terutamanya Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang berani berkata benar saya ucapkan tahniah. Saya juga amat menghargai pendirian UMNO Pagoh yang tidak gentar mengharungi badai gelombang bersama saya. Marilah kita terus berjuang!

Rakyat mesti bangkit untuk menentang kezaliman dan kemungkaran. Selamatkanlah Malaysia. Saya bersedia untuk bersama-sama anda dalam perjuangan ini. Jangan takut kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah s.w.t.

Allahu Akbar!


MUHYIDDIN YASSIN
27 Februari 2016

Wednesday, February 17, 2016

STADIUM DARULAMAN KEDAH GAMAT MAHU "NAJIB LETAK JAWATAN"



Malam tadi Kedah menang 1-0 melawan Terengganu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darulaman.

Rakyat Kedah GERAM dan MARAH dengan pemecatan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Hanya perletakan Najib Razak, agaknya, dapat menyembuh kembali luka orang Kedah.




BASHAH BELUM DAPAT MENGADAP PEMANGKU SULTAN?



ADA yang tidak KENA dengan berita berikut.

Petikan:
“Insya-Allah 22 haribulan ini, majlis angkat sumpah akan diadakan. Tapi Menteri Besar masih belum mengadap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah lagi. Beliau akan jumpa dalam masa terdekat ini dan jika tiada sebarang masalah, Isnin ini Exco baharu akan angkat sumpah.”

http://www.utusan.com.my/berita/politik/exco-kedah-angkat-sumpah-8232-22-februari-1.191465

Menteri Besar Kedah yang baru belum mengadap, tarikh angkat sumpah telah ditetapkan?

Ahmad Bashah Md Hanipah ada MASALAH untuk mengadap DYMM Pemangku Sultan?

Saturday, February 13, 2016

BN TERBALIK DI LANGKAWI?

APAKAH orang Kedah sedang mengAJAK negeri-negeri lain untuk turut serta menaikkan bendera BN secara terbalik?

Mungkin itu hasrat mereka.

Friday, February 12, 2016

SURAYA BAKAL TERKORBAN DI KEDAH?




BEBERAPA hari lagi, Menteri Besar Kedah yang baru, Ahmad Bashah Md Hanipah, akan mengumumkan Barisan Exco beliau.

Ramai menjangkakan untuk tahun ini, Bashah akan mengekalkan kesemua barisan ahli Exco Mukhriz Mahathir yang menyokong beliau semasa usaha menjatuhkan Mukhriz.



Dua ahli Exco yang kekal SETIA bersama Mukhriz hingga ke saat akhir ialah SURAYA YAACOB (Adun Sungai Tiang) dan Aminuddin Omar (Adun Jitra).

Aminuddin dikhabarkan menolak jawatan Exco di bawah Bashah.

Kita menanti adakah Bashah akan mengenepikan Suraya semata-mata kerana Suraya SETIA kepada Mukhriz.

Tidak ramai pemimpin yang berPRINSIP dan BERANI seperti Suraya.

Sebelum bermula sidang akhbar terakhir Mukhriz untuk mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar, Mukhriz meminta Suraya meninggalkan sidang akhbar tersebut kerana tidak mahu "MASA DEPAN POLITIK" Suraya terjejas.

Tetapi Suraya tetap SETIA kepada "boss" beliau dan duduk disebelah kanan Mukhriz semasa beliau melepaskan jawatan Menteri Besar.

Berapa ramai yang mempunyai KESETIAAN sedemikian rupa di dalam politik Umno hari ini?


Kini tiba masanya kita mengukur sejauhmana Umno dan Bashah menghargai KESETIAAN.

Adakah Suraya akan diHUKUM dan diKETEPIKAN sebagai Ahli Exco atau ini masanya membalas DENDAM terhadap Suraya?

Jawapannya akan diketahui kelak.

Thursday, February 4, 2016

RAFIDAH AZIZ: KEMELUT KEDAH CERMIN BUDAYA TAMAK KUASA DALAM UMNO

Image result for rafidah aziz

“Kemelut di Kedah mencerminkan budaya politik kita. Budaya politik untuk KEPENTINGAN DIRI. MENJATUHKAN orang lain untuk merebut kedudukan. Inilah yang dikatakan TAMAK.

Tamak terhadap KUASA untuk kekuasaan. Pemimpin Umno seharusnya bersatu dan bukannya mengamalkan budaya politik memecah belah. Biar menang sorak...kampung tergadai. Biar parti HANCUR, asal hasrat peribadi tercapai.

Ke mana nak dibawa jawatan, pangkat dan kuasa? Apa ertinya jawatan kalau tidak untuk bekerja dan menunaikan tanggungjawab? Kenapa tidak bekerjasama dalam pasukan dan melengkapi antara satu sama lain untuk mengumpul kekuatan bagi mencapai kejayaan dalam memberi perkhidmatan?

Kerajaan seharusnya lebih serius dalam menyelesaikan kemelut yang melanda negara dan bukannya berterusan mewujudkan lebih banyak penipuan dalam politik.

TOLONGLAH SERIUS. Negara ini tidak mahu lagi PENIPUAN POLITIK. Cukuplah dengan pelbagai isu sebelum ini. Baiki segala kerosakan yang telah berlaku.” - Bekas Ketua Wanita Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa RAFIDAH AZIZ.


SELAMAT BERTUGAS BASHAH. HANYA ALLAH SWT DAPAT MELINDUNGI KAMU



TAHNIAH kepada Adun Bakar Bata Ahmad Bashah Md Hanipah di atas perlantikan sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-12 hari ini, tanggal 4 Feb 2016.

Bashah orang lama dalam politik. USIA beliau 66 tahun sudah cukup untuk menggambarkan berapa lama beliau berpolitik. Ramai dari generasi beliau sudah lama "pencen" berpolitik. Sukar di era hari ini untuk seorang yang seusia Bashah dapat menjadi MB.

Tetapi rezeki Bashah masih ada. Selepas 2 kali di"permainkan", Bashah akhirnya dinobatkan sebagai Menteri Besar.

Malangnya tidak semua menyambut perlantikan beliau secara positif.

Kelulusan Bashah menarik perhatian publik. Ada mengatakan beliau hanya lulus SRP dan ada mengatakan beliau SPM. Nakalnya seorang pemimpin pembangkang, beliau meminta Bashah menunjukkan SIJIL SPM beliau.

Usia beliau menjadi topik hangat di kalangan Umno. Adakah pada usia 66 tahun Bashah mampu mengemudi Umno Kedah dan memahami aspirasi pengundi muda?

Belum dilantik secara  rasmi sebagai MB, Bashah sudah dinilai sebagai pemimpin LAPUK yang TIDAK MEMENUHI CITARASA generasi muda oleh sesetengah ahli Umno.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/02/04/ahli-umno-ragui-kemampuan-bashah/

Mampukah Bashah?

Bashah akan keseorangan menjalankan tanggungjawab menjaga Umno dan negeri selepas ini.

Sejarah politik Kedah mudah. Gagal melaksanakan tanggungjawab, Bashah akan dijatuhkan oleh orang partinya sendiri. Sama seperti yang dilalui oleh Mukhriz Mahathir.

Di Kedah, tak ramai yang berkelulusan tinggi TETAPI cita-cita mereka tinggi. Semua merasakan mereka layak menjadi MB walaupun dengan SRP..

Mahdzir Khalid mencipta sejarah sebagai Menteri Besar Kedah paling singkat usianya - 802 hari dan Kedah jatuh ke tangan Pas.

Bashah lebih memahami politik Kedah dan beliau melihat bagaimana MB sebelum ini dijatuhkan.

1. Allahyarham Syed Nahar Syed Sheh Shahabuddin menjadi MB selama 2,391 hari dan dijatuhkan oleh orang parti sendiri melalui video majlis makan malam Koboi -Montoya.

2. Tan Sri Osman Aroff merupakan MB paling lama Kedah, memegang jawatan selama 4,157 hari dan merupakan pemimpin yang memodenkan Kedah dan akhirnya dijatuhkan oleh pemimpin sendiri.

Bashah pada masa itu adalah Bendahari Umno Kedah dan beliau melihat sendiri bagaimana beberapa pemimpin Umno menikam Osman dari belakang. Akhbar-akhbar berbahasa Cina digunakan, bomoh digunakan, pembantu rumah digunakan, surat layang digunakan malah spy juga digunakan untuk menjatuhkan Osman.

Salah seorang dari Ketua-Ketua Bahagian sekarang tahu segala-galanya mengenai usaha menjatuhkan Osman pada masa itu. Jika Bashah lupa, tanyalah pada Ketua Bahagian tersebut yang juga sekarang ini memegang jawatan penting.

3. Sanusi Junid memegang jawatan MB selama 1,999 hari. Keangkuhan menjadi punca kejatuhan beliau. Tidak memeranjatkan hampir kesemua pemimpin Umno menikam belakang beliau bertubi-tubi.

4. Selepas PRU 1999, Syed Razak Syed Zain Barakbah dilantik sebagai MB dan kekal selama 2,203 hari. Baik orangnya. Mudah berbicara. Rendah diri. Tetapi Syed Razak melalui perkara sama yang dilalui Bashah sekarang ini. Diperlekehkan.

Apabila Syed Razak diserang angin ahmar (stroke), ia umpama berita gembira bagi sesetengah pemimpin Umno. Peluang menjadi MB semakin cerah.

Syed Razak terpaksa bertongkat ke pejabat dan majlis awam. Apa yang dilakukan oleh pemimpim ini? Mengambil gambar Syed Razak bertongkat dan dihantarnya gambar-gambar ini kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dan Pak Lah diberitahu, Syed Razak sudah TIDAK MAMPU menjalankan tugas sebagai MB. Di canang ke seluruh pelusuk Kedah KEBURUKAN Syed Razak.

Bashah tahu semua ini. Bashah ahli EXCO pada masa itu. Malah Pak Lah mahu memilih Bashah sebagai MB, tetapi ada yang melobi lebih kuat dari beliau. Maka melepas Bashah. Jika Bashah terlupa, tanyalah kepada pemimpin yang ada sekarang. Beliau lebih mengetahui. Atau ziarahi Syed Razak dan beliau akan menceritakan segalanya.

5. Mahdzir Khalid dilantik sebagai MB selepas Syed Razak dan hanya merasai kerusi empuk selama 802 hari. Sukar untuk kita mengingati apa yang dilakukan Mahdzir di Kedah dan akibatnya Kedah jatuh ke tangan Pas.

6. Allahyarham Azizan Razak. Pertama kali Pas memerintah Kedah dan biasalah dengan parti orang Melayu. Pemimpin Pas sendiri menHADIAHkan semula Kedah kepada BN. Itupun BN terpaksa bertungkus lumus untuk merampas Kedah. Umno mengumumkan dari awal Mukhriz akan menjadi MB. Tun Dr Mahathir Mohamad turun padang untuk berkempen untuk anaknya.

Ustaz Azizan tewas, dan menjadi MB selama hanya 1,884 hari. Sekali lagi Bashah dijanjikan jawatan MB tetapi atas desakan Dr Mahathir, Bashah melepas kali kedua.

7. Mukhriz Mahathir. Selama berakhirlah pentadbiran Mukhriz selepas 1,003 hari. Dijatuhkan oleh pemimpin Umno sendiri.  

Alasan digunakan ialah Mukhriz jarang berada di Kedah. 4 hari di Kedah, 3 hari di Kuala Lumpur. Padahal ramai di kalangan pemimpin-pemimpin Umno yang membuat tuduhan ini seminggu 2 kali saja di Kedah. Ramai antara mereka MENETAP di Kuala Lumpur dan hanya balik ke Kedah hujung minggu.

Ada yang mempunyai isteri kedua di KL. Tetapi kerana tidak suka kepada Mukhriz dan bapanya, itulah alasan yang digunakan. Akhirnya Mukhriz kecundang.

8. Bashah. Semuga Bashah dilindungi Allah SWT. Mulai hari ini, Bashah, kamu buatlah kerja seorang-seorang. Tersilap langkah, nasib yang sama akan menimpa hang. Macam MB sebelum ini. Ramai di Kedah merasakan mereka juga layak menjadi MB.

Sehari dua ini, akan ramailah yang mengikut belakang Bashah termasuk yang sebelum ini memaki hamun, mencerca Bashah.

Harapan mereka projek-projek Kerajaan Negeri dibahagi-bahagikan, jawatan-jawatan lembaga pengarah di dalam GLC Kedah perlu dibahagi-bahagikan, puasa sudah hampir, raya pun dah dekat, duit raya perlu ada.

Sekiranya permintaan ini tidak dipenuhi, Bashah tahulah penangannya. Semua Menteri Besar sudah melalunya.

Yang terakhir ialah MUKHRIZ MAHATHIR.

SELAMAT BERTUGAS DATO' BASHAH. HANYA ALLAH SWT YANG DAPAT MELINDUNGI KAMU.

Wednesday, February 3, 2016

KASIH IBU KEPADA MUKHRIZ



MUKHRIZ Mahathir disambut oleh ibu tersayang selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Tuesday, February 2, 2016

ULTRAS KEDAH LAUNG "KAMI NAK NAJIB UNDUR"



NAMPAKnya krisis Menteri Besar Kedah sudah merebak ke sukan dan malam tadi apabila ribuan penyokong Hijau Kuning melaungkan "KAMI NAK NAJIB UNDUR", (lihat video di atas), sebelum bermulanya perlawanan bolasepak persahabatan di antara Kedah dan Sungai Ara FC. 

Kejadian di Stadium Darulaman malam tadi adalah satu tragedi, tidak pernah berlaku di mana-mana stadium di Malaysia.

Kita berharap Menteri Sukan Khairy Jamaluddin dapat menasihati penyokong-penyokong bolasepak agar tidak mencampur adukkan sukan dengan politik.

Kita risau penyakit meminta Najib Razak berundur ini akan merebak ke stadium-stadium seluruh negara terutama stadium yang penuh sesak dengan penonton seperti Johor, Kelantan dan Selangor.

Khairy kena cepat buat kenyataan mempertahankan bos beliau.

Tetapi di Kedah agak sukar. Orang Kedah dah sampai ke tahap meluat dan sebab itulah ada nyanyian ditujukan kepada bos beliau.

Tetapi masih belum terlambat untuk Khairy menyelamatkan keadaan sebelum ia merebak ke stadium lain dengan mengharamkan laungan seumpama itu.

Sunday, January 31, 2016

MUKHRIZ: AHLI EXCO BOIKOT MESYUARAT EXCO & 12 KETUA BAHAGIAN SERTA 2 TIMBALAN KETUA BAHAGIAN PERLU MOHON AMPUN KEPADA KDYMM TUANKU SULTAN

Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan



KENYATAAN AKHBAR

Di saat rakyat Negeri Kedah Darul Aman sedang bergembira meraikan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang ke-88, sekumpulan pemimpin UMNO negeri ini telah bertindak mendesak saya berundur dari jawatan Menteri Besar.

Tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam UMNO mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari 2016 lalu adalah tidak bertanggungjawab.

Malah sebilangan yang hadir pada sidang media tersebut telah maklum kepada saya bahawa mereka tidak mengetahui terlebih dahulu tujuan dan intipati kenyataan yang dibuat. Saya percaya desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan yang lebih penting lagi, kehendak rakyat Negeri Kedah.

Perbuatan kumpulan ini telah mencemar pelbagai acara sambutan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar, saya telah menerima khabar sesungguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

Turut mendukacitakan, rentetan dari sidang media tersebut, enam daripada sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak menghadiri Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kedah pada hari Rabu, 27 Januari 2016 yang lalu. Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai Penjawat Awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, keengganan menghadiri Mesyuarat EXCO menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat di negeri ini. Saya dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan turut murka dengan keingkaran Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, saya dengan rasa rendah diri memohon ampun kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah di atas perbuatan segelintir ahli UMNO yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan kemeriahan majlis sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

Saya mendesak agar kesemua 14 Ketua UMNO Bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari 2016 lalu, dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang tidak hadir Mesyuarat EXCO pada 27 Januari 2016 segera memohon maaf secara rasmi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Sehingga kemelut ini selesai, semestinya setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Udangan Negeri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.


DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Menteri Besar Kedah Darul Aman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah


Dikeluarkan di Alor Setar, Kedah bertarikh 31 Januari 2016

Friday, January 29, 2016

SPEKULASI: KU RAHMAN MB KEDAH?




[TERKINI]: Jemaah Pemangku Sultan Kedah terima cadangan nama MB baru Kedah - Najib

TENGKU ADNAN MINTA MUKHRIZ KELUAR DARI MESYUARAT MKT



KUALA LUMPUR: Spekulasi penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah semakin bertiup kencang apabila beliau diarahkan meninggalkan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang sedang berlangsung.

Mukhriz tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kira-kira pukul 3.05 petang untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

Namun beliau diarahkan untuk meninggalkan mesyuarat yang sedang berlangsung tidak lama kemudian.

"Mereka yang hadir tetapi tidak dijemput harus meninggalkan mesyuarat" antara arah yang dikeluarkan semasa mesyuarat tersebut.


Menurut beliau, arahan tersebut dikeluarkan Setiausaha Agung Parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Thursday, January 28, 2016

AMPUN TUANKU: JANGAN DILANTIK SEMULA AHLI EXCO KEDAH YANG BOIKOT MESYUARAT EXCO SEMALAM



DI MANA TAAT SETIA Ahli Exco Kedah Rabu lalu kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan?

Semalam HANYA TIGA Ahli Exco Kedah menghadiri mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh Mukhriz Mahathir. Yang lain memBOIKOT mesyuarat tersebut.

Inilah akibatnya apabila sesetengah Ahli Exco Kedah LUPA AKAN ASAL USUL MEREKA.

Siapa yang melantik mereka sebagai Ahli Exco? Bukan kah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan?

Depan siapa mereka melafazkan sumpah ikrar mereka? Bukankah dihadapan Kebawah DYMM Tuanku Sultan?

Di mana mereka melafazkan sumpah ikrar mereka sebagai Ahli Exco Kedah? Bukankah di Istana Anak Bukit, tempat bersemayamnya Kebawah DYMM Tuanku Sultan?

Apakah sumpah mereka? Bukankah mereka bersumpah TAAT SETIA kepada Kebawah DYMM Tuanku Sultan dan negeri?

Kita ingin bertanya kepada ahli Exco yang memboikot mesyuarat Exco semalam, di mana rasa hormat dan KESETIAAN mereka kepada Kebawah DYMM Sultan Kedah dan institusi diRaja Kedah?

Suka atau tidak, ahli-ahli Exco ini kepada Mukhriz, beliau masih lagi Menteri Besar Kedah yang direstu oleh Kebawah DYMM Tuanku Sultan.

Suka atau tidak, mesyuarat Exco Kedah yang dipengerusikan Mukhriz semalam adalah adalah proses pentadbiran rakyat.

Tetapi kerana kepentingan peribadi dan dipengaruhi oleh pandangan orang yang berkepentingan, Ahli-Ahli Exco ini semalam sanggup tidak menghormati Kebawah DYMMM Tuanku Sultan dengan memboikot mesyuarat Exco.

Ahli Exco bertanggungjawab kepada rakyat. Menjadi KEWAJIPAN mereka untuk hadir mesyuarat Exco dan membuat keputusan demi kepentingan rakyat.

Apa salahnya menghadiri mesyuarat Exco semalam?

Jika tak bersetuju dengan perkara yang dibawa oleh Mukhriz ke mesyuarat tersebut, TENTANG beliau.

Apa yang Mukhriz bentangkan di mesyuarat Exco yang mereka rasakan tidak sesuai, BANTAH DAN TOLAK.

Bantai Mukhriz di dalam mesyuarat. 

Sebagai Ahli Exco, kita kenalah tahu kedudukan kita.

Ramai Ahli Exco Kedah yang bergelar Dato' hasil dari anugerah Darjah Kebesaran oleh Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.

Ramai rakyat biasa yang berkeinginan untuk bergelar Dato', tetapi tidak mempunyai keistimewaan seperti Ahli-Ahli Exco Kedah yang memboikot mesyuarat semalam.

Sebab itulah sejak akhir-akhir ini, wujud Sultan-Sultan yang tidak berdaulat menganugerah Dato' kepada sesiapa yang berkeinginan untuk meletakkan gelaran Dato' di hadapan nama mereka.

Kita bila menjadi Ahli Exco biarlah beradap. Jangan sesekali tindakan kita memberi kehinaan kepada institusi Kesultanan Kedah.

Letaklah institusi ISTANA di tempat yang betul.

Kepada Ahli-Ahli Exco yang memBOIKOT mesyuarat Exco semalam, jangan MARAH jika Yang Berhormat sekalian TIDAK DILANTIK SEMULA sebagai Ahli Exco.

Malahan pihak ISTANA perlu memastikan mereka tidak dilantik semula di atas sikap mereka semalam.

Anda semua tidak layak menjadi Ahli Exco mewakili rakyat kerana kelakuan anda semalam.

TINGKAH laku mereka semalam adalah satu penghinaan.

Berpada-padalah apabila berpolitik.

Ada benda yang boleh dipolitikkan dan ada benda yang kita perlu beradap.

WAJIB ke atas setiap rakyat Kedah meletakkan penghormatan paling tinggi kepada Kebawah DYMM Tuanku Sultan dan institusi Kesultanan Kedah.

Jangan kita ulangi perbuatan Ahli-Ahli Exco ini. 

Sama-samalah kita PELIHARA institusi Kesultanan Kedah.



AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN.

Wednesday, January 27, 2016

MUKHRIZ DIPECAT HARI INI, BASHAH MB KEDAH YANG BARU?


ABU HASSAN SHARIF DIPAKSA TOLAK MUKHRIZ

Adun Kota Siputeh Datuk Abu Hassan Sariff menahan sebak semasa menyampaikan ucapan pada perhimpunan penyokong Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kampung Sanglang, Ayer Hitam, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 27 Januari, 2016.



Datuk Abu Hassan Sarif mendedahkan dipaksa menyokong kumpulan penentang yang mengatur rancangan menyingkirkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Seputeh itu berkata, beliau diburu dan dipaksa semata-mata mahu mendapatkan sokongan menolak Mukhriz dan menjatuhkan menteri besar penggal pertama itu.

"Saya amat mengenali menteri besar kita, saya lakukan apa sahaja demi untuk mengekalkan Datuk Mukhriz walaupun saya tak sehebat pegawai sekeliling. Kita ada tugas dan tanggungjawab saya sebagai Adun untuk pertahankan Datuk Mukhriz.

"Saya lari, saya hilang, hampir-hampir jatuh di laut, diburu semata-mata nak dapatkan sesuatu daripada saya," kata Abu Hassan sambil menangis di hadapan orang ramai semasa program bagi menyatakan sokongan kepada Mukhriz di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam malam tadi.

Abu Hassan tidak menjelaskan mengapa beliau diburu, namun sumber mendedahkan kira-kira 19 Adun sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menolak kepimpinan Mukhriz.

Adun 5 penggal itu berkata, beliau sangat sedih mengenangkan apabila seorang pemimpin yang disanjung rakyat akan digulingkan dengan begitu hina sekali.

"Saya menangis, saya tak pernah menangis depan anak dan isteri. Kita ada lelaki ada ego tapi di sini saya menangis depan anak saya, depan rakan saya menangis.

"Bagaimana orang yang ikhlas, jujur dan amanah, tidak mempunyai moral dan akhlak tidak baik, bertanggungjawab, tak amal rasuah, pemimpin yang boleh majukan masyarakat, rakyat dan negeri Kedah ini, tiba-tiba beliau akan digulingkan dalam keadaan yang amat menyedihkan, saya tidak reda," katanya.

Abu Hassan juga mendedahkan semalam Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memanggil semua Adun Kedah bertemunya di Putrajaya.

Dalam pertemuan itu Abu Hassan berkata, beliau membuat rayuan kepada Najib supaya Mukhriz dikekalkan sehingga habis penggal.

"Beri masa, saya kata kepada PM, beri masa kepada Mukhriz, kalau nak buang dan ganti pun tunggu habis penggal.

"Biar beliau jalankan tugas dan kita nak pastikan Datuk Mukhriz memang pemimpin yang disukai rakyat dan bukan cakap kosong," katanya.

Abu Hassan turut menasihati rakan-rakannya supaya memikirkan mengenai masa depan Umno dan bukan semata-mata mengejar habuan dan jawatan.

"Jangan kita lari nak habuan dan pangkat, tapi hari ini orang lari takut hilang pangkat dan juga sekarang ini orang lari nak kejar pangkat, nak jadi exco, nak jadi menteri, nak jadi menteri besar," katanya. – 27 Januari, 2016.

 http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/adun-kedah-dedah-diburu-hampir-jatuh-laut-dipaksa-sokong-pecat-mukhriz#sthash.6sKulzQP.dpuf