TAHNIAH Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri yang baru.
Itulah rezeki Zahid. Tanpa diduga oleh kita, jawatan TPM jatuh ke riba Zahid. Siapa sangka.
Benar kata Zahid: "Ini adalah satu putaran hayat politik yang saya TIDAK pernah jangka dan harapkan, tetapi Allah MENTAKDIRKAN ia berlaku begini."
HANYA SELANGKAH saja lagi Zahid akan BERGELAR PERDANA MENTERI dan akan menjadi orang paling BERKUASA di dalam negara ini.
InsyaAllah akan tiba masanya nanti. Doa-doakan lah. Ada yang berkata: "Zahid mungkin menjadi TPM paling singkat dalam sejarah politik negara. Dan paling CEPAT menjadi Perdana Menteri."
Masa pun semakin singkat buat Zahid. Oleh itu lagi cepat diNOBATKAN sebagai Perdana Menteri lagi baik buat Zahid kerana usia semakin meningkat.
Zahid TIDAK muda, umur pun sudah mencecah 62, sama usia dengan orang paling hampir dengan beliau - Najib Razak - TETAPI 6 bulan 9 hari lebih tua dari Perdana Menteri.
Yakinlah, jalan ke tempat paling atas terbentang LUAS di hadapan Zahid. Semua di tangan beliau, bila mahu ke atas dan selama mana mahu MENUNGGU.
REKOD politik beliau A+. Malahan boleh kita simpulkan bahawa Zahid hari ini adalah pemimpin paling BERPENGARUH, KUAT dan paling TOP di kalangan ketua-ketua bahagian.
RAHSIA kekuatan ini hanya Zahid yang tahu.
Kuatnya Zahid, sehinggakan dalam saat-saat hayat politik Najib berada dalam keadaan cukup GENTING sehingga terpaksa MEMECAT Muhyiddin Yassin kerana menyoal isu 1MDB dan duit RM2.6 bilion di dalam akaun Najib, Najib terpaksa MEMINTA TALI HAYAT dari Zahid.
Keputusan pemilihan Umno 2013 adalah BUKTI nyata Zahid adalah pemimpin paling berpengaruh di dalam Umno hari ini dan tidak mustahil populariti beliau di kalangan Ketua-Ketua Bahagian Umno mengalahkan Najib sendiri.
TANPA mempunyai sebarang perasaan TAKUT, pada pemilihan 2013, Zahid mengumumkan untuk bertanding menentang Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden Umno tetapi diHALANG oleh Najib.
188 Bahagian (98.5 peratus) menyokong Zahid sebagai Naib Presiden pada 2013. Hanya 3 bahagian saja yang tidak menyokong beliau. BETAPA PERKASAnya Zahid di dalam Umno hari ini.
Jika tidak dihalang Najib 2 tahun lalu, sudah lama Zahid menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri.
Latarbelakang Zahid juga amat MENAKJUBKAN.
1986-1995: Setiausaha Politik Najib Razak.
1996: Ketua Pemuda Umno (SETIA kepada Dr Mahathir Mohamad)
1997: Sebagai Ketua Pemuda Umno Zahid mengkritik keras dan menentang Dr Mahathir kerana dasar kronisma dan nepotisma yang diamalkan oleh Dr Mahathir dan memaksa Dr Mahathir memaparkan senarai harta pemimpin Umno termasuk Zahid yang berjumlah RATUSAN JUTA RINGGIT. (Zahid SETIA kepada Anwar Ibrahim).
1999: Zahid kembali MENYOKONG dan SETIA kepada Dr Mahathir.
2004: Zahid dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan oleh Abdullah Ahmad Badawi (SETIA kepada Pak Lah).
2008: Menteri di JPM
2009: Dilantik Najib sebagai Menteri Pertahanan (SETIA kepada Najib)
29 Julai 2015: Dilantik Najib sebagai TPM.
Begitu HEBATnya perjalanan politik Zahid. Setia bersama Dr Mahathir, setia bersama Anwar, setia bersama Pak Lah dan sekarang setia bersama Najib.
Tahniah kepada Najib Razak kerana kini berdiri hanya setapak dari beliau adalah pemimpin paling popular di kalangan Ketua-Ketua Bahagian Umno.
Semuga KESETIAAN Zahid berkekalan hendaknya.
TAHNIAH DATO' SERI ZAHID.