
Inilah yang kita hendak sampaikan kepada Najib Razak, Presiden Umno, berikutan keputusan beliau memilih Isa Samad sebagai calon Umno di Bagan Pinang.
Apabila Najib mengambil alih tampuk pentadbiran Umno, janji beliau ialah membawa perubahan drastik di dalam Umno ekoran aspirasi yang ditunjukkan oleh rakyat semasa pilihanraya umum Mac 2008 yang mahukan Umno berubah.
Di mana janji itu? Isa adalah "bekas banduan Umno." Isa adalah seorang perasuah seperti mana yang diputuskan oleh Lembaga Disiplin Umno pada 24 Jun 2005. Tidakkah Najib malu pada rakyat dengan keputusan beliau hari ini?
Bukankah Najib sendiri yang mengesahkan Isa sebagai perasuah? Najib ketika itu Timbalan Presiden Umno dan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno ketika Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman ke atas Isa dari 6 tahun ke 3 tahun pada 7 Oktober 2005.
Tidak mengejutkan sekiranya Najib diserang hebat oleh Pakatan Rakyat semasa kempen pilihanraya Bagan Pinang ini. Tidakkah terlintas di fikiran Najib bahawa pemilihan Isa membawa risiko yang lebih besar kepada beliau dari Isa?
Najib dan pimpinan Umno akan dituduh bertolak ansur dengan Isa kerana "bapa borek, anak rintik" dan Isa dan pimpinan Umno sama sahaja, sama-sama perasuah. Imej Umno akan terjejas lebih teruk. Umno akan dituduh tidak sedar diri dan hari ini, Najib sahkan bahawa beliau dan Umno tidak berminat mencegah gejala rasuah di dalam parti.
Jelas Najib hanya mahu menang di Bagan Pinang tanpa memikirkan tentang masadepan Umno dan perasaan rakyat dan penyokong Umno di seluruh negara. Najib takut kepada kekalahan sehingga sanggup mengorbankan imej Umno yang semakin nazak ketika ini.
Keputusan Najib hari ini sama seperti mana di zaman Abdullah Ahmad Badawi. Lebih mementingkan kawan dan membalas budi kawan dari masadepan Umno.
Apakah Najib tidak menyelami perasaan orang muda seluruh negara? Tidak cukupkah Isa menikmati faedah sebagai Menteri Besar selama 22 tahun dan 2 tahun sebagai Menteri Kabinet?
Adakah Bagan Pinang ketandusan pemimpin dan pemimpin muda sehinggakan Najib terpaksa memilih seorang bekas banduan yang sudah mencecah usia 6 abad sebagai calon di kerusi dewan undangan negeri (bukan kerusi Parlimen pun)?
Selama ini rakyat mempunyai keyakinan Najib serius dalam membawa perubahan dalam parti apabila Muhammad Muhammad Taib, Azalina Othman Said dan Zain Mohamad digugurkan dari barisan Kabinet.
Malangnya, pemilihan Isa hari ini memusnahkan segala harapan yang ada pada Najib.