"Sama ada melibatkan isu politik atau kerajaan dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar...lepas hari raya atau bila masa yang sesuai." - Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin.
Petang tadi Muhyiddin berada di Hulu Terengganu untuk bertemu pucuk pimpinan Umno Terengganu. Apa mesej Muhyiddin kepada Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Hishammuddin Hussein dengan kenyataan tersebut?
Mesejnya jelas. Hishammuddin gagal sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu dan Hishammuddin juga gagal merungkai masalah Umno Terengganu.
Kehadiran Muhyiddin mengambarkan betapa tenat dan kritikalnya masalah dalaman Umno Terengganu.
Mengikut laporan Bernama petang tadi: "Bagaimanapun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu yang juga anggota Dewan Dewan Undangan Negeri Ajil Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu itu."
Dan tidak salah kita katakan bahawa Idris dan Rosol juga mempunyai mesej yang jelas kepada Muhyiddin - bahawa mereka tidak menghormati Timbalan Presiden dan tidak ada kompromi dalam menyelesaikan kemelut Umno Terengganu kecuali Menteri Besar Ahmad Said disingkirkan.
Pada hakikatnya Idris tidak lagi layak dan mempunyai kredibiliti untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar apabila bekas setiausaha politik beliau ditangkap menyebarkan sms berunsur mengugut kepada Adun Umno yang menyokong Idris.
Ramai yang mendakwa penyebaran sms tersebut merupakan antara pelan terancang golongan tertentu untuk menjatuhkan Ahmad Said. Begitu juga dengan khabar angin yang dikatakan sengaja diada-adakan oleh golongan ini kononnya 9 Adun akan bertindak meninggalkan Umno dan menyertai PKR.
Realitinya, tidak mungkin Adun Umno ini akan menyertai PKR atau Pas. Apalah habuannya dengan menyertai pembangkang kerana berada dalam Umno lebih bermakna sekiranya mereka diberi jawatan dan diberi tanggungjawab menyelaras projek-projek bernilai jutaan ringgit di Terengganu.
Khabar angin kononnya mereka akan menyertai PKR hanya ugutan untuk memancing pucuk pimpinan Umno agar menyediakan "gula-gula" untuk memastikan Umno terus berkuasa di Terengganu.
Dengan keadaan Umno cukup lemah ketika ini, bukan satu perkara yang mustahil sekiranya pucuk pimpinan menyelesaikan masalah dalaman ini dengan menghadiahkan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan kepada golongan penentang Ahmad Said ini.
Formula ini bukan formula baru dalam Umno. Sudah ramai pemimpin Umno berjaya menggunakan strategi mengugut ini untuk kepentingan diri dan pimpinan Umno pula sanggup berkompromi dengan sikap sebegini.
Itulah sebabnya Umno kini melayari laluan MCA yang kini menuju era kemusnahan.
No comments:
Post a Comment