Thursday, January 22, 2009

POST MORTEM KT V: UMNO AKAN DILANDA GERHANA?


Percayalah! Beberapa minggu lagi apa yang berlaku di Kuala Terengganu akan menjadi bahan sejarah. Malah sudah ada suara kononnya Umno kalah kerana pilihanraya kecil ini tidak penting.

Pilihanraya ini tidak membawa banyak makna. Pilihanraya ini bukan penentu siapa akan memerintah negara. Pilihanraya ini “tidak akan mengubah kerajaan, tidak memberi kesan terhadap Kerajaan Persekutuan dan kerana ia bukan pilihan raya umum maka mereka tidak kisah. Jadi di situ ada sedikit kealpaan untuk pengundi keluar mengundi atau pengundi luar balik mengundi."
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0119&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm&arc=hive

Maksudnya BN akan tetap berkuasa walaupun kalah pilihanraya kecil ini.

Percayalah, peristiwa hitam ini akan dilupai oleh pemimpin Umno beberapa hari lagi. Beberapa minggu lagi, pemimpin Umno akan kembali ke asal-usulnya.

Mereka akan kembali berkata-kata: Umno kuat, hanya Umno harapan orang Melayu, aku kuat, aku berkuasa, aku pandai, orang Pas bodoh, aku bawa pembangunan, orang Pas hanya harap syurga (seperti kata Ali Rustam), aku seorang saja layak jadi Menteri, sianu patut ditendang keluar dari Kabinet dan lantik aku jadi Menteri, rakyat sokong aku, kita akan menang pilihanraya akan datang, Najib bijak, Rosmah cantik.

Percayalah! Umno tidak akan berubah. Mac nanti, maka berhimpunlah mereka ini di PWTC. Ada yang datangnya dari Kedah. Ada yang menaiki pesawat dari Kelantan. Berduyun-duyun orang Umno Perak dan Pulau Pinang menziarahi Kuala Lumpur dan orang-orang Selangor dan Wilayah Persekutuan memenuhi coffee house di hotel-hotel terkenal bergelak ketawa di ibukota.

Terasa amat gagahnya mereka sebagai ahli Umno sedangkan negeri sendiri (Kedah, Perak, Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang) jatuh ke tangan orang.

Mereka datang penuh bergaya, berbaju Melayu. Yang bukan perwakilan akan berkampung, bertimpuh dan bersila di hadapan skrin raksasa untuk sama-sama menyaksikan betapa gagahnya Umno.

Bertambahlah semangat Melayunya. Maka mereka mendendangkan lagu semangat “Warisan”

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita

Maka terasalah akan gagahnya Umno, seolah-olahnya kita saja yang sanggup bermandi darah mempertahankan bumi Melayu ini.

Selepas nyanyian, semangat akan tinggal semangat. Warisan hanyalah lagu buat dendangan.

Mac nanti, yang menang akan mula memasang impian dengan harapan Presiden parti meletakkannya di tempat unggul dalam kabinet negara.

Peristiwa hitam di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu tinggal kenangan.

Percayalah. Apabila Umno tersedar dari mimpinya, bumi dipijak sudah menjadi milik orang.

1 comment:

essey said...

Saya amat bersetuju dengan saudara...Itulah Melayu UMNO yang kita banggakan selama ini sedangkan penganutnya semakin hari semakin alpa dan lalai..Tidak pernah sedar dan insaf apa yang dan sedang dan telah berlaku...Mereka masih dibuai mimpi2 yang akhirnya nanti anak cucu cicit akan menyalahkan mereka dan kita semua..Percayalah,,nafsu serakah dah menguasai mereka..Untuk berdiam sejenak dan memikirkan tentang diri..! Ghonti kan..semuanyo tak akan berubah dan hampeehhh..!