Showing posts with label pilihanraya kecil kuala terengganu. Show all posts
Showing posts with label pilihanraya kecil kuala terengganu. Show all posts

Friday, January 23, 2009

KENAPA RAKYAT BOSAN DENGAN UMNO

“Pemimpin UMNO sama ada suami atau isteri suka menonjol kemewahan yang melampau. Tak cukup dengan harta bertimbun ditambah kemewahan pada paras rupa. Pengundi bukan mahu tengok muka pemimpin berkulit mulus dan putih melepak. Biar hitam legam tetapi ada kualiti!”

“Terlampau banyak skandal di kalangan pemimpin UMNO (tidak semua). Ada pemimpin wanita muda (isteri orang) yang cantik terjebak cinta dengan suami orang sampai rumah tangga hancur lebur. Sepatutnya pemimpin UMNO menjadi 'imam kepada pengundi.”

“Isteri pemimpin UMNO susah nak tutup aurat (tidak semua) sedangkan tutup aurat itu wajib. Kenapa? Tak cantik? Ingat! Pengundi tak suka tengok isteri pemimpin menonjol pelbagai warna rambut. Isteri pemimpin UMNO biarlah bersederhana dalam apa keadaan.”

Ini bukan pandangan Jelapang. Ini pandangan seorang pembaca yang disiarkan Utusan Malaysia semalam. Adalah baiknya Jelapang siarkan kandungan surat ini untuk renungan pemimpin-pemimpin, ahli-ahli Umno dan isteri-isteri mereka.

Sebab-sebab pengundi bosan?

SEBAGAI penyokong dan juga ahli UMNO, saya ingin berkongsi dan memberi pandangan kenapa parti UMNO tidak lagi menjadi penarik di kalangan pengundi Melayu. Jika parti UMNO terus bertakhta di hati pengundi, para pemimpin renung-renungkanlah coretan ini.

- Sejauh manakah calon-calon yang akan bertanding dalam Perhimpunan Agung UMNO benar-benar pilihan rakyat. Walaupun mereka ditentukan oleh bahagian masing-masing tetapi sejauh manakah mereka disenangi oleh akar umbi. Ada ketua bahagian sudah berbelas-belas tahun memegang jawatan. Apa perubahan yang nampak? Perubahan yang nampak hanya kekayaan. Dan muka itu juga kekal hingga di Perhimpunan Agung UMNO nanti. Bosan tak pengundi?
-
- Tidak dinafikan ada pemimpin jujur, amanah dan mesra rakyat. Daripada wakil rakyat biasa akhirnya dapat menjawat jawatan menteri. Alhamdulillah. Sayangnya pemimpin ini kurang bijak, kurang idea dan terlampau berhati-hati mengatur langkah. Bosan tak pengundi?
-
- Jangan nafikan kehebatan pemimpin UMNO terdahulu. Pemimpin UMNO sekarang terlampau paranoid dengan pemimpin terdahulu. Kenapa? Mungkin mereka tidak dapat menandingi kehebatan pemimpin UMNO dahulu. Salahkah pemimpin sekarang berganding bersama pemimpin lama untuk melahirkan cetusan idea yang lebih baik? Asyik-asyik nak melenting saja.
-
Di mana kehebatan pemimpin ini? Ingat, sepatutnya pemimpin sekarang lebih berpuluh-puluh ganda lagi hebat daripada pemimpin dahulu. Tetapi pemimpin sekarang ketinggalan berpuluh-puluh ganda berbanding pemimpin terdahulu.

Layakkah mereka pada alaf 21 dengan segala-galanya bergerak pantas. Bosan tak pengundi?

- Pengundi muda sekarang lebih cenderung pada pemimpin vokal dan banyak idea. Kenapa UMNO tidak mahu menonjolkan pemimpin sebegini melalui badan bukan kerajaan agar mereka lebih rapat dengan pengundi muda.
-
Pemimpin yang ada ciri-ciri begini biasanya tidak diberi peluang kerana dikhuatiri akan menenggelamkan pemimpin yang gilakan kuasa. Akhirnya pemimpin sebegini berkubur perlahan-lahan dan UMNO ketandusan pemimpin yang baik. Siapa yang rugi? Bosan tak pengundi?

- Pemimpin UMNO sekarang suka berjanji kepada rakyat dengan bulan dan bintang. Yang peliknya menjelang pilihan raya sahaja. Jangan malu menciplak resipi baru parti pembangkang andai kata resipi baru ini boleh melazatkan selera pengundi!
-
- Pemimpin UMNO sama ada suami atau isteri suka menonjol kemewahan yang melampau. Tak cukup dengan harta bertimbun ditambah kemewahan pada paras rupa. Pengundi bukan mahu tengok muka pemimpin berkulit mulus dan putih melepak. Biar hitam legam tetapi ada kualiti!
-
- Terlampau banyak skandal di kalangan pemimpin UMNO (tidak semua). Ada pemimpin wanita muda (isteri orang) yang cantik terjebak cinta dengan suami orang sampai rumah tangga hancur lebur. Sepatutnya pemimpin UMNO menjadi 'imam kepada pengundi.'
-
- Isteri pemimpin UMNO susah nak tutup aurat (tidak semua) sedangkan tutup aurat itu wajib. Kenapa? Tak cantik? Ingat! Pengundi tak suka tengok isteri pemimpin menonjol pelbagai warna rambut. Isteri pemimpin UMNO biarlah bersederhana dalam apa keadaan.
-
- Pemimpin lama yang dah banyak terpalit dengan skandal jangan ghairah nak bertanding jawatan. Pengundi dah jemu. Sudah tiba masanya pemimpin ini mengundur diri. Ingat kalau anda sayangkan parti UMNO tanpa jawatan pun anda boleh memberi sumbangan.
-
Renungkanlah sebahagian coretan ini. Syabas kepada pemimpin yang ikhlas berjuang dalam UMNO. Jangan teragak-agak singkirkan mereka yang gila kuasa dan wang. UMNO perlukan jenama yang baru dan segar!

SAYANG UMNO

Bangi
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Said mempunyai pandangannya tersendiri kenapa Umno kalah di Kuala Terengganu.

Kalau itu Ahmad, ianya bukan berpunca dari pemilihan Wan Farid Wan Salleh atau pengundi Cina. Ia juga bukan disebabkan perpecahan di dalam Umno Terengganu.

Ianya, kata Ahmad, disebabkan oleh pengundi luar tidak pulang mengundi. Kata beliau, kalau kesemua 3,000 pengundi luar balik dan mengundi BN, sudah pasti Umno menang.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm&arc=hive

Post mortem Ahmad Said sungguh menakjubkan. Mungkin itulah sebabnya beliau dilantik menerajui Umno Terengganu.

Thursday, January 22, 2009

POST MORTEM KT V: UMNO AKAN DILANDA GERHANA?


Percayalah! Beberapa minggu lagi apa yang berlaku di Kuala Terengganu akan menjadi bahan sejarah. Malah sudah ada suara kononnya Umno kalah kerana pilihanraya kecil ini tidak penting.

Pilihanraya ini tidak membawa banyak makna. Pilihanraya ini bukan penentu siapa akan memerintah negara. Pilihanraya ini “tidak akan mengubah kerajaan, tidak memberi kesan terhadap Kerajaan Persekutuan dan kerana ia bukan pilihan raya umum maka mereka tidak kisah. Jadi di situ ada sedikit kealpaan untuk pengundi keluar mengundi atau pengundi luar balik mengundi."
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0119&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm&arc=hive

Maksudnya BN akan tetap berkuasa walaupun kalah pilihanraya kecil ini.

Percayalah, peristiwa hitam ini akan dilupai oleh pemimpin Umno beberapa hari lagi. Beberapa minggu lagi, pemimpin Umno akan kembali ke asal-usulnya.

Mereka akan kembali berkata-kata: Umno kuat, hanya Umno harapan orang Melayu, aku kuat, aku berkuasa, aku pandai, orang Pas bodoh, aku bawa pembangunan, orang Pas hanya harap syurga (seperti kata Ali Rustam), aku seorang saja layak jadi Menteri, sianu patut ditendang keluar dari Kabinet dan lantik aku jadi Menteri, rakyat sokong aku, kita akan menang pilihanraya akan datang, Najib bijak, Rosmah cantik.

Percayalah! Umno tidak akan berubah. Mac nanti, maka berhimpunlah mereka ini di PWTC. Ada yang datangnya dari Kedah. Ada yang menaiki pesawat dari Kelantan. Berduyun-duyun orang Umno Perak dan Pulau Pinang menziarahi Kuala Lumpur dan orang-orang Selangor dan Wilayah Persekutuan memenuhi coffee house di hotel-hotel terkenal bergelak ketawa di ibukota.

Terasa amat gagahnya mereka sebagai ahli Umno sedangkan negeri sendiri (Kedah, Perak, Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang) jatuh ke tangan orang.

Mereka datang penuh bergaya, berbaju Melayu. Yang bukan perwakilan akan berkampung, bertimpuh dan bersila di hadapan skrin raksasa untuk sama-sama menyaksikan betapa gagahnya Umno.

Bertambahlah semangat Melayunya. Maka mereka mendendangkan lagu semangat “Warisan”

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita

Maka terasalah akan gagahnya Umno, seolah-olahnya kita saja yang sanggup bermandi darah mempertahankan bumi Melayu ini.

Selepas nyanyian, semangat akan tinggal semangat. Warisan hanyalah lagu buat dendangan.

Mac nanti, yang menang akan mula memasang impian dengan harapan Presiden parti meletakkannya di tempat unggul dalam kabinet negara.

Peristiwa hitam di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu tinggal kenangan.

Percayalah. Apabila Umno tersedar dari mimpinya, bumi dipijak sudah menjadi milik orang.

Wednesday, January 21, 2009

POST MORTEM KT IV: BUDAYA MEMBODEK PEMIMPIN

Hampir dua minggu pemimpin-pemimpin Umno berkempen. Tetapi berkempen untuk siapa?

Kebanyakannya berkempen untuk diri sendiri dan bukannya untuk Umno atau Barisan Nasional. Tak perlulah kita berlapik dalam berkata-kata. Biarlah kita berterus-terang bahawa sepanjang tempoh berkempen di Kuala Terengganu kebanyakan pemimpin Umno menghabiskan masa di bawah ketiak Najib Razak setiap masa.

Ada tiga empat pemimpin tertinggi parti menghabiskan masa ke sana ke sini menuruti Najib mungkin semata-mata untuk memastikan mereka menjadi pujaan Najib apabila beliau menjadi Perdana Menteri Mac nanti.

Tak cukup dengan mengekori Najib, ada yang sanggup memujuk agar dibenarkan bersama menaiki pesawat peribadi Najib untuk berulang-alik ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur semata-mata mahu berada di sisi Najib setiap masa.

Kenapa perkara ini tidak berlaku di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad? Semasa Tun menjadi Perdana Menteri, bapak-bapak Menteri bertukar menjadi tikus, apa lagi nak minta mengekori Tun sampai menumpang kapalterbang.

Kepada pemimpin Umno, siapa sebenarnya yang berkerah keringat berkempen dan siapa yang kesana-kesini memerap di bawah ketiak Najib semata-mata untuk melobi supaya kekal jawatan bila Najib menjadi PM kelak?

Oleh itu, tidak menghairankan Umno kalah di Kuala Terengganu.

KEGAGALAN SAYAP BN (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0120&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive

POST MORTEM KT III: WAN FARID KACA, BUKAN PERMATA, PAK LAH

Rumah Wan Farid umpama mahligai. Pagar rumahnya dikatakan sama tinggi dengan bumbung rumah. Mungkin ianya dakyah pembangkang. Tetapi tiada pokok tidak bergoyang kalau tiada angin.

Tetapi rakyat yang kerdil yang tinggal di sekeliling rumah Wan Farid berteduh dibawah pondok yang usang umpama anak ayam kesejukan, berteduh dari hujan dan petir kemiskinan.
http://www.malaysiakini.com/news/96168

“Undilah Wan Farid”. Sepelusuk Kuala Terengganu pemimpin Umno diketuai Pak Lah meminta rakyat Terengganu mengundi Wan Farid. “Wan Farid baik. Kalau tidak tak kan saya lantik dia jadi Setiausaha Politik saya,” kata Pak Lah. http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=382368

Pak Lah ingat rakyat Kuala Terengganu tidak berakal. Beliau meletakkan “kaca” di atas pentas dan minta rakyat Terengganu mempercayai ianya “permata”. Malangnya, pemimpin-pemimpin Umno mengamalkan sikap “pak turut”. Maka mereka pun sama-sama menyeru ‘betul, itu permata.”

Kaca, tetap kaca, Pak Lah.

Era memaksa rakyat mengundi calun yang latarbelakangnya kurang molek sudah berakhir, Pak Lah.

Zaman di mana Umno mengharapkan rakyat mengundi siapa saja demi “bangsa, agama, negara dan Melayu”, sudah berakhir, Pak Lah.

Hari ini, ianya bukan lagi mengenai apa yang Umno mahu rakyat mempercayai, tetapi ianya mengenai apa yang rakyat mahu Umno penuhi!

Tuesday, January 20, 2009

KAJI SEMULA DEB, KATA KHIR TOYO


"Saya menyarankan agar Dasar Ekonomi Baru harus dikaji semula dan diberi nafas baru atau diwujudkan formula pentadbiran baru negara yang merangkumi ekonomi, hubungan antara kaum dan agama yang boleh memuaskan hati orang Melayu dan bukan Melayu. Ini penting kerana saya melihat DEB telah diberi label dan tanggapan yang salah oleh pemimpin politik parti tertentu yang mempunyai agenda peribadi berbanding menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara." - Khir Toyo.

Itulah pandangan bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo mengenai reform yang perlu dilakukan Barisan Nasional untuk "menangkap" jiwa anak-anak muda dan rakyat.

Layari blog Khir untuk pandangan beliau mengenai imej baru BN:
http://www.drkhir.com/

POST MORTEM KT II: PEMIMPIN UMNO ANGKUH, BONGKAK

Seminggu sebelum penamaan calun, ahli-ahli Umno terutamanya perwakilan Umno berpusu-pusu membanjiiri Kuala Terengganu. Setiap hotel, restoran, coffee house dipenuhi perwakilan Umno. Dengan puterinya, dengan wanitanya, dengan pemudanya. Kesemuanya bergelar Datuk, Datuk Seri, Tan Sri. Hari ini, cukup pelik kalau Ketua Bahagian Umno tidak bergelar Datuk atau Datuk Seri.

Suasana di coffee house penuh keriangan dan hilaian ketawa wanita dan puteri Umno. Begitulah suasana di hotel-hotel Kuala Terengganu semasa pilihanraya Kuala Terengganu.

Bandar Terengganu dipenuhi kenderaan berjenama. BMW, Mercedes SLR, Porsche, Harrier dan ada yang membawa kereta yang orang Kuala Terengganu sendiri pun tak pernah tengok dalam hidup mereka. Semuanya kepunyaan orang Umno. Ada Menteri ke sana sini diiringi anggota polis sehingga pakcik-makcik di Kuala Terengganu lintang pukang mencari ruang di celah-celah kereta untuk memberi jalan kepada kereta Pak Menteri yang tak sabar-sabar untuk cepat ke destinasinya.

Itulah perangai orang Umno termasuk Ali Rustam dan Khairy. Pemimpin-pemimpin Pas terasa kedilnya. Mereka tidak mampu tinggal di Primula Parkroyal. Mereka hanya mampu bermalam di Masjid kepunyaan Ustaz Hadi Awang di Rusila dan menagih simpati dari ahli Pas yang sudi menyediakan tempat tinggal untuk mereka. Mereka tidak makan di coffee house. Mereka menjamu selera di surau, masjid dan kedai kampung bersama rakyat Terengganu yang daif itu.

Bilik hotel habis ditempah. Yang mewah menjadi kediaman para pemimpin tertinggi. Yang tiga bintang menjadi tempat berteduh pengikut mereka. Begitulah betapa bongkak dan angkuhnya pemimpin Umno di Kuala Terengganu.

Monday, January 19, 2009

P/MORTEM KT I: UMNO DIHANTUI LEGASI PAK LAH

“Kita yang selama ini membuat kerja dan membawa pembangunan, tetapi malangnya penyokong parti pembangkang terus mengundi parti pembangkang dengan harapan mereka dapat masuk syurga.” – Ali Rustam.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/1/19/kuala_terengganu/3057923&sec=kuala_terengganu

Inilah kenyataan Ketua Menteri Melaka ini selepas Umno ditolak rakyat Kuala Terengganu. Masalah Umno hari ini ialah parti itu masih mempunyai pemimpin seperti Ali Rustam.

Ali, kalau menang Mac nanti, bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bakal memimpin 26 juta rakyat Malaysia. Malangnya, pemikiran Ali masih ditakuk lama – pemikiran tahun 60an dan 70an. Pemikiran di mana pemimpin menganggap rakyat itu bodoh dan tolol dan yang bijak hanyalah “aku”, pemimpin Umno, seperti Ali.

Jelas sekali Ali adalah acuan pemimpin-pemimpin Umno ketika Perikatan berhadapan Pas dalam pilihanraya-pilihanraya pasca Merdeka. Semuga Ali teruskan kehidupan beliau di zaman “jahiliah” Umno.

Ramai yang memberi pandangan kenapa Umno tewas. Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, turut serta memberi pandangan dengan harapan pandangan mereka dapat menghiasi dada akhbar.

UMNO DIHANTUI LEGASI PAK LAH

Kata Khairy (antara lain): “Faktor calon bukan punca kekalahan BN di Kuala Terengganu”.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0119&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm&arc=hive

Kenyataan Khairy tidak mengejutkan. Siapa lagi yang boleh mempertahankan Abdullah Ahmad Badawi kalau bukan menantunya. Pelbagai alasan diberikan Khairy untuk memastikan bapa mertuanya tidak menjadi bahan cemuhan kesan dari kekalahan ini.

Kononnya, peratusan pengundi kurang, ahli Umno ambil sikap mudah dan sebagainya.

Khairy tahu keputusan memilih Wan Farid Wan Salleh sebagai calun adalah keputusan mutlak bapa mertuanya. Masalah dengan Najib Razak ialah beliau masih lagi ahli politik yang mengamalkan politik selamat. Politik “yes” man.

Tanyalah orang Umno siapa Wan Farid. Tanyalah orang Kuala Terengganu siapa Wan Farid. Tanyalah ahli keluarga Allahyarham Razali Ismail siapa Wan Farid.

Jawapan mereka ialah beliau seorang yang sombong dan bongkak. Hanya Pak Lah dan Khairy berpandangan Wan Farid murni isi hatinya. Kita faham kenapa Khairy berpendapat sedemikian. Persahabatan mereka telah lama terjalin. Terjalin semasa Idris Jusoh menjadi Menteri Besar lagi. Terjalin kerana kerjasama erat membangunkan Terengganu menerusi projek-projek cetusan idea Patric Lim Badawi.

Khairy! Rakyat bukan jahil dan rakyat bukan juga buta dan tuli. Kepada Ali Rustam, rakyat Terengganu mengundi bukan hanya untuk masuk syurga.

Rakyat Terengganu mengundi pembangkang kerana muak dan jelik melihat telatah orang-orang seperti Ali Rustam dan Khairy.

Sunday, January 18, 2009

MESEJ BUAT NAJIB: SINGKIR PEMIMPIN KORUP SEKARANG!

"Saya fikir Najib tidak harus dipersalahkan terhadap (kekalahan BN di Kuala Terengganu) tetapi jika beliau terus memilih atau menyokong pemimpin yang korup, maka saya fikir beliau akan kalah dalam pilihanraya umum akan datang." - Tun Dr Mahathir Mohamad.

Inilah kata mantan Perdana Menteri pabila memberi pandangan beliau mengenai kekalahan BN dan Umno di Kuala Terengganu yang dilaporkan oleh Malaysiakini sebentar tadi. http://www.malaysiakini.com/news/96709

Hanya Malaysiakini akan menyiarkan laporan sebegini. Jangan harap akhbar-akhbar arus perdana akan memberi ruang secukupnya kepada Tun Dr Mahathir sekiranya Pak Lah dikritik. Dalam laporan awal Bernama hanya dilaporkan Tun sebagai berkata “sebahagian daripada sebab mereka (pengundi) tidak menyokong BN ialah kerana mereka tidak suka kepada calon.” http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_10.htm

Kita harap Najib mendengar nasihat Tun ini. Kalau tidak, terimalah musibahnya.

Pemimpin korup jangan diberi peluang langsung menganggotai kabinet kita. Najib lebih tahu siapa mereka.

Malahan Najib perlu dari sekarang menyatakan siapa pilihan beliau dalam pemilihan Majlis Tertinggi akan datang. Najib perlu ketepikan sikap "terlalu bermain politik selamat" jika beliau mahu menyelamatkan Umno.

Nyatakan siapa yang beliau mahu dipilih perwakilan dan bukannya membiarkan perwakilan memilih mereka kerana kebanyakan dari lebih 3,000 perwakilan yang akan ke PWTC Mac nanti telah dibeli oleh pemimpin-pemimpin yang korup ini yang telah lama mengumpul dan merompak khazanah negara semasa berkuasa.

Kalau Najib enggan, kita tidak ada masalah. Pilihanraya nanti Umno akan berkubur dan Najib bolehlah jadi Ketua Pembangkang Umno kerana parti-parti komponen BN yang lain tidak perlukan BN lagi. Tiada masalah bagi MCA, Gerakan, MIC, PBS dan sebagainya untuk menyertai Pakatan Rakyat bila tiba masanya nanti.

Malahan pada masa itu, orang Umno sendiri pun mungkin tidak memerlukan Umno lagi. - 50k

Tuesday, January 13, 2009

UMNO AKAN MENANG DI KUALA TERENGGANU & MENANG BESAR?


MERDEKA Center, agensi yang sering mengadakan bancian bebas mengenai pendapat masyarakat dan pengundi mengenai isu-isu politik, minggu lepas mengadakan satu lagi bancian. Kali ini ianya berfokus kepada pandangan dan persepsi pengundi-pengundi di Kuala Terengganu.
Antara hasil kajiselidik yang diperolehi Merdeka Center ialah seperti berikut:
62% berpendapat bahawa negara sekarang menuju landasan yang betul.
31% mempunyai persepsi bahawa negara di landasan yang salah.
67% berpendapat bahawa Kerajaan Terengganu kini berada di landasan yang betul.
28% berpendapat Kerajaan Terengganu kini di landasan yang salah.
68% berpuashati dengan pencapaian Kerajaan Negeri Terengganu ketika ini.
29% tidak berpuashati dengan pencapaian Kerajaan Negeri Terengganu ketika ini.
59% berpuashati dengan pencapaian Menteri Besar Ahmad Said.
23% tidak berpuashati dengan pencapaian Menteri Besar Ahmad Said.
41% tidak bersetuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Wan Farid Wan Salleh, calon BN untuk Kuala Terengganu, adalah calon pilihan terburuk dan merupakan proksi kepada Perdana Menteri dan menantunya, Khairy Jamaluddin.
31% bersetuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir.
Jelapang: Kalau benarlah kajiselidik yang telah dilakukan oleh Merdeka Center ini, maka kesimpulan yang dapat kita buat ialah:
1) BARISAN NASIONAL AKAN MENANG BESAR DI KUALA TERENGGANU dan PAS AKAN KALAH TERUK.
2) Rakyat Kuala Terengganu sudah memaafkan Wan Farid yang dikatakan sombong, bongkak dan menjalani kehidupan bangsawan.
3) Rakyat Kuala Terengganu tidak mengambil pusing siapa calon mereka. Letaklah sesiapa saja bertanding menggunakan simbol BN, maka itulah pilihan mereka.
4) Bahawa tuduhan berlaku perpecahan serius dalam Umno Terengganu adalah palsu. Tuduhan bahawa berlaku perbalahan besar antara pengikut-pengikut Menteri Besar Ahmad Said dan bekas Menteri Besar Datuk Idris Jusoh adalah tidak benar.
5) Rakyat menolak Pakatan Rakyat.
6) Rakyat Kuala Terengganu sudah memaafkan abang Wan Farid, Wan Hisham, yang sebelum ini dikaitkan dengan wang ehsan, Monsoon Cup dan berbagai skandal lain.
Oleh itu kita tunggu keputusan pilihanraya kecil ini Sabtu ini. Samada BN dan Umno kembali pulih atau akan terus merana.

Monday, January 12, 2009

SIAPA KAUT KEUNTUNGAN DI KT?


Memang sukar hendak mendapatkan bilik di dua buah hotel di Kuala Terengganu akhir-akhir ini. Ramai juga merungut harga bilik mahal di ketika Kuala Terengganu dibanjiri para penyokong parti terutamanya ahli-ahli Umno.
Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu bukan saja medan pertandingan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Ia lebih kepada medan meraih undi untuk pertandingan Majlis Tertinggi Umno Mac nanti.
Jadi, tidak hairanlah jika hotel-hotel besar di Kuala Terengganu dipenuhi oleh perwakilan-perwakilan Umno. Lobi-melobi berlaku sehingga lewat malam.
Tetapi yang agak menarik ialah cakap-cakap di kedai kopi yang mengatakan ada pemimpin Umno yang menempah bilik di dua hotel ini dengan tujuan untuk mendapat keuntungan mudah.
Pemimpin ini dikenali ramai di Terengganu. Kononnya beliau menempah bilik-bilik tersebut Disember lagi atas nama sebuah agensi milik beliau untuk dijual kepada ahli-ahli Umno.
Rasa-rasanya Azalina Othman Said, Menteri Pelancongan, lebih mengetahui. Kata Azalina: "Berdasarkan maklumat yang saya terima, dua buah hotel dan sebuah agensi terbabit mengenakan caj setinggi RM1,000 sebilik bagi satu malam berikutan permintaan yang tinggi semasa tempoh kempen pilihan raya kecil. ...Mungkin ada pembabitan pihak ketiga dan pada masa ini siasatan sedang dijalankan, dan mengikut undang-undang, sesebuah hotel mesti menjual kadar sewaan bilik kepada pelanggan tetap dan tetamu hotel dan bukan menerusi pihak ketiga." http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=383117
Kita tunggu hasil siasatan Azalina. Kita hendak tahu samada pemimpin tersebut difitnahkan atau memang benar beliau mengaut keuntungan dari pilihanraya kecil ini. Pemimpin yang dimaksudkan sudah kaya raya. Tak kan sampai jual bilik untuk menambah kekayaan!
Semuga cakap-cakap di kedai kopi ini tidak benar!

Wednesday, January 7, 2009

DR MAHATHIR BAKAL KAMBING HITAM UMNO DI KUALA TERENGGANU?

SEKIRANYA Umno kalah di Kuala Terengganu, sudah pasti orang-orang Pak Lah akan menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad kambing hitam dan punca Umno gagal mempertahankan Kuala Terengganu.

Malahan orang-orang Pak Lah sudahpun memberi tanda-tanda akan menjadikan Dr Mahathir kambing hitam.

Orang-orang Pak Lah enggan menerima realiti bahawa pilihan mereka, Wan Farid Wan Salleh, sebagai calon adalah satu kesilapan besar.

Dr Mahathir menganggap pemilihan Wan Farid sebagai satu keputusan buruk dan Wan Farid adalah proksi orang-orang Pak Lah. Seperti yang dijangkakan, portal berita pro-Pak Lah menyerang Dr Mahathir dengan menganggap kenyataan bekas Perdana Menteri itu sebagai satu lagi cubaan untuk menggagalkan Umno seperti mana yang dilakukan oleh beliau Mac lalu.

"The latest bombshell by Dr Mahathir could lead to a repeat of the March 8 general elections where his attacks on the government and calls for a stronger opposition were credited with helping the opposition to their greatest electoral gains ever." http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/15287-dr-m-says-that-wan-farid-is-a-bad-choice-for-kt

"Kenyataan mengejutkan Dr Mahathir akan membawa kepada berulangnya insiden Mac 8 di mana serangan Dr Mahathir terhadap kerajaan dan kenyataannya menyeru supaya rakyat perlu kepada barisan pembangkang yang kuat sebenarnya telah membantu pembangkang mendapat undi yang besar dalam sejarah." - Malaysian Insider

Jelas dari laporan Malaysian Insider, awal-awal lagi Dr Mahathir sudah dijadikan "kambing hitam Kuala Terengganu."

Realitinya, Umno bakal menghadapi kekalahan memalukan di Kuala Terengganu dan akan memalapkan lagi peluangnya untuk pilihanraya umum akan datang. Ketika ini peluang Umno untuk menang hanya 40 peratus.

Menurut New Straits Times hari ini: "Ground reports say that BN is trailing with its popularity among voters at slightly over 40 per cent." (Laporan awal menunjukkan BN ketinggalan dalam undi populariti pengundi. Sokongan terhadap BN hanya 40 peratus) http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Wednesday/Columns/2445967/Article/index_html

Persoalannya adakah Wan Farid calon terbaik Umno untuk Kuala Terengganu? Adakah keputusan mencalonkan Wan Farid merupakan salah satu keputusan terbaik yang dilakukan Pak Lah sepanjang pemerintahan beliau yang akan berakhir Mac nanti?

Terimalah hakikat bahawa Wan Farid adalah calon yang tidak dapat membantu Umno untuk mempertahankan Kuala Terengganu. Terimalah hakikat bahawa perwatakan Wan Farid amat tidak disenangi oleh pengundi.

Tanyalah Ketua-ketua cawangan Umno. Tanyalah ahli-ahli jawatankuasa cawangan Umno dan tanyalah ahli-ahli Umno di Kuala Terengganu. Tanyalah pandangan mereka siapa Wan Farid.

Malahan Najib Razak mengakui Wan Farid mempunyai perwatakan yang tidak disenangi oleh ahli-ahli Umno di Terengganu. Lihatlah laporan New Straits Times Selasa lalu.

*Though Najib did not refer to him by name, he told Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh to correct perceptions that he was an elitist and aloof and adopt mannerisms more in tune with the constituency's voters.Wan Farid has been characterised in previous reports as being too urbane, arrogant and out of touch with Kuala Terengganu residents, many of whom are rustic in outlook.

"Walaupun Najib tidak secara terang-terangan merujuk kepada Wan Farid, beliau mengarahkan Wan Farid untuk memperbetulkan persepsi bahawa Wan Farid seorang "bangsawan dan sombong". Beliau mahukan Wan Farid mengubah perangai beliau dan sesuaikan diri dengan ciri-ciri kekampungan pengundi. Dalam laporan-laporan yang lepas, Wan Farid dikatakan terlalu sombong dan bongkak dan bangsawan. Wan Farid tidak memperdulikan kepentingan penduduk Kuala Terengganu yang kebanyakannya orang desa."

**In a pointed message to Wan Farid, Najib said: "We must greet everyone from the front of their doorsteps all the way to the back of their kitchens and you must look them in the eye when you do it."We must remember that this is a kampung atmosphere. The people here do not care how highly educated you are as they put a premium in how courteous and approachable you are. They do not want an elitist. So salam and wave to everyone even if you are tired."

Mesej Najib jelas seolah-olah mengajar Wan Farid (bagaimana hendak menjadi orang kampung) . Najib berkata: "Apabila kita bertemu orang, bersalamanlah dengan mereka dari pintu hadapan sehingga ke pintu dapur. Biar mata bertemu mata. Kita mesti ingat kita berhadapan dengan orang kampung dan kita sekarang berada di kampung. Orang kampung tak peduli setinggi langit mana latarbelakang pendidikan kita. Mereka meletakkan nilai yang tinggi kepada budi bahasa dan penghormatan kita kepada mereka. Mereka tidak mahukan seorang bangsawan. Jadi hulurlah tangan bersalaman dengan mereka. Kalau terlampau letih, lambai tangan kepada mereka." http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Tuesday/National/2445182/Article/index_html

Salah siapa memilih Wan Farid? Sepanjang tempoh kempen ini, Wan Farid kenalah berlakon dan jadi hipokrit.

Kalau Umno kalah di Kuala Terengganu, jangan salahkan Dr Mahathir. Jangan salahkan Umno Terengganu. Jangan tuduh ada pemimpin sabotaj parti. Jangan salahkan pekerja parti. Tak perlu ada post-mortem. Kerana siang-siang lagi kita tahu di mana salahnya.

Thursday, January 1, 2009

WAHID LAWAN WAN FARID

Mohd Abdul Wahid Endot, Ketua Pas Bahagian Kuala Terengganu dan Bendahari Pas Negeri, merupakan lawan Wan Ahmad Farid di pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari nanti. http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=381252

Reaksi Wan Farid?

"Siapa pun lawan yang dinamakan untuk menentang saya, ia tidak akan mengubah pendekatan BN serta falsafah parti untuk mendekati dan membawa mesej pembangunan kepada penduduk Kuala Terengganu.

"BN juga tidak gentar dengan isu-isu yang akan dibawa Pas semasa kempen nanti, kerana ia adalah isu sama yang dibawa parti itu pada pilihan raya umum 8 Mac lepas."

Sementara itu, calon Ketua Pemuda Umno Mohd Khir Toyo menganggap Wan Farid sebagai calon "bukan pilihan".

Kata Khir Toyo: ""Jadi 'being an underdog' (sebagai bukan pilihan), kita kena kerja lebih keras."
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=381190

Wednesday, December 31, 2008

WAN FARID: WANITA ITU ANAK SAUDARA SAYA!

"Wanita yang sedang menyanyi bersama saya itu adalah anak saudara saya sendiri dalam majlis perjumpaan keluarga di rumah seorang saudara yang turut dihadiri anggota keluarganya termasuk isteri dan anak-anak saya, selain ibu bapa anak saudara saya." - Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon BN untuk pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Semalam, Wan Farid memberi penjelasan mengenai gambar beliau berkaraoke yang disiarkan oleh beberapa blog terutamanya blog pro-pembangkang.

Penjelasan beliau disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

Tambah Wan Farid: "Kuala Terengganu sekarang ini basah dengan hujan, tetapi mereka ini nampaknya kekeringan isu. Mungkin ada pihak yang nak menggambarkan saya seorang yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti di lounge, pusat karaoke dan sebagainya.”

Abang saya ada, ayah dia (anak saudara) pun ada di sebelah kanan, tetapi dalam laman web berkenaan, hanya ada gambar saya dan gambar anak saudara saya itu setengah, seolah-olah memberi gambaran yang tersendiri.”

“Ini adalah tindakan berniat jahat, bila gambar itu disiarkan di Internet, banyak pihak yang membuat andaian dengan pelbagai rumusan tentang karakter saya.”

Thursday, December 25, 2008

WAN FARID HABISKAN MASA PERTAHAN KREDIBILITI

Wan Ahmad Farid, calon BN di Kuala Terengganu, jelas menyedari perjalanan beliau untuk menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu dipenuhi onak.

Maka tidak menghairankan beberapa hari ini dihabiskan Wan Farid untuk menepis tangapan negatif mengenai beliau.

Dalam akhbar the Star, semalam, Wan Farid digambarkan sebagai: "A rich man’s kid, boastful and unfriendly." (Anak seorang kaya, takbur dan sombong). http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/12/24/nation/2869907&sec=nation

Sekali, kita akan tertanya samada BN membuat keputusan terbaik memilih beliau sebagai calon.

Tuesday, December 23, 2008

SALAH KE WAN FARID BERKARAOKE?

POLITIK MENGHALALKAN CARA? Belum pun lagi kita memasuki 2009, peribadi calon BN di Kuala Terengganu, Wan Ahmad Farid, menjadi perhatian.


Lumrah dalam setiap pilihanraya, isu peribadi menjadi bahan mudah untuk mempertikaikan kredibiliti seseorang ahli politik.


Pilihanraya kecil Kuala Terengganu masih jauh tetapi Wan Farid kini dilanda serangan peribadi. Laman-laman web penyokong parti pembangkang rata-rata menyiarkan gambar Wan Farid berkaraoke.


Itulah nasib ahli politik. Setiap tingkah laku dan perkataan diperhatikan lawan.


Antara laman web tersebut.
http://anak-reformasi.blogspot.com/2008/12/wan-farid-ropernya-majlis-kat-rumah.html
http://analisisringan.blogspot.com/2008/12/wan-faridkhairyhussam-dan-kuala.html
http://mutaligat.blogspot.com/2008/12/sesiapa-suka-berkaraoke-kawanlah-dengan.html

Saturday, December 20, 2008

WAN FARID CALON TERBAIK?

Pelbagai cerita kita dengar mengenai Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan abangnya Wan Hisham di Terengganu.

Tetapi cakap-cakap ini tidak menjadi masalah kepada Umno untuk memilih Timbalan Menteri Dalam Negeri ini sebagai calon meski pun pembangkang terutamanya Pas sudah siang-siang menyatakan bahawa mereka akan “menyerang” Umno dan Barisan Nasional dengan isu Monsoon Cup yang dikatakan melibatkan adik beradik ini.

Apapun, Wan Farid sudahpun dinamakan sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan Januari depan.

Mungkin juga kepimpinan Umno tertarik dengan kenyataan Wan Farid kepada akhbar baru-baru ini bahawa beliau mempunyai “X-Factor” untuk menang di Kuala Terengganu.

Kalau dilihat kepada kenyataan Wan Farid yang dibuat lebih seminggu lalu, kita merasa pelik dengan kenyataan beliau hari ini yang mengatakan terperanjat dan terharu dengan pemilihan beliau sebagai calon.

Kalau dilihat kenyataan Wan Farid kepada New Straits Times minggu lepas, kadangkala terlintas di hati samada beliau adalah calon terbaik BN dan Umno di Kuala Terengganu.
Mungkin beliau dipilih kerana beliau orang Pak Lah seperti yang ditulis oleh Malaysian Insider semalam.


Tetapi kata-kata beliau kadangkala tidak molek didengar dan tidak mengambarkan beliau sebagai seorang yang merendah diri.

Nilailah kenyataan beliau kepada New Straits Times tempoh hari:
“I have the "X-factor" that could help BN win the by-election.” (Saya mempunyai “X-Factor” yang boleh membantu BN menang pilihanraya kecil ini”)

"The Chinese there like me, as a lawyer and politician, and my relationship with them goes back a long way. So, if I could put it this way ... if Wan Ahmad is fielded, we (the BN) stand a good chance of winning."(Pengundi Cina suka pada saya. Sebagai seorang peguam dan ahli politik, hubungan saya dengan mereka sudah lama terjalin. Sekiranya saya dibenarkan berkata begini, saya akan katakana sekiranya Wan Ahmad dicalonkan, kita (BN) mempunyai peluang yang cukup baik untuk menang”)

http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Saturday/Frontpage/2421412/Article/index_html

Sebenarnya terlalu awal untuk BN, Umno dan Wan Farid untuk melaungkan kemenangan kerana BN, Umno dan Wan Farid belum menang apa-apa lagi. Apapun terpulanglah pada Wan Farid untuk memastikan Umno kekalkan kerusi di Kuala Terengganu.

MENGENALI WAN FARID
http://www.malaysiakini.com/news/94708
http://www.malaysiakini.com/news/94721
http://beritadarigunung.blogspot.com/2008/04/4th-floor-boys-wan-farid.html
http://www.kelabchedet.com/modules.php?name=News&file=article&sid=20
http://www.mymassa.com/myvoice/index.php?itemid=153