Saturday, February 13, 2010

FRANCIS YEOH, PENERIMA SUBSIDI TERBESAR

Penulis yang menggunakan nama samaran Kunta Kinte semalam menulis mengenai kenyataan tuanpunya YTL Francis Yeoh yang dibuatnya baru-baru ini. Berikut ialah antara ungkapan Kunta Kinta dalam tulisan beliau.

"Kunta Kinte dengar pewaris syarikat raksasa YTL Corporation, Tan Sri Francis Yeoh kata wajib diwujudkan suasana persaingan yang 'brutal' dalam dunia perniagaan Malaysia.


Dia kata macam tu masa berucap di Persidangan Ekonomi 1Malaysia yang dibuka oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dalam bahasa Inggeris, antara makna 'brutal' adalah kejam, dahagakan darah, tak berhati perut, tak berperikemanusiaan, tak timbang rasa dan tak bertamadun.


Dalam erti kata yang mudah, Yeoh mahu wujud suasana persaingan di mana yang kuat boleh sesuka hati buat kejam ke atas yang lemah. Yeoh kata kerajaan wajib bantu orang miskin tapi dia mahu kerajaan tarik balik subsidi. Dia kata kerajaan tak patut jadi 'big brother' (Abang Sulung) tempat bergantung. "


Baguslah Kunta Kinte menulis dalam Bahasa Melayu supaya orang Melayu dapat menelaah kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh jutawan-jutawan Malaysia seperti Francis Yeoh.

Antara kenyataan yang dibuat oleh Francis Yeoh ialah subsidi harus dihapuskan sepenuhnya dan mentaliti subsidi harus dinyahkan dari fikiran rakyat. Sedap bercakap kalau seseorang itu sudah kaya raya macam Francis Yeoh.

Francis Yeoh mewarisi kekayaan ini dari bapa beliau Teoh Tiong Lay. Apakah Francis kaya bukan kerana subsidi?

Keluarga Francis Yeoh bernasib baik kerana kerajaan di bawah pimpinan Umno banyak membantu keluarga beliau. Tak terbilang kalau hendak disenaraikan jumlah projek yang bernilai ratusan bilion yang dianugerahkan oleh kerajaan kepada keluarga Francis Yeoh. Pada suatu ketika kekayaan keluarga Francis Yeoh mencecah RM18 bilion.

Siapa yang dianugerahkan projek pembinaan berek tentera, hospital nuklues, perumahan kos rendah, perkhidmatan keretapi ERL ke KLIA, kerja-kerja asas Menara Berkembar Petronas dan janakuasa bebas? Jawapannya Francis Yeoh dan ahli-ahli keluarganya. http://ytlcommunity.com.my/tansrifrancisyeoh/shownews.asp?newsid=37461

Francis Yeoh bukan diberikan satu atau dua hospital untuk dibina, tetapi 12 oleh kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Padahal kerajaan boleh memberi projek ini kepada 12 kontraktor Melayu tetapi Francis menjadi pilihan da syarikat kesayangan kerajaan Dr Mahathir pada masa itu.

Pada 1993, YTL menjadi syarikat pertama diberikan lesen oleh Kerajaan untuk menjadi penjana bebas elektrik dan sehingga ke hari ini Tenaga Nasional menanggung beban kewangan kerana perjanjian berat sebelah antara YTL dan TNB. Bagi tahun kewangan 2009 sahaja, TNB membayar RM1.4 bilion kepada syarikat kepunyaan Francis Yeoh dan TNB akan terus membuat bayaran ini kepada YTL sehingga 2015. Bukankah ini juga subsidi wahai Tan Sri?

Ketika krisis kewangan 1998, ramai ahli perniagaan Melayu gulung tikar tetapi tidak Francis Yeoh. Hartanah Melayu tergadai. Francis Yeoh terus unggul. Ketika ahli perniagaan Melayu bankrap, Francis Yeoh membeli 2 gedung perniagaan dan sebuah hotel 5-star dengan harga murah iaitu hanya RM350 juta berbanding nilai sebenar RM800 juta.

Kerajaan mesti sedar, Barisan Nasional kekal ke hari ini, antara salah satu sebabnya, ialah kerana subsidi. Walaupun nilai subsidi dikatakan RM24 bilion setahun, apalah sangat nilainya berbanding dengan nilai mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan.

Francis Yeoh menggambarkan begitu jijiknya mempunyai mentaliti subsidi. Tetapi kenyataan beliau lebih menjijikkan kerana beliau sendiri adalah penerima subsidi kerajaan.
Bagaimanapun Francis Yeoh beliau memilih untuk melupakan perbuatan jijik beliau kerana beliau kini sudah menjadi seorang hartawan.

No comments: