Friday, July 3, 2009

DOLLAH KOK LANAS: BADAWI & NAJIB JADI IMAM!

Selepas menyepi agak lama, bekas Setiausaha Politik Tun Razak, Abdullah Ahmad, yang juga dikenali sebagai Dollah Kok Lanas, masih belum hilang "bisa"nya dalam tulisan-tulisan beliau. Dollah, bekas Ketua Umno Bahagian Kok Lanas, disingkirkan oleh Abdullah Ahmad Badawi sebagai Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times apabila Pak Lah mengambil alih tampuk pentadbiran pada 2003.
Tulisan-tulisan beliau di akhbar-akhbar tempatan cukup di nanti-nantikan. Dollah merupakan orang yang cukup setia kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau tidak segan-silu mengkritik pemimpin Umno ketika itu kerana beliau hanya perlu menjaga hati Dr Mahathir sahaja. Antara yang dikritik hebat termasuklah pemimpin Umno yang kini memegang jawatan tertinggi parti termasuk Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Hishammuddin Hussein.
Hari ini Sinar Harian menyiarkan satu komentar yang ditulis dengan penuh sinis oleh Dollah Kok Lanas dan dalam komentar tersebut beliau menyebut dua nama - ABDULLAH AHMAD BADAWI dan NAJIB RAZAK. http://www.sinarharian.com.my/com/content/story2920713.asp
Komen Dollah Kok Lanas Mengenai Pak Lah.
Mengikut adat resamnya, apabila seorang Perdana Menteri bersara atau dipaksa bersara, dia akan melepaskan juga kerusinya dalam Parliament di negara kita dalam Dewan Rakyat. Inilah preceden (tradisi) yang dibuat Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi tidak dituruti Tun Badawi yang terus mengekalkan kerusinya di Kepala Batas. Pada 15 Jun lalu, dia tersenyum simpul masuk parliament dan keluar parliament sejurus penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan dewan. Tun Abdul Razak kembali ke Rahmatulah semasa memegang jawatan.
Saya cadangkan jika Badawi ingin sangat kekal dalam Dewan Rakyat, Najib harus memberinya jawatan "menteri contoh" kerana banyak contoh yang boleh kita dapati daripada bekas PM yang cemerlang ini. Rugilah bangsa kita tidak mengambil teladan dan nasihat daripada bekas pemimpin negara yang amat berkesan ini, yang disayangi jiran dan dunia Barat.
Saya serius bahawa dia patut diberi jawatan kerana selain dari sebab-sebab di atas, dia pandai jadi imam. Jika tidak, kita teruskan tradisi yang dimulai Tunku Abdul Rahman Putra, sekiranya Badawi berdegil apa-apa sebab pun pujuk dia supaya bersetuju kosongkan kerusinya untuk anak lelakinya Kamaluddin iaitu seorang graduan Cambridge san satu ketika amat berkuasa (zaman bapanya), berpengaruh walaupun pada hakikat itu tidak banyak diketahui umum.
Kamaluddin adalah tauke Scomi yang tidak menonjol. Pengalaman Badawi boleh diguna oleh BN dalam PRU-13 berlawan jadi imam dalam kempen menentang Tok Guru Hadi Awang. Kan Badawi bekas PM yang disanjung ini adalah pengasas Islam Hadhari yang diminati ramai orang!
Sayangnya, lama sudah tidak kedengaran apa-apa berita pun mengenai Islam Hadhari - masih hidup atau sudah berkubur! Walaupun mungkin ramai lagi yang bergembira dengan Badawi, tetapi lebih ramai bilanganya bergembira dengan Najib berada di persada kuasa. Saya tahu ramai orang seronok dengan Najib yang lebih berwibawa, lebih berpendidikan, lebih layak, lebih berkebolehan, lebih mampu, lebih bermaya, lebih berkarismatik dan lebih prihatin.
Komen Dollah Kok Lanas mengenai Najib
Najib, saya kira, boleh jadi imam; dia boleh menyanyi, suaranya agak baik dan lazimnya siapa yang pandai menyanyi, dia juga harus boleh menghafal surah-surah. Najib harus melengkapi dirinya selain daripada sifat-sifat lain bagi melayakkan dirinya sebagai ketua solat jemaah, ataupun paling minimum Najib boleh jadi bilal.
Suara Najib baik walaupun tidak merdu bak buluh perindu. Kalau ini boleh dilakukan oleh Najib, dia mencetuskan satu sejarah baru - PM kedua boleh jadi imam! Tunku, bapanya Tun Razak, suami emak saudaranya, Hussein, dan bekas mentornya, Dr Mahathir sepanjang saya tahu semuanya tidak pernah jadi imam solat jemaah atau pun solat Jumaat.
Kalau ini berlaku (Najib jadi imam), dengan jujur saya berharap Najib melakukannya dia bolehlah mengepalai solat hajat, solat jenazah bahkan solat Jumaat, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha dan terus membaca khutbah. Ini adalah satu sifat yang menguntungkan dalam politik Melayu Islam.
Ini kelebihan yang Najib tahu yang bapanya tidak boleh melakukannya. Saya cadangkan dengan serius dan jujur berbincang dengan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Seri Zahid Hamidi, seorang lulusan sekolah agama dan kini Menteri Pertahanan. Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah baca khutbah di masjid pada hari Jumaat.

4 comments:

Anonymous said...

Saya puji tan sri dollah. tan sri seorang saja yang berani kritik umno dan pemimpinnya. umno rosak kerana banyak kaki ampu. sapa yang kritik pemimpin dianggap derhaka dan kena cap sokong pembangkang. sebab itulah hari ini orang melayu tolak umno. kerana banyak kaki ampu.

Ismail Ali
Umno Pagoh

Ryzal72 said...

Assalamualaikum,
Menyelami pemikiran dollah kok lanas orang tua ini menyebabkan kita tertanya-tanya, siapakah pada masa ini yg boleh menggantikan kekuatan tulisan beliau?.
Masih hebat orang tua ini, rupa-rupanya.

Anonymous said...

Apa motif sebenar Dollah Kok Lanas menulis artikelnya? Dollah sepatutnya menyedari tentang "sejarah hitamnya" sendiri. Oleh itu, beliau wajib mencermin dirinya dahulu dan bermuhassabah. Umur dah di penghujung dan akan menghadapi Allah nanti. Ingat-ingatlah...

Anonymous said...

Apa motif sebenar Dollah Kok Lanas menulis artikelnya? Dollah sepatutnya menyedari tentang "sejarah hitamnya" sendiri. Oleh itu, beliau wajib mencermin dirinya dahulu dan bermuhassabah. Umur dah di penghujung dan akan menghadapi Allah nanti. Ingat-ingatlah...