Tuesday, December 13, 2011

SYED ALI: ORANG KATA UMNO BELA LEMBU UNTUK SHAHRIZAT






"Hari ini orang bercakap NFC itu ada kaitan dengan UMNO, parti dituduh lindungi penyelewengan dan sebagainya, tentulah tidak adil kerana UMNO tiada kaitan dengannya. Kita di bawah (peringkat cawangan dan bahagian) diserang dengan macam-macam tuduhan pasal NFC, malah ada yang kata UMNO bela lembu untuk kepentingan Shahrizat (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil), apa yang kita nak jawab dan siapa yang perlu bertanggungjawab?" - Syed Ali Al-Habshee, Ketua Umno Bahagian Cheras.
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/12/13/mstar_berita/20111213161549&sec=mstar_berita

Semakin hari semakin ramai Shahrizat Jalil kehilangan kawan di dalam Barisan Nasional. Syed Ali sekali lagi tampil mengkritik pendirian yang diambil oleh Shahrizat dan ahli keluarga beliau dalam isu lembu dan feedlot ini.

Turut mengkritik Shahrizat ialah pemimpin parti-parti komponen BN termasuk MCA dan Gerakan.

Nampaknya karier politik Shahrizat semakin hari semakin hampir ke penghujung jalan.

Monday, December 12, 2011

UMNO PERLU HADKAN TEMPOH PRESIDEN PARTI

SUPP (Sarawak United People's Party) Ahad lepas membuat pindaan pada Perlembagaan parti itu dengan menghadkan tempoh pemimpinnya memegang jawatan dalam parti dan kerajaan.

Antara pindaan tersebut ialah:

1) Presiden SUPP hanya boleh menyandang jawatan presiden parti tidak melebihi 3 penggal atau 9 tahun.

2) Pemimpin SUPP hanya boleh memegang jawatan Menteri Kabinet atau Menteri Negeri tidak melebihi 2 penggal.

3) Pemimpin SUPP hanya boleh menyandang jawatan Timbalan Menteri tidak melebihi 3 penggal.

4) Tempoh bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri tidak boleh melebihi 4 penggal.

5) Senator SUPP hanya boleh memegang jawatan untuk 1 penggal atau 3 tahun sahaja.

6) Ahli SUPP boleh memegang jawatan pengerusi penguasa kerajaan tempatan atau badan berkanun tidak melebihi 8 tahun.

7) Tempoh untuk Setiausaha Politik tidak boleh melebihi 6 tahun

8) Jawatan sebagai ketua masyarakat (penghulu, ketua kampung) tidak boleh melebihi 8 tahun.

Alangkah baiknya sekiranya Umno turut membuat perubahan yang sama. Sekurang-kurangnya ia memudahkan proses peremajaan Umno.
http://www.thesundaily.my/news/234261

Saturday, December 10, 2011

SENARAI CALON PRU-12 UMNO KEDAH: MAT LEBAI SUDIN/ABU HASSAN SHARIF GUGUR

Blog Kedah Times menyiarkan bayangan calon Umno Kedah untuk 5 kerusi Parlimen pertama bagi PRU-12 nanti.

Umno Kedah sebenarnya perlu diremajakan. Tetapi mengenali akan perwatakan kepala-kepala perang dalam Umno Kedah, proses ini bukannya satu proses yang mudah.

Selepas era Tun Dr Mahathir Mohamad, Umno Kedah terumbang ambing di sebabkan perbalahan sesama sendiri mengakibatkan Kedah jatuh buat pertama kalinya dalam sejarah politik Malaysia ke tangan Pas semasa di bawah pimpinan Mahdzir Khalid.

Tun Dr Mahathir dikatakan mahu anaknya Mukhriz ditabalkan sebagai Menteri Besar sekiranya Umno merampas semula Kedah. Tetapi Mahdzir, Ketua Perhubungan Umno Negeri Bashah Mad Hanipah dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Johari Baharom bukan calang-calang pemimpin. Mereka bertiga juga mampu mencorak arah tuju Umno, mahu ke Utara atau ke Selatan sementara Mukhriz akan bergantung kepada pengaruh bapanya untuk menang di Kedah.

Menarik di dalam senarai calon yang dipaparkan oleh Kedah Times, Ketua Bahagian Jerlun Abu Hassan Sharif dan Ketua Bahagian Pokok Sena Ahmad Lebai Sudin digugurkan.

Sementara Timbalan Ketua Bahagian Alor Setar Guntor Tobeng dan Naib Ketua Bahagian Alor Setar Yusof Ismail (gambar) akan bertanding di kawasan Parlimen Jerlun dan Pokok Sena.

Ketua Bahagian Baling Azeez Rahim yang tidak sebulu dengan bekas Ahli Parlimen Baling Mashitah Ibrahim masing-masing mendapat tempat untuk bertanding. Azeez didakwa akan bertanding kerusi DUN di Baling dan Mashitah akan menentang Mahfuz Omar di Pokok Sena.

Senarai yang disiarkan oleh Kedah Times:

PARLIMEN SIK: Dr Mansor (Timbalan Ketua UMNO Bahagian)
DUN Belantek: Tajuddin Abdullah
DUN Jeneri: Penghulu Mail


PARLIMEN BALING : Dato' Seri Jamil Khir Baharom
DUN Bayu : Cikgu Ismail Abu Bakar
DUN Kupang : Mee Che Hussain
DUN Kuala Ketil : Dato Azeez Rahim


PARLIMEN JERLUN : Dato Mukhriz Mahathir
DUN Kota Siputeh : Dato Haji Abdul Rahman Ariffin
DUN Air Hitam : CHOP USIMA


PARLIMEN KUALA KEDAH:DATO LAT SHARIMAN ABDULLAH
DUN Kubang Rotan : Haji Mansor
DUN Anak Bukit : Hashim Yahya toke susu kambing
DUN Pengkalan Kundor: Kak ta bini Jamil Idros/Dato Halim Said


PARLIMEN POKOK SENA: DATO DR MASHITAH HAJI IBARHIM
DUN Bukit Pinang : Dr Kadir (pakar perubatan)
DUN Bukit Lada: Dato Sahlan Ismail
DUN Alor Mengkudu : Ustaz Fadzil Hanafi
DUN Bakar Bata : IR Guntor Tobeng


Read more: http://syburi-times.blogspot.com/2011/12/tu-dia-senarai-calon-bn-di-kedah.html#ixzz1g8oEwo1j

Friday, December 9, 2011

DR MAHATHIR: SHAHRIZAT KENA UNDUR SEBELUM DIHALAU





“Jika kita (Shahrizat) merasakan ia adalah penting demi parti, kita (Shahrizat) berundur. Ketika saya hendak berundur, saya tidak bertanya sesiapa. Saya berharap yang lain (Shahrizat) akan berbuat begitu. Jangan tunggu orang menghalau anda (Shahrizat) keluar. Ya, ukur baju di badan sendiri.” - Tun Dr Mahathir Mohamad.
http://www.themalaysianinsider.com/litee/print/bahasa/nfc-shahrizat-patut-undur-sebelum-dihalau-kata-mahathir/

Kita benar-benar ingin tahu apa respon Shahrizat kepada kenyataan Tun Dr Mahathir ini.

SHAFIE APDAL: JANGAN HUKUM SHAHRIZAT ATAS KESALAHAN SUAMINYA





“Kita tidak boleh menghalang orang UMNO diberi peluang (terus memegang jawatan atau bertanding) kerana isu membabitkan ahli keluarganya. Salah urus dana awam adalah perkara lain sekiranya ada. Ini adalah persoalan individu... adakah seseorang patut dipersalahkan kerana kesalahan dilakukan oleh suami atau isterinya. Jika itu persoalannya seperti orang lain cakaplah Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun kena letak jawatanlah. Malah, kesalahan itu (NFC) tidaklah sebesar dilakukan pihak lain, jadi kenapa dia patut letak jawatan." - Shafie Apdal, Naib Presiden Umno.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UMNOtaklarangpersoalisuNFC/Article/

Wednesday, December 7, 2011

NURUL IZZAH CABAR SHAHRIZAT

"Bagi BN, kerusi Parlimen Lembah Pantai adalah kuota bagi Wanita Umno..., pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini saya lihat Umno begitu gagah mempertahankan Datuk Seri Shahrizat berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (PFN).

"Justeru, saya cabar beliau (Shahrizat) untuk bertanding di Parlimen Lembah Pantai bagi mempertahankan kuota Wanita Umno." - Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai; BERITA HARIAN 7/12/2011.

Inilah akibatnya apabila Ketua Wanita Umno hilang integritinya. Rasa segan di kalangan musuh politik sudah hilang.

Jangankan bertanding di Lembah Pantai, di mana-mana kerusi di seluruh negara pun sekiranya Shahrizat diletakkan sebagai calun, peluang beliau kalah lebih cerah dari menang.

Shahrizat akan tinggal sejarah dalam Umno. Tetapi bagaimana Umno? Hari demi hari isu Fidlot dan Shahrizat merentap turun populariti Umno.

Tetapi kalau itulah kehendak Najib Razak dan pimpinan Umno yang lain, apa yang boleh kita lakukan. Kita tunggulah pilihanraya umum yang pada ketika ini Najib tak sabar-sabar hendak adakan.

Tuesday, December 6, 2011

SYED ALI DESAK SHAHRIZAT LETAK JAWATAN MENTERI

“Sekali lagi saya tegaskan, Shahrizat selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hanya ada satu pilihan, iaitu berundur segera daripada kabinet jika benar beliau sayangkan parti.

“Kita selalu bercakap mengenai ketelusan, bersih dan bertanggungjawab, maka sekarang inilah masanya untuk Shahrizat berbuat demikian untuk membuktikan bahawa beliau seorang pejuang tulin UMNO." - Ketua Umno Bahagian Cheras Syed Ali AlHabshee.

Artikel penuh di sini: http://umnobahagiancheras.blogspot.com/2011/12/shahrizat-hanya-ada-satu-pilihan-letak.html

Monday, December 5, 2011

NAJIB: KENAPA MEMBISU!

“Kepada pemimpin tolong jangan buat kontroversi. Kami yang dibawah ni payah nak jawab. Salah satunya isu NFC…..sudah cukuplah sampai sini." - Wan Amizan Abdul Razak, Timbalan Ketua Bahagian Jerantut, di Perhimpunan Agung Umno 2011.

Sejak Najib Razak mengambil alih tampuk pentadbiran dari Abdullah Ahmad Badawi pada 2009, puluhan isu membabitkan pemimpin diperkatakan. Antaranya:

1) Dakwaan penyelewengan wang pinjaman mudah kerajaan untuk projek lembu National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarga Shahrizat Jalil.

2) Penjualan tanah pengkalan udara TUDM di Sungai Besi kepada 1MDB.

3) Penjualan saham MAS kepada Air Asia dan penglibatan Tony Fernandes di dalam MAS.

4) Penghinaan Tony Fernandes terhadap Malaysia Airports Berhad berkaitan KLIA2 walaupun keputusan kenaikan cukai lapangan terbang diluluskan oleh kerajaan.

5) PKFZ.

6) Penstrukturan semula PLUS di mana rakyat terpaksa menanggung kenaikan tol yang tinggi sementara pengguna Jambatan Pulau Pinang terpaksa membayar tol lebih lama dari yang dijadualkan.

7) Pemberian Notebook membabitkan Kementerian Penerangan dan Komunikasi.

8) Pemberian Spektrum juga oleh Kementerian Penerangan dan Komunikasi.

9) Cadangan Kementerian Pelajaran untuk memberi projek 1Bistari Net yang bernilai hampir RM5 bilion kepada YTL yang menimbulkan kemarahan syarikat-syarikat bumiputera.

10) Pembelian saham E&O oleh Sime Darby dan konflik kepentingan Zarinah Anwar dan suami beliau dalam transaksi pembelian saham.

11) Pengubahan wang berjumlah RM10 juta oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan ke London dan penglibatan seorang Menteri Kabinet kanan juga melibatkan pengubahan wang ke London.

12) Penangkapan pegawai kanan seorang Menteri Kanan di Pulau Pinang yang didapati memiliki berjuta ringgit bersama beliau.

13) Isu pendaftaran biometrik.

14) Perbelanjaan Istana Negara baru dan perlantikan kontraktor tidak berpengalaman untuk melaksanakan projek Istana tersebut.

15) Pemberian kontrak MRT.

16) PPSMI

17) Isu Cincin yang dikaitkan dengan Rosmah Mansor.

18) PR1MA. Kini diperkatakan bahawa PR1MA sudah menyeleweng dari objektif penubuhan asalnya apabila ia bercadang untuk melibatkan diri dalam penjualan tenaga elektrik oleh penjana kuasa milik bekas seorang Menteri kepada Tenaga Nasional.

19) Projek Tuna Batu Maung di Pulau Pinang.

20) Pelbagai isu yang melibatkan Menteri Pelancongan Ng Yen Yen termasuk isu perbelanjaan penglibatan Malaysia di Expo di China serta pemberian kontrak Kementerian Pelancongan.

Pokoknya, kenapa tiada penjelasan dari Najib atau kerajaan terhadap isu-isu ini atau mungkinkah Najib berharap rakyat akan melupakan isu-isu ini? Seperti kata Wan Amizan, pemimpin punya hal, orang di bawah yang menanggungnya.

SUMPAH PEMIMPIN UMNO


"Kami orang Umno, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan irihati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

"Kami orang Umno berjanji taat setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya nanti.

"Kami orang Umno bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfaq di jalan Allah bagi memastikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13.

"Kami orang Umno berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihanraya nanti."
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/12/3/mstar_berita/20111203202355&sec=mstar_berita

*** Sama-sama kita lihat sejauhmana sumpah yang dibuat Sabtu lepas yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin ini ditaati oleh pemimpin-pemimpin Umno apabila pemilihan calun PRU-13 dilakukan nanti.

Sunday, December 4, 2011

BUNG MOKHTAR: SHAHRIZAT LIABILITI UMNO






KUALA LUMPUR, 3 Dis — Sementara rakan-rakannya menolak daripada menyentuh isu kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Bung Moktar Radin (gambar) mempertahankan pendiriannya menggesa Ketua Wanita itu meletakkan jawatan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno ini mendakwa isu NFC kini menjadi liabiliti kepada parti. Ahli Parlimen Kinabatangan yang lantang ini juga mengetepikan wujudnya sokongan padu bagi Shahrizat ketika persidangan agung sayap Wanita Rabu lalu.

Katanya: “Kita tidak tahu apa jenis sokongan itu.”

“Ini kerana tiada perwakilan yang dengan jelas menyatakan sokongan, sokongan bagi parti, ya ada, saya tahu,” kata beliau ketika ditemui di sisi Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional ini mengaku isu NFC sudah menjadi liabiliti bagi Umno.

“Saya percaya sebab saya adalah penyokong kuat parti,” katanya.

Kata beliau, meskipun Shahrizat telah menjelaskan ketika perhimpunan tetapi apa yang lebih penting ialah persepsi publik.

“Ini bukan persoalan berkenaan penerangan. Saya fikir beliau sudah beri penjelasan.

“Ini bukan persoalan siapa yang salah. Ia adalah persoalan bagaimana publik menerimanya,” kata Bung Moktar lagi.

Bung Moktar berkata menjelang pilihan raya umum, adalah penting Umno tidak dilemahkan oleh skandal-skandal yang dikaitkan dengan mana-mana individu.

“Jadi, saya sudahkan pun menyatakan pendirian saya. Saya meminta beliau mempertimbangkan (keputusan agar letak jawatan)... disebabkan seorang individu, sebahagian terlibat,” kata beliau lagi.

Pertengahan bulan lalu, Bung Moktar memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri Kabinet yang bertanggungjawab dalam NFC patut meletakkan jawatan.

Perkara itu disebut sekali lalu ketika membahaskan ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012.

“Pendirian saya cukup jelas, macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab.

“Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.

“Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti keapda Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil,” katanya.

Ketika itu wakil rakyat tersebut tidak menyatakan nama menteri berkenaan di dalam dewan.

Tetapi kemudian Bung Moktar mengesahkan bahawa beliau merujuk kepada Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Saturday, December 3, 2011

ISU FEEDLOT: ORANG ATAS TIMBULKAN MASALAH



“If those at the top create trouble, those at the bottom have to answer. How are we going to answer? Like NFC... I will leave it at that.." - Wan Amizan Abdul Razak, Ahli Parlimen Jerantut.


"Jika mereka yang di atas menimbulkan masalah, kami yang di bawah yang terpaksa menjawabnya. Bagaimana kita hendak menjawabnya? Macam isu Feedlot... Saya berhenti setakat ini." - Wan Amizan ketika perbahasan di Perhimpunan Agong Umno hari ini.

Thursday, December 1, 2011

POLIS: PEMBELIAN KONDO OLEH KELUARGA SHAHRIZAT BUKAN PENYELEWENGAN?



NFC: Polis sahkan tiada unsur pecah amanah, seleweng
01/12/2011 12:47pm

Oleh ASSIM HASSAN

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan terhadap kes Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan pembelian kondominium mewah di One Menerung, Bangsar di sini, yang dikaitkan dengan keluarga seorang Menteri Kabinet tidak mempunyai unsur pecah amanah dan penyelewengan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini, pihaknya telah merakam percakapan 74 individu termasuk suami kepada Menteri Kabinet berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun masih belum memanggil Menteri Kabinet terbabit bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Tetapi jika ada keperluan (memanggil beliau) dalam siasatan, maka kita akan panggil nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Utusan
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_07.htm

Wednesday, November 30, 2011

SHAHRIZAT MULA MENYINSING LENGAN, MENGANGKAT KAIN

"Senyum punya senyum, saya tak larat nak senyum lagi... Itu belum angkat kain lagi. Wahai Zuraida, ketua (Wanita) PKR yang biadap, cik puan ingat kami takut dengan kamu. Oh, suruh saya letak jawatan, siapa kamu?" - Shahrizat Jalil.
http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/isu-projek-lembu-nfc-shahrizat-lontar-bom-pada-ketua-wanita-pkr.html

Kita kagum dengan kecekalan Ketua Wanita Umno dalam mengharungi krisis paling getir dalam karier politik beliau.

Selang beberapa jam selepas Shahrizat "melontar bom" (istilah yang digunakan oleh portal berita Agenda Daily), PKR melontar cabaran kepada Shahrizat dengan membuat pendedahan baru bahawa NFC menggunakan RM5 juta untuk membeli sebuah kereta Mercedes, tanah di Putrajaya dan perbelanjaan bercuti di Bandung, Phuket dan beberapa tempat lain.
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/nfc-spent-rm5m-on-mercedes-putrajaya-land-and-holidays-pkr-claims/

Nampaknya tiada kesudahan isu Shahrizat dan Feedlot ini.

Kita perlu kagum dengan semangat setiakawan di dalam Umno walaupun isu lembu dan kondo Feedlot ini sukar untuk kita pertahankan.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tampil untuk mempertahankan Shahrizat kerana kata beliau Shahrizat adalah "kakak sulung kita dan sentiasa ke hadapan mempertahankan Umno".

Khairy mengambil risiko mempertahankan Shahrizat walaupun ditohmah dengan teruk kerana pendirian ini sehinggakan ada yang menuduh Khairy mendapat habuan dari projek ini.
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/umno-youth-told-to-defend-shahrizat-in-nfc-scandal/

Kita berharap Shahrizat tidak lupa akan jasa Khairy ini.

Dalam Umno, lupa jasa perkara biasa. Shahrizat pasti ingat bahawa dahulu selepas Pak Lah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, ramai Menteri dan pemimpin Umno yang mencemuh Khairy.

Kita berharap di masa hadapan, apabila Ketua Pemuda Umno pula diserang pembangkang, Shahrizat akan bangun mempertahankan Khairy seperti mana Khairy mempertahankan beliau dalam isu lembu ini.

Tetapi berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas, iannya tidak begitu.

Dulu, apabila Pak Lah berkuasa, ramai Menteri-Menteri menyanjung dan memuji Khairy Jamaluddin. Apabila Pak Lah pergi, Menteri-Menteri yang sama mengeji Khairy. Shahrizat tahu siapa mereka ini.

Kita semua dah masak dengan kehidupan dalam parti. Bagaimanapun, kita ingin mengingatkan Shahrizat, berpolitik biarlah berpolitik secara bermaruah.

Kita tak akan ke mana kalau kita berseorangan mengangkat kain menyingsing lengan menyerang pembangkang.

Seperkara lagi, lebih baik Shahrizat dan ahli keluarga beliau menangkis setiap serangan pembangkang ini demi kebaikan Umno dan BN.

Menangkis bukan bermaksud menyerang pembangkang. Menangkis bermaksud menangkis tuduhan pembangkang sehingga ianya menyakinkan pengundi bahawa apa yang dilakukan oleh suami dan anak-anak beliau bukanlah satu penyelewengan.

Tidak adil sekiranya kerana isu ini, Umno dan BN merana kerananya.

CORAT-CORET:SUAMI SAYA BUKAN MUSA HASSAN



“Suami saya bukan VVIP seperti yang hangat diperkatakan dalam Internet. Suami saya orang biasa dan VVIP dimaksudkan itu tiada kena mengena langsung dengan perkahwinan saya.


“Saya juga tak minta hantaran mahal-mahal tetapi suami yang mahu bagi. Sama ada orang di luar sana mahu percaya atau tidak, terpulang. Andai kata suami tak hadiahkan kereta mahal pun, saya tak kisah kerana saya sendiri ada banyak kereta. Saya cukup bersyukur apabila dia sudi menyunting saya sebagai isteri. “Bila saya tak kahwin, orang kata saya tak laku tetapi bila saya berkahwin, mereka kecoh pula. Apa dosa saya dengan mereka.


“Suami saya sudah berusia dan dia ada cara sendiri mendidik saya. Suami mahu saya berubah perlahan-lahan kerana katanya untuk membentuk orang lain ke arah lebih baik bukan dengan paksaan. “Jadi usah pertikaikan cara saya berpakaian dan siapa saya kerana apa yang penting suami memahami." - Syella Kamaruddin.

Monday, November 28, 2011

SHAHRIZAT: SAYA BERJUANG UNTUK AGAMA

"Saya tidak akan jawab. Kalau nak bertanya mengenai NFC, tanyalah kepada orang NFC. Saya hanya akan tumpukan pada Pergerakan Wanita UMNO.

"Keimanan kita, keikhlasan kami tidak akan berganjak dan kita tak akan mudah melatah walau apa pun pembangkang nak buat sebabnya kita ikhlas dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara." - Shahrizat Abdul Jalil.

Kita kena mengingatkan Shahrizat. Ini bukan isu pembangkang.

Isu ini dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara dan pinjaman yang diberikan kepada suami dan anak-anak beliau bukannya duit Umno.

Ianya duit rakyat dan atas sebab itulah Kerajaan kini tertekan dengan isu ini.

Jawapan yang diberikan Shahrizat menghina ramai pihak kerana beliau seolah-olah menganggap rakyat dungu.

Lebih menyedihkan dalam keadaan terdesak, Shahrizat tergamak menyebut bahawa beliau ikhlas dalam perjuangan agama, bangsa dan negara.

Ramai yang lebih ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Tetapi mereka tidak lah bernasib baik seperti Shahrizat, suami beliau dan anak-anak yang telah dianugerahkan RM250 juta pinjaman mudah semata-mata untuk membela lembu dari negara luar, membeli Kondominium, mengerjakan umrah dan menyediakan daging lembu untuk restoran sendiri.

Sunday, November 27, 2011

NAJIB SAYANG SHAHRIZAT

Apabila seorang bapa bertanyakan kepada anak dara suntinya samada beliau bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki yang meminangnya, lazimnya, si anak dara akan tersipu dan mendiamkan diri.

Kelazimannya, ia tanda bersetuju. Bersetuju dengan pinangan dan bersetuju untuk diperisterikan.

Kesimpulannya, tanda diam, di dalam adat resam Melayu, maksudnya tanda bersetuju.

Najib Razak tidak bersetuju dengan isu Altantuya Shaaribu dan beliau menafikannya. Malah beliau sanggup bersumpah bahawa beliau tidak mengenali wanita Mongolia tersebut.

Apabila isteri beliau, Rosmah Mansor, dituduh membeli cincin bernilai RM24 juta, beliau tidak setuju dan beliau membuat kenyataan menafikan pembelian tersebut.

Tetapi apabila isu MAS-Air Asia dibangkitkan, Najib mendiamkan diri. Apabila isu Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamed Hassan menghantar RM10 juta ke London melalui pengurup wang untuk pembelian sebuah rumah, Najib berdiam diri.

Apabila isu pembelian saham E&O oleh suami Zarinah Anwar, Najib berdiam diri.

Kini Najib turut mengambil sikap mendiamkan diri apabila isu Feedlot dan pembelian Condo oleh NFC dan suami Shahrizat Jalil menggunakan duit pinjaman kerajaan.

Apakah ini tanda setuju oleh Najib terhadap semua penyelewangan ini.

Syed Ali Al-Habshi, Ketua Bahagian Umno Cheras berkata: "Apa yang saya nak katakan ialah Shahrizat perlu bertanggungjawab. Kalau Shahrizat sayangkan parti, beliau kena membuat keputusan yang betul."
http://thestar.com.my/columnists/story.asp?file=/2011/11/26/columnists/joceline/9972125&sec=joceline

Apa maksud Syed Ali? Maksudnya, Shahrizat bersalah dalam isu ini dan keputusan terbaik ialah meletakkan jawatan sekiranya beliau sayangkan Umno.

Hari ini Shahrizat menyalahkan pembangkang kerana isu ini.

Beliau silap. Rata-rata orang bercakap mengenai beliau dan lembu. Orang Pas, PKR dan orang Umno, MCA, MIC juga bercakap mengenai beliau. Malah mereka yang tak berminat mengundi pun bercakap mengenainya.

Tetapi orang juga bercakap kenapa Perdana Menteri berdiam diri?

Mungkinkah Najib, seperti juga seorang dara yang dipinang, bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Shahrizat dan ahli keluarga beliau?

Saturday, November 26, 2011

NAJIB PERLU SINGKIR SHAHRIZAT JALIL

Agak lama Jelapang tidak menulis kerana menyahut lambaian Kaabah.

Selama berada di Tanah Suci, berkesempatan juga memerhatikan tingkah laku jemaah haji Malaysia.

Rupa-rupanya jemaah kita, walaupun berada 7,000km dari tanahair, tidak ketinggalan mengikuti perkembangan politik negara walaupun khusyuk menunaikan ibadah haji.

Cerita Shahrizat Jalil, Lembu, Condo, 1Menerung dan Feedlot merupakan topik paling popular di Mekah dan Madinah. Begitulah canggihnya jemaah Malaysia terutamanya mereka yang berbekal Blackberry dan Ipad.

Kata jemaah haji yang juga penyokong Umno, jalan penyelesaian kepada isu ini mudah saja - Shahrizat perlu meletakkan jawatan demi parti.

Kata penyokong pembangkang, Shahrizat adalah simbol salahguna kuasa dan rasuah pemimpin Umno yang mentadbir negara selama ini. Kalau pemimpin pembangkang yang melakukan penyelewengan ini, dah beribu kali pejabat dan rumah mereka diserbu SPRM dan polis.

Kedua-dua pandangan ini ada kebenarannya.

Isu lembu ini cukup memalukan Umno terutamanya Wanita Umno. Sehingga hari ini, tiada seorang pun pemimpin Wanita bangun mempertahankan bos mereka.

Dan Shahrizat pula kini menyembunyikan diri dari khalayak ramai. Mungkin Selasa ini, beliau akan tampil di PWTC buat pertama kali selepas hampir 3 minggu isu ini menarik perhatian rakyat.

Inilah pertama kali Shahrizat takut publisiti. Selama ini, siang malam beliau mengejar publisiti. Tak cukup tampil di kaca TV, beliau tampil menerusi poster-poster Wanita di seluruh negeri.

Sehingga hari ini, Najib Razak mengambil sikap mendiamkan diri seolah-olah isu ini tidak penting atau mungkin, seperti yang disindir oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib terlalu sibuk sehinggakan beliau tidak sempat untuk mendapatkan masa meniliti isu ini.

Alangkah baiknya sekiranya Najib memberikan sedikit perhatian kepada isu Lembu Feedlot dan Condo 1Menerung ini.

Barisan Nasional tidak akan menang pilihanraya dengan hanya poster Najib diletakkan serata negara atau dengan hanya mengumumkan ETP baru atau dengan hanya bermodalkan gambar beliau bersama Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat.

Rakyat mahu melihat skil Najib mentadbir negara. Bukan setakat skil berucap di majlis-majlis perasmian.

Rakyat mahu melihat bagaimana Najib menyelesaikan isu ini. Rakyat mahu melihat akan ketegasan Najib dalam mentransformasikan negara.

Ini termasuk membersihkan Umno dan Kabinet dari salahguna kuasa.

Nama Najib akan menjulang naik sekiranya beliau tegas dengan Shahrizat Jalil. Rata-rata ahli Umno mahukan Shahrizat disingkirkan sebagai ketua wanita Umno.

Bagaimanapun, kita tidak yakin Najib berani melakukannya. Kalau Shahrizat disingkir, bagaimana dengan Menteri-Menteri lain yang juga diselaputi kudis?

Dan Najib juga terkenal dengan politik selamat.

Rabu nanti, Shahrizat akan berhadapan dengan perwakilan Wanita.

Ucapan beliau kali ini sudah pasti ucapan paling menarik dalam karier Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno.

Kalau Shahrizat sayangkan parti, beliau akan meninggalkan pentas Rabu ini sebagai bekas Ketua Wanita Umno.

Sekiranya berlaku sebaliknya, maka diri Shahrizat lebih penting dari parti.

Kita tunggu ucapan Perdana Shahrizat Jalil Rabu nanti.

Wednesday, November 2, 2011

KAKI SUPPLY PEREMPUAN KINI BERGELAR SENATOR

Memalukan dan memilukan.

Hari ini merupakan satu hari yang cukup memilukan dan memalukan untuk Barisan Nasional.

Semalam kita dikejutkan dengan pengumuman perlantikan Presiden Parti Bersatu India Malaysia, KS Nalakaruppan, bekas rakan tenis dan orang yang bertanggungjawab menyediakan perempuan untuk Anwar Ibrahim, sebagai Senator untuk tempoh tiga tahun.

Kadang-kadang sukar untuk kita membaca pemikiran Najib Razak.

Berbulan-bulan kita menghentam Anwar Ibrahim dalam isu moral. Tiba-tiba hari ini, rakan tenis Anwar menjadi pilihan Najib untuk dilantik Senator seolah-olah negara ketandusan pemimpin India untuk dilantik Senator.

Rasanya T.Murugiah dan Daljit Singh yang tidak dilantik semula sebagai Senator lebih tinggi moralnya dari Nalakaruppan.

Kita bingung dengan cara Najib membuat keputusan. Ataupun mungkin keputusan melantik Nalakaruppan dibuat ketika Najib dalam kebingungan.

Wednesday, October 26, 2011

NAJIB DITEKAN CALON WINNABLE

Pendekatan dalam memilih calon untuk PRU-13 bagi Barisan Nasional amat jelas.

Awal-awal lagi, Najib Razak, Pengerusi BN, menyatakan pendiriannya bahawa hanya 'WINNABLE CANDIDATE" atau "calon yang boleh menang" akan dipilih bertanding di dalam PRU-13 yang dijangka akan diadakan pada Mac 2012.

Mesej pucuk pimpinan mengenai "Winnable Candidate" ini sudah sebati di akar umbi. Di mana-mana saja, akar umbi bercakap mengenai "winnable candidate".

Agak menarik, selepas setahun, kita masih belum mendengar seorang pun Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak lagi berminat untuk bertanding lagi di dalam pilihanraya akan datang.

Sementara di dalam MCA, Chua Soi Lek, yang dirakam melakukan hubungan seks dengan seorang wanita Cina di sebuah hotel pada 2007, pun masih menganggap dirinya calon winnable di mana saja beliau akan bertanding. http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/written-off-by-rival-soi-lek-says-still-winnable/

Presiden Gerakan Koh Tsu Koon yang dimalukan semasa PRU-12 pun masih berminat bertanding semula.

Negeri Sembilan, yang diwarwarkan akan jatuh ke tangan pembangkang pada PRU-13 nanti, sekiranya Mohamed Hasan kekal sebagai Menteri Besar, pun mula menunjukkan tanda-tanda mahu kekal sebagai Menteri Besar.

Semasa ditemuramah oleh sebuah akhbar Inggeris baru-baru ini, Mohamed Hasan menyatakan bahawa sokongan terhadap BN di bawah pimpinan beliau semakin meningkat berdasarkan satu kajian bebas yang diadakan pertengahan tahun ini. http://www.nst.com.my/nst/articles/18zz/Article/art_print

Ketika Najib sedang membuat persiapan terakhir untuk mengadakan PRU-13, di akar umbi pelbagai cara dilakukan oleh Ahli Parlimen dan bakal-bakal calon untuk dilihat sebagai relevan dan calon winnable di mata pucuk pimpinan.

Di Johor, dikhabarkan, seorang Ahli Parlimen yang usianya hampir mencecah 70an dan bergelar Yang Berhormat hampir 20 tahun, sedang bertungkus lumus untuk kekal sebagai ahli Parlimen walaupun sudah 3 penggal (8 tahun) menjadi Adun dan 3 penggal (12 tahun) menjadi Ahli Parlimen.

Makanya dimintanya rakan-rakan di dalam MIC, MCA, Gerakan, NGO dan perisik menghantar laporan A+ dan surat rayuan kepada Najib untuk mengekalkan beliau dan kononnya beliau lah calon paling winnable di Parlimen beliau.

Di Kedah, di khabarkan, seorang Naib Ketua Bahagian, meminta persatuan penduduk di kawasan-kawasan perumahan di bahagian beliau untuk menulis surat kepada Najib bahawa mereka mahukan beliau dicalonkan di dalam PRU-13 nanti.

Di Pulau Pinang, Ahli-Ahli Parlimen bebas, yang dulunya bersama PKR, sedang lobi-melobi, untuk bertanding di atas tiket Umno sehinggakan tidak memperdulikan perasaan orang bahagian, semata-mata mahu terus dikenali sebagai Yang Berhormat.

Di Wilayah Persekutuan, ada pemimpin Umno berjawatan dalam Kerajaan yang sanggup menelefon Ketua Bahagian lain agar mengurangkan mengeluarkan kenyataan kepada akhbar kerana tidak mahu Ketua Bahagian lain lebih popular dari beliau.

Ini belum lagi kita berbicara mengenai pemimpin-pemimpin yang meng"sms" Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, mempromosikan diri sendiri dan yang menggunakan bini untuk mendampingi Rosmah sebagai penyelamat diri.

Di satu bahagian di Pahang, pimpinan bahagian membangkitkan mengenai keperibadian Ahli Parlimen mereka. Kata mereka, "sudahlah bukan orang Pahang, bangsat di bahagian orang, kemudian berhijrah ke bahagian kita dan hari ini, gunakan bahagian kita jadi orang besar."

PRU-13 mungkin diadakan November, Disember, Januari atau seperti yang ramalkan Mac.

Inilah yang kita tunggu-tunggu. Kita mahu melihat ketahanan dan kekuatan Najib dalam mengharungi ujian dalam memenuhi hasrat beliau memilih calon winnable.

Dalam sejarah, Najib dikenali sebagai seorang yang bermain politik selamat. Itu sebelum beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Kini beliau Perdana Menteri dan Presiden Umno. Entah-entah beliau lebih garang dari Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sunday, October 23, 2011

ROSMAH DIANUGERAH SELENDANG TUN FATIMAH

Tahniah kepada Rosmah Mansor di atas penganugerahan Selendang Tun Fatimah oleh Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.

Rosmah adalah penerima sulung anugerah tersebut.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/10/23/nation/9757227&sec=nation

Saturday, October 22, 2011

MOHAMAD HASAN PEMINAT CHUA SOI LEK

Tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan. Tiba-tiba Mohamad Hasan menjadi seorang pemimpin liberal dengan meminta Presiden MCA Chua Soi Lek, yang imejnya dicemari dengan adegan hubungan seks di sebuah hotel, untuk bertanding di Negeri Sembilan bagi menyelamatkan Negeri Sembilan dari jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/10/20/nation/9731481&sec=nation

Begitu kagumnya Mohamad Hasan akan keperibadian Chua Soi Lek sehingga beliau menyamakan Presiden MCA dengan Tan Sri Lee San Choon, bekas Presiden MCA.

Lee San Choon, yang memimpin MCA dari 1978-1983, mengambil keputusan dalam pilihanraya umum 1982 untuk bertanding di kubu kuat DAP di Seremban dan menewaskan orang kuat DAP Chen Man Hin dengan majoriti 845 undi.

Kenyataan Mohamad Hasan menggambarkan beliau menyedari dan mengakui, sebagai Pengerusi BN, beliau tidak mampu menumpaskan Pakatan Rakyat di dalam PRU-13 nanti.

Malahan Mohamad Hasan perlu menyedari bahawa seluruh kepimpinan Umno Pusat hari ini tidak yakin beliau mampu mengemudi Umno di dalam PRU-13 nanti.

Kepimpinan Umno kini sedang mengenalpasti "tunjang" baru buat Umno Negeri Sembilan. Ramai yang mahukan Isa Samad kembali memimpin Negeri Sembilan dan Umno Negeri Sembilan demi menyelamatkan negeri itu dari jatuh ke tangan pembangkang.

Sepatutnya Mohamad Hasan mencabar pelakon video seks, Chua Soi Lek, untuk menjadi "hero BN" dengan bertanding menentang nama-nama besar dalam DAP seperti mana dilakukan oleh Lee San Choon.

Chua Soi Lek popular kerana video seks beliau dan beliau akan lebih popular sekiranya dapat menewaskan Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng.

Pemimpin-pemimpin BN kena tunjuk hero seperti pemimpin terdahulu. Dulu pemimpin berani menentang pemimpin parti lain.

Allahyarham Yusof Rawa, bekas Presiden Pas, sanggup mencabar Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu.

Apa salahnya sekiranya kali ini Chua Soi Lek bertanding menentang Lim Kit Siang dan Koh Tsu Koon menentang Lim Guan Eng.

Tetapi apa yang kita dengar di akar umbi lain ceritanya. Chua Soi Lek sedang mencari kawasan selamat dan mengidam bertanding di Labis, Johor.

Koh Tsu Koon pun katanya hendak kawasan selamat dan bercadang ke Johor. Begitu juga Presiden MIC G.Palanivel yang siang-siang bercadang bertanding di Telok Kemang, Negeri Sembilan, dan bukannya di Kelang, Kapar atau Sungai Siput.

Terdengar juga berita ada seorang Menteri Kabinet kanan di Johor yang hendak "melarikan diri" dari kawasan beliau dan berhajat bertanding samada di Kota Tinggi (kerusi Syed Hamid Albar) atau Pengerang (kerusi Azalina Othman Said) kerana takut kalah.

Begitulah suasana politik hari ini. Tiba-tiba pemimpin kanan BN takut menghadapi pilihanraya umum kali ini.

Wednesday, October 12, 2011

APABILA NAJIB BERSAHUR, BERKONSERT










Ketika berucap di pertemuan bersama pemimpin Barisan Nasional Wilayah Persekutuan di PWTC di hujung minggu lalu, Najib Razak memberitahu para hadirin bahawa di sebelah pagi beliau telah memandu kereta sendiri bersama Rosmah Mansor dan anak beliau untuk minum pagi di Village Park, Damansara Utama.


Secara sponton, ada di kalangan hadirin menjerit "di mana?". Najib menjawab: "Uptown".


Ada di kalangan hadirin tersenyum sinis. Apa tidaknya, sukar untuk mempercayai Najib memandu sendiri kereta beliau dan tahu pula jalan mana hendak ke Damansara Utama.

Ramai di kalangan ahli politik amat mengenali Najib, anak Perdana Menteri. Beliau lebih di kenali sebagai seorang aristokrat dan atas sebab itulah apabila beliau menceritakan beliau berkereta sendiri ke Damansara Utama untuk bersarapan di tepi jalan, ada yang terpinga-pinga dan enggan mempercayainya sehinggalah sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan gambar beliau bersarapan dan bersalaman dengan beberapa pengundi Tionghua yang hanya berseluar pendek.

Sejak tahun lepas, pelbagai perkara dilakukan oleh Najib yang tidak pernah dilakukan oleh pemimpin lain seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Hussein Onn.

Kadang-kadang tertanya-tanya kita siapa penasihat beliau.

Apa tidaknya. Najib disuruh bangun pagi-pagi buta dan berpakaian baju kebangsaan untuk bersahur dengan orangramai, disuruh berpakaian t-shirt dan menyengkang mata untuk menonton pertandingan bolasepak Piala Eropah di antara Manchester United menentang Barcelona, disuruh bert-shirt dan membawa telefon kamera beliau untuk mengambil gambar penonton konsert Suara Kami yang dianjurkan oleh Astro dan baru-baru ini disuruhnya Najib menjadi DeeJay radio.

Tampak seolah Barisan Nasional begitu terdesak merayu undi sehingga Perdana Menteri yang seharusnya menjalankan tanggungjawab yang lebih mendesak dinasihatkan oleh penasihat beliau menjadi penonton bolasepak dan DJ.

Kita semua mengenali Najib dan Rosmah Mansor. Tidak perlulah Najib memaksa diri beliau melakukan semua ini kerana kita tahu itu bukan perwatakan beliau. Beliau dilahirkan di dalam mahligai indah dan bersekolah di luarnegeri.

Sebaiknya beliau tumpukan masa beliau menyelesaikan masalah dalam negara terutamanya di dalam parti.

Umumlah apa saja. ETP? Belanjawan? Tapi kalau masalah Umno di bawah tidak diselesaikan, Umno tidak kemana.

Di Pulau Pinang, pemimpin Umno sedang berebut-rebut untuk menjadi Ketua Menteri. Di Perak, ada ahli Exco Perak merasakan dirinya layak menggantikan Zambry Kadir. Di Wilayah Persekutuan, Ketua-ketua bahagian masing-masing mahu memastikan ketua bahagian lain kalah dan dia saja yang menang dengan harapan beliau akan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Alangkah baiknya, Najib selesaikan masalah-masalah ini daripada menonton bolasepak, bersahur dan bersarapan di kedai kopi - sesuatu yang beliau tidak pernah lakukan dalam kehidupan harian beliau selama ini.


Kata orang putih, "Be yourself, don't pretend."

Wednesday, October 5, 2011

CINCIN US$24 JUTA





KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan tiada sebarang pembelian cincin bernilai AS$24 juta oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata cincin kontroversi berkenaan turut dikembalikan kepada syarikat pemunya cincin itu selepas beberapa hari.

Sunday, October 2, 2011

DR MAHATHIR: UMNO AKAN KALAH JIKA PRU DIADAKAN SEKARANG

" Jika diadakan PRU waktu ini, Umno boleh kalah besar kerana sokongan dan semangat mereka telah pudar.”


“Dulu orang Umno berkorban apa saja untuk parti, sanggup gadai barang kemas dan sebagainya untuk bantu parti tetapi sekarang mereka pegang jawatan sebab hendak dapat kontrak, jadi calon atau sebab tertentu." - Tun Dr Mahathir Mohamad.



Kalau lah kita yang menegur, sudah pasti kita akan dituduh pro-pembangkang, anti-kerajaan atau anti-Umno.


Apabila Dr Mahathir yang menegur, tiada siapa dalam Umno sanggup menyahut.


Baik Najib Razak mahupun Muhyiddin Yassin. Kenapa?


Kerana apa yang Tun Dr Mahathir katakan adalah benar. Sekarang berpolitik lebih kepada untuk mendapatkan kontrak termasuklah Menteri-Menteri Kabinet.


Hanya diakar umbi dicanangkan hal bangsa, agama dan negara.


Kita lihat sajalah di kalangan Menteri-Menteri Kabinet. Siapa di kalangan mereka yang miskin?


Baru-baru ini kita dipaparkan dengan gambar sebuah rumah yang cukup besar yang dibina oleh seorang Menteri.


Apabila menjadi isu, mudah saja jawapannya. Saya dah lama simpan duit, pencen pun banyak. Berjuta-juta?


Elok juga pilihanraya diadakan sekarang. Biar rakyat yang menentukan samada mereka masih dapat menelan kesemua ini atau mereka benar-benar serius mahukan transformasi yang serius.


Sepertimana di dalam video klip Undilah. "We are the BOSS". Ya, pengundi ada lah BOSS.

Friday, September 30, 2011

MUHYIDDIN: PENGUNDI "PENAT" TENGOK MUKA LAMA

"...umumnya para pengundi mahu Umno menurunkan calon-calon muka baru pada pilihan raya umum ke-13.

“Calon yang boleh menang, yang paling penting ialah sama ada calon (diturunkan) boleh diterima dan boleh menang, meskipun calon itu sudah lama menjadi ketua bahagian, menang tanpa cabaran dan menjadi ahli Parlimen sebelum ini.

“Tetapi apabila kita tanya orang ramai, mereka berkata ‘ah, orang itu sudah terlalu lama, kami sudah penat. Kami mahukan seseorang yang baru’. Itulah maklum balas yang kami terima.”
http://www.themalaysianinsider.com/print/bahasa/pru-13-pengundi-mahu-umno-letak-muka-baru-kata-muhyiddin/

Sekurang-kurangnya Muhyiddin Yassin berani mengeluarkan kenyataan seumpama ini.

Kita juga berharap Muhyiddin juga berani menyampaikan mesej ini kepada Menteri-Menteri yang "tarikh luput"nya sudah lama berlalu.

Antaranya Rais Yatim, Nor Mohamed Yakcop, Nazri Aziz dan Mustapha Mohamad.

Lazimnya, pemimpin hanya berani menegur golongan bawahan sahaja tetapi bila tiba masanya "muka yang penat" inilah juga yang dicalunkan.

Di akar umbi sekarang ini, yang telah pencen pun masih mengidam hendak menjadi calon. Antaranya AO dan SHA.

Baguslah sekiranya Muhyiddin awal-awal lagi menyatakan pendirian parti mengenai calon PRU-13. Tetapi biar lah adil. Kalau yang "muka penat" itu Menteri, gugurkanlah mereka.

Kita takut, bila tiba masanya, ada yang "penat" ini kekal kerana isteri beliau dengan isteri bos akrab atau ada "muka penat" yang meraung menangis depan bos minta satu penggal lagi seperi mana seorang Menteri Besar pernah lakukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dulu sampai satu negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Adakalanya, sesuatu kenyataan itu dibuat untuk dilihat popular sahaja. Bagi sesetengah pemimpin, menang jawatan dalam parti menjadi keutamaan dari memenangi pilihanraya.

Kalau Menteri tertentu bakal menentukan nasib seseorang di dalam pemilihan Umno, walau penat macam mana pun mukanya, beliau akan kekal sebagai Menteri.

Kita dah masak dengan budaya Umno ini.

Sunday, September 25, 2011

NAJIB TAK COOL?



Tiba-tiba Najib Razak dikritik sebagai tidak "cool" gara-gara tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang ditadbir oleh Rais Yatim mengharamkan penayangan video klip "Undilah" hasil ciptaan Peter Teo.

Tiba-tiba kerajaan menjadi sensitif terhadap kandungan video tersebut yang memaparkan artis-artis popular tanahair serta beberapa ahli politik seperti Tengku Razaleigh Hamzah (Umno), Wee Ka Siong (MCA), Rosnah Rashid Shirlin (Ketua Puteri Umno), Nurul Izzah Anwar (PKR), Khalid Samad (Pas) serta Tony Pua.

Semalam Wee Ka Siong mempersoalkan tindakan Kerajaan mengharamkan penyiaran video klip tersebut.

Najib baru-baru ini muncul di khalayak ramai untuk menonjolkan imej "cool" dengan menghadiri konsert Suarakami anjuran Astro ber-T-shirt dengan gimik mengambil gambar penonton menggunakan telefon bimbit beliau serta turun ke konti-konti radio swasta untuk menjadi DJ bagi meraih undi golongan muda.

Tiba-tiba kerajaan membuat keputusan mengharamkan penayangan video klip rap "Undilah" yang kini popular di YouTube di kalangan anak-anak muda.

Semalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengeluarkan kenyataan bahawa penarikan semula penyiaran klip video 'Undillah' adalah kerana ia belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).


Apa yang susah sangat hendak menapis video klip yang tak sampai 5 minit itu?

Sekali imbas, video tersebut tiada unsur keganasan dan seks. Oleh itu di mana salahnya?

Mungkin juga kita masih takut dengan bayang-bayang. Sekarang ini kita takut segala-galanya, termasuk video klip.

Itulah akibatnya apabila kita mempunyai Menteri Penerangan yang usianya hampir mencecah 70an dan masih hidup di era 70an.

Saturday, September 24, 2011

SATELIT AMERIKA TIDAK AKAN JATUH DI MALAYSIA

Satelit UARS Amerika tidak akan jatuh di Malaysia!

Kemungkinan besar ia akan melalui Kanada, Afrika atau Australia dan kemungkinan jatuh di Lautan India, Atlantik atau Pasifik.

Malahan NASA, meramalkan sukar ia jatuh ke daratan kerana 70 peratus dari muka bumi adalah laut.

Beberapa fakta menarik yang dikeluarkan oleh NASA.

1) Berat satelit ialah 6 ton.

2) Sekurang-kurangnya 26 pecahan akan jatuh ke bumi.

3) Pecahan paling besar beratnya 158 kilogram.

4) Keberangkalian risiko akan mencederakan manusia ialah 1:3,200

5) Keberangkalian ia akan jatuh keatas orang perseorangan 1: xxx trilion

6) Apabila Columbia meletup pada 2003, 42.5 ton serpihan jatuh ke bumi dan tiada sebarang kecederaan.

7) Sekiranya serpihan ini mengenai rumah kita, pampasan akan diberikan oleh NASA.

8) Sebarang serpihan satelit ini adalah hak Amerika Syarikat dan NASA. NASA memberi amaran agar tidak mendekati atau menyentuh serpihan satelit ini sekiranya ia jatuh di halaman rumah kita.

Friday, September 23, 2011

ISU E&O: NOR YAKCOP TOLAK ISU KEPADA NAJIB

‘‘Saya tak ada kena-mengena, saya bukan Menteri Kewangan, saya ialah menteri yang bertanggungjawab dalam Unit Perancang Ekonomi (EPU), ini berlaku semasa saya bukan lagi dalam Kementerian Kewangan.

‘‘Tetapi orang kata Nor Mohamed perlu beri jawapan (isu pembelian). Apa itu? Tak masuk akal, bodoh punya kenyataan. Jadi lebih baik saya tidak cakap apa-apa tentang perkara ini, nanti lagi menjadi kontroversi.’’ - Nor Mohamad Yakcop.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm

Tiba-tiba Nor Mohamad Yakcop menjadi defensif apabila membicarakan isu pembelian saham Eastern & Oriental (E&O) oleh Sime Darby Berhad.

Kalau diteliti kenyataan Nor Yakcop, beliau menegaskan beliau bukan lagi Menteri Kewangan atau dengan kata lain Menteri Kewangan perlu menjawab isu ini.

Siapa Menteri Kewangan? Najib Razak.

Itulah yang dimaksudkan oleh Nor Yakcop. Najib perlu menjelaskan isu pembelian saham E&O ini. Dan kita menanti jawapan Perdana Menteri.

Isu ini banyak ditulis oleh blogger Another Brick in the Wall. Lihat artikel-artikel berikut:
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2011/09/sdarby-purchase-in-e-strange-buy-and.html
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2011/09/sime-e-cimb-second-collaboration-ecm.html
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2011/09/go-or-no-go-zarinah-and-sc-are-under.html
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2011/09/kalimullah-friend-leslie-lopez-keen-on.html
http://bigdogdotcom.wordpress.com/2011/09/06/smelling-a-rat/
http://www.rockybru.com.my/2011/09/zarinah-anwars-hubby-azizan-should-go.html
http://www.rockybru.com.my/2011/09/crookwatching.html

Wednesday, September 21, 2011

SANUSI JUNID: KOH TSU KOON BERLAGAK PANDAI DI KACA TV

"...ada sekitar 400,000 yang pasti tidak gembira apabila melihat tokoh (Koh Tsu Koon) yang mengecewakan mereka berlagak pandai di kaca TV." - Sanusi Junid.

Inilah pandangan Sanusi Junid, veteran Umno yang cukup berpengalaman dalam politik, mengenai Koh Tsu Koon, presiden Gerakan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang kalah dalam pilihanraya umum yang lepas.

Ikuti artikel Sanusi di blog beliau dan celoteh Sanusi mengenai Mat Kudong.
http://sanusijunid.blogspot.com/2011/09/perkara-kecil-akibatnya-besar.html#more

Monday, September 19, 2011

ISA: DR MAHATHIR SINDIR NAJIB?

"tindakan menghapuskan ISA meletakkan Malaysia "pada tahap moral yang tinggi", malah boleh dianggap setahap lebih baik daripada negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

"Selepas penghapusan akta itu, kita boleh mulakan kempen untuk minta mereka lepaskan tahanan tanpa bicara, sebagai contoh, di kem tahanan Teluk Guantanamo.

"Masih ada yang ditahan sejak 10 tahun lepas dan tidak dibicarakan, ditahan hanya kerana mereka orang Islam.

Malaysia kini lebih liberal dengan penghapusan ISA dan berhak membuat tuntutan seumpama itu terhadap negara seperti Amerika dan Britain." - Tun Dr Mahathir Mohamad.
http://www.malaysiakini.com/news/176290
http://www.pribumiperkasa.com/?p=6719
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=614460

Akhirnya Dr Mahathir menyuarakan pendapat beliau mengenai penghapusan ISA oleh Najib Razak.

Kepada mereka yang mengenali Dr Mahathir, pastinya mereka dapat membezakan samada kenyataan berunsur sinis atau tidak berdasarkan kepada intonasi kenyataan beliau.

Pada pandangan kita, kenyataan beliau ini lebih menyindir Najib apabila Dr Mahathir berkata tindakan menghapuskan ISA tersebut "meletakkan Malaysia di tahap moral yang tinggi" dan "kita boleh mulakan kempen untuk meminta mereka (Amerika) lepaskan tahanan tanpa bicara sebagai contoh di kem tahanan Teluk Guantanamo".

Kini mesej Dr Mahathir kepada Najib mengenai penghapusan ISA jelas.

Sunday, September 18, 2011

NAJIB: JANGAN SYOK SENDIRI

"Jangan kita syok sendiri...apabila buat program Juara Rakyat, (laporan dibuat) kami ada perhimpunan 300 orang dan kesimpulannya program berjaya. Kemudian laporan dihantar ke ibu pejabat, diproses serta dihantar kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Siapa 300 orang itu, saya sudah tahu. Sudah 35 tahun dalam politik, saya tahu permainannya. Anda tahu apa yang saya tahu, saya tidak pakai laporan seumpama itu, tetapi kalau 300 itu bukan ketua cawangan dan penyokong tegar atau yang dahulu menentang kita, itu berbaloi." - Najib Razak (perasmian Konvensyen BN Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam).
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Saturday, September 17, 2011

ISA: NAJIB AKAN MENYESAL

Akan terpahat di dalam sejarah negara Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab menghapuskan Akta yang paling kontroversial di negara ini iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai ISA.

Peristiwa bersejarah ini tercatat pada malam 15hb September 2011, di ambang sambutan Hari Malaysia. Malangnya, pada malam bersejarah tersebut, tidak kelihatan wajah Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk turut sama meraikan pengumuman tersebut, walaupun sehari dua sebelum pengumuman tersebut dibuat, Rais Yatim telah mewar-warkan bahawa satu pengumuman penting akan dibuat oleh Najib.

Keputusan Najib tersebut cukup mengejutkan dan sehingga hari ini, kita masih tertunggu-tunggu nama-nama besar negara memberi pandangan mereka mengenai keputusan Najib menghapuskan ISA.

Kita tertunggu pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas-bekas Ketua Polis Negara, veteran-veteran Umno seperti Sanusi Junid, Musa Hitam yang bertanggungjawab terhadap Peristiwa Memali, dan bekas-bekas Panglima Angkatan Tentera.

Keputusan Najib ini boleh dilihat dari dua perspektif. Perspektif golongan yang ANTI-ISA dan PENYOKONG ISA terutamanya penyokong-penyokong Umno.

PERSPEKTIF GOLONGAN ANTI ISA
Keputusan Najib menghapuskan ISA tidak membawa apa-apa makna kepada golongan ini terutamanya mereka yang pernah merengkok di Kemunting. Janganlah mengharapkan satu undi pun dari mereka - parti yang paling mereka benci ialah UMNO dan Barisan Nasional.

Anak dipisahkan dari bapa dan bertahun-tahun isteri mengharungi hidup membesarkan anak dan menjaga keluarga kerana suami merengkok di Pusat Tahanan ISA. Apa salah mereka?

Ianya hanya kerana perbezaan ideologi politik. Apabila ISA diperkenalkan pada tahun 1960 di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman, tujuannya ialah untuk membasmi fahaman komunis.

Sebaliknya di bawah pentadbiran Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi, ianya disalahgunakan untuk kepentingan politik Umno dan BN.

Mempunyai Akta ini tidak salah, tetapi yang salah ialah penyalahgunaannya oleh pucuk pimpinan untuk kekal berkuasa.

Sekiranya Najib mengharapkan tindakan beliau menghapuskan ISA akan mengembalikan sokongan golongan ini terhadap beliau dan BN, beliau silap.

Penderitaan yang mereka lalui sudah cukup untuk mereka membenci Umno, BN dan Kerajaan.


GOLONGAN PRO-ISA


Apabila Najib mengumumkan penghapusan ISA, ramai di kalangan ahli Kabinet dan pegawai-pegawai kanan yang hadir pada malam tersebut bertepuk tangan seolah-olah memberi gambaran bahawa selama ini Kerajaan salah dan pembangkang berada di pihak yang benar.


Pada tanggal 15 September 2011, Kerajaan Umno dan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak mengakui bahawa selama ini penggunaan ISA oleh Umno, BN dan pemimpin-pemimpin terdahulu termasuk Dr Mahathir dan Pak Lah adalah satu kesilapan yang besar.


Kini, golongan Pro-ISA terutamanya penyokong Umno hairan dengan apa yang hendak dilakukan oleh Najib. Puluhan tahun, Umno dan BN mengharungi ujian menangkis serangan pembangkang dalam isu ISA ini. Namun tidak sekali pun kita kalah dalam pilihanraya umum semata-mata kerana ISU ISA.


ISA bukan isu baru. Malahan Umno dan BN tidak pernah kalah dalam mana-mana PRU dek isu ISA. Kekalahan di 6 negeri semasa PRU-12 tidak ada kena mengena pun dengan isu ISA. Kekalahan pada 2008 lebih kepada pentadbiran lemah dan longlai Pak Lah.


Tiba-tiba Najib tidak sanggup mengharungi PRU-13 dengan isu ISA. Tidak salah kalau kita katakan bahawa tindakan menghapuskan ISA merupakan tindakan terdesak yang memberi gambaran betapa paniknya Najib untuk mengharungi PRU-13 ini.


Perjuangan menghapuskan ISA adalah perjuangan pembangkang. Apa tidaknya, Akta ini digunakan hanya untuk menangkap pemimpin pembangkang.


Pada malam 15 September 2011, perjuangan pembangkang akhirnya berhasil. ISA dihapuskan. Siapa yang memberi kredit kepada pembangkang? Najib Razak.


Tindakan menghapuskan ISA ini dilihat tidak lain tidak bukan hanya semata-mata untuk menaikkan peratusan populariti Najib melebihi 59 peratus yang diterima beliau kini.


Apakah tindakan menghapuskan ISA ini sudah mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan?


Tidak memeranjatkan sekiranya tindakan Najib ini menyebabkan orang Melayu bertambah muak dengan Najib. Tidak memeranjatkan juga sekiranya ahli-ahli Umno mula memperkatakan samada Najib adalah "winnable candidate" untuk Umno dan BN pada pilihanraya akan datang ini.


Ramai di kalangan ahli Umno sudah mula mempertikaikan komitmen Najib terhadap orang Melayu. Di mana letaknya Agenda Melayu di bawah pentadbiran Najib?


Perkara pertama yang dilakukan Najib apabila menjadi Perdana Menteri ialah menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan diikuti dengan falsafah 1Malaysianya dan Dasar Ekonomi Melayu entah ke mana.


Tidak salah sekiranya ahli-ahli Umno mempersoalkan samada Najib adalah "winnable candidate" buat mereka untuk PRU-13 nanti.


Apapun, ISA sudah dihapuskan. Tak payahlah kita bercakap secara teknikal kononnya terpaksa menunggu Parlimen bersidang dan sebagainya.


Bermula malam 15 September 2011, ISA sudah berkubur. Kepada pemimpin Umno yang selama ini cukup berminat menggunakan perkataan ISA untuk mengugut pembangkang, carilah modal (Akta) lain.


Realitinya mungkin menakutkan buat Najib. Tidak mustahil hari ini beliau kehilangan sokongan bukan saja dari golongan Anti-ISA, malah beliau juga kehilangan sokongan dari golongan Pro-ISA.


Kita sama-sama tunggu kajian terkini Merdeka Center.

Wednesday, September 14, 2011

NAJIB JUMPA NAMEWEE



Ramai rakan blogger begitu marah apabila terdengar Najib Razak bertemu dengan Namewee, artis kontroversi yang menghasilkan lagu di Youtube bertajuk Negarakuku.

Antaranya:

Paneh Miang: "Apo masalah ekau ni Najib? Ekau memang tut...tut...tut. Ke ekau nak ikut jejak sepupu kau Hisham Bapuk yang asyik nangis sambil goyang kaki bagi amaran tu. Cib...la kau Najib. Memang dasar hampeh, cipan, suwey, derhaka, bac**, gam****tut...tut...tut. Camno la rakyat nak respek dengan kerajaan kok kau sanggup jumpa bangsat Namawee. Memang ekau ni chicken dance, suka tabur duit kat Cina, kecikkan hati orang Islam, tak sayang Melayu tapi sayang Rosmah, jendol, bibir merah, pm liberal dot...dot...dot..."
http://paneh.blogspot.com/2011/09/nah-najib-nah-sucks-banana.html

Mahaguru58: "Saya berani berkata bahawa jika PM Dato Seri Mohd Najib Tun Razak mahu melayan harami#1 kat Malaysia ni @ Namewee ~ Wee Meng Chee, saya bersumpah demi Allahu Ta'ala bahawa kami blogger seMalaysia yang sekian lama ini dok sokong Kerajaan BN Malaysia akan melancarkan PERANG SIBER keatas sekelian kamu yang buat masa sekarang ini masih memegang teraju kuasa pemerintahan kat Malaysia, bekas Tanah Melayu ini!!!"
http://mahaguru58.blogspot.com/2011/09/najib-tun-razak-jika-nak-kalah-pru13.html

Jelapang tidaklah nak mengugut Najib. Terpulang kepada kebijaksanaan beliau dalam membuat keputusan.

Kalau dalam Umno pun tidak berani menegur, teguran kita tidak bermakna buat Najib. Jadi terpulanglah kepada Najib. Pisau di tangan beliau, mentimun pun di tangan beliau.

Kita hanya penting dan diperlukan 5 tahun sekali. Itulah nilai rakyat kepada sesetengahnya.