Peristiwa bersejarah ini tercatat pada malam 15hb September 2011, di ambang sambutan Hari Malaysia. Malangnya, pada malam bersejarah tersebut, tidak kelihatan wajah Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk turut sama meraikan pengumuman tersebut, walaupun sehari dua sebelum pengumuman tersebut dibuat, Rais Yatim telah mewar-warkan bahawa satu pengumuman penting akan dibuat oleh Najib.
Keputusan Najib tersebut cukup mengejutkan dan sehingga hari ini, kita masih tertunggu-tunggu nama-nama besar negara memberi pandangan mereka mengenai keputusan Najib menghapuskan ISA.
Kita tertunggu pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas-bekas Ketua Polis Negara, veteran-veteran Umno seperti Sanusi Junid, Musa Hitam yang bertanggungjawab terhadap Peristiwa Memali, dan bekas-bekas Panglima Angkatan Tentera.
Keputusan Najib ini boleh dilihat dari dua perspektif. Perspektif golongan yang ANTI-ISA dan PENYOKONG ISA terutamanya penyokong-penyokong Umno.
PERSPEKTIF GOLONGAN ANTI ISA
Keputusan Najib menghapuskan ISA tidak membawa apa-apa makna kepada golongan ini terutamanya mereka yang pernah merengkok di Kemunting. Janganlah mengharapkan satu undi pun dari mereka - parti yang paling mereka benci ialah UMNO dan Barisan Nasional.
Anak dipisahkan dari bapa dan bertahun-tahun isteri mengharungi hidup membesarkan anak dan menjaga keluarga kerana suami merengkok di Pusat Tahanan ISA. Apa salah mereka?
Ianya hanya kerana perbezaan ideologi politik. Apabila ISA diperkenalkan pada tahun 1960 di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman, tujuannya ialah untuk membasmi fahaman komunis.
Sebaliknya di bawah pentadbiran Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi, ianya disalahgunakan untuk kepentingan politik Umno dan BN.
Mempunyai Akta ini tidak salah, tetapi yang salah ialah penyalahgunaannya oleh pucuk pimpinan untuk kekal berkuasa.
Sekiranya Najib mengharapkan tindakan beliau menghapuskan ISA akan mengembalikan sokongan golongan ini terhadap beliau dan BN, beliau silap.
Penderitaan yang mereka lalui sudah cukup untuk mereka membenci Umno, BN dan Kerajaan.
GOLONGAN PRO-ISA
Apabila Najib mengumumkan penghapusan ISA, ramai di kalangan ahli Kabinet dan pegawai-pegawai kanan yang hadir pada malam tersebut bertepuk tangan seolah-olah memberi gambaran bahawa selama ini Kerajaan salah dan pembangkang berada di pihak yang benar.
Pada tanggal 15 September 2011, Kerajaan Umno dan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak mengakui bahawa selama ini penggunaan ISA oleh Umno, BN dan pemimpin-pemimpin terdahulu termasuk Dr Mahathir dan Pak Lah adalah satu kesilapan yang besar.
Kini, golongan Pro-ISA terutamanya penyokong Umno hairan dengan apa yang hendak dilakukan oleh Najib. Puluhan tahun, Umno dan BN mengharungi ujian menangkis serangan pembangkang dalam isu ISA ini. Namun tidak sekali pun kita kalah dalam pilihanraya umum semata-mata kerana ISU ISA.
ISA bukan isu baru. Malahan Umno dan BN tidak pernah kalah dalam mana-mana PRU dek isu ISA. Kekalahan di 6 negeri semasa PRU-12 tidak ada kena mengena pun dengan isu ISA. Kekalahan pada 2008 lebih kepada pentadbiran lemah dan longlai Pak Lah.
Tiba-tiba Najib tidak sanggup mengharungi PRU-13 dengan isu ISA. Tidak salah kalau kita katakan bahawa tindakan menghapuskan ISA merupakan tindakan terdesak yang memberi gambaran betapa paniknya Najib untuk mengharungi PRU-13 ini.
Perjuangan menghapuskan ISA adalah perjuangan pembangkang. Apa tidaknya, Akta ini digunakan hanya untuk menangkap pemimpin pembangkang.
Pada malam 15 September 2011, perjuangan pembangkang akhirnya berhasil. ISA dihapuskan. Siapa yang memberi kredit kepada pembangkang? Najib Razak.
Tindakan menghapuskan ISA ini dilihat tidak lain tidak bukan hanya semata-mata untuk menaikkan peratusan populariti Najib melebihi 59 peratus yang diterima beliau kini.
Apakah tindakan menghapuskan ISA ini sudah mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan?
Tidak memeranjatkan sekiranya tindakan Najib ini menyebabkan orang Melayu bertambah muak dengan Najib. Tidak memeranjatkan juga sekiranya ahli-ahli Umno mula memperkatakan samada Najib adalah "winnable candidate" untuk Umno dan BN pada pilihanraya akan datang ini.
Ramai di kalangan ahli Umno sudah mula mempertikaikan komitmen Najib terhadap orang Melayu. Di mana letaknya Agenda Melayu di bawah pentadbiran Najib?
Perkara pertama yang dilakukan Najib apabila menjadi Perdana Menteri ialah menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan diikuti dengan falsafah 1Malaysianya dan Dasar Ekonomi Melayu entah ke mana.
Tidak salah sekiranya ahli-ahli Umno mempersoalkan samada Najib adalah "winnable candidate" buat mereka untuk PRU-13 nanti.
Apapun, ISA sudah dihapuskan. Tak payahlah kita bercakap secara teknikal kononnya terpaksa menunggu Parlimen bersidang dan sebagainya.
Bermula malam 15 September 2011, ISA sudah berkubur. Kepada pemimpin Umno yang selama ini cukup berminat menggunakan perkataan ISA untuk mengugut pembangkang, carilah modal (Akta) lain.
Realitinya mungkin menakutkan buat Najib. Tidak mustahil hari ini beliau kehilangan sokongan bukan saja dari golongan Anti-ISA, malah beliau juga kehilangan sokongan dari golongan Pro-ISA.
Kita sama-sama tunggu kajian terkini Merdeka Center.
No comments:
Post a Comment