Saturday, October 22, 2011

MOHAMAD HASAN PEMINAT CHUA SOI LEK

Tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan. Tiba-tiba Mohamad Hasan menjadi seorang pemimpin liberal dengan meminta Presiden MCA Chua Soi Lek, yang imejnya dicemari dengan adegan hubungan seks di sebuah hotel, untuk bertanding di Negeri Sembilan bagi menyelamatkan Negeri Sembilan dari jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/10/20/nation/9731481&sec=nation

Begitu kagumnya Mohamad Hasan akan keperibadian Chua Soi Lek sehingga beliau menyamakan Presiden MCA dengan Tan Sri Lee San Choon, bekas Presiden MCA.

Lee San Choon, yang memimpin MCA dari 1978-1983, mengambil keputusan dalam pilihanraya umum 1982 untuk bertanding di kubu kuat DAP di Seremban dan menewaskan orang kuat DAP Chen Man Hin dengan majoriti 845 undi.

Kenyataan Mohamad Hasan menggambarkan beliau menyedari dan mengakui, sebagai Pengerusi BN, beliau tidak mampu menumpaskan Pakatan Rakyat di dalam PRU-13 nanti.

Malahan Mohamad Hasan perlu menyedari bahawa seluruh kepimpinan Umno Pusat hari ini tidak yakin beliau mampu mengemudi Umno di dalam PRU-13 nanti.

Kepimpinan Umno kini sedang mengenalpasti "tunjang" baru buat Umno Negeri Sembilan. Ramai yang mahukan Isa Samad kembali memimpin Negeri Sembilan dan Umno Negeri Sembilan demi menyelamatkan negeri itu dari jatuh ke tangan pembangkang.

Sepatutnya Mohamad Hasan mencabar pelakon video seks, Chua Soi Lek, untuk menjadi "hero BN" dengan bertanding menentang nama-nama besar dalam DAP seperti mana dilakukan oleh Lee San Choon.

Chua Soi Lek popular kerana video seks beliau dan beliau akan lebih popular sekiranya dapat menewaskan Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng.

Pemimpin-pemimpin BN kena tunjuk hero seperti pemimpin terdahulu. Dulu pemimpin berani menentang pemimpin parti lain.

Allahyarham Yusof Rawa, bekas Presiden Pas, sanggup mencabar Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu.

Apa salahnya sekiranya kali ini Chua Soi Lek bertanding menentang Lim Kit Siang dan Koh Tsu Koon menentang Lim Guan Eng.

Tetapi apa yang kita dengar di akar umbi lain ceritanya. Chua Soi Lek sedang mencari kawasan selamat dan mengidam bertanding di Labis, Johor.

Koh Tsu Koon pun katanya hendak kawasan selamat dan bercadang ke Johor. Begitu juga Presiden MIC G.Palanivel yang siang-siang bercadang bertanding di Telok Kemang, Negeri Sembilan, dan bukannya di Kelang, Kapar atau Sungai Siput.

Terdengar juga berita ada seorang Menteri Kabinet kanan di Johor yang hendak "melarikan diri" dari kawasan beliau dan berhajat bertanding samada di Kota Tinggi (kerusi Syed Hamid Albar) atau Pengerang (kerusi Azalina Othman Said) kerana takut kalah.

Begitulah suasana politik hari ini. Tiba-tiba pemimpin kanan BN takut menghadapi pilihanraya umum kali ini.

No comments: