Wednesday, June 19, 2013

TIDAK HARAM MENCABAR NAJIB & MUHYIDDIN


"Mengikut amalan demokrasi, kita patut ada pertandingan tetapi orang Malaysia tidak begitu faham amalan demokrasi sebenar. Kalau kalah, mereka akan tarik diri (keluar parti) dan tubuhkan parti lain dan ini menyebabkan orang Melayu dan Umno berpecah lagi. Sehubungan itu, saya sokong kalau ada pertandingan tetapi bukan untuk dua jawatan di puncak sekali iaitu presiden dan timbalan presiden. Saya biasa bertanding dulu (jawatan presiden Umno) dan saya menang dengan 43 undi saja tetapi pihak yang kalah telah bawa (mendakwa) saya ke mahkamah dan menubuhkan parti lain... Orang kita (Melayu) berpecah kerana pertandingan." - Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mungkin ada di kalangan penyokong Najib Razak dan Muhyiddin Yassin tersenyum lebar selepas membaca kenyataan Dr Mahathir ini.
Di Malaysia hari ini,  kenyataan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet sudah tidak penting dan kurang maknanya.
Yang ditunggu-tunggu ialah kenyataan dari dua Tun - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin - seolah-olah memberi gambaran mereka lah yang paling berpengaruh pada ketika ini.
Kenyataan kedua-dua Tun ini akan ditafsirkan mengikut keselesaan masing-masing dan buat masa ini Kem Najib akan mentafsirkannya sebagai satu "fatwa" atau "arahan" untuk memastikan Najib tidak dicabar di dalam pemilihan Umno hujung tahun ini.
Bagaimanapun sukar untuk kita menilik reaksi Kem Muhyiddin.  Sebelum Muhyiddin menyokong kenyataan Tun Mahathir ini, Kem Muhyiddin perlu memastikan Kem Najib tidak meletakkan calon untuk bertanding jawatan No 2 parti.
Bagi Jelapang,  kenyataan Tun Dr Mahathir tidak lebih dari hanya salah satu dari banyak PANDANGAN.  Kita semua menghormati pandangan Tun Dr Mahathir bahawa "beliau menyokong kalau ada pertandingan tetapi bukan dua jawatan di puncak sekali".
Sebenarnya, terdapat BANYAK pandangan mengenai isu pertandingan jawatan No 1 dan No 2.  Di samping menghormati pandangan Tun Dr Mahathir, kita juga perlu menghormati pandangan mereka yang mahu adanya pertandingan dan mahu BERTANDING.
Bertanding jawatan No 1 dan No 2 TIDAK SALAH. Ianya tidak menyalahi Perlembagaan Umno. Malahan Perlembagaan Umno membenarkan pertandingan untuk semua jawatan dalam parti. Perlembagaan Umno TIDAK MENGHARAMKAN pertandingan.
Kalau kita tidak mahu Presiden dan Timbalan Presiden dicabar, ada lah lebih baik kita meminda Perlembagaan Umno dan mengharamkan pertandingan.
Pertandingan akan berlaku kali ini dan ini perlu dihormati. Mungkin Muhyiddin tidak berminat untuk merebut jawatan Presiden, tetapi katanya Tengku Razaleigh berminat atau mungkin Nur Jazlan Mohamed, Ahli Parlimen Pulai,  mahu mencuba nasib sepertimana yang beliau lakukan pada 2009 apabila beliau mencuba bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Dan ramai juga yang berminat pada jawatan Timbalan Presiden Umno. Ali Rustam dikatakan berminat, begitu juga Ahmad Zahid Hamidi.
Kita kena menghormati keputusan mereka sekiranya mereka bertanding kerana Perlembagaan Umno tidak mengharamkan Pertandingan untuk sebarang jawatan dalam parti.
Dr Mahathir bimbang sekiranya berlaku pertandingan akan berlaku perpecahan dalam parti.
Itu zaman Dr Mahathir.  Hari ini pemimpin-pemimpin Umno sudah pasti lebih waras, matang  dan bertanggungjawab.
Zaman Dr Mahathir, kalau kalah, kalah semua. Zero Sum Game. Itulah yang menjadi punca kepada perpecahan semasa era Dr Mahathir. Zaman Najib lain. Dulu mengkritik kerajaan, sekarang dalam Kabinet.
Dulu tak relevan, sekarang relevan dan dibawa semula ke Kabinet.  Dulu digugur Timbalan Menteri, sekarang kembali menjadi Ketua Menteri.
Zaman Najib sudah tidak sama macam zaman Dr Mahathir. Tidak mungkin parti berpecah sekiranya pemimpin hari ini terus menyokong perjuangan parti walaupun tewas di dalam pertandingan.
Kita hormati kenyataan Dr Mahathir yang menyokong tidak ada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden TETAPI kita kena menyokong juga hasrat orang lain untuk bertanding.

No comments: