Friday, June 14, 2013

NAJIB & ZAMBRY KADIR: TENGOK-TENGOKLAH RAKYAT YANG DAIF INI

56 tahun sudah kita Merdeka dan dalam tempoh 7 tahun lagi Malaysia dijangka bergelar negara maju, mungkin  setanding dengan Amerika Syarikat, Britain, Peranchis, Jerman, Italy, Canada dan Jepun.

Malangnya, masih ada keluarga yang masih berpelita setiap malam di dalam era Perdana Menteri cuba mentransformasikan negara dengan memperkenalkan MRT dan tidak lama lagi keretapi laju.

Seharusnya pemimpin negara harus malu melihat gambar ini. Najib Razak, Menteri Besar Perak Zambry Kadir, Ahli Parlimen dan Adun di kawasan itu, GLC seperti Tenaga Nasional dan agensi-agensi kerajaan harus bertanggungjawab dan merasa malu dengan imej ini. 

Inilah imej sebenar keadaan negara di sesetengah tempat terutamanya di Sabah dan Sarawak selepas 56 tahun negara Merdeka.

Kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak, tengok-tengoklah rakyat yang tidak bernasib baik ini. Janganlah hanya memikirkan projek raksasa yang hanya memberikan faedah kepada towkay-towkay besar dan sesetengah pemimpin politik.

Pemimpin-pemimpin hari ini kekal berada di jawatan mereka kerana masyarakat miskin ini masih percaya bahawa perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair itu ada lah tulin. Mudahnya mereka ditipu 

 
Laporan Utusan Malaysia


PARIT BUNTAR 12 Jun - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitulah nasib sebuah keluarga daif di Kampung Parit Haji Awi, Bagan Tiang di sini, yang menjalani kehidupan harian tanpa bekalan elektrik sejak lebih 20 tahun lalu.

Ketika rumah orang lain diterangi cahaya lampu pada waktu malam, Azehar Yusop, 49, dan isteri, Siti Rihat Awang, 49, serta enam orang anak mereka hanya bergantung kepada pelita minyak tanah untuk menerangi kegelapan malam.

Disebabkan kedaifan hidup, anak-anaknya yang berusia antara 20 dan 11 tahun tidak pernah menikmati kemudahan televisyen, apatah lagi internet seperti remaja lain seusia mereka.

Malah, kehidupan keluarga itu ibarat ikan di dalam tin sardin kerana terpaksa bersempit-sempit di dalam rumah yang layak digelar pondok buruk.

Menurut Azehar, dia bergantung hidup dengan bantuan sara hidup nelayan sebanyak RM200 sebulan selepas tidak mampu lagi turun ke laut untuk menangkap ikan kerana faktor kesihatan.

"Saya tidak mampu hendak memasang bekalan elektrik di dalam rumah ini. Kami juga terpaksa mengikat perut menahan lapar kerana RM200 tidak cukup untuk perbelanjaan dapur sebulan.

"Mujurlah dua anak saya, Khairul Helmi (20 tahun) dan Ahamad Rahaman (19 tahun) sudah bekerja tetapi pendapatan mereka dengan membuat kerja-kerja kampung tidak seberapa," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Azehar berkata, dia sudah puas memohon bantuan bekalan elektrik dan rumah baharu yang lebih selesa daripada ramai pihak tetapi tidak ada siapa yang peduli dengan rintihannya itu.

"Saya harap ada pihak yang sudi membantu memberikan kehidupan lebih baik kepada keluarga saya supaya anak-anak saya mempunyai peluang untuk berjaya dalam kehidupan pada masa hadapan," ujarnya.

Siti Rihat pula berkata, setiap hari dia berendam air mata memikirkan nasib keluarganya yang terpaksa hidup dalam kesusahan selama ini.

"Paling saya sedih apabila melihat anak-anak susah hendak mengulang kaji dan membuat kerja sekolah pada waktu malam kerana hanya menggunakan pelita minyak tanah.

"Kalau orang lain biasa makan malam setiap hari tetapi anak-anak saya jarang sekali makan malam kerana kami tidak mampu," katanya menangis.

Menurut Siti Rihat, walaupun anak-anaknya tidak dapat menikmati kehidupan seperti orang lain, dia tetap bersyukur kerana mereka memahami masalah kesempitan hidup yang dihadapi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130613/dn_19/Hidup-bergelap-lebih-20-tahun#ixzz2Vm07TLP6
© Utusan Melayu (M) Bhd 


1 comment:

Anonymous said...

Perak negeri kaya sebab diperintah UMNO mesti takde yang miskin...tipu ni.