Shah Alam: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar akan dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, sekali gus diberi kepercayaan memimpin parti sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Noh yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini bertanggungjawab sebagai timbalan ketika UMNO Selangor diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 
Dengan pelantikan Ketua UMNO Tanjong Karang itu, jawatan lamanya akan diisi Ketua Penerangan UMNO negeri yang juga ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus. Difahamkan pelantikan kedua-dua pemimpin itu dicadangkan majoriti ketua UMNO bahagian di Selangor dan dipersetujui Najib yang dijangka membuat pengumuman rasmi Jumaat ini. 


Bedah sisat kenal pasti punca 

Menurut sumber, Najib yang juga Presiden UMNO turut bersetuju melantik ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz sebagai Setiausaha UMNO negeri, menggantikan Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, manakala ADUN Jeram, Datuk Amiruddin Setro pula Ketua Penerangan.

“Dalam pada itu, UMNO akan melakukan bedah siasat dalam masa terdekat bagi mengenal pasti punca prestasi buruk parti pada PRU-13 dan bersedia lebih awal untuk PRU-14. Banyak pengajaran kita peroleh daripada kekalahan ini, terutama dari aspek komunikasi sesama ketua UMNO bahagian sendiri,” katanya.

Pada PRU-13, BN hanya menang 12 kerusi DUN di Selangor, jauh ketinggalan berbanding pakatan pembangkang yang menguasai 44 kerusi, manakala bagi kerusi Parlimen pula, BN hanya menguasai lima daripada 22 kerusi. Pada PRU 2008, BN menang 20 daripada 56 kerusi DUN dan lima daripada 22 kerusi Parlimen di negeri ini.