Demi transformasi pasca pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Gabungan NGO Melayu Islam mengusulkan 15 kriteria kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam melantik pegawainya termasuk memastikan yang "tidak berlagak lebih sudu dari kuah". 

"Tetapi bertindaklah sebagai kuli yang berkhidmat kepada perdana menteri sepenuhnya dan bukan berlagak angkuh, sombong dan bongkak dengan kedudukan di Pejabat Perdana Menteri. 

"Jangan menyusahkan atau menjadi liabiliti kepada perdana menteri tetapi sebaliknya jadilah kekuatan kepada beliau untuk menunaikan amanah kepada agama, bangsa dan negara," kata gabungan itu. 

Dalam kenyataan media gabungan NGO itu hari ini, mereka berkata semua kriteria yang disarankan kepada Najib itu turut terpakai kepada semua anggota kabinet dan timbalan menteri.

"Kami berpandangan perdana menteri perlu melakukan proses pembaharuan dan tranformasi pasca PRU13 bermula di pejabat beliau sendiri. 

"Kriteria yang disarankan terpakai juga kepada semua anggota Jemaah Menteri serta timbalan menteri. Nasihat kami kepada perdana menteri, pilihlah dengan teliti serta penuh kebijaksanaan," kata gabungan itu. 

Kenyataan oleh kumpulan ini kemungkinan dikeluarkan ekoran laporan yang mengkritik pasukan war room pilihan raya BN yang didakwa menjadi punca kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum yang lalu.

Selain itu, terdapat juga ura-ura di Internet yang mengatakan kemungkinan bekas pengikut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Noor akan dilantik sebagai setiausaha politik Najib yang baru.

Ketika dihubungi Malaysiakini, sekretariat gabungan NGO itu bagaimanapun memberitahu kriteria yang digariskan tidak mensasarkan kepada mana-mana isu atau individu. 

"Tidak (berkaitan mana-mana isu). Kita keluarkan ni sebagai panduan kepada perdana menteri dan mana-mana menteri. Ya, saja-saja," kata seorang pegawai sekretariatnya.

Antara syarat lain yang digariskan oleh gabungan NGO seperti berikut:
  • Pegawai-pegawai yang dipilih tidak perlu di kalangan ahli politik sahaja tetapi hendaklah juga diambil kira anak-anak Melayu professional dan komited dari luar lingkungan politik seperti NGO, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya
  • Mesti menunjukkan sifat taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap Perdana Menteri dan berusaha dengan penuh komitmen agar semua visi, dasar serta program beliau berjaya dilaksanakan dengan menepati semua objektif.
  • Jangan menjadi batu penghalang kepada mana-mana permintaan rakyat atau badan-badan NGO yang mempunyai alasan yang wajar dan kukuh untuk mengemukakan sebarang cadangan yang baik untuk negara atau masalah kepada beliau.
  • Jangan memberi nasihat atau pandangan kepada Perdana Menteri yang mempunyai maksud tersirat bagi kepentingan diri sendiri.
  • Bebas rasuah dan tidak mudah dibeli dengan tawaran sogokan wang ringgit, kesenangan hidup dan apa jua bentuk kemewahan yang boleh merosakkan keimanan dan komitmen kepada tugas yang diamanahkan.

Persoalannya, mampukah Najib Razak mengambil tindakan terhadap orang di sekeliling beliau?