Showing posts with label jamaluddin jarjis. Show all posts
Showing posts with label jamaluddin jarjis. Show all posts

Wednesday, August 29, 2018

IBU ALLAHYARHAM JAMALUDDIN JARJIS TUNTUT FARAID HARTA RM2.1 BILION

 Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis,Aminah Abdullah (berkerusi roda) bersama anaknya, Mohamad

Kondominium RM10 juta di Amerika Syarikat dan pangsapuri studio di Makkah bernilai RM4 juta antara yang dituntut ibu bekas menteri Umno allahyarham Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dalam permohonan faraidnya.

Dalam permohonan di Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan pada 19 Mac lalu itu, Aminah Abdullah, 83, menuntut sepenuhnya kondominium di Boston.

Bagi hartanah di Farimont Makkah Tower, warga emas itu menuntut separuh bahagian daripada harta itu.

Dua kediaman itu antara 22 hartanah dikatakan bernilai lebih RM20 juta, termasuk di Pahang, Kuala Lumpur, Perak dan Selangor, dan Putrajaya.

Kebanyakan hartanah yang dituntut itu terletak di Pahang.

Sembilan daripada hartanah itu terletak di Pekan, kawasan yang disandang bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak; empat di Rompin, parlimen lama Jamaluddin; dan dua lagi di Kuantan.

Hartanah lain terletak di Presint 10, Putrajaya; Setapak, Kuala Lumpur; Gombak, Selangor; Johor Bahru, Johor; serta Kinta, Perak.

Aminah,yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, menuntut faraid dari serendah satu perlima sehingga keseluruhan harta.

Bagaimanapun, kebanyakan kekayaan arwah, daripada senarai dikemukakan di mahkamah itu, berada dalam bidang saham.

Untuk saham sahaja, ia bernilai lebih RM2 bilion.

Selain itu, simpanan dituntut pula sebanyak RM15 juta di pelbagai cawangan bank di Maybank, CIMB, Citibank dan UOB.

Simpanan di Bank of America dan CIMB cawangan London turut berada dalam senarai itu.

Bawah sistem faraid, ibu yang masih hidup berhak mendapat satu perenam peninggalan harta pusaka, sementara balu yang masih hidup mendapat satu perlapan daripada bahagian itu dan anak-anak menerima jumlah baki harta pusaka berkenaan.

Permohonan Aminah, yang kini menetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur diwakili peguam kanan, Kamar Ainiah Kamaruzzaman.

Aminah berkahwin dengan ayah Jamaluddin yang pernah menjadi ketua polis Pahang, sebelum bercerai pada tahun 1954.

Jamaluddin meninggal dunia akibat kemalangan helikopter pada April 2015 di Semenyih, Selangor.

Ibu kepada bekas menteri, allahyarham Datuk Seri Jamaluddin Jarjis menuntut mendapatkan bahagian yang sah atau faraid daripada peninggalan harta pusaka anak lelakinya yang dikatakan bernilai RM2.1 bilion.

Bagi permohonan berkenaan, Aminah Abdullah, 83 tahun yang kini menetap di Setiawangsa mahu Mahkamah Syariah mengeluarkan sijil faraid terhadap bahagiannya.

Atas sebab ini juga, Aminah telah mengemukakan satu senarai hartanah termasuk rumah di Kuala Lumpur, di Arab Saudi dan di Amerika Syarikat serta senarai aset, termasuk saham yang dimiliki oleh menteri itu dan yang dikatakan telah diwariskan kepada cucu-cucunya sebagai pusaka.

Di bawah undang-undang Islam, ibu yang masih hidup berhak mendapat satu perenam peninggalan harta pusaka, sementara balu yang masih hidup mendapat satu perlapan daripada bahagian itu dan anak-anak menerima jumlah baki harta pusaka berkenaan.

Hal ini rekodkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur di mana Aminah diwakili peguam kanan, Kamar Ainiah Kamaruzzaman.

Aminah berkahwin dengan ayah Jamaluddin yang pernah menjadi ketua polis Pahang, sebelum bercerai pada tahun 1954.


Saturday, October 18, 2014

GHAFUR SALLEH SILAP, RAKYAT DI SEMENANJUNG KINI BERPENDAPATAN TINGGI



Blog pro Pas, Greenboc, menyiarkan video Youtube di atas di mana Ahli Parlimen Kalabakan (Sabah) Ghafur Salleh mempertikaikan kenyataan Muhyiddin Yassin mengenai kadar kemiskinan semakin berkurangan.

Mempertikaikan kenyataan Muhyiddin bahawa peratusan keluarga miskin kini hanya 1.7 peratus, Ghafur mendesak supaya diadakan satu jawatankuasa Parlimen untuk membanci pendapatan setiap keluarga di Sabah.

Apa yang menarik ialah Ghafur adalah Ahli Parlimen dari Umno yang mempertikaikan kenyataan Timbalan Presiden Umno.

Yang lebih penting dari itu ialah, adakah Ghafur saja yang merasakan bahawa rakyat Sabah miskin?

Bagaimana dengan Ahli-ahli Parlimen Umno yang lain? Adakah rakyat di kawasan mereka kaya raya dan tidak semiskin rakyat di Kalabakan? Atau Kalabakan merupakan satu-satunya Ahli Parlimen Umno yang miskin?

Setakat ini hanya Kalabakan satu-satunya Ahli Parlimen yang bimbang dengan keadaan ekonomi rakyat. Ahli-Ahli Parlimen lain dari Semenanjung tidak pernah pun membangkit masalah ini.

Tetapi kalau diteliti latar belakang Ahli-Ahli Parlimen Umno, ada kemungkinan hanya rakyat Kalabakan sahaja yang miskin berdasarkan purata pendapatan mereka.

Kita ambil contoh Ahli Parlimen Rompin Jamaluddin Jarjis. Kalau diambil kira pendapatan beliau - berdasarkan pegangan beliau dalam Syarikat Penerbangan Malindo, hotel 5 bintang bersebelahan PWTC, IPP janakuasa elektrik di Kedah dicampur dengan gaji beliau sebagai Ahli Parlimen, Penasihat Perdana Menteri dan Pengerusi Prima, sudah pasti purata pendapatan rakyat di kawasan Parlimen beliau termasuk Orang Asli mencecah ratusan ribu Ringgit, melebihi pendapatan purata RM5,900 sebulan yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wahid Omar baru-baru ini.

Kalau dihitung, rakyat di Pekan (Najib Razak), Baling (Azeez Rahim), Jerlun (Mukhriz Mahathir), Sembrong (Hishammuddin Hussein), Bagan Datok (Zahid Hamidi), Pasir Salak (Tajuddin Rahman) dan banyak lagi, rakyat di kawasan mereka pasti terdiri dari golongan kaya kerana pendapatan mereka bila dicampur dengan pendapatan rakyat sudah pasti melebihi RM5,900.

Pendapatan dan kekayaan Ahli-Ahli Parlimen ini sudah parti cukup untuk menaikkan purata pendapatan rakyat Semenanjung. 

Atas sebab itulah Kerajaan mempertahankan kajian Wahid bahawa rakyat Malaysia hari ini hampir kaya dengan pendapatan bulanan RM5,900.

Monday, October 6, 2014

APABILA PEMIMPIN BANGSAWAN TIDAK ADA HATI UNTUK RAKYAT

JUMAAT ini, macam-macam kenyataan manis akan dibuat oleh Najib Razak semasa pembentangan belanjawan 2015 nanti.

Kata seorang rakan, kita dipimpin oleh pemimpin yang tulus dan ikhlas. Dan mereka adalah pemimpin yang dilantik oleh orang Melayu di negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, untuk menjaga kepentingan rakyat.

Maka atas dasar tulus dan ikhlas, kononnya demi untuk menyelamatkan negara untuk generasi akan datang, maka pada 2 Oktober, Najib membuat keputusan untuk menaikkan harga minyak petrol sebanyak 20 sen.

Ikhlas betul pemimpin yang kita lantik sehingga kenaikan harga petrol lebih terdesak dari memikirkan keperitan yang akan dialami oleh orang Islam yang akan pulang ke kampung halaman dua hari selepas itu untuk merayakan Aidiladha.

Perdana Menteri sudah tidak sanggup menunggu sehingga selepas Aidiladha untuk menaikkan harga petrol. Itulah keperihatinan seseorang yang dipilih oleh orang Melayu setiap 5 tahun.

Itulah masalahnya apabila kita mempunyai seorang Perdana Menteri dari golongan bangsawan dan di kelilingi oleh penasihat-penasihatnya seperti Hishammuddin Hussein, Nazir Razak dan Jamaluddin Jarjis, yang juga dari golongan bangsawan.

Amat jelas bahawa pemimpin tidak langsung ada hati pada rakyat.

Cuba lah buat sedikit congak mengenai keperitan rakyat. Turun ke bawah dan lihat apa yang mereka makan hari-hari, berapa perbelanjaan sekolah anak-anak mereka, mampukah anak-anak mereka memiliki sebuah rumah dan berapa gaji mereka.

Kita sudah tidak boleh mengharapkan wakil rakyat untuk memperjuangkan masalah rakyat.

Kalau seorang wakil rakyat bertaraf Menteri sanggup menuduh rakyat tidak bersyukur kerana menentang kenaikan harga petrol, maka tak perlu lah kita mengharapkan wakil rakyat memperjuangkan kesusahan kita.

Jurang antara pemimpin dengan rakyat terlalu besar sekarang ini sehinggakan pemimpin sudah tidak lagi mempunyai deria untuk merasakan kepayahan rakyat dalam mengharungi kehidupan.

Kepada Ahmad Maslan, seorang Timbalan Menteri, tidak usahlah membandingkan harga petrol di negara Asia Tenggara lain kononnya harga petrol di negara kita masih rendah.

Di negara lain, mereka tukar pemimpin sesuka hati mereka. Kalau Ahmad Maslan merupakan Timbalan Menteri di sebuah negara di utara Malaysia, mungkin hari ini beliau merengkok sudah di dalam penjara.

Perdana Menteri sejelita Yingluck Shinawatra pun dikeji dan dibuang oleh rakyat Thailand.

Memang harga petrol di Thailand lebih tinggi dari Malaysia, tapi lihatlah apa terjadi kepada negara mereka.

Rakyat mereka di Selatan hampir setiap hari berperang, di utara ada rakyat nya tidur di bersama ayam, itik, kerbau dan babi kerana kesempitan hidup.

Mana-mana pemimpin yang mereka rasa tidak berjiwa rakyat dan rasuah, dibuang mereka.

Lihat lah negara Jepun, mereka memilih pemimpin mereka hampir dua tahun sekali.

Mana-mana pemimpin yang tidak sesuai disingkirkan dan mereka akan berterusan memilih dan menyingkir pemimpin sehingga seorang pemimpin yang sesuai ditemui mereka.

Malaysia masih belum sampai ke tahap itu tetapi kita jangan salahkan generasi muda sekiranya itu yang bermain di fikiran mereka kerana kehidupan hari ini lebih perit dari realiti yang dijanjikan pemimpin.

Friday, February 14, 2014

AWANG ADEK JADI DUTA KE AMERIKA, JJ KE BANGSA-BANGSA BERSATU?



TAHNIAH kepada Ketua Bahagian Umno Bachok Awang Adek Hussin yang bakal dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat sekiranya apa yang ditulis oleh rakan kita Zaharin Sang Kelembai ini benar.

Sudah tentu ini berita paling menggembirakan Awang Adek yang kalah di Parlimen Bachok semasa PRU-13 tahun lepas.

TAHNIAH juga kepada Ahli Parlimen Rompin kerana berjaya mengekalkan STATUS Menteri beliau sekiranya dilantik menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Bangsa-Bangsa Bersatu.

Hasrat Jamaluddin hendak kembali sebagai Menteri Kabinet tidak akan kesampaian kerana sejarah beliau sebagai Menteri Kabinet diselubungi pelbagai isu termasuk isu GANGGUAN SEKSUAL terhadap seorang wanita di sebuah hotel.

Kiranya, menjadi Wakil Tetap Malaysia bertaraf Menteri sudah cukup bagus untuk seseorang yang terjejas imejnya.

Tetapi ada rakan-rakan di dalam Umno berkata, Jamaluddin sudah lama TIDAK BERMINAT untuk kembali ke dalam Kabinet.

Katanya, setakat menjadi Duta pun sudah mencukupi buat Jamaluddin.

Malahan ada juga yang mengatakan ini penggal terakhir Jamaluddin di persada politik.

Jamaluddin dikatakan akan BERSARA dari politik menjelang PRU-14 nanti.

Thursday, October 17, 2013

AHLI PARLIMEN BERKEMPEN DI PADANG GOLF DI THE MINES

Sekarang tiada berita lain yang kita baca dan lihat di dada-dada akhbar dan stesen TV utama kecuali cerita kempen calon-calon yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno dan Ahli Majlis Tertinggi.

Kalau boleh mereka mahukan berita mereka dikeluarkan di muka depan, kalau tidak, muka belakang yang dikhaskan untuk berita sukan pun tidak mengapa.

Maka sehari dua ini, akan ramai lah calon-calon membuat sidang akhbar. Bapak-bapak Menteri akan bercakap mengenai Kementerian mereka, yang bukan Menteri tetapi baru dilantik sebagai Pengerusi agensi kerajaan akan bercakap mengenai agensi mereka.

Kalau kenyataan sebagai Pengerusi kurang mendapat tempat di akhbar, maka ada yang menggunakan kedudukan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak membuat kenyataan team bolasepak mereka dengan harapan berita dan gambar mereka keluar di mukasurat belakang yang dkhaskan untuk berita sukan.

Ada calon-calon merasakan tidak cukup gambar beliau keluar suratkhabar, maka mereka-mereka yang berjawatan Menteri akan membuat lawatan sambil belajar ke pejabat-pejabat akhbar dengan harapan keesokannya akan keluar gambar mereka sedang berbual dengan Ketua-Ketua Editor.

Kalau itu pun tak cukup, maka mereka akan membeli ruangan di akhbar untuk meletakkan gambar mereka sebesar-besar mungkin.

Salah satu iklan yang Jelapang tidak boleh lupa ialah iklan seorang calon Naib Presiden mempromosikan KOPI cap "TUDYA".

Tetapi semua ini, kata orang Kedah, tak boleh "chelen" (challenge) apa yang sedang berlaku pagi ini dan petang ini di padang golf The Mines di Palace of the Golden Horses.

Kelmarin ada kawan ajak ke Kuala Lumpur kerana ada jemputan Golf di Palace of the Golden Horses pagi ini. Kalau tak sempat main pagi, katanya, kita main petang.

Katanya jemputan dibuat oleh seorang Ahli Parlimen dan bekas Menteri yang bertanding jawatan Majlis Tertinggi.

Tak dapat lah Jelapang nak ikut serta sebab: pertama, Jelapang tak reti main golf. Kedua: banyak lagi daging-daging korban yang Jelapang nak sedekahkan kepada orang-orang susah di kampung.

Kawan Jelapang kata, kalau tak pergi RUGI BESAR. BUKAN MURAH nak main Golf. Kata dia, dia sinilah TIGER WOODS, MARK O'MEARA, NICK WATNEY, BO VAN PELT, KARRIE WEBB, RACHEL HERRINGTON, dan ANNIKA SORENSTAM main.

Jelapang hanya kenal Tiger Woods. Yang lain kita tak kenal sebab tak pernah pun terfikir orang kampung macam kita mampu nak main golf.

Dia kata kalau pi, dapat DUIT RM500, CURUT SEBATANG, bilik FREE selain dapat main golf FREE. Hadiah golf pun, katanya, LUMAYAN.

Banyaknya duit Ahli Parlimen ini, kata Jelapang.

Kata kawan saya, Ahli Parlimen ini KAYA.

Bagaimana pun, kawan Jelapang tak dapat ke KL juga kerana di Kedah ini, Hari Raya Haji kita rayakan besar-besaran. Untunglah perwakilan yang duduk dekat KL.

Jelapang buat sedikit semakan mengenai Kelab Golf di Mines.

Kalau nak main, satu flight RM1,200 untuk ahli. Begitu mahalnya kalau nak main. http://www.minesgolfclub.com/web/

Oleh itu, kepada perwakilan yang membaca blog ini, sempat lagi kalau nak ke MINES untuk kutip RM500 serta CURUT yang mungkin berharga RM100 sebatang.

Maaf kepada YB Ahli Parlimen yang menganjurkan Golf di The Mines pagi dan petang ini kerana Jelapang tak dapat menyertai 300 orang yang akan bermain bersama YB hari ini.

Jelapang nak kena agihkan daging-daging korban ini kepada orang miskin. Harga daging pun dah mahal. RM25 sekilo. Seorang dapat sekilo pun dah cukup.

Kalau dibuat perbandingan, harga sekilo daging, 48 kali ganda murahnya dari satu flight golf di The Mines.

Selamat BERGOLF DAN BERKEMPEN YB!

P/S: Sesiapa yang berminat untuk menonton pertandingan Golf tersebut, silalah ke Mines petang ini.