Monday, October 6, 2014

APABILA PEMIMPIN BANGSAWAN TIDAK ADA HATI UNTUK RAKYAT

JUMAAT ini, macam-macam kenyataan manis akan dibuat oleh Najib Razak semasa pembentangan belanjawan 2015 nanti.

Kata seorang rakan, kita dipimpin oleh pemimpin yang tulus dan ikhlas. Dan mereka adalah pemimpin yang dilantik oleh orang Melayu di negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, untuk menjaga kepentingan rakyat.

Maka atas dasar tulus dan ikhlas, kononnya demi untuk menyelamatkan negara untuk generasi akan datang, maka pada 2 Oktober, Najib membuat keputusan untuk menaikkan harga minyak petrol sebanyak 20 sen.

Ikhlas betul pemimpin yang kita lantik sehingga kenaikan harga petrol lebih terdesak dari memikirkan keperitan yang akan dialami oleh orang Islam yang akan pulang ke kampung halaman dua hari selepas itu untuk merayakan Aidiladha.

Perdana Menteri sudah tidak sanggup menunggu sehingga selepas Aidiladha untuk menaikkan harga petrol. Itulah keperihatinan seseorang yang dipilih oleh orang Melayu setiap 5 tahun.

Itulah masalahnya apabila kita mempunyai seorang Perdana Menteri dari golongan bangsawan dan di kelilingi oleh penasihat-penasihatnya seperti Hishammuddin Hussein, Nazir Razak dan Jamaluddin Jarjis, yang juga dari golongan bangsawan.

Amat jelas bahawa pemimpin tidak langsung ada hati pada rakyat.

Cuba lah buat sedikit congak mengenai keperitan rakyat. Turun ke bawah dan lihat apa yang mereka makan hari-hari, berapa perbelanjaan sekolah anak-anak mereka, mampukah anak-anak mereka memiliki sebuah rumah dan berapa gaji mereka.

Kita sudah tidak boleh mengharapkan wakil rakyat untuk memperjuangkan masalah rakyat.

Kalau seorang wakil rakyat bertaraf Menteri sanggup menuduh rakyat tidak bersyukur kerana menentang kenaikan harga petrol, maka tak perlu lah kita mengharapkan wakil rakyat memperjuangkan kesusahan kita.

Jurang antara pemimpin dengan rakyat terlalu besar sekarang ini sehinggakan pemimpin sudah tidak lagi mempunyai deria untuk merasakan kepayahan rakyat dalam mengharungi kehidupan.

Kepada Ahmad Maslan, seorang Timbalan Menteri, tidak usahlah membandingkan harga petrol di negara Asia Tenggara lain kononnya harga petrol di negara kita masih rendah.

Di negara lain, mereka tukar pemimpin sesuka hati mereka. Kalau Ahmad Maslan merupakan Timbalan Menteri di sebuah negara di utara Malaysia, mungkin hari ini beliau merengkok sudah di dalam penjara.

Perdana Menteri sejelita Yingluck Shinawatra pun dikeji dan dibuang oleh rakyat Thailand.

Memang harga petrol di Thailand lebih tinggi dari Malaysia, tapi lihatlah apa terjadi kepada negara mereka.

Rakyat mereka di Selatan hampir setiap hari berperang, di utara ada rakyat nya tidur di bersama ayam, itik, kerbau dan babi kerana kesempitan hidup.

Mana-mana pemimpin yang mereka rasa tidak berjiwa rakyat dan rasuah, dibuang mereka.

Lihat lah negara Jepun, mereka memilih pemimpin mereka hampir dua tahun sekali.

Mana-mana pemimpin yang tidak sesuai disingkirkan dan mereka akan berterusan memilih dan menyingkir pemimpin sehingga seorang pemimpin yang sesuai ditemui mereka.

Malaysia masih belum sampai ke tahap itu tetapi kita jangan salahkan generasi muda sekiranya itu yang bermain di fikiran mereka kerana kehidupan hari ini lebih perit dari realiti yang dijanjikan pemimpin.

No comments: