Thursday, March 14, 2019

TUN DR MAHATHIR PERLU ROMBAK KABINET

Image result for rombakan kabinet

RAMAI membuat spekulasi Tun Dr Mahathir Mohamad akan merombak Kabinet beliau tidak lama lagi.

Kalau dalam sektor korporat, prestasi seseorang CEO atau pegawai kanan akan bergantung kepada pencapaian KPI mereka.

Gagal mencapai KPI, syarikat akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menamatkan perkhidmatan beliau.

Begitu juga dengan Menteri-Menteri Kabinet. Seharusnya parti-parti komponen Pakatan mempunyai KPI untuk wakil-wakil mereka di dalam Kabinet.

Begitu juga Tun Dr Mahathir, sudah tentu beliau mempunyai KPI untuk Menteri-Menteri Kabinet beliau.

Apakah prestasi Menteri-Menteri Kabinet Tun memenuhi hasrat rakyat?

Dari segi luaran, ramai yang GAGAL menjalankan tugas dengan baik sebagai Menteri. Lebih memalukan ada antara ahli-ahli Kabinet yang MENIPU kelulusan akademik mereka.

Amat memalukan apabila Tun Dr Mahathir sendiri dilontar soalan mengenai penipuan kelulusan akademik ahli Kabinet beliau.

Mahu tidak mahu, Tun Dr Mahathir perlu merombak kabinet beliau.

Menteri Kepenggunaan Saifuddin Nasution GAGAL mentadbir dengan baik sehinggakan menjadi bahan tertawa rakyat apabila beliau mengumumkan penurunan harga telur sebanyak DUA SEN. Ia gambaran bahawa Saifuddin tidak faham keperitan rakyat. Kementerian beliau amat penting dalam menangani kenaikan kos hidup dan Saifuddin GAGAL dalam menjalankan tugas beliau.

Menteri Pelancongan Muhammadin Ketapi gagal memacu industri pelancongan.

Gobind Singh Deo antara Menteri-Menteri yang mempunyai prestasi yang baik. Cuma sesuai kah beliau diletakkan menjaga Kementerian Penerangan?

Ketika pertama kali Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau dikelilingi oleh orang-orang kanan yang hebat-hebat belaka.

Antaranya Allahyarham Dato' Mohamed Rahmat yang bertanggungjawab menyusun agensi penyebaran maklumat seperti RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan.

Inilah agensi-agensi yang patut mengambil peranan utama dalam memperjelaskan dasar dan isu-isu melibatkan kerajaan.

Tetapi agensi-agensi ini kelihatan lesu dan tidak menjalankan tanggungjawab mereka terutama Jabatan Peneragan.

Memandangkan majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu, Menteri Penerangan seharusnya Menteri Melayu untuk membantu Tun Dr Mahathir di dalam pentadbiran beliau.

Bulan Mei nanti GENAP lah setahun Pakatan memerintah dan masa yang amat sesuai untuk Tun Dr Mahathir memperkemaskan Kabinet beliau.

No comments: