Friday, January 5, 2018

ABU TALIB OTHMAN: BUKAN DR MAHATHIR PECAT TUN SALLEH ABAS



SELEPAS 29 tahun, akhirnya kita ketahui kebenarannya - BUKAN Dr Mahathir Mohamad yang MEMECAT Tun Salleh Abas pada tahun 1988.

Jika tidak dengan penjelasan bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman, sudah pasti KEBENARAN ini akan dibawa ke kubur oleh Dr Mahathir.

Selama 29 tahun, Dr Mahathir membiarkan diri beliau dikritik di atas PEMECATAN Tun Salleh.

Kata Abu Talib: 

"Seperti saya kata, tidak benar bahawa Mahathir memulakan penyingkiran itu atau mahu Salleh dipecat, beliau hanya mematuhi arahan Agong. Saya tidak membela Mahathir, sebab itu saya kata, kamu mungkin tidak menyukainya, tetapi itulah fakta, saya tidak bermain politik tetapi berdasarkan fakta. Ia adalah "sejarah".
Saya melihat sendiri nota yang ditulis tangan oleh Almarhum Yang DiPertuan Agong (Almarhum Sultan Iskandar), ditandatangani oleh Almarhum, kepada PM menitahkan Tun Salleh disingkirkan sebagai Ketua Hakim Negara dan digantikan dengan Tan Sri Hamid Omar. Saya melihat sendiri nota itu yang ditulis tangan oleh Almarhum.  
 https://www.malaysiakini.com/news/407528



Bekas peguam negara akui Salleh Abbas dipecat atas titah Agong
DR Mahathir tidak memulakan tindakan untuk memecat Tun Salleh Abbas pada 1988 sebaliknya ia hanya mengikut titah Yang di-Pertuan Agong, kata bekas peguam negara Abu Talib Othman hari ini.

Abu Talib yang berkhidmat sebagai peguam negara dari 1980 hingga 1993 mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa bekas perdana menteri itu tidak ada kaitan dengan pemecatan Salleh.

Bekas perdana menteri itu juga berkata, beliau sanggup bersumpah dengan al-Quran mengenai perkara itu.

Mengimbas kembali apa yang berlaku dalam pemecatan Salleh, Abu Talib memberitahu pemberita hari ini bahawa beliau memberitahu perdana menteri ketika itu bahawa beliau sendiri mahupun Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memecat ketua hakim negara.

"Ia adalah saat yang mencabar. Bolehkah kamu tidak pedulikan titah Yang di-Pertuan Agong? ( Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail).

"Jadi, saya nasihatkan Dr Mahathir dan mengingatkan beliau sumpah yang dilafazkan sebagai perdana menteri bahawa beliau perlu mempertahankan perlembagaan. Dan beliau katakan kepada saya, 'kamu pergi beritahu Agong'.

"Saya menghadap baginda di Johor. Dan Agong tetap mahu tindakan itu diambil. Lagi sekali saya ingatkan baginda bahawa perdana menteri mahu pun Agong tidak boleh memecat ketua hakim negara itu," kata Abu Talib kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Abu Talib berkata beliau telah mengingatkan Agong berhubung sumpahnya, bahawa baginda mesti melindungi dan mempertahanan perlembagaan."

Kenyataan Abu Talib adalah sama dengan kenyataan yang beliau buat sebelum ini dalam temubual dengan The Malaysian Insight pada Ogos yang mana kata beliau, badan kehakiman tidak boleh dipersalahkan dalam krisis kehakiman pada 1988, yang dakwanya beliau dihasut oleh beberapa hakim.

Krisis kehakiman pada 1988 berlaku selepas Salleh dipecat sementara lima lagi ketua hakim digantung tugas.

Salleh menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu mewakili badan kehakiman, meluahkan kekecewaan terhadap dakwaan yang dibuat oleh Dr Mahathir terhadap badan kehakiman.

Majlis Peguam turut mempersoalkan pemecatan itu dan menyfatkan ia sebagai tidak berperlembagaan.

Abu Talib berkata, Agong murka dengan surat Salleh yang mengadu mengenai kritikan yang ditimbulkan oleh badan kehakiman oleh eksekutif.

"Itulah puncanya," kata Abu Talib.

"Aduan itu nampaknya menyebabkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Iskandar.

"Baginda kemudian merujuk surat Salleh kepada perdana menteri dan menitahkan tindakan sewajarnya perlu diambil berhubung aduan itu.

"Memandangkan kedua-duanya bersetuu untuk ambil tindakan, saya sediakan dokimen yang perlu untuk menubuhkan tribunal," katanya dan menambah beliau menggunakan nama Dr Mahathir untuk menubuhkan tribunal kerana komunikasi dengan pihak istana diuruskan pejabat perdana menteri.

"Jadi tidak benar saya gunakan namanya untuk ganggu Agong. Perdana menteri perlu main peranan dalan menubuhkan tribunal."

Prosedur untuk memecat ketua hakim negara termaktub dalam Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan tribunal mesti ditubuhkan untuk menyiasat sama ada terdapat kes salah laku atau ketidakupayaan dari kelemahan badan atau minda atau sebarang sebab lain sebelum menjalankan penyingkiran.

Tribunal itu terdiri daripada enam ahli yang dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Agung dan bekas Ketua Hakim Negara Hamid Omar yang memecat Salleh.

Pada tahun yang sama, Perlembagaan Persekutuan digubal untuk membuang terma "kuasa kehakiman" daripada Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang mengamalkan kehakiman ke Parlimen.

Abu Talib berkata walaupun beliau menganggap perkara itu sebagai sejarah, "ia telah dipolitikkan dan dijadikan isu peribadi."

"Tidak benar Dr Mahathir yang mulakan tindakan memecat atau mahukan Salleh dipecat, beliau hanya menurut titah Agong ketika itu.

"Saya bukan mahu pertahankan Dr Mahathir namun itulah fakta. Saya tidak bermain politik tetapi menggunakan fakta," tambah bekas peguam negara itu.

Pada pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri, kerajaan telah menyatakan kekesalan dan membayar pampasan kepada semua yang telah dipecat dalam peristiwa itu.

Abdullah turut mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim bagi membantu menilai serta memilih calon menggunakan kaedah yang sistematik dan berwibawa. Kerajaan turut mengumumkan pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan yang dipecat itu.

"Saya tidak membuat anggapan untuk menyamakan sumbangan, penderitaan dan kehilangan dengan sekadar mata wang, tetapi saya harap tuan-tuan dapat menerimanya sebagai satu sumbangan tulus ikhlas bagi memperbaiki apa yang telahpun berlaku," katanya. – 4 Januari, 2018.

No comments: