Saturday, June 9, 2012

GENERASI MUDA PENENTU PRU-13

5,175,096 (5.17 juta) atau 40 peratus pengundi semasa PRU-13 nanti adalah dari Generasi Y atau pengundi muda yang usianya antara 21 ke 29 tahun.

Dan mereka ini akan menentukan nasib parti-parti yang akan bertanding nanti. Mereka akan menentukan samada mahu mengekalkan BN mentadbir negara atau mahukan perubahan dengan memberi undi mereka kepada Pakatan Rakyat.

Selebihnya 7,737,494 (7.73 juta) atau 60 peratus adalah pengundi penyokong tegar BN atau pembangkang. Itulah pandangan seorang penganalisa politik yang disiarkan oleh sebuah akhbar hari ini. http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/6/9/nation/11444800&sec=nation

Pelbagai usaha dilakukan oleh parti-parti politik untuk menarik perhatian dan meraih undi dari Generasi Y ini.

Ada yang merasakan mengadakan Himpunan Sejuta Belia sebagai jalan terbaik. Ada yang menggunakan K-Pop. Ada yang mengadakan pertemuan mesra dengan peminat-peminat Facebook dan Twitter dan ada yang mengunakan saluran sukan untuk berinteraksi dengan Generasi Y.

Rata-rata Generasi Y pada hari ini tidak lagi bergantung kepada media konvensional untuk berinteraksi. Dulu, masyarakat bergantung kepada suratkhabar, RTM dan TV3 untuk mendapat berita. Hari ini, tidak lagi. Kalau dulu pandangan masyarakat dibentuk oleh media cetak dan elektronik, hari ini sesiapa sahaja bebas memberi pandangan mereka menerusi laman blog, twitter dan Facebook.

Apa yang Generasi Y mahukan? K-Pop dan Himpunan belia hanya untuk bergembira. Apa yang Generasi Y mahukan ialah kesaksamaan. Kesaksamaan dalam mencari rezeki di mana mereka yang berkerja kuat mendapat ganjaran yang setimpal.

Generasi Y mahukan unsur rasuah dihapuskan. Generasi Y masih tidak memahami bagaimana seorang Ketua Bahagian yang tiada pendidikan, tiada kerja, tetapi boleh beristeri dua, memandu BMW X6 dan Jaguar.

Generasi Y tidak memahami bagaimana anak-anak Menteri dan Menteri begitu mewah kehidupan mereka padahal rakyat yang meletakkan mereka dipersada kuasa. Ada anak Menteri ke sana ke mari dengan berkereta Porsche ditemani pengawal peribadi, ada anak Menteri yang menjalankan perniagaan sendiri dengan bantuan kewangan mudah dari kerajaan.

Generasi Y muak melihat isteri-isteri Menteri lebih sudu dari kuah.

Semasa Himpunan Sejuta Belia, kita diberi harapan bahawa masadepan kita cerah. Tetapi apabila kita melihat muka-muka Menteri-Menteri Kabinet kita, hanya muka-muka yang berusia yang diberikan tempat.

40 peratus adalah satu jumlah pengundi yang cukup besar yang bakal menentukan siapa yang akan memerintah negara.

Hanya parti yang ikhlas dan benar-benar mahu membawa perubahan kepada negara akan dipilih oleh kami Generasi Y.

Kami tidak akan mudah terpengaruh dengan kata-kata retorik.

Kami mahukan keterbukaan dan keikhlasan dari pemimpin negara tidak kira siapa mereka. Pemimpin yang ada pada hari ini perlu bertanyakan kepada diri mereka. Adakah mereka benar-benar ikhlas kepada rakyat? Adakah mereka amanah kepada rakyat?

Terlalu banyak hipokrasi dalam kehidupan kita hari ini.

No comments: