Tuesday, May 31, 2011

"PERANG SAUDARA" DALAM UMNO & BN SABAH.

Azman (Ruslan- Ketua Pemuda Umno Sabah) ditukar bukan kerana tidak dapat menjalankan tugas dengan baik tetapi ia disebabkan oleh ‘perang dingin’ dalam parti.” - Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno Malaysia.
http://sabahkini.net/index.php?option=com_content&view=article&id=7284:perang-dingin-punca-azman-dipecat&catid=37:politik&Itemid=41

Sehari selepas kenyataan ini, Timbalan Pengerusi Perhubungan Sabah Salleh Said Keruak membidas kenyataan Khairy dengan menafikan berlakunya "perang dingin" di dalam Umno Sabah.

"UMNO Sabah stabil dan pemimpin serta anggotanya bersatu padu di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO). Tidak ada "cold war" dalam UMNO Sabah." - Salleh Said Keruak.

Tahniah kepada Khairy kerana sanggup berterus-terang. Pemimpin yang hanya mementingkan populariti diri tidak akan sanggup berterus-terang walaupun terang-terangan Umno di akar umbi bermasalah.

Ketika ini musim persidangan Umno bahagian. Sudah kedengaran beberapa pihak tidak puashati dengan pemimpin-pemimpin tertentu yang "bercakap lepas" semasa perasmian persidangan. Kata-kata pedas, walaupun berupa peringatan dan nasihat, nampaknya masih tidak dapat diterima di dalam keluarga Umno.

Di Sabah, ramai mengetahui, Umno Sabah bukan lagi sedang "perang dingin". Malah ia sudah mencapai tahap perang saudara.

Kita faham Salleh adalah penyokong kuat Musa Aman. Di Sabah, ramai yang sedang memperkatakan mengenai latarbelakang Musa.

Di kalangan ahli-ahli Umno Sabah, mereka membincangkan pertembungan Musa Aman dengan Shafie Apdal. Kedua-duanya sama kuat. Bala tentera pun sama kuat, serang-menyerang sesama mereka, walaupun kita tidak pernah terbaca di dada-dada akhbar.

Bagaimanapun kita tidak boleh menaruh harapan untuk membaca "serangan-serangan" ini di akhbar-akhbar media perdana kerana cerita seumpama ini tidak digemari oleh pucuk pimpinan kerana apa yang mereka mahu melihat hanyalah gambaran, walaupun tidak benar, bahawa Umno itu kukuh dan padu.

Malahan ada pandangan bahawa Musa kini liabiliti Umno. Kalau Taib Mahmud di Sarawak, Musa di Sabah.

Itu baru cerita Umno. Barisan Nasional Sabah pun serupa. Parti-parti komponen BN di Sabah hari ini semakin "panas hati" dengan Umno.

Katanya ketika Dr Mahathir Mohamad membawa Umno masuk Sabah pada 1991, Dr Mahathir pernah berjanji, Umno tidak akan bertanding lebih dari 50 peratus dari kerusi di Sabah.

Pada pilihanraya Sabah pada 1994, tiga tahun selepas Umno bertapak di Sabah, Umno bertanding di 20 kerusi dari 48 kerusi negeri.

Pada pilihanraya 2008, Umno bertanding di 34 kerusi dari 60 kerusi yang dipertandingkan.

Tetapi kali ini tamak haloba menguasai pemimpin-pemimpin Umno di Sabah. Masing-masing gilakan jawatan dan sudah ada ura-ura pemimpin-pemimpin Umno mahu membolot lebih dari 50 peratus kerusi yang dipertandingkan.

Semangat Barisan Nasional diketepikan. Parti-parti komponen lain diketepikan. Tidak menghairankan perwatakan LDP kini lebih cenderung kepada suara pembangkang.

Pemimpin bumiputera Sabah di dalam Umno (bukan semua ahli Umno Sabah adalah Islam dan Melayu), perlu ingat pada sejarah.

Dr Mahathir dalam usaha untuk menewaskan PBS pada pilihanraya 1994, menjanjikan bahawa sekirannya BN menang, jawatan Ketua Menteri Sabah akan digilirkan kepada kaum-kaum terbesar di Sabah iaitu bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam dan Cina.

Dan Musa Aman merupakan Ketua Menteri yang Ketujuh (2003) dilantik melalui sistem ini. Apabila sistem ini dihapuskan, Musa kekal sebagai Ketua Menteri. Hanya bumiputera Islam sahaja yang kekal Ketua Menteri.

Ini umpama bagi betis hendak peha. Itulah yang berlaku sekarang ini di kalangan pemimpin Umno di Sabah.

Sikap Salleh menafikan berlakunya perang dingin dalam Umno perkara biasa kerana sindrom nafi ini sudah lama membiak di dalam Umno termasuk di kalangan pimpinan tertinggi parti.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tiada_perangdingin_dalamUMNOSabah_Salleh/Article

Monday, May 30, 2011

KADAR ELEKTRIK NAIK 7 PERATUS

Kadar elektrik akan dinaikkan 7.12 peratus bagi pengguna yang menggunakan elektrik melebihi 300kw/j sebulan.

Ini bermakna pengguna yang menggunakan lebih 300kw/j perlu membayar 33.54 sen bagi satu kwj.
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/power-rates-up-7pc-june-1-gas-prices-also-hiked/

Saturday, May 28, 2011

DI MANA MIC KETIKA PELAJAR INDIA MERANA?

Gesyeana Batrisyia Zamri, 13 tahun, pelajar MRSM Besut, Terengganu, sanggup mengorbankan wang simpanan beliau berjumlah RM200 semata-mata untuk membantu pelajar-pelajar India di SJK(T) Ladang Linsum di Negeri Sembilan membayar yuran persekolahan mereka.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/5/28/nation/8779564&sec=nation

Beberapa penderma lain turut serta memberi sumbangan mereka untuk memastikan pelajar-pelajar ini dapat meneruskan persekolahan mereka.

Persoalannya, di mana MIC? Bagaimana perkara seumpama ini masih ada di negara kita selepas 54 tahun Merdeka?

Wednesday, May 25, 2011

PIALA DUNIA 2030 DI MALAYSIA?

Piala Dunia diadakan di Malaysia pada 2030?
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newssport.php?id=589101

Menurut Timbalan Menteri Sukan Razali Ibrahim, Malaysia akan membentangkan kertas kerja terperinci bagi Asean membida penganjuran Piala Dunia untuk tahun 2030.

Memang menjadi kebanggaan kita sekiranya Malaysia terpilih salah satu gelanggang di Asean untuk menjadi tuanrumah bagi perlawanan-perlawanan Piala Dunia.

Tetapi sebelum kita membuat bidaan tersebut, eloklah sekiranya Kementerian Sukan dan Persatuan Bolasepak Malaysia mencerminkan diri kita dahulu.

Di Malaysia, kebanyakan peminat lebih bangga menyarung jersi Liverpool, Arsenal atau Manchester United daripada jersi pasukan bolasepak Malaysia.

Malahan tengah malam Sabtu ini, Kementerian Sukan sendiri menganjur satu majlis dengan menjemput Perdana Menteri untuk menyaksikan siaran langsung perlawanan Piala Eropah di antara Barcelona dan Manchester United.

Sebelum kita turut membuat bidaan, eloklah kita cerminkan diri kita dahulu. Layakkah pasukan kita bertanding di dalam Piala Dunia? Bersihkan pasukan-pasukan liga kita dari rasuah?

Sudah menjadi tradisi kita hanya gah sebagai penganjur. Tidak lebih dari itu. Tak menang tak mengapa, janji kita jadi penganjur.

Memang tidak salah untuk kita membida menjadi penganjur Piala Dunia. Tetapi kita perlu menilai adakah kita akan dipilih sebagai penganjur untuk tahun 2030? Sekiranya kita yakin 150 peratus dipilih sebagai penganjur, teruskan usaha kita.

England membelanjakan RM75 juta hanya untuk pembidaan Piala Dunia dan gagal dipilih sebagai penganjur.

England negara kaya. RM75 juta tidak memberi kesan apa-apa kepada ekonomi mereka. Tetapi tidak kita.

RAKYAT DIHANTUI SAMAN

Ketika rakyat dibelenggu kes saman ekor polis, satu lagi saman akan menghantui kita - saman oleh Majlis Bandaraya.

"kadar maksimum kompaun adalah RM300 supaya tidak membebankan orang ramai manakala bagi pesalah yang melakukan tiga kali atau lebih kesalahan dalam tempoh dua bulan, kadar kompaun akan berganda tanpa mengira tempoh bayaran tetapi dihadkan pada RM300 setiap kesalahan." - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Chor Chee Heung.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kadarkompaundiselaras/Article/index_html

Nampaknya semakin hari semakin menyerlah betapa bapak-bapak Menteri kita tidak sensitif akan keperitan kehidupan yang sedang dilalui rakyat.

Apakah ekonomi negara terlalu nazak sehinggakan kerajaan terpaksa bergantung kepada kutipan saman untuk menampung keperluan kewangan negara?

Pelbagai kelemahan terdapat di dalam pengeluaran saman ekor dan sehingga hari ini masih belum diselesaikan.

Pelbagai masalah yang menjadi ketidakpuasan hati rakyat terhadap perkhidmatan Majlis-Majlis Bandaraya. Apakah rungutan mereka ini didengari?

Bapak-bapak Menteri perlulah turun ke bawah untuk menyelami keperitan rakyat.

Tidak ada ertinya rakyat dihidangkan dengan isu Melayu dan agama kalau kita hidup di dalam keperitan dan pemimpin terus hidup di dalam kesenangan.

Rakyat mana tidak berkecil hati apabila membaca laporan akhbar seorang pemimpin Umno mempunyai sebuah rumah empat tingkat. Terbakar tingkat atas, tiga tingkat masih ada.

Tuesday, May 24, 2011

PROJEK RM6 BILION: NUR JAZLAN PERLU LETAK JAWATAN

Negara mempunyai beribu syarikat pembinaan termasuk berpuluh yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia tetapi yang peliknya syarikat pembinaan dari negara China menjadi pilihan UDA untuk membangunkan tapak Penjara Pudu.

Kos projek bukannya kecil. Nilainya RM6.7 bilion.

Ketika kita mengambarkan negara menghadapi masalah ekonomi yang kononnya memaksa kerajaan menaikkan harga petrol, gas, gula dan elektrik, UDA tidak langsung merasa ganjil untuk menganugerahkan projek sebesar itu kepada syarikat luar.
http://www.nst.com.my/nst/articles/20pudu/Article

Tidak mungkin tiada langsung syarikat tempatan yang mampu membina projek sebesar itu.

Kalau syarikat bumiputera tidak mampu, tidak mungkin tiada langsung syarikat Cina Malaysia yang mampu melaksanakan projek sebesar RM6.7 bilion.

Rasanya macam ada yang tidak kena dengan UDA.

Kita faham akan kekecewaan Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir sehingga beliau menuduh Pengerusi UDA Nur Jazlan Mohamed berbohong dan mendesak beliau meletakkan jawatan.

Kita asyik melaungkan-laungkan ketuanan Melayu tetapi realitinya ia hanya slogan. Bila ada projek sebesar ini, Nur Jazlan tidak mempunyai keyakinan kepada syarikat Melayu dan syarikat luar juga yang menjadi pilihan beliau.

Memang patut Nur Jazlan didesak meletakkan jawatan.

Monday, May 23, 2011

RAKYAT MARAH BILA HARGA PETROL DINAIKKAN


"Tunggulah (pengumuman) dalam masa seminggu ini... kita akan membuat keputusan sama ada ingin meneruskan subsidi petrol, diesel dan gas memandangkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan terus meningkat dari RM8 bilion kepada RM18 bilion.” - Ismail Sabri.

Itu kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan hari ini.


Yang pasti dari kenyataan ini ialah harga petrol, diesel dan gas akan naik. Gunalah istilah apapun (langkah rasionalisasi subsidi), ianya bermaksud harga naik.

Kita bukan lagi di zaman 70an di mana rakyat masih kurang tahap pendidikannya.

Di akar umbi, rata-rata rakyat menyalahkan Ismail Sabri berikutan kenaikan harga barang. Sebenarnya, kenaikan harga barang bukan salah Ismail Sabri.

Apa yang boleh dilakukan oleh Ismail Sabri? Isu kenaikan harga barang adalah tanggungjawab seluruh Kabinet dan Perdana Menteri.

Isu rasionalisasi subsidi adalah isu Idris Jala. Orang yang harus dipersoalkan ialah Idris Jala.

Adakah Idris mengambil kira implikasi politik dalam menyusun semula subsidi kepada rakyat? Fahamkah Idris akan politik Semenanjung atau Idris masih merasakan seolah-olah beliau masih bekerja di Shell?

Di Singapura, isu perumahan, pengangkutan dan pendidikan menjadi isu pokok semasa pilihanraya umum baru-baru ini sehingga buat pertama kalinya parti PAP mengalami keputusan paling buruk dalam sejarah politik Singapura. Tidak seperti di Malaysia di mana isu-isu seperti ini bukan menjadi daya tarikan kepada parti-parti politik.

Semalam, Kerajaan Singapura mengambil keputusan untuk menurunkan gaji Menteri-Menteri Kabinet mereka semata-mata untuk "menyejukkan" hati pengundi Singapura yang sudah mula menunjukan "kemarahan" mereka melalui peti-peti undi.

Parti PAP tahu sekirannya tidak ada perubahan di dalam kerajaan, 5 tahun lagi, PAP akan mengalami keputusan lebih buruk dari pilihanraya 2011 ini.

Apakah perkara yang sama akan berlaku di Malaysia? Untuk pengetahuan Idris Jala, memang benar rakyat Malaysia ketagih subsidi. Tetapi ingatlah bahawa kerajaan BN kekal sehingga hari ini kerana "subsidi".

Kalau bukan kerana subsidi, mungkin sudah lama saling berubah kerajaan seperti mana yang berlaku di negara-negara demokrasi lain di dunia.

Friday, May 20, 2011

NAJIB MASIH SAYANG SIDEK (KSN)!

Sidek Hassan kekal sebagai Ketua Setiausaha Negara?

Tanpa sebarang pengumuman rasmi, khbar berbahasa Inggeris, The Sun, dua hari lepas "mengumumkan" bahawa kontrak Sidek disambung setahun lagi oleh Najib Razak.

Ketika ini, tersebar khabar angin Najib akan mengadakan rombakan kabinet. Ini mungkin kali ke-10 khabar angin ini tersebar dan sehingga hari ini, Ahli-ahli Parlimen yang belum berjawatan Menteri, masih menanti dengan penuh harapan bagaikan menanti buah yang tidak gugur.

Kalau nak menggantikan Sidek pun Najib tidak mempunyai kemampuan, apalah pula anggota Kabinet yang mempunyai kekuatan politik masing-masing.

Walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Sidek termasuk tuduhan bahawa Sidek lah yang "menasihati" Pak Lah supaya jangan memberi bonus kepada kakitangan awam yang menyebabkan BN tewas di lima negeri, Najib masih menaruh harapan pada Sidek untuk setahun lagi. http://www.perdana.org.my/index.php?option=com_content&view=article&id=891:the-sun-stay-above-politics-civil-servants-told&catid=64:selected-news&Itemid=180

Blogger Another Brick in the Wall, pernah mengkritik Sidek.
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2010/06/restless-in-putrajaya.html

Janganlah sesiapa terlalu mengharapkan kepada perubahan kerana sejak Najib mengambil alih dari Pak Lah, beliau lebih berminat untuk menjaga hati orang embawa perubahan.

Pelbagai teguran dibuat terhadap pemimpin dan pentadbir tertentu tetapi tiada apa yang berlaku. Mungkin itu fitrah Najib.

Saturday, May 14, 2011

LETAK NOH BERTANDING DI DUN

""Kita sudah bersiap sedia seolah-olah esok pilihan raya dan kita beri tumpuan penuh pada kawasan ‘putih’ dan ‘kelabu’ di Selangor yang kita yakin beroleh kemenangan.” - Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_28.htm

Kata Noh, Umno mensasarkan untuk memenangi 30 kerusi di Selangor dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Kalau diambil kira 20 kerusi yang kini dipegang oleh Umno, BN akan menang besar iaitu 50 kerusi dari 56 kerusi di Selangor.

Kalau Noh bermaksud hanya menang 30 kerusi, ianya bermakna pertambahan hanya 10 kerusi. Apa pun scenarionya, maksud Noh ialah BN akan menawan semula Selangor dari pembangkang.

Merdu bunyinya kenyataan Noh kepada penyokong-penyokong BN seolah-olah pembangkang begitu lemah di Selangor. Seolah-olah Selangor akan diserah bulat-bulat kepada BN.

Dengar khabar, Selangor kini tidak ubah seperti Kelantan. Di Kelantan, ketua-ketua bahagian merasakan lebih menguntungkan berada di bawah Pas. Di Kelantan, peruntukan kini disalurkan melalui ketua-ketua bahagian.

Suasana yang sama berlaku di Selangor. Bukan setakat ketua-ketua bahagian sahaja yang menerima peruntukan, Timbalan Ketua Bahagian juga turut diberi bantuan kewangan.

Selangor beruntung mendapat Perdana Menteri sebagai Pengerusi Perhubungan. Sekurang-kurangnya mudah peruntukan disalurkan.

Noh patut berterus-terang dengan Najib mengenai apa yang berlaku di Selangor. Pemimpin Selangor kini hanya berminat untuk mengambil tahu bahagian masing-masing daripada menumpukan usaha menawan Selangor dari pembangkang.

Ini termasuk Noh sendiri. Setiap kali Najib melawat Selangor, destinasi beliau hanya Tanjung Karang, kawasan Noh.

Apa sasaran Noh? Nak menang di Tanjung Karang saja atau nak menawan Selangor?

Di akar umbi, pelbagai tuduhan liar dilontarkan terhadap Noh. Ada yang mengatakan Noh hanya berminat untuk memastikan beliau tidak kalah di Tanjung Karang kerana mahu kekal sebagai Menteri Kabinet.

Ini tuduhan. Noh pun maklum akan tuduhan ini.

Masa semakin singkat untuk Umno membuat persiapan menawan Selangor. Apa yang harus Najib lakukan?

Sudah tiba masanya Najib mengenalpasti Menteri Besar Selangor yang baru untuk mengepalai persiapan Selangor.

Kalau Noh tidak berminat, serahkan jawatan tersebut kepada orang lain. Atau Najib letakkan Noh sebagai calun diperingkat DUN.

Jika tidak, tiada seorang pemimpin Umno di Selangor akan memperdulikan Selangor. Masing-masing hanya mahu mempertahankan bahagian masing-masing.

Tuesday, May 10, 2011

KABINET MALAYSIA DI MAMAH USIA

Dua Menteri tewas di dalam pilihanraya umum Singapura - Menteri Luar George Yeo dan Menteri Kewangan Kedua Lim Hwee Hua.

George Yeo merupakan seorang ahli politik veteran Singapura. Beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen ketika umur beliau mencecah 34 tahun. Pada usia 57 tahun, George Yeo dikalahkan di dalam pilihanraya Singapura.

Ianya sesuatu yang tidak pernah dimimpikan oleh parti-parti pembangkang di Singapura tetapi minggu lepas, ianya menjadi realiti.

Hari ini George Yeo mengumumkan persaraan beliau dari politik pada usia 57 tahun kerana pada George Yeo, rakyat terutamanya generasi muda di Singapura mahu melihat akan perubahan. http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelocalnews/view/1127882/1/.html

Usia 57 tahun masih muda kalau kita mengambil kira politik Malaysia sebagai ukuran.

Rais Yatim kini berusia 69 tahun dan Nor Mohamad Yakcop sudah mencecah 64 tahun.

Pada usia 57 tahun, George Yeo terutamanya parti beliau PAP, yang memerentah Singapura lebih 5 dekad, kini sedar bahawa golongan muda mempunyai aspirasi mereka sendiri.

Undi popular kepada PAP menurun kepada 60.1 peratus berbanding undi popular 66.6 peratus pada 2006 dan 75 peratus pada 2001. Ia merupakan keputusan terburuk PAP sejak 1963.

Itu di Singapura. Usia 57 sudah di kira tua.

Politik Singapura tidak sama seperti politik Malaysia. Tidak mustahil Kabinet kita yang akan datang mempunyai dua orang Menteri yang 5 tahun akan datang mencecah umur 74 tahun dan 69 tahun.

Di Malaysia, politik kita lebih kepada menongkat langit. Lihatlah di negeri-negeri di mana Umno tewas.

Ketua-ketua bahagian yang tewas masih menyimpan cita-cita untuk menjadi wakil rakyat di dalam PRU-13.

Kita masih enggan belajar dari pengalaman lepas.

Sunday, May 1, 2011

CHUA SOI LEK TENTANG NEGARA ISLAM

"Tetapi pendirian MCA amat jelas, bahawa kami tidak akan menerima dasar Pas berhubung penubuhan negara pemerintahan Islam." - Presiden MCA Chua Soi Lek.
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=583305