Tuesday, May 31, 2011

"PERANG SAUDARA" DALAM UMNO & BN SABAH.

Azman (Ruslan- Ketua Pemuda Umno Sabah) ditukar bukan kerana tidak dapat menjalankan tugas dengan baik tetapi ia disebabkan oleh ‘perang dingin’ dalam parti.” - Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno Malaysia.
http://sabahkini.net/index.php?option=com_content&view=article&id=7284:perang-dingin-punca-azman-dipecat&catid=37:politik&Itemid=41

Sehari selepas kenyataan ini, Timbalan Pengerusi Perhubungan Sabah Salleh Said Keruak membidas kenyataan Khairy dengan menafikan berlakunya "perang dingin" di dalam Umno Sabah.

"UMNO Sabah stabil dan pemimpin serta anggotanya bersatu padu di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO). Tidak ada "cold war" dalam UMNO Sabah." - Salleh Said Keruak.

Tahniah kepada Khairy kerana sanggup berterus-terang. Pemimpin yang hanya mementingkan populariti diri tidak akan sanggup berterus-terang walaupun terang-terangan Umno di akar umbi bermasalah.

Ketika ini musim persidangan Umno bahagian. Sudah kedengaran beberapa pihak tidak puashati dengan pemimpin-pemimpin tertentu yang "bercakap lepas" semasa perasmian persidangan. Kata-kata pedas, walaupun berupa peringatan dan nasihat, nampaknya masih tidak dapat diterima di dalam keluarga Umno.

Di Sabah, ramai mengetahui, Umno Sabah bukan lagi sedang "perang dingin". Malah ia sudah mencapai tahap perang saudara.

Kita faham Salleh adalah penyokong kuat Musa Aman. Di Sabah, ramai yang sedang memperkatakan mengenai latarbelakang Musa.

Di kalangan ahli-ahli Umno Sabah, mereka membincangkan pertembungan Musa Aman dengan Shafie Apdal. Kedua-duanya sama kuat. Bala tentera pun sama kuat, serang-menyerang sesama mereka, walaupun kita tidak pernah terbaca di dada-dada akhbar.

Bagaimanapun kita tidak boleh menaruh harapan untuk membaca "serangan-serangan" ini di akhbar-akhbar media perdana kerana cerita seumpama ini tidak digemari oleh pucuk pimpinan kerana apa yang mereka mahu melihat hanyalah gambaran, walaupun tidak benar, bahawa Umno itu kukuh dan padu.

Malahan ada pandangan bahawa Musa kini liabiliti Umno. Kalau Taib Mahmud di Sarawak, Musa di Sabah.

Itu baru cerita Umno. Barisan Nasional Sabah pun serupa. Parti-parti komponen BN di Sabah hari ini semakin "panas hati" dengan Umno.

Katanya ketika Dr Mahathir Mohamad membawa Umno masuk Sabah pada 1991, Dr Mahathir pernah berjanji, Umno tidak akan bertanding lebih dari 50 peratus dari kerusi di Sabah.

Pada pilihanraya Sabah pada 1994, tiga tahun selepas Umno bertapak di Sabah, Umno bertanding di 20 kerusi dari 48 kerusi negeri.

Pada pilihanraya 2008, Umno bertanding di 34 kerusi dari 60 kerusi yang dipertandingkan.

Tetapi kali ini tamak haloba menguasai pemimpin-pemimpin Umno di Sabah. Masing-masing gilakan jawatan dan sudah ada ura-ura pemimpin-pemimpin Umno mahu membolot lebih dari 50 peratus kerusi yang dipertandingkan.

Semangat Barisan Nasional diketepikan. Parti-parti komponen lain diketepikan. Tidak menghairankan perwatakan LDP kini lebih cenderung kepada suara pembangkang.

Pemimpin bumiputera Sabah di dalam Umno (bukan semua ahli Umno Sabah adalah Islam dan Melayu), perlu ingat pada sejarah.

Dr Mahathir dalam usaha untuk menewaskan PBS pada pilihanraya 1994, menjanjikan bahawa sekirannya BN menang, jawatan Ketua Menteri Sabah akan digilirkan kepada kaum-kaum terbesar di Sabah iaitu bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam dan Cina.

Dan Musa Aman merupakan Ketua Menteri yang Ketujuh (2003) dilantik melalui sistem ini. Apabila sistem ini dihapuskan, Musa kekal sebagai Ketua Menteri. Hanya bumiputera Islam sahaja yang kekal Ketua Menteri.

Ini umpama bagi betis hendak peha. Itulah yang berlaku sekarang ini di kalangan pemimpin Umno di Sabah.

Sikap Salleh menafikan berlakunya perang dingin dalam Umno perkara biasa kerana sindrom nafi ini sudah lama membiak di dalam Umno termasuk di kalangan pimpinan tertinggi parti.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tiada_perangdingin_dalamUMNOSabah_Salleh/Article

No comments: