Saturday, September 26, 2009

MIC & UMNO SENASIB

SEJARAH parti Kongress India Malaysia (MIC) hampir sama hebatnya dengan Umno.

Ianya ditubuhkan pada tahun 1946 dan pengasasnya ialah John A.Thivy yang menjadi Presiden Pertama MIC dan S.Samy Vellu merupakan Presiden yang ke 7 MIC.

Samy Vellu telah mencipta sejarah dengan menerajui MIC selama 30 tahun mengatasi rekod Presiden MIC ke 5, Tun V.T. Sambanthan yang menerajui MIC selama 18 tahun (1955-1973).

Rekod Samy Vellu tidak mungkin dicabar sehingga ke akhir hayat. Malahan, rekod Samy Vellu akan bertambah hari demi hari.

Sejak MIC ditubuhkan, tidak ada mana-mana parti kaum India mampu menyaingi keperkasaan MIC.

Tiga parti India ditubuhkan - KIMMA, IPF dan PPP. Tetapi tiada antara mereka mampu menyaingi MIC.

Pada 10 Oktober nanti, sebuah parti India yang baru akan ditubuhkan. Namanya MAKKAL SAKTI dan presidennya ialah bekas anggota Hindraf - R.S. Thanenthiran (gambar).

Kewujudan Makkal Sakti akan disempurnakan oleh Pengerusi BN, Najib Razak. Atau dengan kata lain penubuhan Makkal Sakti direstui Najib.

Adakah Makkal Sakti menjadi jalan penyelesaian kepada BN dalam mengembalikan sokongan kaum India kepada kerajaan?

Semasa PRU 12 pada Mac 2008, BN kehilangan 35 peratus sokongan kaum India. Hanya 47 peratus pengundi India menyokong BN dan selebihnya menyokong Pakatan Rakyat.
http://adi-karya.blogspot.com/2008/03/pru-12-unfortunate-fallout.html

MIC semakin tersisih di bawah pentadbiran Najib. Ketika Najib melawat Batu Caves Ogos lalu, Samy Vellu berada di Ipoh. Desas-desus mengatakan Samy Vellu dinasihatkan supaya "menjauhkan diri" dari Batu Caves pada hari itu.

Kini Najib akan ke Kelang untuk melancarkan Makkal Sakti. Sudah tentu pelbagai spekulasi akan timbul dengan kehadiran Najib 10 Oktober nanti.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/9/25/mstar_berita/20090925140743&sec=mstar_berita

Sudah tentu ada yang akan mengatakan ini adalah cubaan Najib untuk menyingkir Samy Vellu dari MIC dan tidak kurang juga yang akan menuduh Najib cuba membunuh MIC serta Najib sebagai Pengerusi BN gagal menyelesaikan konflik dalam parti komponen itu.

Sebenarnya, nasib MIC serupa sahaja dengan parti-parti komponen BN yang lain. Gerakan entah ke mana. MCA hanya tinggal pemimpinnya yang riuh-rendah padahal penyokongnya telah lama meninggalkan parti dan menyokong Pakatan Rakyat.

Umno sehingga kini masih syok sendiri. Jumlah ahli Umno yang berdaftar tidak pernah berkurangan. Sehingga Mac 2008, jumlah ahli Umno meningkat kepada 3.5 juta orang di 20,056 cawangan berbanding 3.3 juta ahli pada tahun 2007. http://www.bharian.com.my/klikkhas/perhimpunan_umno/Artikel/Berita/20090327144936/Article/index_html
http://www.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=umno2007

Tetapi semasa PRU-12 kerusi yang dimenangi Umno tidak pula bertambah sebaliknya semakin berkurangan dan lebih parah lagi, BN kehilangan 2/3 majoriti.

Penerimaan Makkal Sakti jelas menggambarkan ketidaktentuan BN. Nak mengharapkan MIC, parti itu sudah hilang sokongan kaum India.

Masalah dengan parti-parti komponen BN ialah kepentingan peribadi pemimpin mengatasi kepentingan rakyat. Baik Umno, MIC, MCA mahupun Gerakan.

Dalam Umno, pemimpinnya semua berada dan kaya-raya dan ahli disuruh berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Pemimpin MIC tidak kurangnya dan lihat saja Vell Parri, anak Samy Vellu.

MCA sedia maklum, ada pemimpinnya dituduh menerima wang berjuta-juta ringgit manakala ahlinya disuruh mencari rezeki dan berniaga. Gerakan pula, Presidennya berjawatan Menteri, hidup cara Menteri manakala pemimpin lain bertempiaran ke sana-sini hilang jawatan selepas pilihanraya.

Malangnya, pemimpin-pemimpin BN masih lagi menunjukkan keyakinan akan menang dalam PRU 13 tanpa menyedari apa harapan rakyat kepada mereka.

Harapan BN pada PRU 13 bukannya bergantung kepada penubuhan parti baru atau gembar-gembur akan kehilangan ketuanan Melayu.

Kemenangan BN akan ditentukan oleh rakyat apabila rakyat yakin bahawa pemimpin Umno dan BN telah menyedari kesilapan lampau mereka dan setiap tingkah laku kerajaan adalah demi rakyat dan negara dan bukannya untuk kepentingan peribadi pemimpin.

No comments: