2015
2012
Jelapang kagum dengan pandangan penulis hiburan Utusan Malaysia Ku Seman mengenai isu K-Pop baru-baru ini.
Berikut ialah tulisan Ku Seman yang diterbitkan oleh UTUSAN MALAYSIA:
Isu artis K Pop
MINGGU lalu tercetus kontroversi di media apabila tersebar video gadis bertudung memeluk penyanyi K Pop lelaki di sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Ekoran itu banyak yang menyuarakan kekesalan apa lagi imejnya sebagai wanita Islam tetapi berkelakuan buruk.
Pihak berkuasa agama juga mengeluarkan kenyataan mengecam perbuatan itu. Syukur kerana mereka sudah bebas daripada sindrom bisu. Barangkali ini satu permulaan yang baik selepas mereka lebih banyak membisu dengan kes yang serupa sebelum ini. Lebih tegas lagi gadis itu diarahkan ke pejabat penguasa agama, kalau gagal akan dikeluarkan waran tangkap.
Perbuatan gadis itu tidak sewajarnya berlaku di negara ini dan dilakukan wanita Islam dan Melayu. Bagaimanapn apabila melihat dasar kita yang tidak endah soal moral dan turut mempromosi K Pop, apa yang berlaku itu memang sudah dijangka.
Gadis itu bersalah tetapi tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Dia tidak boleh dijadikan kambing hitam untuk menutup kepincangan dasar terbuka terhadap artis luar yang memang diketahui bertentangan dengan adab dan tatasusila Islam dan Melayu negara ini.
Perlakuan gadis itu adalah hasil daripada dasar kita yang liberal dan sekular. Lagi pun tidak akan selesai sesuatu masalah kalau hanya memangkas pucuk tetapi tidak akar yang menjadi puncanya. Akarnya di mana?
Tetapi kita ambil jalan mudah menuding kepada gadis bertudung itu. Dia naif dan bukan anak 'siapa-siapa'.
Persoalannya adakah menyalahkan gadis itu sudah menunjukkan kita cukup prihatin terhadap anasir merosakkan generasi muda? Maaflah, saya tidak percaya kalau ada yang mengatakan 'iya'.
Ketika ini juga banyak sangat burung kakak tua yang berkokok senada dengan kata arus utama yang mengkambinghitamkan gadis mentah itu. Mereka berhujah tetapi tidak menyoal apakah yang mendorong gadis itu memeluk penyanyi K Pop? Bagi saya, kalau bersandarkan dasar kita yang membuka seluas-luasnya artis yang bertentangan dengan nilai kita termasuk K Pop, gadis itu tidak bersalah apa-apa.
Kerajaan atau melalui penaja telah membuat pelaburan yang besar membawa artis K Pop ke Putrajaya. Tidak ada yang mempersoalkan orang berkuasa yang menghalalkan penularan virus moral itu malah ada yang dengan megah mendakwa konsert itu berjaya. Kalau begitu , apa salahnya gadis tersebut melakukan sesuatu yang selari dengan usaha itu?
Kalau perbuatan gadis itu bertentangan dengan nilai kita, orang akan bertanya kenapa kerajaan mengundang artis K Pop dengan bayaran berjuta ringgit untuk menghiburkan remaja?
Lagi pun sejak bila K Pop membawa nilai-nilai yang membina kepada remaja kecuali mempromosi hedonisme. Ironinya ejen hedonisme begini dijadikan tarikan festival belia dengan bayaran yang tidak pernah termimpi oleh penyanyi kita.
Adakah membawa penyanyi K Pop satu tanda aras Malaysia sebuah negara maju? Kalau benar, tidak mengapalah dan kita sama-sama boleh 'berkorban' demi menjadi negara maju.
Jadi, apabila ada gadis Melayu Islam memeluk dan mencium lelaki Korea di pentas, kita sepatutnya gembira kerana sudah maju. Susah payah membawa K Pop dulu telah membuahkan hasil.
Janganlah buat-buat terkejut. Katakan sahaja inilah yang dimimpikan bagi menggembirakan sekelian anak muda. Ketawalah dan bergembiralah dengan kejayaan ini. Sogoklah apa sahaja asalkan berjaya menjinakkan orang muda. Tahniah juga kepada penganjur festival belia. Tidak cukup K Pop di Pulau Pinang bawa pula penyanyi kuda mabuk PSY juga dari Korea dengan bayarannya kalau dicongak , artis kita 'dua kali hidup dan dua kali mati' pun tidak mendapat jumlah itu.
Tetapi anehnya insiden gadis ini yang lebih menarik perhatian. Seolah-olah dia sahaja yang menconteng arang ke muka kita. Sudah lupakah kebiadapan dalam siaran Astro apabila penyanyi wanita didukung dan dipeluk penyanyi lelaki dalam keadaan sangat mengaibkan? Memanglah para sekularis berkata, 'Ah mempersonakan, berani dan profesional'. Tetapi bukankah itu juga mengaibkan agama? Kedua-dua penyanyi itu pula galak berkokok mempertahankan taraf mereka sebagai 'orang seni' yang boleh membuat apa sahaja.
Kalau mencemarkan, kenapa tidak dijadikan isu? Apa bezanya berpeluk di program televisyen dengan berpeluk di pentas?
Kenapa tidak mengambil tindakan kepada mereka yang memeluk ahli sukan di depan khalayak? Semua orang nampak perbuatan yang sama dengan gadis peminat K Pop itu. Kenapa pula pilih bulu mengambil tindakan?
Begitu juga wanita yang memeluk ahli sukan di depan khalayak. Kenapa tidak melarang atau ambil tindakan? Kenapa tidak berani mengherdik dan mengecam penganjur yang membawa K Pop di festival belia? Kita mengharapkan ketegasan penguasa agama,
Hendak diharapkan ulama politik, minta maaflah, mereka terkena sindrom bisu terutama yang boleh menggugat kedudukan mereka.
Harap kita belajar daripada insiden terbaru ini. Penguasa agama mesti berani bertindak tanpa memilih bulu. Masyarakat memerhati dan memberi KPI kepada ketua mereka.

